Engagement Fund ;)

Monday, 26 June 2023

Pengalaman Pertama Tanam Pokok Bakau

Dalam pada nak mengejar habiskan cerita ke Korea tahun 2019 tu, saya selit-selitlah cerita baharu ikut dan. Bukan senang nak buat entri. Kena selak balik buku skrap, kena pilih gambar yang beribu tu, lepas tu nak edit gambar dan yang terakhir nak karang cerita. Begitulah kegigihan seorang blogger. Eceh... Hari ni selit sikit cerita program CSR anjuran Majlis Daerah Sabak Bernam minggu lepas. Sejak duduk unit ni, semedang tertinggal. Kali ni rezeki dapat juga masuk nama untuk program CSR kali ini yang diuruskan oleh Jabatan Kejuruteraan Awam. Terima kasih rakan dari jabatan, Kak Linie sebab pelawa dan bantu uruskan dengan urus setia. Nama rasminya ialai Program Pengindahan dan Penanaman Pokok Bakau di Pantai Batu 23 Sungai Nibong. Program bermula secara rasmi pada jam 9.30 pagi dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh YDP MDSB. Salah satu info menarik yang dikongsikan adalah mengenai perusahaan membuat kayu arang daripada pokok bakau yang dijalankan di Sabak Bernam. Info terperinci tak dapat nak tangkap pula 😅. Beliau juga turut berkongsi kepentingan adanya kawasan paya bakau iaitu bagi meneruskan kelangsungan hidupan laut seperti ketam dan udang galah selain bertindak sebagai penahan hakisan.

Seterusnya adalah perkongsian ilmu daripada pegawai Jabatan Perhutanan Sabak Bernam. Ada tiga jenis pokok bakau yang sesuai ditanam di pesisir pantai barat Semenanjung iaitu bakau kurap, minyak dan satu lagi saya lupa😅. Spesis baharu yang cuba ditanam adalah bakau pasir yang sebelum ini sesuai hidup di Terengganu. 

Kemudian, taklimat ringkas dari Jabatan Landskap MDSB khusus untuk program hari ini diberikan. Sebanyak 250 anak pokok bakau kurap bersaiz empat daun dengan pertumbuhan akar baharu disediakan untuk ditanam dalam susunan tiga baris di kawasan berpasir dan berselut. Peserta diminta untuk berhati-hati dan melihat kemampuan samada boleh ke kawasan berselut atau hanya di tempat yang berpasir. Cara untuk menanam adalah dengan mengorek sedikit tanah berdekatan pancang buluh yang telah dipacakkan, keluarkan anak pokok dari poli bag dan masukkan ke dalam lubang tadi. Kemudian ikat tali pada pancang buluh terlebih dahulu dan ikatkan lebihan tali pada anak pokok bagi mengelakkan anak pokok hanyut atau tumbang. 

Setelah selesai, masukkan mudball berdekatan anak pokok tadi. Mudball ini adalah kombinasi tanah liat, bla bla, bla bla, bla bla dan bahan organik yang akan merawat tanah di kawasan penanaman sekaligus membekalkan nutrisi pada pokok. Hat bla bla tu tak dapat nak tangkap butir bicaranya sebab laju benar sebutan pegawai tu😆. Pihak Jabatan Landskap MDSB telah pun membuat eksperimen menanam menggunakan cara ini di kawasan berhampiran dan alhamdulillah pokok hidup sihat tanpa serangan teritip. Seterusnya adalah cerita bergambar.

Ucapan dari YDP MDSB

Sebelum turun ke selut. Gambar ihsan dari salah seorang staf MDSB. Hehehe... Kami dok sibuk berswafoto waktu dia lalu, terus dia tawarkan diri untuk ambil gambar kami. Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Kikiki...

Nampak gegantung program, berhenti lagi untuk swafoto.

Ini pula ihsan dari salah seorang peserta. Staf dari JKA kalau tak silap. Kali ni masing-masing dah ambil anak pokok untuk ditanam.

Orang lain dah ambil tempat di bahagian yang tak berselut, terpaksalah juga redah selut. Risau tenggelam tapi mujurlah tak berapa dalam.

