Engagement Fund ;)

Showing posts with label Dunia Kampus. Show all posts
Showing posts with label Dunia Kampus. Show all posts

Thursday, 8 April 2010

Imbasan Muktamar Thanawi i Rakan Kali Ke-2

Alhamdulillah, setelah beberapa kali ditangguhkan dek kerana rintangan yang tidak dapat dielakkan, i Rakan berjaya mengadakan Muktamar Thanawi Kali Ke-2 semalam, 8 April 2010. Alhamdulillah juga, aku sempat sampai di sana sebelum majlis bermula. Seharusnya, bersyukur dengan apa yang ada di depan mata. Sahabat dan sahabiah yang hadir pasti faham. Seorang sahabat lama yang diharapkan hadir juga tidak dapat hadir. Aku awal-awal sudah memberitahunya melalui YM kerana memang dia berpesan agar memberi makluman tentang majlis yang satu ini. Rupanya ramai yang berhasrat mahu ketemu dengannya. Mungkin dia terlupa tarikhnya. Tak mengapalah, segala yang terjadi ada hikmahnya.

Mungkin kerana ini adalah yang kedua kali, maka susunan dan perjalanan program lebih teratur dibandingkan dengan yang terdahulu. Tahniah kepada semua AJK yang terlibat. Kekurangan yang terselit di celah-celah kesempurnaan, hanya kita saja yang tahu. Kita merancang, Allah juga merancang. Namun perancangan Allah lebih hebat lagi... Ketika membuka buku laporan yang disediakan, terkejut juga melihatkan ucapan dasar Encik Presiden yang begitu panjang. Panjang dan berisi. Mudah-mudahan apa yang diperkatakan boleh direalisasikan dan dipraktikkan. Izinkan saya untuk memetik beberapa perenggan daripada keseluruhan perenggan yang ada ye. Semoga mendapat manfaat bersama....

Dan jadikan Islam itu sebagai cara hidup kita. "Islam is the way of life". Bersiap sedialah dengan pelbagai ujian yang akan datang darisegenap sudut perjalanan perjuangan sehingga ke hari kiamat. Marilah kita mengikhlaskan niat dan amal perbuatan kita semata-mata kerana Allah, untuk melaksanakan tugas dan amanah yang amat berat di muka bumi ini. Perjuangan kita tidak terhenti di kampus sahaja kerana cabaran luar lebih getir untuk kita. Dan wadah yang kita lalui sekarang ini hanyalah medan mendidik kita bagaimana yang kita akan jadi kelak. Kampus merupakan kilang melahirkan produk yang profesional dan serba boleh. Senjata utama yang kita ada sebagai mahasiswa yang ditakuti musuh hanya dua iaitu keberanian dan keintelektualan. Inilah yang digeruni musuh kelahiran pejuang kampus.
Walau apa juga yang dihadapkan pada kita, Islam tetap pilihan utama dan perlu diletakkan di tempat yang paling atas. Selagi ada masa, persiapkan diri dan kukuhkan ilmu sebelum pergi ke lapangan. Teori bukanlah susah tapi jangan menjangkakan keadaan di lapangan itu semudah teori. Ingat, jemaah hanyalah platform untuk kita bergerak tapi matlamatnya tetap satu; Islam. Jangan kerana cara berbeza, kita bermasam muka dan mula berpecah. Apa yang diperkatakan Saudara Haez, "Berjuang bererti mencari Tuhan.." perlu diteliti. Buka minda untuk menafsir sebaris ayat itu.

Asas pembentukan sesebuah persatuan Islam adalah tarbiyyah. Tarbiyah merupakan satu pelaksanaan dalam pembentukan ahli persatuan Islam, dan biarlah rekacipta penyusunan itu bersesuaian dengan waqi'e (keadaan) masing-masing. Ia umpama legend bagi seorang pengembara dalam menuju matlamat destinasi. Begitu juga kita dalam mencapai matlamat daulah islamiyyah berjuang bersama pejuang-pejuang dunia dalam mengembalikan apa yang terlepas di era Turki Uthmaniyah. Perancangan perlulah sesuai dengan semasa kerana setiap tempat adalah berbeza geografinya. Yang diutamakan adalah pelaksanaan. Bagaimana kita melaksanakan dengan istiqomah, husnuzzon (bersangka baik) dan pelaksanaan itu lebih baik dari sebelumnya.
Tidak dinafikan, untuk membina sebuah bangunan yang kukuh, asasnya perlu utuh dan mantap. Begitu juga dengan pembentukan sesebuah gerakan. Tarbiyyah pada diri amat penting. Kalau pun bukan untuk pembentukan gerakan, kita masih perlu mentarbiyyah diri sendiri untuk menambah kualiti diri sebagai seorang hamba Allah. Tarbiyyah perlu berterusan meskipun jauh dari kelompok gerakan dan pelaksanaannya amat perlu diberi perhatian. Bukan mudah untuk istiqomah kerana setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan iman tidak sentiasa berada di 'paras selamat'.

