Usai melepaskan lelah dan bersolat, petangnya kami keluar menuju ke Pantai Anmok untuk melihat laut dan menikmati pantai Korea. Arah dicari menggunakan internet dan Kakao Map kalau tak silap. Jasa Aten sangat besar dalam pengembaraan kali ni. Peranan dia macam penjaga yang membawa anak jagaan berjalan tanpa sesat. I owe you chingu! Memandangkan kami di luar Seoul, penunjuk arah tak banyak yang dalam bahasa Inggeris. Tapi lokasi setiap hentian di dalam bas masih ada paparan dalam tulisan roman dan pengumuman dalam bahasa Inggeris seperti bas di Seoul. Cuma nak tahu kena turun di hentian mana, Aten guna Kakao Map untuk lebih tepat.
Dari hentian bas, kami perlu berjalan sedikit untuk tiba di kawasan pantai. Tapi sebelum tu terpaksa singgah di kedai serbaneka untuk membeli topeng muka. Cuaca sejuk ditambah dengan angin laut yang sejuk, meleleh air hidung disebabkan sejuk terkena tamparan angin laut. Kami menghabiskan masa di tepi pantai menikmati bunyi deruan ombak dan bergambar. Walaupun sejuk, tetap bertahan. Agak ramai juga penduduk tempatan beriadah di Pantai Anmok namun tidaklah padat. Masih lagi selesa untuk berjalan tanpa bersesak. Di Anmok juga terkenal dengan makanan laut dan Coffee Street. Memang sepanjang jalan tu kedai kopi dengan berselang seli restoran makanan laut dari hujung ke hujung.
Puas berjalan dan bergambar, kami berhenti memilih restoran untuk makan malam. Menu yang dihidangkan kelihatan sama saja iaitu pelbagai jenis makanan laut dan gaya restoran makanan laut di Korea ialah, hidupan laut diletakkan di dalam akuarium kecil di luar kedai. Bila pelanggan dah pilih menu, sajangnim akan bawa jaring dan baldi ke luar untuk kaut hidupan laut tadi. Segar dari laut gitu.
Hasil pembacaan dan kajian di internet, makanan laut biasanya Muslim friendly. Sepanjang di sana, sekiranya ragu-ragu dengan status sesuatu makanan, saya akan tanya Halal Korea melalui ruangan mesej Facebook dan alhamdulillah mereka akan balas pertanyaan. Restoran yang kami tuju ini seingat saya memang hanya menghidangkan makanan laut saja dan kami sengaja memilih restoran yang lengang. Hanya kami sahaja pelanggan pada waktu itu dan layanan yang diberikan pun istimewa la sikit sebab tak ada pelanggan lain.
Menu ditampal di dinding kedai beserta harga. Bila makan makanan laut, harganya memang berganda mahal. Tapi itulah saja pilihan yang ada dan memang kami dah bersedia. Selepas mengeja menu dan berbincang, kami sepakat memilih haemul tang atau bahasa mudahnya, stew makanan laut. Satu lagi peristiwa kelakar berlaku di sini. Dalam menu yang kami eja tadi tu, tak nampak nasi pun. Saya dan Aten pun bersok-sek sendiri mempersoalkan ada nasi tak ni? Takkan makan lauk je? Tiba-tiba ahjumma yang ambil pesanan tu macam faham masalah dunia yang sedang dibincangkan dan dia mencelah, "콩λ°₯? μμ΄." Kahkahkah... Faham pula ahjumma ye kitorang cakap pasal nasi. Bukan nasi putih biasa ye, nasi berkacang yang jarang-jarang restoran biasa hidang. Bolehlah cakap dan faham sikit-sikit bahasa Korea tapi setakat dialog ringkas untuk ambil hati la biasanya.
Cara hidangannya adalah dalam satu periuk besar dan terus diletakkan periuk tu atas dapur kecil yang memang ada di setiap meja. Ada macam-macam makanan laut dalam stew tu termasuklah sotong besar (ojingeo). Abalon je tak beli sebab harganya terlebih dari bajet. Tapi kalau tak silap, ada abalon kecil dalam tu. Bila dia dah mendidih, ahjumma tadi datang semula ke meja kami dan tolong guntingkan sotong tu. Lepas tu dia ajar cara nak makan macam mana. Jangan risau ahjumma, kalau tak ditunjukkan pun inshaAllah saya tahu nak celup kat mana sebab semedang tengok rancangan makan-makan Korea. Hehehe..
Habis makan, kami menyusur Coffee Street mencari pencuci mulut terkenal di sini iaitu coffee walnut (컀νΌνΈλ). Ini adalah antara makanan yang Muslim friendly. Lebih kurang macam bungeopang yang ada inti kacang merah tu tapi dia berbentuk walnut dan tepungnya ada serpihan walnut juga serta berasa kopi. Kami beli sekotak kecil yang saya kira besar juga saiznya sebab ada 30 biji hodu dalam tu. Dari situ, kami berjalan meredah kegelapan dan kesunyian mencari hentian bas untuk kembali ke tempat penginapan. Rutin sebelum kembali ke bilik, kami singgah ke kedai serbaneka dulu. Kali ini kami mencari nasi segera dan timun untuk sarapan esok.
Sekian, catatan untuk hari kedua.

















