Bila ada yang tala kamera auto berkerumun padahal yang tala kamera tu nak ambil gambar orang lain. Hahahaha....

Lepas dah tanam pokok tadi kena letak mudball ni dekat tepi dia.

Geng JPA. Sporting jurugambar ni sebab sebenarnya sesi bergambar dah sudah tapi sebab saya bersungguh lari nak masuk, dia kata meh la kita ketik lagi. Hehehe...

Gambar ihsan dari salah seorang peserta. Situasi di kawasan penanaman. Saya bayangkan kena sampai masuk kawasan paya tu ha, rupanya memang dekat je dengan pantai. Sebab tu ada kawasan yang berpasir, ada kawasan yang berselut. Bahagian sini selut dia dalam, sampai ke peha.

Sesudah. Semua pakat pergi Mr. DIY beli but. Hahahaha... Memang diorang pesan pakai but dan bawa topi. But kuning tu harganya RM 25.90 manakala but hitam RM 11.50. Ini harga di Mr. DIY, tempat lain tak pasti. Saya berbelah bagi nak ambil yang kuning atau hitam. Lama termenung depan rak sebelum buat keputusan ambil yang hitam sebab fikir kalau kotor yang susah nak hilang pun tak nampak sangat nanti. Cuma yang hitam ni pendek sikit dari yang kunin. Bolehlah..

Sementara tunggu semua orang selesai dan makanan tengah hari sampai. Freestyle.

Candid. Tengah bincang nak buat gaya apa untuk freestyle. Hahahaha...

Formal

Rasa macam main-main je pergi program CSR ni sebab tanam pokok satu je, sibuk nak bergambar je lebih. Hahahaha... Ada je anak pokok lebih, namun pancang yang tinggal hanyalah pancang di kawasan berselut dalam. Waktu taklimat tadi dah dipesan, tanam di tempat yang sesuai dengan kemampuan. Tak berani nak redah selut dalam tu, takut tenggelam pula. Dekat tempat yang kami tanam tadi pun dah terbenam sampai atas betis. Apa pun pengalaman berharga untuk tahun ni. Ada rezeki nak turut serta lagi lepas ni, bolehlah beringat sikit untuk betul-betul tanam pokok tu, bukan gila kamera saja. Hahahaha... Proses penanaman tak lama pun. Macam untuk sesi yang sebelum ni di Pantai Bagan Nakhoda Omar, dikhabarkan program habis lewat sebab mula lewat dek kerana menunggu air laut surut. 

Kami tunggu sampai makanan tengah hari sampai. Ramai juga peserta yang datang naik kenderaan sendiri terus balik lepas sesi menanam pokok selesai. Sebab kami dah berborak dengan salah seorang staf MDSB waktu menunggu tu, beliau minta juga kami tunggu makanan sampai sebab ramai yang dah balik. Jenuh urus setia nak fikir lebihan tu nanti. Saya pun faham sebab dah banyak kali kena lantik jadi JK Makan/Jamuan. Memang jenuh nak habiskan makanan yang ditempah. Memang tak lama lepas tu makanan sampai, dah siap bungkus. Terus ambil sorang satu dan bergerak ke lokasi seterusnya. Bila sekali-sekala terlepas, memang lain macam girangnya. Hahaha.. Singgah makan benda lain di Cendol Atok. Kalau hari bekerja biasa, memang tak dapatlah nak makan sini sebab perjalanan pergi dan pulang je dah sejam lebih bila dicampurkan.

Spaghetti beef cili padi

Cendol mangga

Itulah sahaja catatan untuk program kali ni. Harapnya lepas ni ada peluang untuk turut serta lagi sebab dikhabarkan, ada 26 program serupa yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini. Jumpa lagi untuk sambungan cerita hari kelima dia bumi Korea Selatan.