Kampus adalah titik mula medan tarbiyyah sebagai bekalan diluar. Pemimpin wajib memimpin persatuan Islam mengatur, mengurus, dan melaksana tarbiyah agar dapat membekalkan produk yang berkualiti kepada masyarakat kelak. Dan ahli wajib mengikuti segala yang dirancang oleh pimpinan. Usrah perlu dicatur dengan sistematik dan pengisiannya perlulah tersusun. Muqayyam dan kem perlu hikmah agar ukhuwwah, pengorbanan, dan daya tahan menguatkan lagi mental dan fizikal ahli. Ceramah umum, kuliah-kuliah perlu diadakan dan diikuti sebagai tambahan ilmu. Rehlah, kursus motivasi dan kepimpinan, mendaki, khidmat masyarakat, ziarah kampus lain itu akan membuka minda ahli Persatuan Islam. Berorganisasi, merancang program, dan pilihanraya pula merupakan medan siasah yang akan menajamkan lagi akal fikiran kita menjadi pemimpin yang bijaksana. Jangan dilupakan qiamullail, iftar, solat berjemaah, zikir ma'thurat, solat-solat sunat, tadarus Al-quran, ziarah hospital dan kubur serta muhasabah diri. Itu semua menguatkan roh kita kepada Allah.
Bagiku, usrah adalah tempat permulaan segalanya. Dalam usrah, kita akan didedahkan kepada pelbagai ilmu dan kemahiran sekaligus melatih diri menjadi lebih yakin dan berketerampilan. Sahabat sahabiah sekalian, ambil semua peluang yang datang sementara masih ada masa ketika di alam kampus. Jangan berkira untuk melakukan pengorbanan kerana apa yang dikorbankan itu walaupun sedikit dan kecil tapi hakikatnya itulah kunci kejayaan. Mungkin, pada permulaan, ada yang rasa terpaksa atau tidak biasa. Tapi percayalah, bila kita berfikir hasilnya yang positif, perlahan-lahan kita akan menerima perubahan baru itu. Jangan cepat menghakimi sebelum memahami. Tak kenal, taaruf dulu. Kemudian baru datangnya cinta. Satu pepatah Inggeris yang kerap singgah di telinga kebelakangan ini patut diguna pakai iaitu; don't judge a book before finish reading it. Alah bisa, tegal biasa. Sesuatu yang dilatih untuk dijadikan tabiat akan menjadi habitat pada pengakhirannya. Maknanya, kebiasaan yang sudah sebati dengan diri dan jiwa kita tak mungkin lagi dapat dipisahkan.

Ancaman terbesar bukanlah ancaman daripada pihak luar. Tetapi ancaman yang terbesar adalah ancaman diri kita sendiri iaitu ketiadaan kepercayaan, akal fikiran, kesungguhan, pengorbanan, husnuzzon, pengurusan masa, dan kemalasan sebagai mahasiswa.... Jauhkanlah daripada bercinta tanpa ikatan kerana ia akan hanya menghilangkan keberkatan kita dalam membawa Islam.
Ye, musuh utama kita adalah diri kita sendiri. Justeru, perlu pandai mendidik diri. Kadang-kadang, perlu juga kritikan dan hentaman dari orang lain supaya kita tahu kelemahan diri dan boleh perbaikinya. Terima kritikan dengan minda dan hati terbuka. InsyaAllah, jalan menuju kesempurnaan dan berjuang untuk Tuhan dipermudahkan. Firman Allah: “sesungguhnya Allah pasti menolong orang-orang yang menolong (agamanya).Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”

Sedikit perkongsian tentang ucapan dasar mantan Presiden dan ulasan dariku sendiri yang mudah-mudahan akan dapat mendidik aku dan kalian yang membacanya. Aku menulis untuk peringatan sendiri dulu kerana mata pertama yang menatap hasil tulisan ini adalah penulisnya. Aku juga masih cetek ilmu dan pengalaman tapi apa yang ada harus dikongsikan dulu. Wallahua'alam...

Thursday, 11 March 2010

Menanti Waktu

Aku sepatutnya perlu fokus pada nota-nota yang berhelai-helai. Baca dan baca untuk ingat fakta dan mengadaptasi teori dengan situasi. Jadi, aku menulis kali ini sekadar di pinggiran. Cerita-cerita yang terkumpul, akan diabadikan kemudian. Jadual peperiksaan ku untuk semester ini;

Friday 12 March 2010
Educational Administrarion - 9.00 a.m. - 12.00 p.m (IPIS)

Creative Writing Skills - 3.00 p.m. - 5.00 p.m. (IPIS)




Hah, memang sah kami akan bermandi peluh hari Jumaat ini. Sila pakai pakaian yang bersesuaian dengan keadaan cuaca sekarang ye kawan-kawan.

