Engagement Fund ;)

Showing posts with label Resepi: Pasta. Show all posts
Showing posts with label Resepi: Pasta. Show all posts

Friday, 20 March 2015

Penne Alfredo Senang Tahap Gaban

Ini cerita haritu. Tekak ni terasa nak makan pasta yang lemak berkrim tapi kedekut nak pergi makan dekat luar. Memandangkan barang-barang semua dah ada kat rumah tu, maka moh le masak. Serius senang tahap gaban lagi-lagi untuk yang pemalas macam aku ni. Waktu malas la kan, waktu rajin tu lain cerita.

Easy Peasy Penne Carbonara


Bahan-bahan(untuk seorang makan)
1 cawan pasta (penne/spiral/macaroni/elbow/etc.)
1 ketul sosej (hiris dan goreng/bakar dulu)
3/4 kotak susu segar(200ml)
1 sudu garlic butter spread
1 keping cheddar cheese
1 camca lada hitam(tumbuk kasar)
Cili padi potong

Cara masak:
1. Masukkan garlic butter spread dalam kuali dan biar dia cair.
2. Tuang susu dan kacau sebati. Biar menggelegak dan masukkan keju.
3. Kacau sampai keju cair, masukkan lada hitam.
4. Masukkan pasta yang telah direbus sekali dengan sosej.
5. Gaul dan biar sekejap untuk kuah meresap.
6. Matikan api dan tabur hirisan cili padi.
7. Baca bismillah dan makan dengan nikmat.

Senang kan? Tak payah kupas bawang pun. Hehehe... Kalau nak kuah banjir, tuang je sekotak susu tu terus. Kalau ada keju mahal macam parmesan atau mozarella, campak je sekali. Nak masak ni kadang tak boleh poyo sangat ikut resepi. Sekian, selamat mencuba.

Tuesday, 4 December 2012

Makaroni Bakar

Kali ni nak kongsi satu resepi makaroni bakar yang mudah. Sebab buat makaroni ni adalah tak lain dan tak bukan untuk menghabiskan stok elbow yang dah agak lama tu. Ada lagi dalam separuh paket. Nak buat makaroni goreng, macam dah biasa. Jadi cuba buat makaroni bakar guna resepi yang bagi aku mudah sebab hanya perlu masak satu jenis sos sahaja. Resepi diperoleh dari Koleksi 1001 Resepi

Sebelum dibakar

Langkah 1
Rebus makaroni dengan sedikit minyak dan garam sehingga empuk. Jangan lembut sangat sebab nanti hancur. Untuk yang ini aku guna separuh paket elbow; kira-kira 250 gm.

Langkah 2
Sediakan sos daging. Masak macam sos spaghetti. Ikut suka hati nak letak apa. Macam yang ini aku guna 400gm daging kisar Ramly, cendawan butang, lobak merah, seleri, dan bahan-bahan lain yang wajib untuk menjadikan sos spaghetti. Hehehe... Masak bagi kering sikit.

Langkah 3
Sediakan sos putih. Kalau ikut cara ini, memang senang yang amat! Pejam sebelah mata pun boleh buat sebab tak perlu masak atas dapur macam sos putih yang biasa. Untuk sos putih, aku ikut resepi Kkida bulat-bulat kecuali rempah ratusnya sebab hanya guna apa yang ada di dapur; alhamdulillah menjadi. 2 cawan susu penuh krim, 2 biji telur, 4 sudu besar tepung gandum, 1 1/2 sudu teh oregano, kiub ayam, lada hitam dan garam secukup rasa. Campurkan semua dan pukul hingga sebati. Kalau tak nak berketul, guna whisker.

Langkah 4 - Cara melapis
Sapukan acuan dengan minyak zaitun - guna minyak masak biasa pun tak ada hal punya
Letakkan makaroni dan ratakan.
Tuangkan sos putih.
Tuangkan sos daging.
Taburkan keju - aku guna kepingan keju Cheddar je sebab waktu buat ni bajet ketat..hehehe
Picitkan sos atas keju

Bakar dalam oven pada suhu 200 darjah celcius selama 15 hingga 20 minit atau hingga keju mula kekuningan.

