Engagement Fund ;)

Wednesday, 16 November 2022

GangneungXSeoul 2019 Episod 3: Pantai Anmok

Usai melepaskan lelah dan bersolat, petangnya kami keluar menuju ke Pantai Anmok untuk melihat laut dan menikmati pantai Korea. Arah dicari menggunakan internet dan Kakao Map kalau tak silap. Jasa Aten sangat besar dalam pengembaraan kali ni. Peranan dia macam penjaga yang membawa anak jagaan berjalan tanpa sesat. I owe you chingu! Memandangkan kami di luar Seoul, penunjuk arah tak banyak yang dalam bahasa Inggeris. Tapi lokasi setiap hentian di dalam bas masih ada paparan dalam tulisan roman dan pengumuman dalam bahasa Inggeris seperti bas di Seoul. Cuma nak tahu kena turun di hentian mana, Aten guna Kakao Map untuk lebih tepat.

Dari hentian bas, kami perlu berjalan sedikit untuk tiba di kawasan pantai. Tapi sebelum tu terpaksa singgah di kedai serbaneka untuk membeli topeng muka. Cuaca sejuk ditambah dengan angin laut yang sejuk, meleleh air hidung disebabkan sejuk terkena tamparan angin laut. Kami menghabiskan masa di tepi pantai menikmati bunyi deruan ombak dan bergambar. Walaupun sejuk, tetap bertahan. Agak ramai juga penduduk tempatan beriadah di Pantai Anmok namun tidaklah padat. Masih lagi selesa untuk berjalan tanpa bersesak. Di Anmok juga terkenal dengan makanan laut dan Coffee Street. Memang sepanjang jalan tu kedai kopi dengan berselang seli restoran makanan laut dari hujung ke hujung.

Bas awam di Gangneung. Tak sesak macam di Seoul. Malah kebanyakan masa kami naik, memang lapang selapangnya tanpa penumpang.

Ambil mood nak bergambar dulu

Dah mula dah..πŸ˜‚

Lagi...

Dan lagi. Kali ni berlatarbelakangkan bangunan, kami menghadap laut.

Ombak kuat, angin pun kencang dan sejuk. Tapi sangatlah cantik lautnya dan suasananya.

Tanda dah sampai Anmok, Gangneung.

Kami. Tulisan Anmok ni dibahagian bertentangan Coffee Street. Kami tak sempat menjelajah kawasan belah sini sebab fokusnya nak tengok Coffee Street.

Sepanjang dekat pantai-pantai yang ada di Gangneung (pergi dua pantai je pun), boleh nampak la buaian gaya begini di beberapa tempat.

Jumpa depa dua ni lagi. Yang ini di kawasan Coffee Street

Kebetulan waktu lalu situ, ada seorang ayah dan anak tengah bagi makan keropok dekat seagulls. Cantik la seagulls ni berterbangan dan kami ambil kesempatan bergambar.

Kami. Waktu ni belum ada Covid lagi. Bertopeng untuk tapis angin sejuk.

Puas berjalan dan bergambar, kami berhenti memilih restoran untuk makan malam. Menu yang dihidangkan kelihatan sama saja iaitu pelbagai jenis makanan laut dan gaya restoran makanan laut di Korea ialah, hidupan laut diletakkan di dalam akuarium kecil di luar kedai. Bila pelanggan dah pilih menu, sajangnim akan bawa jaring dan baldi ke luar untuk kaut hidupan laut tadi. Segar dari laut gitu.

Hasil pembacaan dan kajian di internet, makanan laut biasanya Muslim friendly. Sepanjang di sana, sekiranya ragu-ragu dengan status sesuatu makanan, saya akan tanya Halal Korea melalui ruangan mesej Facebook dan alhamdulillah mereka akan balas pertanyaan. Restoran yang kami tuju ini seingat saya memang hanya menghidangkan makanan laut saja dan kami sengaja memilih restoran yang lengang. Hanya kami sahaja pelanggan pada waktu itu dan layanan yang diberikan pun istimewa la sikit sebab tak ada pelanggan lain. 