Alhamdulillah, beberapa perkara yang patut diselesaikan, sudah selesai.
  • Yuran Pengajian (Selesai..jimat RM400 sebab P**** terlebih tolak duit)
  • Slip keputusan peperiksaan Semester 3/08/09 (Tak kena denda..hehe..jimat lagi RM30)
  • Slip keputusan peperiksaan Semester 1/09/10 (Selamat dah duduk dalam fail)
  • Slip menduduki peperiksaan (Dah ambik siang tadi)
  • Borang keluar hostel (tinggal nak hantar kat Jananiaga je)
Sedikit masalah dengan Term Paper. Nampaknya perlu cari topik baru yang lebih mudah dan sesuai dengan responden.

Sunday, 31 January 2010

Perjalanan ke Perak

Alhamdulillah, selamat kembali semula ke UNISEL setelah hampir 3 hari berkampung di Parit Buntar, Perak bermula 29 Januari hingga ke hari ini. Rasanya, ini kali ketiga aku menyertai perjalanan jauh bersama i Rakan. Awalnya, memang tidak menyangka program kali ini akan diadakan sejauh ini. Namun, semuanya berada dalam perancangan Allah yang sudah pasti mempunyai hikmah tersendiri. Teringat perjalan kami ke Kuantan 2 tahun sudah yang lebih dikenali dengan Journey to Kuantan. Walaupun banyak dugaan, tapi sarat dengan hikmah.

Perjalanan dimulakan pada petang Jumaat, kira-kira jam 6.30 petang, dengan penyertaan 28 orang AJK dan fasilitator dan seorang pegawai pengiring dari HEP, Encik Azrol. Mulanya aku menjangkakan perjalanan tidaklah memakan masa yang lama. Setelah dikhabarkan oleh pengarah program, baru ku tahu lokasi program kali ini terletak bersempadan dengan Pulau Pinang. Hampir 4 jam juga perjalanan. Benar bagai dikata kerana selepas melangkah dari pagar belakang sekolah, anda sudah berada di Pulau Pinang! Kami tiba di SMK Methodist Parit Buntar hampir tengah malam. Masih belum ketara rupa sebenar sekolah; tapi sudah dikhabarkan oleh pengarah yang juga bekas pelajar di situ bahawa bangunan sekolah sudah pun berusia 104 tahun. Agak-agak seram juga memikirkan tentang angka tersebut. Struktur bangunan memang bangunan lama. Jadi, muslimin ditempatkan di kelas bersebelahan dewan manakala muslimat pula ditemptkan di surau. Puas hati dengan kemudahan yang ada walaupun sederhana. Usai melawat tapak program(kawasan sekolah), kami berkumpul untuk persediaan bagi program yang akan bermula keesokan paginya. Ada yang menjadi kemusykilan padaku bila mana pada perancangan awal, aku diamanahkan untuk menjadi salah seorang fasilitator tetapi pada perjumpaan terakhir tempoh hari, bertukar pula menjadi urusetia. Tak menjadi masalah kerana kami pun saling membantu. Para fasilitator dan urusetia yang terlibat mendengar taklimat untuk LDK menjadi teruja dengan penerangan dari Ketua Biro Aktiviti. Yelah, sebelum memberi tahu, kami perlu tahu dulu. Riuh rendah jugalah kelas tersebut. Memandangkan program ini adalah Program Memperingati Rasulullah, maka setiap LDK yang dijalankan ada berkaitan dengan kisah-kisah yang berlaku dalam kehidupan Baginda.

Sabtu, 30 Januari 2010
Seawal 4.45 pagi kami terjaga(buka mata--->tutup jam loceng--->golek-golek--->baru mandi dan bersiap). Kaum Muslimin tiba di surau untuk solat subuh berjemaah kira-kira jam 6.00 pagi. Agak lama menunggu azan sebelum Encik Presiden bertanya waktu subuh. Ada yang menjawab dengan yakin,"6.07 minit" sebelum ada yang mengingatkan "Eh, tu bukan waktu kat UNISEL ke? Kita kan kat Perak sekarang ni.." Menepuk dahi bila tersedar lokasi kami sudah berubah. Tidak lama selepas kami bersoal jawab, kedengaran azan bergema dari masjid berdekatan.

