Engagement Fund ;)

Wednesday, 28 June 2017

Seoul Garden Hotpot

Memandangkan bulan Jun hanya berbaki beberapa hari lagi, marilah kejar kuota 10 entri sebulan sekurang-kurangnya. Hari ni nak catat cerita dua bulan lepas. Waktu ni ke Cyberjaya sebab nak hantar laporan kulit keras DKM. Bila dah hantar laporan tu, dah merdekalah kiranya dan bolehlah bagi ganjaran pada diri sendiri kerana berjaya siapkan semuanya dengan pantas. Begitu.

Disebabkan tempat paling hampir di situ adalah DPulze, maka aku pun masuklah dalam tu untuk kali kedua. Kali ni dah gaji, jadi bolehlah makan dekat tempat makan chaebol. Sebelum makan, pusing satu bangunan tengok apa yang ada dan sempatlah buang masa buang duit dekat Daiso. Orang pun tak berapa nak ada, syoklah belek dari satu barang ke satu barang yang lain. Selesai membeli, barulah aku turun ke Seoul Garden Hotpot ni. 

Mula-mula macam nak pergi Seoul Garden BBQ sebelah dia, tapi macam kesian sangat nampaknya makan bufet sorang-sorang. Hahahaha.. Kalau dekat Hotpot ni, hidangan dia a la carte jadi tak adalah nampak sedih walaupun sorang-sorang. Lagipun ramai je orang yang datang makan solo dekat Hotpot. Pertama kali ni masuk sini nak mencuba. 


Pilihan namul. Tak banyak pun, jadi tak sempat tamak.

Bap

Set hot plate

Lepas belek menu, aku pesan bibimbap daging dengan kimchi. Air, minum air mineral je. Jaga kesihatan kekdahnya. Komen? Okey-okey je bibimbap dia. Sayur dalam bibimbap tak pelbagai sangat dan daging yang aku pilih tu macam tawar sikit sebab dia rebus biasa je. Patutnya ambil bulgogi, baru ada rasa sikit. Lain kali mungkin. Tapi kimchi dia hari tu sedap! Kalau dekat Seoul Garden, nasib-nasib tahap kesedapan kimchi dia. Ada masa sedap, ada masa kureng. 

Dah sampai makanan yang dipesan.

Jarak dekat.

Kimchi tambahan. Ingatkan besarlah pinggan dia, rupanya piring kecil je.

Habis makan, teruslah keluar dan kembali ke pangkal jalan. Kena sampai rumah cepat sebab petangnya ada tuisyen. Sesiapa yang nak cuba makan dekat Seoul Garden Hotpot ni bolehlah pergi cari yang terdekat. Tapi, saiz hidangan dia bukan saiz hidangan tipikal makanan Korea sebab amaun dia sikit. Kalau lapar tahap gaban, mungkin tak disyorkan untuk makan di sini sebab dikhuatiri tak kenyang. Hehehe..

Orang Raya Kau Marathon Drama Korea

Annyeonghaseyo! Sebab dah lama tak borak-borak pasal drama Korea, entri ni saja je nak catat tentang drama yang sedang ditonton. Lama kan tak buat ulasan drama? Kali terakhir buat ulasan, bulan Mac. Tengok kalau rajin nak penuhkan kuota entri bulan Jun, acik karang ulasan okey?

Sekarang tengah layan dua drama saguk: Ruler Master of the Mask dan My Sassy Girl. Saguk will always be my favourite. Kalau dah bosan tak ada drama saguk, ulang tayang drama lama pun layan. Cuma tahun ni okey la sebab berderet-deret ha drama saguk; lepas satu, satu, dia muncul. Bagus!

Macam biasa, tak suka tengok ikut giliran sebab nanti jenuh nak tunggu episod seterusnya. Memandangkan sekarang Ruler dah episod 28, bolehlah mula pulun. Sassy Girl tunggu sana dulu. Walaupun saguk ni kegemaran, kena tabahkan hati sebab konflik dan plot drama saguk adalah melampau!

Sama macam Ruler ni, jalan cerita tak lari jauh macam yang lain. Perebutan kuasa, kuasa disebalik kuasa, cinta empat segi, pengorbanan dan pengkhianatan, salah faham dan lupa daratan. Sekarang baru sampai episod 20, dah nampak dah bayang-bayang nak kena tahan hati sambil tengok.

Pelakon-pelakon dalam ni muka yang biasa berlakon saguk termasuklah hero, Yoo Seung Hoo. Mula-mula tengok muka, macam pernah ku lihat. Rupanya dialah Jade Emperor dalam Arang and the Magistrate. Hensem pulak bila pegang watak zaman Joseon. Heroin ni dulu Acik tak gemar sebab dia pegang watak jahat dalam Moon that Embraces the Sun. Tapi sejak dua menjak Kim So Hyun meningkat dewasa, dah beberapa drama yang dia pegang watak baik. Maka, bolehlah layan.