GangneungXSeoul 2019 Episod 6: Hello Seoul! Dan Misi Mengisi Perut di Itaewon

Setibanya di Seoul, kami terus ke Hyehwa untuk mendaftar masuk ke tempat penginapan terakhir di Korea. Tentunya pilihan kami adalah Bong House disebabkan lokasinya yang sangat strategik dan sesuai dengan bajet. Kali ni kami diberikan bilik bawah tanah. Selesa juga biliknya sebab dia bagi bilik untuk 3 orang. Tapi tandasnya pula kecil. Ngam-ngam je untuk seorang masuk. Jom kita tengok guesthouse tour di bawah. Unit kali ini terletak di bangunan bertentangan unit utama. Tak adalah jauh sangat pun, kena jalan ke depan sikit daripada bangunan utama. Lepas check in, staf Bong bawa kami ke unit ni dan tunjukkan bilik. Kena turun tangga dan kemudian jumpa pintu utama. Masuk je terus nampak ruang kecil yang menempatkan peti sejuk di sebelah kanan manakala di sebelah kirinya pula tandas. Kemudia ada pintu lungsur yang membawa kami ke bahagian bilik tidur.

Ini keadaan di bilik tidur. Ada 3 'katil' tapi kami berdua. Maka satu lagi katil jadi tempat kirai barang dan gosok baju. Ada ruang untuk sangkut baju dan pendingin hawa. Tapi sebab waktu ni suhu masih sejuk, rasanya aircond tu tak boleh on pun.

Tandas yang sejengkal katak. Dari pintu terus nampak sinki dan shower lepas tu bertentangan sinki ada tandas tu. Kena naik atas sikit. Tapi memang sejengkal katak betul, cuma tak boleh lawan bilik air kat Hong Kong la yang tak ruang langsung nak berjalan dalam bilik air.

Sesudah menyegarkan diri dan melepas lelah, kami keluar semula ke Itaewon  untuk makan malam dan kutip beg yang disimpan di Seoul Station. Pilihan restoran untuk makan malam adalah Kervan. Ada banyak pilihan restoran kebab yang lain di kawasan sama tapi kami lebih tertarik untuk ke sini. Suasana restoran selesa dan mendamaikan. Bertentangan dengan Kervan, kelihatan satu restoran berkonsepkan makanan segera The Halal Guys yang penuh dengan pelanggan. The Halal Guys adalah salah satu rangkaian restoran segera halal yang sedang naik di Korea Selatan pada waktu tu. Dek kerana malas bersesak dan menunggu lama, kami terus masu ke Kervan sebab sewaktu kunjungan yang terdahulu, kami dah biasa dengan jenama ini. Menu yang ada juga pelbagai dan boleh memilih mengikut kemampuan. Harganya tidaklah begitu mahal tapi kalau bajet ketat pun masih ada menu yang boleh dibeli. Ketika kami sampai, hanya ada beberapa pelanggan yang sedang makan dan tak lama selepas membuat pesanan, makanan pun sampai.


Dalam perjalanan ke Itaewon dengan menaiki subway. Bab hala tuju nak kemana ni, memang saya gagal. Kadang tu menonong je jalan ingatkan dekat depan sana tempatnya. Hahaha... Mujurlah ada crime partner ni

Antara menu yang ada

Buku menu

Rupa dalam restoran agak eksklusif

Kami

Pembuka selera dah sampai. Roti dan sup.

Aten punya

Saya punya

Kami punya

Sedap!

Selesai makan, kami teruskan berjalan menuju ke Manis Kitchen untuk tteokbokki dan eomuk yang dijamin halal. Waktu kunjungan sebelum ni, restoran ni masih belum wujud. Bila dah ada restoran yang menghidangkan makanan jalanan yang halal, wajiblah pergi. Masa kami sampai, keadaan lengang tanpa pelanggan dan tak banyak menu yang kelihatan. Dalam pada kami berborak sesama sendiri menanyakan menu-menu yang ada, tuan kedai senyum aje. Bila kami tanya beberapa menu yang tak kelihatan, tuan kedai terus jawab, "다있어!"😂😂. Baiklah. Maksud dia, semua ada walaupun tak nampak di kaunter. Hahaha.. Begitulah. Maka kami pun pesanlah apa yang nak dipesan untuk dibungkus. Makan sudah, bungkus pun sudah, marilah kembali ke Seoul Station untuk menuntut bagasi gergasi yang disimpan sebelum ke Gangneung. Prosedur menuntut beg sangatlah mudah. Pergi kaunter dan serahkan kad yang diberikan ketika penyimpanan dibuat dan staf bertugas akan mengambil beg di tempat penyimpanan dan diserahkan kepada kami. 