Penyertaan murid-murid amat menggalakkan walaupun lokasi program ini bertukar pada saat akhir(kerana masalah-masalah yang mendatang). 115 orang daripada 120 orang murid muslim dari tingkatan 1 hingga 5 memenuhi dataran sekolah sewaktu sesi permulaan. Alhamdulillah... Slot pertama pada pagi itu adalah slot "Pengenalan Usrah" yang disampaikan oleh Saudara Mustapha. Slot ini padaku memang perlu sebagai pendedahan awal kepada mereka tentang selok-belok usrah. Kemudian mereka dibahagikan mengikut tingkatan untuk sesi 'hati ke hati' tentang usrah yang dikendalikan oleh para fasilitator dan urusetia supaya murid-murid ini lebih jelas dan faham tentang usrah. Slot ini berlangsung hingga tengahari sebelum murid-murid dibahagikan kepada kumpulan LDK masing-masing. Program ini juga mempunyai lagu tema dimana sebuah nasyid dendangan kumpulan Hijjaz, Dia Kekasih Allah menjadi pilihan. LDK 1 adalah "Malu bertanya sesat jalan". Aktiviti ini dikendalikan oleh Ketua Biro Aktiviti, Saudara Ghazawi. Aktiviti dikendalikan dengan baik dimana konsepnya amat mudah iaitu berasaskan origami. Petangnya, LDK 2 yang dinamakan "Belum cuba belum tahu". Aktiviti ini menguji kebijaksanaan para peserta bila mereka dikehendaki membuat terompah daripada kotak dan sebutir telur diletakkan di tapaknya. Terompah mestilah kukuh dan kuat untuk melindungi telur daripada pecah dan retak. Saat-saat melucukan adalah ketika ujian ketahanan untuk terompah-terompah dilakukan. Tak kering gusi kami ketawa dengan gelagat para peserta. Hanya satu kumpulan saja yang berjaya menghasilkan terompah paling kukuh tanpa terjejas sedikit pun telur yang diletakkan ditapak terompah setelah diuji berkali-kali. Sesi riadhah pula merupakan acara bebas dimana fasilitator yang menentukan aktiviti yang mahu dijalankan. Ada yang bermain sepak takraw, bola jaring, berlari keliling padang, dan juga berpoco-poco. Program pada hari Sabtu berakhir kira-kira jam 7.00 malam dan akan disambung semula pada keesokan hari. Malamnya, para fasilitator berkumpul untuk pengisian oleh Saudara Merico bagi mengisi masa lapang. Dalam pada menanti slot berlangsung, salah seorang daripada kami tiba-tiba mengalami sesak nafas. Keadaan beliau amat membimbangkan dan kelihatan sangat teruk. Kami cuba meredakan keadaan yang tiba-tiba menyerang. Selepas menanti beberapa ketika, beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulan kerana tiada tanda-tanda beliau akan pulih dengan bantuan minyak panas dan urutan. Slot pada malam itu dihentikan dan diganti dengan bacaan yasin kerana ada unsur-unsur gangguan pada keadaan yang menimpa beliau. Demi keselamatan, muslimat dikehendaki bermalam di dewan.

Ahad, 31 Januari 2010
Keesokan paginya, masing-masing terjaga agak lewat.Usai solat subuh berjemaah dan bacaan ma'thurat, semua bersiap untuk kemuncak Program Memperingati Rasulullah ini. Sementara para peserta mengikuti riadhah pagi, beberapa urusetia yang terlibat membuat persembahan mengambil kesempatan untuk berlatih, termasuklah aku. Aku diberi kepercayaan untuk menceritakan sebuah kisah bertajuk Hijrah. Satu tips berguna dan amat berkesan yang diberi Najib sedikit sebanyak membantu menghilangkan kerisauan. Apa tipsnya? Rakam suara dengan apa-apa perakam dan bercerita semula dengan berpandukan rakaman tadi. Sangat berkesan sebenarnya. Tak perlu lagi membawa teks. Tapi, tips hanya tinggal tips bila mana ear-phone yang disumbat ketelinga tercabut sambungannya ke telefon bimbit saat aku kalut memasukkan telefon bimbit ke dalam poket jaket sebelum naik ke pentas. Adoyai, sia-sia saja berlatih bagai tanpa teks...! Bila dah kalut, terpaksa juga baca dari teks.

Slot kemuncak ini disusun dengan pelbagai siri persembahan termasuk sajak, cerita-cerita tentang kehidupan Rasulullah, nasyid, dan bacaan khutbah widak. Suasana paling sayu saat khutbah widak dibacakan oleh Saudara Hisham dan penceritaan kewafatan Baginda yang penuh emosi oleh Saudara Azli hingga membuatkan para hadirin menitiskan air mata. Sungguh, benar-benar menyentuh hati. Acara ditamatkan dengan persembahan tidak terancang oleh kami para fasilitator dan urusetia sebagai tanda terima kasih kepada pihak sekolah dan adik-adik peserta kerana kerjasama yang telah diberikan. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk kumpulan yang menang dan peserta terbaik serta penyampaian cenderahati kepada pihak sekolah. Sebelum berpisah, sesi bersalam-salaman berjalan.

