Lokasinya adalah di Felda Residence Hot Springs Sg. Klah. Mula-mula aku keliru Sg. Klah dengan Sungkai ni tempat sama ke tempat lain? Rupanya Sungkai tu macam nama pekan kot, Sg. Klah tu nama tempat dia. Walaupun lewat sikit bertolak dari Shah Alam, sampai di kawasan Sg. Klah tu lebih kurang sama dengan diorang. Diorang cakap aku bawak laju. Laju ke? 100 km/j je pun sebaik saja memasuki PLUS.
Sampai-sampai je singgah makan dekat satu-satunya kedai makan yang ada sebelum masuk ke kawasan resort iaitu Nasi Bamboo. Konsep dekat sini, lauk kaunter lain, nasi kaunter lain, air kaunter lain. Kalau korang sampai sini, baik pergi beli lauk dulu baru cari tempat dan kemudian beli nasi dan air. Lauk dia ada macam-macam dari yang mahal sampai yang murah, sediakan duit aje. Ikan, udang, sotong, ayam, lembu, kambing semua ada.
Harganya aku rasa bolehlah, takde mahal sangat takde murah sangat. Untuk nasi pulak, ada dua jenis; kukus atau bakar tapi dua-duanya dimasak dalam buluh. Itulah yang membuatkan dia unik dan ia didatangkan dengan kuah dan timun serta sambal belacan. Satu set 2 ringgit 5 kupang. Nasinya dibalut dengan daun tak pasti daun apa tapi nasi dia wangi sebab ada diletakkan secebis daun pandan. Habis makan, terus gerak ke Felda Residence.
Sepanjang jalan nak masuk tu memang akan nampak kelapa sawit je sebelum jumpa kawasan penempatan. Dah nama felda, mestilah ada kelapa sawit. Lepas check in di kaunter, barulah kami menuju ke kawasan villa. Kaunter pendaftaran dengan kawasan villa ni agak jauh dan perlu berkereta. Kawasan villa pulak berdekatan dengan tempat rekreasi. Disebabkan hanya 6 buah kereta saja yang dibenarkan masuk maka aku parking Taejang dekat luar dan tumpang kereta orang lain untuk masuk. Dahlah barang aku selori sebab angkut barang-barang makan sekali, pasrah ajelah.
Sampai dalam, satu hal pulak mencari villa kitorang sebab yang lain-lain dah masuk dulu jadi terpisah. Dia punya penunjuk arah tu 'besar' sangat sampai tak nampak. Nama villa kitorang adalah Green House, villa terbesar dengan 6 bilik yang boleh menempatkan satu bas. Cerita pasal villa ni entri lain karang. Sampai je terus bawa keluar barang dan masuk dapur siapkan bahan untuk makan malam karang sebelum keluar berendam.
Kalau ke tempat ala-ala taman tema ni, aku tak berapa nak bersungguh. Jadi petang tu aku dengan Kak Chik bawak diri pergi rendam-rendam kaki dekat kolam air panas yang ada sementara yang lain-lain pergi berendam dalam kolam mandi. Kolam mandi dia ada dua jenis; air panas dengan air sejuk. Kolam air panas biasa-biasa je tapi kolam air sejuk dia gempak jugak sebab ada gelongsor semua. Jarak kedua-dua kolam agak jauh juga. Kalau dari villa, akan jumpa kolam air sejuk dulu lepas tu kena jalan ke depan lagi jumpa kolam air panas untuk terapi dan barulah jumpa kolam air panas.
Kolam terapi ni ada banyak juga dan berlainan suhu. Ada yang dari suhu rendah sampailah suhu tinggi dan dia ada letak maklumat suhu dekat setiap kolam. Cumanya kalau datang sini, toksahlah buat macam kolam tu kolam korang ye sebab kolam dia ada satu je untuk suhu yang berbeza. Dapat jugalah rendam-rendam kaki walaupun terpaksa tunggu lama untuk beri laluan kepada mereka yang buat kolam tu macam kolam sendiri. Selain kolam, ada juga laluan refleksiologi dengan aliran air panas. Mula-mula jalan, terjengket tahan sakit dan tahan panas tapi lama-lama dah boleh tahan.
Selain aktiviti berendam, makan juga adalah salah satu aktiviti yang seronok untuk dilakukan. Hahaha... Pihak pengurusan memang tak benarkan langsung makanan luar dibawa masuk tapi jangan risau, ada bersepah kafe dan kiosk menjual makanan. Jalan sikit je nampak kiosk jual aiskrim Walls. Jalan sikit nampak kiosk jual aiskrim Walls dengan Maggi jadi sediakan duit je sebab harga makanan dalam ni mahal sikit. Aiskrim Fruttare 3 hengget, Top Ten 2 hengget; mahal 50 sen dari yang dekat kedai biasa.
Lepas jalan-jalan dekat batu refleksiologi tu, aku dengan Kak Chik beli aiskrim dan makan sambil letak kaki dekat air panas. Eloklah tu, makan sejuk tapi kaki panas. Tengah syok makan, hujan la pulak maka berteduhlah bawah pondok. Nampak orang makan Maggi, sedapnya lahai. Lagi sedap kalau letak telur yang direbus dalam air panas. Hahaha... Aku siap cakap kat Kak Chik; "Sedari, esok kita kena makan juga Maggi dengan telur." Sebabnya dok tengok orang rebus telur dekat kawasan merebus telur la ni. Kihkihkih... Dekat sini ada satu kawasan yang dikhaskan untuk masak telur dan telur mentah hanya yang dibeli dari kiosk sahaja; pakej telur, kicap dan lada sulah.
Yang perempuan masak apa yang patut manakala yang lelaki bakar ayam dekat luar rumah. Sebenarnya untuk BBQ ada tapak khas tapi disebabkan ramai budak kecik dan tapak tu agak jauh, leceh pulak nak mengangkut. Maka orang-orang lelaki yang kreatif tu buat tapak membakar sendiri dekat luar. Hahaha... Siap bawak jaring segala. Memang gigih! Aktiviti malam tu adalah masak, makan, masak, makan, makan, borak, makan, borak, makan. Sekian, cerita hari pertama. Gambar tak berapa nak menarik sebab tak banyak ambik gambar rupanya. Mana yang adalah ye.



































