Kerana saya suka mencatat dan bercerita, saya tahu saya pasti akan menyesal sekiranya catatan kembara kami tidak dinukilkan di sini. Tujuan utamanya, tentulah untuk rujukan saya dan mereka yang terlibat di masa akan datang selain membantu mana-mana individu yang mencari maklumat untuk panduan. Moga apa yang saya nukilkan bermanfaat.
Rancangan untuk meneruskan kembara ke luar negara diteruskan lagi pada tahun 2018. Kali ini, saya ikut saja lokasi pilihan ahli lain iaitu Hong Kong dan Macau. Dana untuk berjalan ni memang kami kumpul berterusan dari kembara yang lepas. Cuma jumlahnya berbeza mengikut ketetapan rancangan dan lokasi. Sebelum ni, lokasinya masih samar-samar jadi jumlah kutipan bulanan disetkan pada nilai minimum. Bila lokasi dah tetap, barulah nilainya naik untuk menampung kos.
Tiket kapal terbang selamat dibeli pada 16 Mac sempena Matta Fair kalau tak silap. Dapatlah beli tiket MAS dengan harga yang murah. Sebaik saja tiket dibeli, kami mula berbincang mengenai tentatif dan tempat penginapan.
Tempat penginapan kami cari di Airbnb dan Booking.com untuk harga murah dan berbaloi. Asalnya, Mada mencari di booking.com tapi unit pilihan kelihatan sangat kecil dan mahal pada kami. Kemudian, kami cadang nak tempah satu unit pangsapuri di Airbnb tetapi malangnya, tiada kekosongan pada tarikh yang kami pilih. Akhirnya, kembali semula ke booking.com dan satu unit rumah tumpangan di Chungking Mansion menjadi pilihan kerana lokasinya yang agak strategik dan itulah yang paling murah. Hahahaha...
Beza betul ye Korea dengan Hong Kong tuan-tuan dan puan-puan. Dengan harga sama yang kami bayar, boleh dapat tempat yang lebih luas dan selesa di Korea. Tapi itulah dia pengalaman. Cerita lanjut tentang tempat penginapan akan saya karang dalam satu entri lain.
Kali ini, dah bijak sikit sebab banyak juga tiket ke tempat tarikan dibeli dalam talian untuk harga yang lebih murah. Tiket-tiket ini saya beli di Klook dan untuk talian internet di sana, kami pilih kad sim dari Hello 1010 atas saranan Aten. Pembelian tiket saya yang uruskan sebab saya bendahari walaupun waktu nak beli tu cuak juga sebab jumlah banyak. Sebab itu setiap kali nak beli, habis semua orang kena buat semakan pengesahan kedua dalam WhatsApp. Apa-apa jadi, semua ada saham. Hahahaha.. Bijak tak?
Cerita selanjutnya, bersambung ke entri seterusnya. Nantikan episod pengembaraan kami di Hong Kong dan Macau. Babai...