Menu ditampal di dinding kedai beserta harga. Bila makan makanan laut, harganya memang berganda mahal. Tapi itulah saja pilihan yang ada dan memang kami dah bersedia. Selepas mengeja menu dan berbincang, kami sepakat memilih haemul tang atau bahasa mudahnya, stew makanan laut. Satu lagi peristiwa kelakar berlaku di sini. Dalam menu yang kami eja tadi tu, tak nampak nasi pun. Saya dan Aten pun bersok-sek sendiri mempersoalkan ada nasi tak ni? Takkan makan lauk je? Tiba-tiba ahjumma yang ambil pesanan tu macam faham masalah dunia yang sedang dibincangkan dan dia mencelah, "콩λ°₯? μžˆμ–΄." Kahkahkah... Faham pula ahjumma ye kitorang cakap pasal nasi. Bukan nasi putih biasa ye, nasi berkacang yang jarang-jarang restoran biasa hidang. Bolehlah cakap dan faham sikit-sikit bahasa Korea tapi setakat dialog ringkas untuk ambil hati la biasanya. 

Cara hidangannya adalah dalam satu periuk besar dan terus diletakkan periuk tu atas dapur kecil yang memang ada di setiap meja. Ada macam-macam makanan laut dalam stew tu termasuklah sotong besar (ojingeo). Abalon je tak beli sebab harganya terlebih dari bajet. Tapi kalau tak silap, ada abalon kecil dalam tu. Bila dia dah mendidih, ahjumma tadi datang semula ke meja kami dan tolong guntingkan sotong tu. Lepas tu dia ajar cara nak makan macam mana. Jangan risau ahjumma, kalau tak ditunjukkan pun inshaAllah saya tahu nak celup kat mana sebab semedang tengok rancangan makan-makan Korea. Hehehe.. 

Menu. Semuanya makanan laut. Dah pilih nanti ahjussi keluar bawa baldi untuk kaut makanan laut dari akuarium depan kedai.

Banchan. Dekat Korea ni, meriah lauk sampingan dia.

Watak utama. Gembira tengok sotong besar tuπŸ˜„

Kami. Nampak sangat pelancong, ahjumma tawar diri ambilkan gambar.

Nilah nasi yang kami tercari-cari dan berkata dalam bahasa Melayu sesama sendiri tu. Kkong bap. 



Bila dah masak, ahjumma datang dan tolong potongkan. Tak pasti sebab kami ni pelancong atau memang dengan semua pelanggan pun begitu sebab masa ni memang kami je pelanggan yang ada. Perangai tak kuasa nak bersesak tu terbawa juga sampai Korea sebab dalam banyak-banyak kedai yang ada, memang kami sengaja pilih yang tak ada pelanggan langsung. Kikiki...

Sedia untuk dimakan. Rasa dia macam jangan bening je tapi sedap la sebab haiwan laut ni semua segar. Makanan sihat gitu.

Habis makan, kami menyusur Coffee Street mencari pencuci mulut terkenal di sini iaitu coffee walnut (μ»€ν”Όν˜Έλ‘). Ini adalah antara makanan yang Muslim friendly. Lebih kurang macam bungeopang yang ada inti kacang merah tu tapi dia berbentuk walnut dan tepungnya ada serpihan walnut juga serta berasa kopi. Kami beli sekotak kecil yang saya kira besar juga saiznya sebab ada 30 biji hodu dalam tu. Dari situ, kami berjalan meredah kegelapan dan kesunyian mencari hentian bas untuk kembali ke tempat penginapan. Rutin sebelum kembali ke bilik, kami singgah ke kedai serbaneka dulu. Kali ini kami mencari nasi segera dan timun untuk sarapan esok. 

Depan kedai. Konsepnya dah siap bungkus letak dalam kotak, masuk kedai tunjuk nak mana dan bayar.

Ni rupa dia. Memang rupa walnut.

Dibungkus seketul-ketul. Lebih hygienic dan tahan lama. Sampai berapa hari entah baru habis. 

Ni kotaknya. Kemas dan menarik bungkusannya.

Ini bahagian hadapan motel kami menginap sepanjang di Gangneung. Ada rezeki ke sana lagi, mungkin boleh pertimbangkan untuk menginap di sini lagi kalau nak menginap di kawasan bandar la.

Nasi segera untuk sarapan dua kali, timun dan kopi segera. Masuk dalam kedai sebanika dekat sana memang auto cari yang 2+1 atau 1+1. Barulah untung.

Sekian, catatan untuk hari kedua.

