Engagement Fund ;)

Tuesday, 30 March 2021

GangneungXSeoul 2019: Insiden Hari Pertama di Bumi Seoul

Sempena 30 Mac, saya gagahkan diri menaip kisah perjalanan kami ke bumi Korea Selatan buat kali ketiga. Kali ketiga dia bersama saya, tapi kali yang ke berapa entah untuk dia. Hahaha... Biasanya bila berjalan dengan dia, mesti ada juga geng lain, tapi kali ni cuma berdua saja. Sebaik saja selesai urusan tuntutan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kami berjalan keluar dari terminal utama untuk mencari pintu masuk ke Arex All Stop Train. Dah hampir gelap bila kami selamat masuk ke dalam gerabak keretapi. Kalau tak silap, kami memilih untuk naik Arex All Stop Train kerana rumah tumpangan pertama terletak berdekatan dengan Seoul Station, hentian terakhir keretapi ni di Seoul. Disebabkan mod pengangkutan ini melalui banyak hentian, maka gerabak agak penuh dengan penumpang. Kami terpaksa berdiri hingga sampai di Seoul Station.

Muka penat tapi gembira sebab dah selamat tiba di bumi Seoul

Sejenis yang tak reti berjalan dengan barang sikit. Semua nak diangkutnya😂

Sebaik sampai di Seoul Station, kami mencari pintu keluar yang membawa kami ke rumah tumpangan. Ada satu insiden yang berlaku pada saya sebenarnya dimana roda bagasi utama saya sudah pun pecah ketika dituntut. Benda yang kelihatan kecil namun betul-betul mengganggu emosi dan fikiran. Macam mana nak heret beg ni nanti? Baru hari pertama. Perlu ke beli beg baru? Ada tak tempat untuk baiki roda saja? Sedikit sebanyak mempengaruhi emosi crime partner juga dek kerana saya yang risau dengan segala kemungkinan. Jadi, keluar dari Seoul Station kami menunggu giliran untuk naik teksi dengan harapan teksi dapat hantar sampai depan pintu rumah tumpangan walaupun sebenarnya, jarak rumah tumpangan sangatlah dekat dengan Seoul Station tu. 

Dalam kesejukan malam dan hujan batu yang mulai turun (rupanya salji renyai-renyai😂😂), ada pula pemandu teksi yang tak nak terima kami. Mungkin disebabkan penmpilan kami yang memang nampak orang asing dan bakal menyebabkan masalah komunikasi. Terpaksa kami tunggu teksi lain dan akhirnya dapat juga. Tapi, tak berapa membantu pun sebab pakcik teksi turunkan kami agak jauh juga dari lokasi rumah tumpangan dan kesudahannya saya heret juga beg besar yang pecah rodanya perlahan-lahan dengan penuh kerisauan. Alhamdulillah selamat jua sampai di R Guesthouse yang terletak di celah-celah bangunan kediaman dan pejabat; betul-betul di tengah kota Seoul. Kami disambut oleh pemilik rumah tumpangan yang sangat peramah dan maklum dengan waktu ketibaan kami. PIC kali ni adalah Cik Faten dan dalam keramahan sajangnim bertegur sapa dengan Aten tulah kami dapat tahu yang hujan batu tu adalah salji. Noob! 😂Hari dah pun gelap ketika kami sampai. 

Seingat saya, R Guesthouse ini adalah bangunan dua tingkat dan bilik kami berada di tingkat atas. Mencabar juga nak naik ke atas dengan barang yang banyak kerana tangganya yang curam. Sebab saya tak sampai hati nak minta sajangnim angkatkan beg saya yang sangatlah berat, maka saya tinggalkan dulu beg tu di ruang penyimpanan barang di tingkat bawah sebelum saya angkat barang di dalamnya sikit demi sikit. Nah saya belanja rupa dalam bilik kami.

Ruang dapur. Lengkap dengan peti sejuk, alat memasak asas dan mesin basuh

Bilik air yang agak luas berbentuk L. Buka je pintu terus nampak tandas tu dan di sebelah kanan ada sinki dan pancuran.

Keadaan di dalam bilik; katil bujang diletakkan sebelah menyebelah dengan sedikit jarak di tengahnya dan ada meja kecil beserta cermin dan penyidai baju.

Tipikal struktur rumah tumpangan di Seoul. Walaupun kecil, namun sangat selesa dan lengkap serba serbi. Ada dapur siap dengan peralatan asas, peti sejuk, mesin basuh, penyidai pakaian, tandas yang bersih dan bilik tidur yang agak luas dengan dua katil bujang. Usai menyegarkan diri dan solat, kami keluar semula untuk makan malam. Cuaca sangatlah sejuk pada malam tersebut disebabkan salji renyai tadi dan keadaan ini menyebabkan kami terbayang-bayang samgyetang. Destinasi yang mudah dan dekat untuk dapatkan makanan halal adalah di Myeongdong. Dari Seoul Station, hanya dua stesen saja melalui Line 4. Keadaan di Myeongdong meriah macam biasa dengan gerai-gerai kecil di laluan antara bangunan yang menjual pelbagai benda terutamanya makanan. Cuma agak ralat dengan begitu banyak kemunculan gerai makanan yang mempamerkan tanda halal tanpa diketahui kehalalannya. 