OST Ruler ni pun layaaaan. Siapa-siapa yang mencari drama saguk, boleh cuba tengok Ruler Master of the Mask ni. Harap-harap pengakhiran dia tak hampehlah. Penat tau nak tunggu sampai 40 episod. Kecewalah kalau pengakhiran tak best.

Sunday, 18 June 2017

Banyak Sangat Pecahan dan Sumber Duit

Assalamualaikum... Salam 10 terakhir ramadhan buat semua. Ini entri pening untuk rujukan diri sendiri sebenarnya. Bila nak dekat raya ni, mulalah pening uruskan duit bajet pemberian ahli rumah ni. Dah semua benda aku yang kena fikir, pening la jadinya.

Ditambah lagi dengan duit bayaran tempahan kerepek dan rempeyek, pening kuasa dua. Malam ni tahap pening + tak tenang nak buat benda lain. Maka, sebelum terawih tadi aku kirai semua duit yang ada dan bawa keluar senarai kuih raya yang perlu dibayar minggu depan. Bahagi siap-siap, senang cerita. Bakinya tu barulah boleh guna untuk beli barang rumah.

Banyak lagi nak catat ni tapi nanti-nantilah ye kasi kumpul semua gambar dan cerita dulu baru senang nak hempuk dalam satu entri. Hehehe.. Korang punya persiapan raya macam mana? Buat kuih ke, tunjuk kuih?

Tuesday, 6 June 2017

Bebola Nasi Kuasa Dua

Kali ni cerita tentang makanan. Kenapa ada kuasa dua dekat tajuk tu? Sebabnya dah buat dua kali baru entri ni sempat ditaip. Kehkehkeh.. Kali pertama buat, aku cuma potong dadu je timun dengan lobak merah lepas tu terus gaul dengan nasi panas yang dah dicampur dengan satu sudu teh minyak bijan. Ini bebola nasi gaya Korea sebab bubuh minyak bijan. Tapi belum cukup Korea lagi sebab sayur tu aku tak masak. Kalau Korea totok punya cara, sayur tu kena tumis kejap baru campak dalam nasi.

Pertama kali buat kan? Jadi main belasah jelah bahan dia dan buat pun main redah je tak tengok resepi ke apa. Bolehlah, berasa la juga cuma macam tawar sebab aku tak letak garam langsung; hanya bergantung pada rasa masin rumpai laut berperisa. Selain sayur mayur, aku masukkan juga sosej rebus yang juga dipotong dadu dalam jumeok bap kali pertama ni.

Bebola nasi ataupun orang Korea panggil Jumeok Bap buat julung-julung kalinya dari dapur cik farae. Hampir kesemuanya aku makan sebab orang lain tak makan dekat rumah; Abah je la pun yang makan dua ketul.

Kali kedua buat bebola nasi ni, untuk berbuka minggu lepas. Kali ni memang ikut cara Korea totok. Sayur-sayur dia aku tumis dulu kejap baru gaul dengan nasi. Lepas tu terlebih rajin, siap buat inti daging lagi. Kebetulan ada sepotong daging dalam peti, kasi habislah buat inti. Untuk daging tu aku masak bulgogi. Nanti aku tepek resepi malas dekat bawah.

Waktu buat ni ala-ala kelam kabut juga sebab berkejar nak ke tuisyen. Sebelum pergi tuisyen aku siapkan sayur dengan bulgogi. Balik tu baru masak nasi guna beras sushi tu sebab nak gaul nasi tu kena waktu dia panas-panas. Lagi 5 minit nak buka baru kelam kabut kepal jumeok bap. Hahaha... Nasib baik sedap. Eh, terpuji masakan sendiri pulak. Heee.. Sedap la untuk tekak ahli rumah ni. Nah, resepi Juemok bap

Daging Bulgogi


Bahan-bahan

  • Daging lembu (hiris nipis)
  • Sos tiram
  • Bawang putih (cincang)
  • Leek (hiris halus)
  • Minyak bijan
  • Lada hitam tumbuk


Cara masak:
Gaul semua bahan dekat atas dan perap sekejap. Kalau nak sedap, perap semalaman dalam peti tapi sebab nak cepat, asal perap sudah. Lepas perap, masak dengan sedikit minyak sampai air daging kering. Ketepikan.

Jumeok Bap

Jumeok Bap kali kedua. Lebih berperisa sebab ada capsicum dan sayurnya ditumis. Kali ni buat banyak sebab semua orang ada dekat rumah lepas tu tak ada makanan berat lain, maka semua orang terpaksa makan. Hahahaha..