Tuesday, 15 November 2022

GangneungXSeoul 2019 Episod 2: Dari Seoul ke Gangneung

Hari kedua di bumi Korea dimulakan dengan sarapan berat kerana kami akan menempuh perjalanan jauh. Nasi segera berharga KRW1800 sebekas yang dibeli dari kedai serbaneka dibuka dan dimakan bersama lauk segera yang dibawa dari Malaysia. Usai sarapan, kami mendaftar keluar dari penginapan pertama kami. Berjalan sambil mengheret beg besar dalam cuaca sejuk, agak mencabar juga. Rencana hari kedua adalah bergerak Gangneung. Sebelum ke sana, kami perlu menyimpan bagasi besar terlebih dahulu bagi memudahkan pergerakan memandangkan kami hanya akan berada di sana selama 2 hari. 

Sarapan ruji sepanjang di Korea: Nasi segera + lauk dalam tin + sambal goreng + air panas

Kemudahan yang ada di R Guesthouse

Pandangan laluan keluar masuk dari bilik kami

Coretan jejak dari kami. Tulisan Aten lawa, silakan.

Muka wangi nak ke Gangneung πŸ˜‚πŸ˜‚

Pintu masuk ke dalam kawasan rumah tumpangan

Di Seoul Station, kami turun ke tingkat B2 untuk menyimpan beg-beg besar. Caj dikenakan mengikut saiz beg dan hari. Disebabkan dah dua tahun berlalu, saya dah tak ingat berapa harga yang kami belanjakan. Sebenarnya banyak je cara nak simpan beg. Ada loker persendirian yang macam orang jahat letak barang terlarang dalam drama tu dan pelbagai saiz juga. Namun harganya kurang lebih saja dengan perkhidmatan penyimpanan di kaunter ni. Selepas membuat kajian, kami memilih Safex dan ruang penyimpanan dibeli melalui Trazy.com sebelum kami berlepas ke Seoul. Seingat saya, kita boleh memilih saiz beg yang akan disimpan dan caj berbeza mengikut saiz beg. Makin besar beg, makin mahallah caj yang dikenakan. Selesai urusan penyimpanan, kami terus berjalan mencari kaunter tiket kereta api laju untuk ke Gangneung pula. KTX menjadi pilihan kerana lebih pantas walaupun harga tiket agak mahal. Urusan jual beli tiket juga mudah kerana staf di kaunter boleh berbahasa Inggeris. Dah beli tiket, berjalanlah kami mencari platform dan tepat jam 12.01 tengah hari, kereta api pun bergerak. 

Kaunter pendaftaran di Safex

Kami tunggu sampai beg kami diletakkan dalam keadaan yang selamat walaupun macam letak gitu je. Alhamdulillah selamat.

Lepas beli tiket terus turun ke platform dan cari gerabak kami. Tadaaa! Tak ada orang lagi pun. Biar awal daripada kena tinggal.

Rupa tiket kami. Waktu staf di kaunter serahkan tiket, beliau bulatkan perkara penting iaitu destinasi dan waktu berlepas. Memang 12:01 tajam keretapi ni gerak.

Rupa dalam gerabak. Sangat selesa kerusi dia, dah macam dalam kapal terbang.

Sepanjang perjalanan, kami menikmati pemandangan yang indah dek kerana laluan KTX ini merentasi kampung, hutan dan gunung. Paling teruja apabila tiba di kawasan Pyeongchang kerana keadaan bersalji dan agak lebat saljinya. Bukan kami saja yang jakun, orang-orang Korea yang berada di dalam gerabak sama juga turut teruja dengan kelibat salji yang agak lebat. Namun, sebaik saja melepasi satu  terowong, perubahan cuaca mendadak dari sejuk bersalji ke panas mentari. Satu lagi kekaguman pada kami. Dah macam Narnia pula; masuk je dalam almari terus sampai di Narnia yang bersalji. πŸ˜„πŸ˜‚

Ini kawasan yang belum bersalji

Bukan dekat Perak je ada Manjung, dekat Korea Selatan pun. Antara stesen yang dilalui.

Dah sampai kawasan Pyeongchang. Salji tebal dan masih turun saljinya.

Masih di kawasan bersalji. Walaupun cuma nampak salji lebat dari dalam gerabak, dah rasa gembira dan kagum dah.