Selepas dibakar

Aku buat ni untuk 4 orang makan tapi sebab tekak kat rumah ni tekak Melayu maka sampai dua hari jugalah baru makaroni ni habis dimakan. Bekas kaca ni aku guna saiz sederhana maka agak banyak kuantitinya. Mula-mula dah tuang dalam bekas kecil tapi melimpah la pulak. Lepas ni boleh buat lagi guna resepi ni. Senang dan sedap!

Sunday, 15 April 2012

Pasta Carbonara

Pagi tadi sarapan McD. Tengah hari cuma makan roti percuma dekat tempat derma darah. Dalam perjalanan pulang singgah beli KFC untuk orang-orang kat rumah. Disebabkan aku rasa macam kenyang lagi, maka tak beli untuk diri sendiri. Tapi bila nak maghrib tadi lapar la pulak. Maka rajinkan la diri buat pasta sebab dah borong pasta pelbagai jenis kat Tesco hari Rabu lepas. Ok, mari tengok resepi campak-campak carbonara aku ni.

Gambar ehsan dari laman Muka Buku tuan tanah.

Bahan-bahan:

250 gm pasta (aku guna bowties; rebus ikut arahan belakang bungkusan)

1 labu bawang besar

3 ulas bawang putih

1/2 biji capsicum

1/2 tin cendawan butang

Isi ayam (agak-agak la ek..dalam segenggam gitu la..lebih pun boleh)

Serbuk lada hitam secukup rasa

Italian herbs secukup rasa

Garam secukup rasa


Bahan sos putih(Bechamel sauce)

2 1/2 susu segar

1 sudu mentega

3 sudu tepung gandum

Segenggam keju parmesan (kalau tak ada,keju apape pun belasah je)

Sedikit oregano dan lada hitam

Cara memasak:
1. Panaskan sedikit minyak masak. Tumis bawang hingga layu. Masukkan capsicum yang dipotong dadu.
2. Kemudian masukkan daging ayam. Goreng hingga masak dan masukkan cendawan butang.
3. Gaul hingga cendawan masak. Perasakan dengan lada hitam, garam dan italian herbs. Bila dah masak, angkat campuran ayam dan ketepikan.
4. Dengan menggunakan kuali sama, cairkan mentega. Masukkan 3 sudu tepung gandum. Masak tepung dengan api perlahan supaya tak hangus. Nak senang kacau untuk elakkan berketul, gunakan whisker.
5. Agak-agak tepung dah masak, tuangkan susu. Kacau sampai tepung tak berketul-ketul.
6. Bila hampir mendidih, masukkan keju dan kacau sampai keju larut. Kemudian masukkan sedikit oregano dan lada hitam. Jangan banyak sangat tau, karang pedas aku tak jamin.
7. Bila sos putih ni dah pekat, masukkan campuran ayam tadi. Gaul rata. Bila dah mendidih, matikan api dan hidangkan dengan pasta kegemaran. Siapp!

*Faien, selamat mencuba. Ini memang resepi belasah je tau. Tapi sedap! Hehehe...Sendiri masak, sendiri puji. Biasa la tu. Sanggup berhenti tengok drama Korea kejap demi nak letak resepi carbonara ni untuk awak tau. Jangan tak cuba pulak. ^_^