Kami terus saja menuju ke Busan Jib yang diyakini halal menunya. Kami memesan samgyetang dan dua mangkuk nasi. Macam biasa, bila saja menu utama dipesan, ia akan datang sekali dengan banchan. Tak tahulah kami yang kelaparan atau memang masakan dia sedap, atau cuaca diluar yang sejuk, tapi kami makan dengan penuh berselera dan penuh kekaguman sebab sedap sangat rasanya. Semua sedap dan nampak sedap termasuk makanan yang dipesan meja belah sana tu. Hahahaha... Nafsu. Sebab lapar. Mujur tak tamak pesan menu lain sebab nak beli bungeopang dan banana uyu juga baliknya nanti. Lagipun harga makanan di sini agak mahal sebab satu, dia halal dan sah-sah pelancong muslim bertumpu di sini. Dua, dia terletak di tengah-tengah Myeongdong.

Nasi beserta 3 jenis banchan

Menu utama, samgyetang

Kenangan di depan kedai.

Habis makan kami meronda sekejap tanpa sebarang keinginan untuk membeli-belah sebab dah set otak awal-awal datang sini hanya untuk makan. Lagipun selepas kesekian kalinya, Myeongdong bukan lagi tempat paling menarik untuk kami. Eksyen ko kan! Hahaha.. Usai meronda, kami kembali ke rumah tumpangan untuk semalaman. Tamatlah riwayat hari pertama dan entri diakhiri dengan gambar rondaan di Myeongdong serta susu pisang pertama untuk lawatan kali ini.
Kami di celah-celah manusia

Excited nampak balai polis lalu minta crime partner ambilkan gambar. Ni pengaruh drama la ni, tak ingat pula waktu ni baru habis tengok drama apa tapi yang pastinya bertemakan jenayah dan polis. Hahaha..

Bungeoppang pertama. Makanan wajib makan kalau ke Korea.

Banana uyu pertama yang dibeli dari kedai serbaneka di Seoul Station


Monday, 29 March 2021

Double Meaning?

사과 = Apple
사과 = Apology

I didn't expect this to arrive.
I just don't want to be left out.
Sorry...

We are still friends right?

Wednesday, 10 February 2021

Sebuah Kehilangan di Tahun Baru

 Assalamualaikum. Hajat untuk membuka tirai 2021 pada Januari lalu terkubur bilamana entri pertama tahun ini hanya berjaya ditaip pada hari kesepuluh bulan kedua. Alhamdulillah masih diberi nikmat kesihatan dan pekerjaan pada tahun yang penuh mencabar. Namun, kami diuji dengan kehilangan salah seorang orang yang disayangi. Pada tanggal 5 Januari yang lalu, Nenek Wetan telah dijemput untuk menemui Yang Maha Pencipta.

Sejak duduk jauh, saya hanya mampu menguruskan Nenek kalau balik hujung minggu sekali sekala. Kemudian bila PKP, berbulan-bulan tak boleh balik, cuma Abahlah yang menguruskan semuanya. Hujung minggu sebelum Nenek meninggal tu, saya balik kampung dan dapatlah uruskan Nenek. Lap badan, suap makan dan ajak berborak. Cuma satu kepelikan waktu tu adalah, waktu makan tu tak boleh sulam air atau Nenek akan tersedak. Abah ada pesan jangan bagi minum waktu makan dan sebaik saja selepas makan, tapi saya tak percaya sebab selama ni okey aje bila bagi minum waktu tengah makan. Yelah, kadang tu kena minum untuk tolak makanan masuk kan. Jadinya, saya pun cuba je bagi. Malangnya betul apa yang Abah cakap, tersedak. Serba salah dibuatnya. Mungkin itu salah satu tandanya. Lagi satu, Nenek dah tak berborak-borak dah macam selalu. Selalu tu ada je benda yang ditanya walaupun benda tu pelik.

Pagi 5 haribulan tu, dapat panggilan dari abang sulung bagi tahu Nenek dah tak ada. Saya yang baru nak bersiap ke pejabat waktu tu, terus 'blank'. Lama termenung sebab tak tahu nak buat. Nak mohon cuti? Berapa hari nak kena cuti? Nak maklumkan pada siapa? KK? KJ? Macam-macam persoalan sampailah mundar mandir dari bilik utama ke bilik belakang dia punya fikir tu. Akhirnya saya mohon dulu cuti melalui apps dan kemudian maklumkan pada KK dan baru bagi tahu KJ. Lepas tu barulah bersiap dan kemas barang sikit untuk dibawa balik. Gerak dari rumah dalam pukul 8.30 macam tu dan laju je memandu ke kampung. Alhamdulillah jalan lapang dan trafik lancar sampai di Klang. Lepas dari tu tak boleh nak laju. Memang tekan je minyak, jalan tak rata ke, jalan lubang ke langgar je semua. Tak fikir dah. Menangis sepanjang jalan walaupun tak nak menangis.

Waktu sampai di rumah, jenazah dah siap dimandikan. Alhamdulillah makcik-makcik dan sepupu-sepupu dah ramai sampai untuk membantu. Saya cuma sempat bantu mengkafankan saja. Waktu tolong kafan tu, ada sorang wakil masjid dok sebut nama panggilan waktu tadika dulu. Tak dapat nak cam sebab semua pun bertopeng muka. Dah lama tu barulah perasan yang beliau adalah Cik Rop, jiran terdekat dan cikgu tadika dulu. Jenazah selamat dikebumikan selepas zuhur. Alhamdulillah urusan semuanya dipermudahkan. Kenduri pun tak buat cuma tahlil kecil-kecilan dengan keluarga Wak Yem saja disebabkan musim sekarang ni.

Lepas pemergian Nenek, terasa kosong bila balik kampung. Lama Nenek duduk dengan kami, sejak tahun 2013 kalau tak silap. Waktu masih sihat dulu, kerap jugalah ke rumah makcik-makcik yang lain. Setahun sebelum terlantar, dah jarang bergerak dan bila terlantar, memang dah tak kemana. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa Nenek Wetan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dirahmati.