Setibanya di Stesen Gangneung, kami membuat lawatan ke tandas dulu. Sejuk-sejuk begini kurang berpeluh tapi asyiklah nak ke tandas. Tandas di sini agak canggih dan tak perlu beratur panjang sebab ada banyak dan kami tiba di sana bukan pada waktu sibuk. Selepas menyegarkan diri, kami sempat singgah di sudut maklumat dan mengambil beberapa pamplet berkaitan lokasi dan tarikan di Gangneung sebelum keluar dari bangunan utama mencari teksi untuk ke tempat penginapan kami. Sedikit maklumat mengenai Gangneung. Gangneung adalah bandar yang terletak di wilayah Gangwon. Gangneung juga merupakan tuan rumah sukan ais untuk Olimpik Musim Sejuk 2018. Keunikan Gangneung terletak pada bentuk mukabuminya yang bergunung-ganang dan berhampiran dengan laut. Jadinya, kalau nak tempat tarikan di gunung dan menikmati pantai-pantai, memang sesuai memilih Gangneung sebagai destinasi.

Tolak saja pintu kaca, angin sejuk menyapa muka. Sejukkkk tapi tidaklah sesejuk malam tadi. Dalam sejuk tu pun gigih juga bergambar berkodi-kodi di luar bangunan tu. Puas bergambar, barulah kami cari teksi. Sekiranya berjalan di luar Seoul, dinasihatkan untuk menyediakan alamat tempat yang dituju dalam hangul bagi memudahkan komunikasi bersama pemandu teksi. Alhamdulillah kami dihantar hingga ke depan jalan masuk ke hotel. Penginapan untuk dua malam di Gangneung adalah Rest Motel selepas membaca ulasan dan saranan dari pelancong-pelancong lain di Booking.com selain daripada kajian melalui internet. Lokasi motel ni sangatlah strategik! Betul-betul di tengah bandar dan kawasannya tidaklah di ceruk rantau. Walaupun namanya motel, tapi keadaan bilik seperti hotel. Lengkap dengan tv canggih, internet, dan bilik air yang luas. Puas hati!

Masih ada jejak Winter Olimpik 2018 di stesen Gangneung ni. Depa dua maskotnya dan dah mula promosi untuk Olimpik sejak kami datang tahun 2016 lagi. Punya lama diorang promosi kan?

Dihadapan pintu masuk ke stesen. Belakang sana tu merimbun bunga sakura putih. Sejukkkkk dan kuat angin waktu ni.

Swafoto depan nama stesen

Katil queen

Meja solek yang ada semua benda - cerek elektrik, modem, telefon, dan peti sejuk

Meja makan. Sungguh selesa bilik ni dengan semua keperluan asas yang lengkap.

Tak ada almari, tapi ada tempat sangkut baju

Bilik air dah macam dekat rumah, besar yakmat! Tekanan air laju dan paling penting ada hos. 

Minuman dalam peti sejuk. Tak pasti apa bendanya dan tak pasti percuma ke tidak. Kami tak usik pun.

Yang ni sahih boleh minum. Teh dan kopi segera. Senang kerja dia, guna cawan kertas je.

Satu kenangan yang terpahat sampai sekarang adalah kekangan komunikasi. Ahjumma yang jaga kaunter memang hanya cakap Korea sepenuhnya. Memang kena guna Google Translate untuk bercakap dialog yang panjang dan bahasa isyarat. Ada sekali tu, balik dari berjalan terserempak dengan ahjumma di kaunter dan beliau tanya, "ν•„μš”ν•΄μ—†μ–΄?" Ini yang saya ingat sungguh sebab dialog yang ni selalu je dengar dalam drama tapi otak tak dapat nak proses waktu ahjumma tu tanya dan kitorang dok "Ha? Ha?" je sampailah ahjumma tu keluarkan telefon dia dan guna apps untuk terjemah ayat tadi tu. Hehehehe.. Disebabkan itu, sampai sekarang saya ingat. Maksud dialog tu lebih kurang macam, "Perlukan apa-apa tak?" Aduhai, otak tak register langsung maksud dia walhal selalu je dengar dalam drama. Sampai sekarang saya ingat perkataan ni. Lepas daftar masuk, kami berehat sebentar menyegarkan diri dan solat sebelum keluar semula menuju ke pantai dan mencari makan malam.