Bahan-bahan

  • Nasi sushi (satu cawan beras dimasak dengan dua cawan air)
  • Capsicum (potong dadu)
  • Timun (potong dadu)
  • Lobak merah (potong dadu)
  • Seulas bawang putih (cincang)
  • Sedikit leek (cincang)
  • Minyak untuk menumis (aku campur sikit dengan beberapa titik minyak bijan untuk mengharumkan lagi tumisan)
  • Garam secukup rasa
  • Satu sudu teh minyak bijan
  • Rumpai laut secukupnya


Cara buat:
Tumis sayur-sayuran sekadar dipinggiran; cukup untuk layukan dia je. Angkat dari kuali dan campurkan dalam nasi. Gaul sebati nasi dan sayur dan tambahkan minyak bijan. Gaul lagi dan masukkan rumpai laut. Aku guna rumpai laut yang beli dari Korea tahun lepas. Belum tamat tempoh lagi tapi hampir nak tamat. Hehehe.. Gaul lagi sampai nasi dan bahan lain sekata. Ambil nasi dan kepal. Letakkan hirisan daging di bahagian tengah dan padatkan. Siap!

Ha, bolehlah cuba buat Jumeok bap untuk buka puasa esok. Barulah internasional gitu! Sekali-sekala tukar angin Korea kekdahnya. Oh ye, kalau ada cendawan shitake, boleh juga masukkan sekali. Potong dadu dan tumis sekali dengan sayur lain. Berkhasiat, mudah, sedap. Sukatan, sila agak-agaklah ye sebab aku main campak je ikut hati. Sekian.

Monday, 5 June 2017

Rupanya Dah Tiga Kali Konvo

Sebelum lupa, hari ni nak catat tentang pengalaman konvo kali ketiga ni. Bila kira-kira balik, rupanya ini kali ketiga naik pentas terima sijil. Kali pertama dulu naik untuk terima sijil tahun asas. Kali kedua pula naik untuk terima sijil ijazah. Dan kali ketiga, naik untuk terima sijil diploma kemahiran. Moga-moga ada kali keempat untuk sijil sarjana pula nanti. Aamin.

Sepanjang konvo, inilah konvo paling mewah. Disebabkan program ini ditaja sepenuhnya, maka tak perlu bayar apa-apa pun. Kecuali untuk gambar jelah kena bayar. Kos lain semua percuma. Untuk program SKM dan DKM ni, kami kiranya batch awal yang dipersijilkan. Alhamdulillah tak ada masalah serius sepanjang siapkan projek dan laporan. Maka, dapatlah konvo pada 22 April lalu.

Pada hari kejadian, aku gerak dari rumah lepas subuh dalam pukul 6.40 pagi macam tu. Disebabkan tak pernah sampai dekat Bangsar South City tu, keliru kejap nak ikut jalan mana. Sudahnya ikut jalan yang banyak gila tol. Sepanjang jalan hujan lebat tapi selamat juga sampai pada masanya. Siap sempat singgah sarapan lagi. Tapi, rupanya sarapan disediakan.

Melampau tau siap ada makan pagi dengan tengah hari percuma untuk semua yang datang. Majlis konvo mana yang bagi makan dekat graduan dan keluarga? Inilah satu-satunya. Makanannya boleh tahan mewah pula tu, full course! Tapi pagi tu aku tak makan pun sebab dah melantak nasi lemak campur bihun beserta roti canai. Pakkal cuak je tu, kalau tak dah angkat pinggan dan kaut barang sepotong dua sandwich. Kehkehkeh..

Acara bermula pukul 9 pagi tak silap. Tempat duduk pula ikut nombor yang diberi oleh petugas. Makanya, duduklah sendirian tak ada geng sebab geng yang dikenali semua nama jauh. Majlis pun mula tepat pada masanya dan ucapan oleh tetamu-tetamu kehormat pun tak ada meleret. Semua dalam lingkungan masa yang ditetapkan. Rezeki kali ni, Yang Berhormat Menteri sendiri yang serahkan sijil bila sampai giliran aku. Gambar konvo tak tahulah macam mana rupanya sebab belum sampai lagi.

Suasana dalam dewan

Buku aturcara

Geng ILP yang berjaya konvo.

Atas pentas, solo

Atas pentas, dengan Abah. Berebut nak bergambar dekat sini.

Habis acara, semua graduan dikumpulkan untuk gambar berkumpulan. Huru-hara dibuatnya dewan tu gara-gara nak susun supaya muat masuk dalam lensa. Hahaha.. Habis bergambar, barulah pergi makan tengah hari. Menu tengah hari pun full course juga. Tapi sebab aku dah lewat sikit, ada lauk-lauk yang dah habis. Alhamdulillah, rezeki.

Manisan yang pelbagai jenis. Daebak! Sedap-sedap semuanya.

Tak makan banyak pun, dua pinggan je. Hehehe..

Lepas makan, teruslah pergi pulangkan jubah dan beratur untuk ambil deposit. Walaupun barisan nak tuntut deposit ni panjang gila, tetap gigih beratur sebab, seratus hengget oi deposit! Selsesai semuanya, barulah gerak balik. Waktu dekat sini jugalah brooch kesayangan yang beli dekat Namdaemun tempoh hari hilang seketul. Sobsobsob.. Siapa-siapa yang terjumpa brooch macam dekat bawah ni, silakan pakai dengan bahagia sebab saya dah redho dah dengan kehilangan beliau.

Gambar akhir sebelum pulangkan jubah.

Dari sepasang, tinggal seketul. Sobsobsob..