Published with Blogger-droid v2.0.4

Sunday, 12 June 2011

Berjaya Merajinkan Diri

Hari ni dah hari Ahad, tapi baru nak letak kejadian yang berlaku hari Khamis sudah. Biasalah, sibuk buat-buat sibuk memanjang. Jadi, hari Khamis lalu aku berjaya merajinkan diri memasak Spiral Pasta yang berbaki di dapur sana. Bahannya, memang aku campak-campak ikut apa yang ada dalam peti sejuk. Ingatkan nak masak pasta dan lauk sikit untuk Abah makan nasi. Pasta ni Abah tak berkenan sangat. Tengah-tengah duduk dapur, dengar bunyi motor dan tak lama tu; "Assalamualaikum.....". Kelam kabut aku lari cari tudung. Nasib baik pakai baju lengan panjang. Oh, rupanya Paman Apit. Menjemput ke majlis bacaan yasin di rumah Bik Tar dan memberi berkat. Dengan demikian, masuklah semula peria dan tempe yang baru keluar dari peti sejuk, ke dalam peti sejuk. Kalau aku masak jugak, siapa pulak nak makan kan? Dapat Jangan Gori atau dalam bahasa Melayunya, Gulai Lemak Nangka Muda dan Rendang Daging. Wallahh...! Tambahan selera, aku buat Gereh Tengeng Kukus. Sebab ada lauk sedap dan pasta yang banyak, maka banyaklah lebih pasta yang dimasak itu dan aku pun bawaklah satu Tupperware ke pejabat keesokan harinya. Mereka kata, sedap. Aku rasa pun, okeylah sebab kali ni cukup garam, tak macam spaghetti yang aku masak tempoh hari. Hehehe...

Nak resepi, tengoklah kat bawah ni. Ini main agak-agak je tau. Kalau tak jadi, jangan marah hah....

Pasta Goreng

Bahan-bahan;
400gm pasta (spiral/makaroni/penne/vegeroni/elbow)
Satu cawan sos pasta - aku buat guna 3 biji tomato + sebiji capsicum + selabu bawang besar + 3 ulas bawang putih + italian herbs + lada hitam + minyak zaitun. Belah semua benda, tabur herba dan lada hitam, renjis minyak zaitun dan panggang dalam 10 minit. Kemudian kisar.
2 labu bawang besar - potong dadu
3 sudu besar cili giling
1 paket daging kisar Ramly (ayam atau lembu)
Semangkuk bebola ayam (atau bebola daging)
2 batang seleri (boleh tukar kepada sayur campur atau hirisan lobak merah)
100gm keju mozarella
2 sudu sos tomato
1 camca serbuk oregano
1 camca lada hitam
garam secukup rasa
minyak zaitun untuk menumis

Cara memasak;
1. Rebus pasta hingga lembut kemudian ditoskan airnya.
2. Tumis bawang hingga layu. Masukkan cili giling dan tumis hingga cili masak. Boleh tambahkan sedikit air pada tumisan cili kalau terlalu kering.
3. Sebaik saja cili masak, masukkan daging kisar dan gaul rata hingga keluar air. Masak sehingga air dari ayam tadi kering.
4. Masukkan sos pasta dan sos tomato. Bila dah mendidih, masukkan bebola daging dan biar seketika. Sesudah itu, masukkanlah sayur tadi. Gaul dan gaul. Kemudian perasakan masukkan garam dan lada hitam.
5. Akhirnya, masukkan pasta dan gaul sebati barulah masukkan oregano dan keju mozarella. Bila semuanya dah mesra dan keju dah agak cair, bolehlah tutup api dan hidangkan.

Rasanya cukup semua bahannya. Kalau ada tertinggal apa-apa, kome tambah sendirilah ye. Hehehe... Kat bawah ni pulak, Gereh Tengeng Kukus. Orang Melayu panggil ikan masin apa ek? Lupa pulak. Orang Jawa kata ini gereh tengeng dan gereh ini je yang sedap untuk dikukus. Mungkin kerana ia tak terlalu hanyir kot.
Senang je nak buatnya. Buang kepala ikan masin dan basuh bersih. Letakkan dalam pinggan atau mangkuk yang sesuai untuk dikukus. Hiriskan bawang merah dan putih beserta cili mengikut kuantiti yang disukai. Taburkan atas ikan masin. Kukus dalam 5 minit. Kalau nak masak nasi, agak-agak nasik dah nak kering, masukkan je dalam periuk nasi dan tunggu nasi masak. Mudah dan menyihatkan sebab tak perlu menggoreng. Tapi kalau dah nama makan nasi berlaukkan ikan masin, aku jamin korang akan makan nasi bertambah. Jadi, fikirlah sendiri.