Perjalanan pulang bermula kira-kira jam 3.00 petang. Tapi, sebelum bergerak meninggalkan perkarangan sekolah, sesi bergambar antara komiti program dan guru-guru yang terlibat berlangsung. Kami memang pantang dengan kamera DSLR Saudara Shardiansha. Pantang nampak Sha lalu dengan kameranya..!Hehehe.. Suasana sepanjang perjalanan pulang dalam bas sunyi daripada suara-suara penumpang kerana majoritinya terlelap kepenatan. Cuma bising dengan bunyi dari televisyen. Mana-mana yang masih bersisa tenaganya, melayan filem Avatar yang ditayangkan di televisyen. Kami tiba di hadapan PKP tatkala jarum jam berada di angka 7, dengan satu 'penumpang gelap' yang senyap-senyap menyelinap masuk ke dalam tempat penyimpanan barang. Siapakah dia? Oh, bukan orang mahupun 'beruang'. Tapi hanyalah seekor katak. Sekian saja catatan untuk journey kali ini.

Nota: Gambar-gambar sepanjang program akan diupload kemudian.

Thursday, 15 October 2009

Malam Kesenian Amal Aidilfitri

Entri ini ditulis khas untuk Abang Garang yang berada nun jauh di sana. Kenapa Abang Garang? Kerana sewaktu Konsert ini dimulakan, beliau telah menghantar SMS padaku bertanyakan tentang perjalanan program. Turut dinyatakan adalah kesedihan kerana tidak dapat sama-sama menghadiri Konsert Kesenian Amal yang diadakan buat kali ke-2 di UNISEL ini. Semoga Abang Garang mendapat gambaran tentang apa yang telah berlaku sepanjang program. Selamat Membaca..

Pada 8 Oktober 2009 bersamaan 19 Syawal 1430 H yang lalu, Persatuan i Rakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Hal Ehwal Unit Pemuda Masjid UNISEL telah mengadakan Konsert Kesenian Amal Sempena Aidilfitri buat kali kedua dengan jayanya. Program dimulakan hampir jam 9.00 Malam. Namun, perasmi bagi Konsert ini, YB Dr. Halimah Ali telah pun tiba seawal waktu maghrib lagi. Disebabkan beliau berpuasa pada hari tersebut, maka jamuan VVIP telah diadakan di Bilik Syura Masjid UNISEL. Aku, Tuan Pengarah, Faien,dan ketua AJK Jamuan serta dua orang anak buahnya telah ditempatkan di situ untuk meladeni YB Halimah, TNC HEP, Prof. Madya Hj. Zainal Abidin Kidam, serta PA YB. Halimah bersantap. Usai solat isya', kami semua bergegas ke Dewan Utama untuk acara seterusnya. Agak malang kerana aku tidak dapat menyaksikan bagaimana sambutan ketika VVIP masuk ke dalam dewan. Cuma yang pasti, alunan selawat yang mengiringi perarakan masuk tetamu VVIP kedengaran sayup-sayup di luar dewan. Berjalan seperti yang dirancang. Selepas ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Saudara Syahir, bacaan doa diaminkan memohon keberkatan perjalanan majlis. Seterusnya, ucapan perasmian oleh YB Dr. Halimah Ali. Banyak nasihat dan peringatan terkandung dalam ucapan beliau. Beliau juga turut memperkatakan tentang program Jelajah Ilmuan yang akan bermula pada awal bulan depan. Selebihnya, aku perlu merujuk pada Naib S/U yang duduk disebelahku dan mencatat segalanya. Hehehe... Sejurus selepas program dirasmikan, 2 jejaka berbaju melayu hitam segak berjalan dari belakang membawa cermin setinggi seorang manusia untuk ditandatangan oleh YB sebagai gimik perasmian, ditemani sorotan lampu sehingga ke pentas.

Persembahan pembukaan dimulakan dengan alunan bacaan Al-Quran oleh Juara Akademi Al-Quran musim ke-3. Kemudian kumpulan Destiny memulakan dengan 2 buah lagu (tak ingat pulak apa tajuknya). Sedikit kelainan pada konsert kali ini, diselitkan dengan persembahan dari UCCA (Unisel Chinese Culture Association) iaitu tarian singa. Sangat comel dan menyeronokkan. Kedua-dua singa masuk ke dewan dari pintu masuk terus ke atas pentas. Sempat bersalaman dengan tetamu VIP sebelum keluar dewan melalui celahan penonton. Apa yang istimewanya, tarian ini dipersembahkan sendiri oleh ahli-ahli UCCA yang merupakan pelajar UNISEL, tanpa penyertaan dari organisasi luar seperti kebiasaannya. Seterusnya, persembahan dari MESTICA dengan 3 buah lagu (pun terlupa apa tajuknya). Kemudian, bacaan puisi oleh Mantan Presiden Ke-2 i Rakan, Saudara Abd Haez Abd Rahim bersama-sama dengan Saudara Najib Dan Saudara Yusof sebagai suara latar. Sayu dan menikam kalbu bait-bait puisinya. Diteruskan lagi dengan persembahan kebudayaan dari ICLS (Indian Culturul Language Society) iaitu Tarian...erk, ape ye? Ada disebutkan malam tu, terlupa jugak. Tapi something to do with kayu la. Macam seronok je kalau buat sendiri. Hehehe..Acara seterusnya adalah cabutan bertuah. Mantan Presiden pertama i Rakan agak bertuah kerana nombornya turut tercabut. Tahniah..! Persembahan kemuncak oleh UNIC. Kali ini pun, mereka masuk dari pintu utama dewan, bukan dari belakang pentas seperti persembahan lain. Persembahan dimulakan dengan nyanyian 4 buah lagu medley (tajuknya kemudian ye) sebelum sesi taaruf. Usai sesi taaruf, sesi beramah mesra bersama penonton. 2 orang penonton muslimin telah naik ke pentas untuk sesi ini. Beberapa dialog dan aksi melucukan keluar pada waktu ini. Sakit perut kami ketawa. Abang Garang mungkin sedang mengenang nostalgia lama waktu konsert terdahulu bukan? Kerana andalah yang naik ke pentas bersama Saudara Shafidy(turut hadir kali ini) tika itu. Sudah sesi mengenakan, terkena dan ketawa, UNIC mendendangkan sebuah lagu sedih, Ke Makam Bonda. Sangat sayu dan menusuk kalbu. Mungkin, bagi yang sudah kehilangan bonda tersayang sangat terkesan dengan lagu ini. Akhirnya, persembahan gabungan dari kesemua artis jemputan, sebuah lagu raya, Zapin Aidilfitri. Begitulah pengisian untuk konsert kali ini.