Kaunter tteokbokki dan eomuk. Nampak macam kosong kan, tu yang kami dok tanya ini ada, itu ada ke tidak.

Senarai menu dan harga

Depan kedai

Ini hasil tangkapan di Manis. Memang gitulah gaya makanan berkuah dibungkus di Korea. Dekat mangkuk ada plastik, makanan dimasukkan dalam plastik dan kemudian diikat simpul.

Ini kad yang kami dapat selepas selesai urusan penyimpanan. Maka waktu nak tuntut beg, tunjukkan kad ni.

Ini adalah antara loker awam layan diri. Kalau dalam drama, tempat orang jahat letak barang terlarang atau duit upah. Ada pelbagai saiz juga dan harganya dah tentu berbeza ikut saiz. Hasil daripada kajian kami dulu, kalau nak simpan lama lebih berbaloi guna khidmat Safex. Kalau takat beberapa jam, guna loker yang begini pun ok.

Selesai urusan tuntut beg, kami kembali ke Bong dengan menaiki teksi. Kali ini dapat pemandu teksi yang ramah. Borak-borak sikit masa mula-mula masuk dan lepas tu dia telefon anak dia dan bagi tahu ada penumpang dari Malaysia. Comel je ahjussi ni. Kitorang faham la sikit-sikit dia borak dengan anak dia tu. Alhamdulillah selamat sampai dan tamatlah kisah hari keempat.

Tuesday, 20 June 2023

Economic Fine Dining Experience

Selamat tengah hari! Bila dah mula menulis, aura nak menulis tu macam tertinggal di hati. Sementelah masih menggunakan laptop untuk buat kerja di pejabat, saya luangkan sedikit masa untuk mencatat pengalaman. Sebenarnya banyak cerita harian nak catat, cuma sifat yang namanya rajin itu jarang sekali memunculkan diri. Kita cubalah ye. Hehehe...

Sejak berpindah tempat kerja dan bertukar jawatan ini, jarang sekali saya berkongsi perjalanan kehidupan, pengalaman mahupun rutin harian. Tak seperti ketika bekerja di ILPKLS dahulu. Semua benda nak cerita sampai ada beberapa entri yang terpaksa disorok dalam laci sebab bila orang taip kata kunci di Google, blog ni tersenarai. Gelabah ko! Hahahaha... Kita nak kongsi maklumat santai-santai je, tak nak terlalu dikenali.

Kali ini nak cerita tentang fine dining experience di PSIS. Memandangkan di sini ada program Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal(DHF) di bawah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, akan ada subjek yang melibatkan praktikal memasak dan menghidangkan. Maka bila mereka perlu melalui latihan amali sebegini, kelas-kelas yang terlibat akan membuat hebahan dalaman untuk mencari pelanggan. Disebabkan saya kini tidak mengajar dan tidak berjumpa pelajar, maka jarang sekali dapat tahu mengenai iklan sebegini kecuali ada sahabat-sahabat di jabatan yang berkongsi atau mempelawa kerana biasanya pelajar-pelajar ini akan berkongsi dengan pensyarah-pensyarah yang sedang atau pernah mengajar mereka.

Kelas-kelas amali ini akan ada tema tertentu seperti makanan Perancis, makanan Itali dan sebagainya. Harga yang ditawarkan untuk satu sesi pula setakat yang saya perhati, tidak lebih daripada RM 30 per kepala. Murah sangat dah tu untuk pengalaman menjamu selera seperti di hotel. Cumanya, janganlah letakkan harapan terlalu tinggi kerana yang mengendalikan sesi ini adalah pelajar sepenuhnya tetapi dengan pengawasan dan tunjuk ajar daripada pensyarah. Kiranya ikut rezeki jugalah; ada rezeki hidangannya semua sedap dan terbaik. Tak ada rezeki, ada kekurangan di sana sini.

