Dari Chungking Mansion, kami berjalan sedikit dan melintas untuk ke seberang sana untuk mencari bas A21 yang menghala ke lapangan terbang. Waktu ni agak ramai orang dan ketika tiba di perhentian yang ditetapkan, dah ramai orang beratur. Tapi dapat jugalah naik bas yang tiba tak lama lepas tu. Kali ni kami letak beg di bahagian bawah dan duduk di bahagian atas bagi menikmati pemandangan kotaraya Hong Kong buat kali terakhir. Keselamatan beg agak terjamin walaupun bukan di depan mata sebab ada kamera yang dipasang menghala ke tempat penyimpanan beg dan skrin besar dipasang di bahagian tempat duduk penumpang belah atas. Jadi, kita boleh sentiasa mengawasi beg yang diletakkan di situ.
Sampai saja di lapangan terbang, terus kami mencari bilik solat untuk solat dan melepaskan lelah sekejap sebelum masuk ke dalam. Alhamdulillah biliknya besar dan selesa dan harus diingat, bilik ibadah ini diwujudkan untuk semua agama jadinya kena bertimbang rasa ye. Dalam bilik tu, ada ruang untuk kita solat dan ada tempat wudhuk yang selesa juga. Memang luas biliknya. Disebabkan penerbangan kami ditunda dek kerana tempias kepada taufan Mangkhut, lama jugalah kami melangut di ruang legar tu sebelum dapat melepasi pemeriksaan imigresen. Lapar gila ye waktu ni! Memang dah rancang nak makan ayam goreng Popeyes untuk makan tengah hari jadinya tidaklah kami mencari makanan sebelum bergerak ke lapangan terbang. Rupanya, penerbangan ditunda dan Popeyes tu berada di belah dalam. Memang kena tunggu boarding juga baru jumpa Popeyes. Berulang alik kami ke kedai serbaneka terdekat mencari apa yang boleh dimakan sambil menghabiskan baki HKD.
Bila dah boleh check in, laju-laju beratur untuk daftar beg dan seterusnya melepasi pemeriksaan imigresen. Dah sampai dalam baru lega dan bertenang sikit. Meriah sungguh kedai-kedai yang ada dalam tu. Kedai cenderahati Disneyland pun ada.Tapi kami haruslah cari Popeyes dulu sebab dah kebuluran. Maka, habislah segala bajet perjalanan Geng Bilik Prep Invades Hong Kong and Macau 2018 di Popeyes dengan sedikit tajaan dari Hani. Ala, dia macam ayam KFC je tapi sebab dia halal, tu yang ternanti-nanti nak makan tu.
Lepas makan, ronda-ronda kejap sambil berjalan ke Gate untuk pelepasan. Lama juga menunggu dan sempatlah solat dulu sebelum berlepas. Kali ni, bilik solatnya agak kecil namun masih selesa. Ketika kami melangkah masuk ke dalam kokpit, hari dah gelap namun kelihatan cuaca masih mendung seperti ketika kami mula-mula sampai tadi. Alhamdulillah perjalanan kami lancar walaupun ada masanya menempuh hujan. Akhirnya selamatlah kami tiba di Kuala Lumpur dan dengan ini berakhirlah catatan 6 hari 5 malam di bumi Hong Kong yang memakan masa empat tahun untuk dicoretkan. Terima kasih kawan-kawan atas sumbangan sepanjang perjalanan kita yang disulami kesabaran dalam melayan mood yang tidak menentu. Biasalah tu, Geng Bilik Prep kan? Moody moody, gaduh gaduh, lepas tu kamceng balik.
Sekian sahaja coretan perjalanan Geng Bilik Prep ke Hong Kong dan Macau. Alhamdulillah berjaya menyudahkan catatan selepas 4 tahun. Lepas ni nak sambung catatan SeoulXGangneung pula. Moga roh berblog kembali kedalam diri ini walaupun dah tak ramai blogger yang aktif menulis. Majoriti lebih selesa menggunakan medium lain untuk menulis. Terima kasih kepada yang masih gigih mengikuti penulisan saya di sini. Jumpa lagi!































