Sudah makan-makan untuk AJK, sesi bergambar bersama artis-artis jemputan. Yang terakhir, adalah sesi mengemas dewan. Disebabkan masing-masing bergaya dengan baju dan kasut raya, habis je berkemas, ada yang tersandar kat tiang dewan tu; lempoh. Ada jugak yang dah tanggal kasut dan selesa berjalan tanpa alas. Hehehe..jangan marah ye orang yang terlibat.

Sedikit perbezaan dulu dan sekarang.Maafkan diriku kerana membuat perbandingan ini....

Dulu...AJK tak seramai sekarang.

Sekarang...penonton lebih memenuhi ruang dewan dan mendapat Majalah sebagai cenderahati.

Dulu...persiapan dewan tidak sehebat sekarang kerana kami baru hendak menapak.

Sekarang...walaupun program macam bidan terjun, alhamdulillah semuanya berjaya berbanding dulu yang rapi persediaannya.

Dulu...Man sanggup datang dari jauh untuk memberi sokongan padaku berbanding sekarang yang hanya ditemani sahabat-sahabat dari UNISEL

Sekarang...Tiada pensyarah yang hadir memenuhi kerusi yang disediakan untuk mereka berbanding dulu yang kerusinya diisi dengan pensyarah-pensyarah sebagai tetamu jemputan.

Disebalik perbezaaan dulu dan sekarang, kedua-duanya mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Yang pastinya, kedua-duanya meninggalkan kesan yang sangat bermakna pada diriku sebagai orang dulu dan sekarang. Fahamkah anda apa yang cuba aku sampaikan?

Nota: Nama asal program ini adalah Malam Kesenian Amal dengan motonya Irama Sufi Mencorak Nurani. Tetapi bila sampai pada Sha untuk urusan banner dan bunting, nama dan motonya telah bertukar kepada Konsert Kesenian Amal dengan motonya Irama Sufi Mencorak Rohani.

*Gambar-gambar akan diupload kemudian ye...Maklumat yang dilupakan juga akan dikemaskini selepas ku merujuk pada Cik Naib S/U ..Harap Abang Garang puas hati dengan apa yang ku coretkan dan jemput ke Program Tautan Lebaran pada 17 Oktober ni ye kalau ada kemampuan..

Wednesday, 24 June 2009

10 Tahun UNISEL

Seawal pagi lagi aku sudah bersiap untuk ke Majlis Sambutan 10 Tahun Unisel yang diadakan di Dewan Utama, UNISEL. Maklumat yang diterima dari Shardiansha, perlu berada di sana seawal 7.30 pagi. Awal tu.. Namun maklumat dari Kak Chik mengatakan majlis hanya akan bermula 9.00 pagi. Jadi, aku memilih pertengahannya. Kira-kira jam 8.30 pagi aku sampai di Dewan Utama. Meriah suasana di perkarangan dewan. Tika melangkah masuk ke dalam, kerusi yang ada hampir penuh. Mujurlah beberapa sahabat yang lain sudah menempah sebaris tempat duduk untuk persatuan kami.