Pengalaman pertama adalah pada 20 Februari yang lalu. Teruja betul nak pergi waktu tu sebab kebetulan jatuh pada tarikh ulang tahun lapor diri di PSIS tiga tahun lalu. Hehehe... Waktu ni kami tempah meja di restoran latihan yang diberi nama Chops and Hops. Memang setiap kali sesi mereka kena letak nama untuk 'restoran' mereka beserta senarai menu dan harga. Waktu makan pula biasanya bermula dari jam 12 tengah hari. Yang kali pertama ni saya sedang sibuk dengan audit dalaman di jabatan akademik, maka kami tak dapat nak terpacak depan pintu awal. Kamilah pelanggan terakhir yang masuk iaitu ketika jam hampir menginjak ke angka 1. Tak dapatlah nak melayan perasaan sangat kan sebab waktu singkat. Rezeki saya waktu ni juga, hidangan utamanya tidak begitu memuaskan pada saya sebab dapat bahagian daging yang banyak lemak dan agak keras. Yang lain-lain okey, cuma kali dimaklumkan menu pembuka selera ditukar kepada menu lain, bukan menu asal semasa diiklankan. Begitu juga dengan roti yang dihidangkan, bukan seperti yang tertera di menu asal. Pakej yang ini berharga 20 ringgit sahaja.

Starter
Softshell crab burger

Soup
Leek and Potato Soup & Garlic Bread Slice

Main
Roasted Lamb Rack
(Served with rosemary sauce accompanied with fresh sautéed vegetable and classic Lyonnaise potatoes)

Dessert
Red velvet cake

Beverages
Coffee and tea
Orange juice

Seterusnya pada 6 Mac, dapat tempah meja lagi sekali. Kali kedua ni di restoran latihan yang berbeza. Suasana kali ni lebih menarik dan menenangkan mungkin sebab lokasi itu sendiri. Pencahayaan malap, ada hiasan bunga-bunga dan bau wangi seperti di Lovely Lace. Hehehe... Konsep yang ini makanan Perancis dengan tema Des Roses. Patutlah bau wangi dan banyak bunga. Kali ni tiba awal sebab teman semeja ada kelas pada jam 2.15 petang. Jadi kena makan laju-laju. Suasana dah bagus, makanan kali ni pun lebih puas hati tapi tak dapat nak tenang-tenang sangat sebab kejar masa juga. Sesi kedua yang saya pergi ni menawarkan dua pilihan menu utama iaitu daging lembu atau kambing. Waktu tempah meja kami kena maklumkan awal nak yang mana satu. Kami berdua pilih daging lembu.

Appetiser
Caeser Salad

Soup
French Onion with Bread Cheese Crust

Main Course
Pan Fry Beef Tenderloin Served with Au Jus Sauce, Croquettes Potato and Sautéed Vegetables

Dessert
Tiramisu

Beverage
Mint-To be Mojito
Coffee and Tea

Memang puas hati sangat untuk sesi kali kedua ni sebab semuanya sedap dan berbaloi kuantitinya untuk harga RM 20. Boleh la kan buat lepas teringin nak makan steak. Dekat hujung negeri susah nak jumpa restoran hebat-hebat. Semoga ada rezeki lagi untuk tempah meja dengan geng-geng yang lain juga pada semester hadapan. Rupanya memang ramai yang menantikan sesi macam ni sebab dapat makan sedap tapi bayar murah. Agak berebut juga sebenarnya sebab satu sesi terhad 'pelanggannya'. Siapa cepat dia dapat. Dah habis makan semua, baru bayar. Bayaran boleh dibuat secara tunai ataupun online transfer. Paling akhir, kena tinggalkan maklum balas. Untuk sesi yang 20 Februari tu, komen saya agak Gordon Ramsay sebab borang maklum balas tu ada pilihan untuk jadi Gordon Ramsay. Hahahah... Maafkan saya anak-anak, inilah beberapa peratus daripada realiti yang awak semua akan hadapi kelak. Sesi kedua pula maklum balasnya lebih kepada close-ended response, ya atau tidak sahaja. Maka, kita tandakan pada kotak yang berkaitan sahaja. 