Kira-kira jam 9.15 pagi, YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Abdul Khalid Ibrahim tiba. Tepat seperti yang tertulis dalam buku aturcara. Bermula dengan pemeriksaan perbarisan kehormat Askar Wataniah di dataran dewan dan persembahan kebudayaan dan seni mempertahankan diri di luar dan lobi dewan. Sejurus selepas tetamu kehormat dan jemputan lain mengambil tempat, majlis dimulakan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor. Persembahan dari kumpulan nasyid Nur I See turut menyerikan lagi majlis pada pagi yang hening ini diikuti dengan bacaan doa bagi memberkati lagi majlis sambutan ini. Majlis diteruskan lagi dengan persembahan pentomin dan deklamasi sajak oleh mahasiswa UNISEL. Seterusnya, ucapan dari Naib Canselor UNISEL, Datuk Dr. Rosti bin Saruwono dan akhirnya ucapan perasmian oleh YAB Dato' Abdul Khalid Ibrahim. Setelah sempurna gimik persamian dan nyanyian lagu UNISEL, kesemua tetamu kehormat melawat ke booth-booth pameran yang tersedia di bahagian belakang dewan dengan diiringi pihak pengurusan UNISEL serta barisan MPP. Majlis bersurai kira-kira jam 12.30 tengah hari, setengah jam awal dari jangkaan.

Friday, 19 June 2009

Segalanya Tetap di Ingatan : Episod 2

Kacau fasilitator kumpulan lain


Konon-konon sibuk tengok apa adik-adik kumpulan buat =)


Perasmian yang tak menjadi (tali rafia pun belasah je la...)



Cuba nak jadi Mac Gyver ke Faien?Hehehe..

Insiden haru.."Residen masuk..residen.."


Sesi sarapan pagi bersama Ketua Biro


Sesi berpidato...


Barisan pengadil pidato yang 'berkakilebar'


Gambar 'bercambah' yang goyang..



Pandangan sisi...

"Kembong, katak kembong, katak kembong, katak kempis..."


"Mengumumkan ketibaan......"


Pidato Kepimpinan oleh YB Nurul Izzah


Sesi Soal Jawab...

Kedua-dua Farahin mengabadikan kenangan bersama YDP dan NYDP


Ni buat apa ni? Aerobik ke, poco-poco?

Kelas Poco-poco segera


Dah habis dah..sambung Treasure Hunt pulak lepas ni..


Penjaga Checkpoint terakhir



Retro 60-an di zaman milenia

Orang biasa...Basikal Tua...


Sesi salam mahabbah sebelum berpisah...


Sunday, 31 May 2009

Segalanya Tetap di Ingatan

28 Mei 2009..Hari terakhir bagi Minggu Tekad Siswa sesi Mei 2008/2009. Terasa sayu bila memikirkan waktu yang beranjak pergi. 6 hari yang diperuntukkan tidak terasa lama. Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti yang dirancang walaupun tetap ada sedikit kekurangan. Cuma pada hari pendaftaran(23 Mei 2009), keadaan tidak selancar yang diharapkan. Seawal 8.30 pagi aku dan pasukanku mengambil tempat masing-masing. Bersedia untuk memastikan keadaan di residen lancar. Mulanya, kami masih boleh berbual dan bergoyang kaki memandangkan masih belum banyak kenderaan dan manusia di kawasan residen. Tatkala matahari tegak di atas kepala, ketegangan mulai terasa baik di pihak kami mahupun ibu bapa dan pelajar baru yang mendaftar. Mungkin kerana bahang mentari yang agak bisa atau juga masalah di Dewan Utama. Entah.. Kami tetap berusaha mengawal keadaan hinggalah aku hampir putus asa ketika sebahagian besar daripada mereka tidak mahu bekerjasama dengan peraturan yang telah ditetapkan hingga menyebabkan laluan di Cluster menjadi sesak dan kenderaan tidak dapat bergerak langsung! Saat itu, Allah saja yang tahu apa yang terzahir di hatiku dan mungkin juga sahabat-sahabat lain. Namun, aku tetap semat di hati 3 prinsip yang diterapkan sepanjang MTS ini iaitu Sabar,Senyum dan Salam. Terima kasih tak terhingga ku ucapkan kepada pihak yang memahami tugas kami pada hari tersebut. Ada juga ibu bapa yang menyapa mesra dan mengikut saja peraturan yang termaktub. Sedikit sebanyak menyejukkan hati yang kian membara. Hingga petang, keadaan agak terkawal. Itupun setelah Ketua dan Penasihatku turun padang ke cluster siswi. Lewat petang itu, YDP MPP turut sama menyumbang bakti. Barulah kami tahu bahawa ada insiden yang berlaku di kaunter pendaftaran di Dewan Utama yang kami yakin merupakan penyumbang utama keadaan di residen menjadi kecoh dan tidak terkawal. Daripada senior-senior FMTS juga aku dikhabarkan bahawa inilah kali pertama keadaan berlaku seperti simulasi (situasi yang direka sewaktu simulasi lebih teruk daripada situasi sebenar).