Thursday, 15 June 2023

GangneungXSeoul 2019 Episod 5: Hari Terakhir di Gangneung

Hari terakhir di Gangneung, kami mendaftar keluar awal disebabkan jadual perjalanan kembali ke Seoul yang telah dirancang. Kami dihantar oleh ahjumma yang menjaga kaunter hingga ke depan pintu utama. Seterusnya, kami berjalan ke hentian bas utama untuk mencari bas ke Jeongdongjin. Mengikut perancangan awal, nak ke Jeongdongjin untuk melihat matahari terbit. Tapi rupanya lokasi Jeongdongjin ni jauh. Sekian terima kasih, jumpa lagi di lain masa jawabnya. Hahaha... Cita-cita besar, cenggitulah.

Yang penting sebelum memulakan perjalanan, sarapan berat. Terima kasih crime partner rasmikan bekas beli dekat Daiso untuk panaskan lauk.

Nama Inggerisnya Rest Motel. Nama Koreanya macam yang dilihat dalam gambar.

Disebabkan masih agak awal, jalan masih lengang.

Agenda hari terakhir ini juga adalah, kami sepatutnya menaiki Sea Train dari Jeongdongjin ke Samcheok. Dapat tahu tentang Sea Train tu dari The Return of Superman. Dalam tu ditunjukkan yang Sea Train ni ada beberapa pilihan gerabak dan kelas. Boleh pilih nak duduk bahagian mana waktu beli tiket. Dari Samcheok baru kami ambil bas ekspres kembali ke Seoul. Begitulah perancangannya. Namun, bila tiba di Stesen Jeongdongjin, tiket Sea Train tidak lagi dijual di situ. Tiket Sea Train boleh dibeli dari kaunter khas di Stesen Gangneung, 20 kilometer dari situ. Ah sudah! Lama kami duduk menung dan fikir sebelum berbincang dan memutuskan untuk beralih plan B. Kami sepakat untuk membeli tiket Mugunghwa. Mugunghwa adalah laluan keretapi perlahan (slow train) yang mengambil masa selama 5 jam untuk tiba di Seoul disebabkan banyaknya hentian yang ditempuh sepanjang jalan. Dengan ini, terkuburlah hasrat untuk melihat pantai di Samcheok. Kami beli tiket untuk jam 10.19  pagi. Jadi, masih ada masa kira-kira dua jam sebelum berlepas.

Pemandangan sepanjang dari hentian bas ke Stesen Keretapi Jeongdongjin. Ada banyak juga motel dan rumah tumpangan di sini memandangkan kawasan ini adalah kawasan tarikan pelancong. Bas tak masuk sampai dalam jadi kena menapak. Sebab dekat Korea kan, takde hal nak kena jalan jauh pun. Hehehe...

Sampai je masuk tandas dulu. Kat sini kalau tak silap ada bidet. Tandas besar dan bersih. Selesa.

Ini penerangan mengenai Sea Train tu. Kami guna Google Translate untuk dapatkan inti pati penerangan.

Ini pula jenis gerabak dan harga. Tak tangkap gambar pula notis yang menyatakan tiket kena beli di Stesen Gangneung. Pengajarannya, kena lebih peka untuk baca maklumat atau terus jelah pergi tanya dekat staf di stesen utama mengenai perkhidmatan yang disediakan. Kami cuma bergantung pada maklumat dari blog-blog pelancong yang dijadikan rujukan. Jadi pada waktu kami pergi, keadaan dah tak sama. Begitulah.

Walaupun tengah serabut, selfie tetap. Hahahaha.... Ruang menunggu pun luas dan selesa.

Sementara menanti, kami berjalan menyusur pantai Jeongdongjin. Keadaan lautnya masih sama seperti di Anmok, berombak kuat. Tetapi pasir pantainya lebih halus berbanding Anmok. Sempat juga bergambar di kawasan berbatu sebelum berjalan menuju ke Morishigae Park. Morishigae Park adalah salah satu tempat tarikan di Jeongdongjin di mana ia menempatkan replika dan hasil seni berkaitan masa. Ada juga muzium masa yang dibina di dalam gerabak keretapi lama. Kami sekadar berjalan di taman dan melihat replika yang ada sebelum kembali ke Stesen Jeongdongjin. 

Pemandangan di Pantai Jeongdongjin yang terkenal sebagai lokasi melihat matahari terbit

Atas pasir

Atas batu, lebih dekat dengan gigi air

Kami. Waktu matahari dah terik tapi tetap rasa sejuk.

Cari pasal sebab pergi lalu pasir untuk sampai ke hujung nun. Jenuh la wei! Penyesalan tu sampai dekat kawasan pasir yang tak padat dan tak ada pintu nak masuk ke laluan normal. Hahahaha... Terpaksalah redah juga.

Okey dah sampai. Belakang tu adalah Muzium Masa Jeongdongjin. Tak ingat ada bayaran ke tidak untuk masuk. Sebab kami kejar masa, tak masuk pun. Cuma bergambar di luar.

Tumpuan di Morishigae Park @ Sandglass Park. Muzium tadi dalam kawasan taman ni. Ada banyak arca lain juga di sini.

Paling penting ada buaian. Sebelum menapak semula ke stesen keretapi, melekat dekat sini. Pemandangannya sangatlah mendamaikan dan cantik.

Ini laluan yang benar. Jumpa lagi!

Tepat jam 10.19 pagi, keretapi pun sampai. Permulaan perjalanan meninggalkan Jeongdongjin dihidangkan dengan pemandangan laut yang sangat cantik. Laluan keretapi terletak betul-betul tepi laut. Terubat sedikit kesedihan tak dapat naik Sea Train bila nampak laut di luar cermin. Sebaik saja meninggalkan kawasan Jeongdongjin, pemandangan bertukar kepada gunung-ganang dan perkampungan. Dekat kawasan gunung-ganang tu masih ada kesan salji. Mungkin cuacanya hampir sama macam di Pyeongchang. Hampir keseluruhan perjalanan dihabiskan dengan melayan mata bagi melupakan kehausan. Sebabnya, kami terlupa nak beli air mineral sebelum berlepas tadi dan tak ada setitik pun air yang tinggal dalam botol air kami. 

Sementara tunggu keretapi sampai. Staf yang jaga tu cuma benarkan kami berada di kawasan bila keretapi dah hampir nak sampai. Tempat bertangga ni sebenarnya tempat duduk yang menghadap laut. Pemandangannya caaaaaaaaantttiiikkk sangat mashaAllah! 

Selfie sekeping dengan nama stesen

Ini tiket kami. Kertas biasa je. Yang dibulatkan tu adalah maklumat penting yang kena peka.

Laut yang terbentang luas

Keadaan dalam gerabak. Selesa juga tempat duduknya walaupun bukan keretapi ekspress. Luas tempat duduk dan ruang kaki.

Laut lagi

dan lagi. Apa yang terrakam dalam gambar ni tak secantik apa yang kami saksikan. 

Itulah serba sedikit catatan pada hari keempat di bumi Korea Selatan, hari terakhir di Gangneung. Waktu kami di Gangneung juga, rupanya berlaku satu bencana besar tidak jauh dari tempat kami menyukat tanah iaitu kebakaran hutan di Goseong yang terletak dalam Gangwon juga. Tak tengok tv, tak tengok sangat internet, maka tidaklah tahu secara terperinci kesnya. Cuma masa dalam perjalanan nilah ada beberapa sahabat mesej tanya kami okey ke? Bila baca berita di internet, rupanya satu kebakaran besar yang melibatkan kawasan seluas 500 hektar sedang berlaku di Goseong hinggakan kerajaan mengisytiharkan darurat bencana. Lebih daripada 300 buah rumah musnah dan lebih 300 hektar hutan turut lenyap ditelan api. Kalau baca berita, kebakaran tersebut akhirnya merebak juga ke Gangneung disebabkan angin kuat. Alhamdulillah kami okey dan waktu darurat diisytiharkan kami dah berada di Seoul. Begitulah sedikit maklumat yang saya ingat dan ada fakta yang saya kongsi daripada berita di internet. Bersambung ke entri baru sebab dah panjang sangat mencecah lantai.