"Residen Masuk...Residen"

Bila ditanya, kenapa susah-susah nak jadi FMTS? Dah la cuti sekejap. Penat pulak tu. Tak cukup tidur. Stress lagi. Itulah komen daripada segelintir rakan-rakanku. Kenapa ye? Tak dinafikan, memang penat. Tak cukup tidur, banyak jalan, stress dan yang sewaktu dengannya la. Disebalik semua keadaan tu, ada kemanisan yang pastinya takkan luput ditelan masa. Daripada cuma menjeling, jadi tersenyum. Daripada cuma tersenyum, jadi bertegur sapa. Itulah situasi sepanjang MTS. Kami bukannya kenal rapat antara satu sama lain. Tapi, secara tiba-tiba sudah terjalin satu ikatan antara kami. Pengalamanlah yang paling berharga dalam kamus hidupku kerana setiap pengalaman baru yang dilalui bakal mematangkan kehidupan yang ditempuhi. Lebih banyak kite memberi, lebih banyak kita dapat kembali. Bila dan bagaimana, hanya Allah yang berkuasa keatas segalanya.
"Apabila kalian diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah penghormatan itu
(dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah selalu membuat perhitungan atas tiap-tiap sesuatu."
(An-Nisa': 86)

Friday, 22 May 2009

FMTS Episod 2

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...
Masuk hari ini, genaplah seminggu aku kembali ke kampus yang masih lagi lengang. Cuma di beberapa tempat, meriah dengan suara dan gelagat mahasiswa yang sudah pun berada di sini sejak seminggu lalu. Ini merupakan kali kedua aku menyertai Minggu Tekad Siswa (MTS) dan kali ini aku diletakkan dalam Biro Residen. Bukan tidak mahu menabur bakti dengan Biro Sahsiah tapi aku lebih suka mengutip banyak pengalaman sementelah sewaktu mengisi borang permohonan pun Sahsiah tidak termasuk dalam senarai. Sewaktu pertama kali dahulu, Abang Garang yang juga Pengarah MTS (yang pada waktu itu adalah Minggu Apresiasi Siswa) mengingatkan supaya mencatat kesemua maklumat yang dibentang oleh biro-biro lain semasa pembentangan master plan berjalan. Kini, terbukti nasihat beliau amat-amat berguna. Malangnya, Buku Rahsia Kerajaanku yang mengandungi maklumat-maklumat tersebut tertinggal di rumah. Alhamdulillah, walaupun kami semua tidak pernah bekerja dalam Biro Residen sebelum ini, bantuan dari FMTS lain amat kami hargai.

Hari ini aku benar-benar stress. Beberapa kali aku restart laptop bila tiba-tiba 'hang' sewaktu sedang menyiapkan slide show untuk i Rakan. Kemudian, ketika mahu menjenguk ke laptop Faiz yang duduk di hadapanku, secara tak sengaja cawan berisi Nescafe jatuh dan mengalirlah semua cairan yang berada di dalamnya. Aku yang terkejut cepat-cepat mencari tisu dari dalam beg tanpa terfikir untuk menyelamatkan laptop yang sudah pun terkena Nescafe tersebut. Bila Faien menjerit "Akak, angkat la dulu laptop ni!", barulah aku tersedar. Gelabah aku bila suku daripada bahagian bawah laptopku dibasahi Nescafe tersebut. Cepat-cepat aku keringkan dengan tisu yang sudah pun berada di tangan. Mujurlah semuanya selamat. Lebih lega bila Fendi mengeluarkan teori sains bahawa Nescafe mempunyai kepekatan yang lebih berbanding air biasa. Aduh..terpaksa aku mengedit semula slide show yang hampir siap kerana plug pulak tercabut dari soket selepas bateri ditanggalkan. Sabar ajelah...

Kira-kira 4 petang, ketuaku memanggil semua anak buah untuk membincangkan mengenai tugasan kami serta memberitahu serba sedikit maklumat yang beliau peroleh daripada perjumpaan bersama pihak Jananiaga. Memang kerja kami agak sukar dan mencabar kerana kami bakal berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah ibu bapa semasa hari pendaftaran nanti. Masing-masing yang sudah keletihan kerana seharian duduk menunggu di kafe kelihatan tiada mood dan hilang tumpuan. Hinggalah ketika...

Hatimi:Masalah sekarang ni kat cluster. Kadang-kadang kereta yang ada lambang ni tak nak alih ke parking luar.

Faien:Kita cakap la elok-elok kat diorang.

Fendi:Nanti kalau orang lain tanya, kenapa kereta ni boleh parking kat sini?, nak cakap apa pulak?

Hatimi:Alah,pandai-pandai la cover macam yang Navin bagi tau semalam.

Masing-masing masih lagi blurr dan tidak menumpukan perhatian.

Faiz: Ah, kita cakap je kat pak cik yang tanya tu; "Pakcik, sebenarnya kereta ni memang rosak. Jom kita tolak ramai-ramai pergi kat luar".

Habis saja Faiz bersuara, semua ketawa besar. Boleh pulak macam tu ye? Hai, macam-macam.

Esok pagi merupakan simulasi sebelum hari sebenar menjelma. Aku pasti pelakon-pelakon handalan yang membintangi drama tanpa skrip ini akan beraksi dengan cemerlang. Cuma tunggu dan lihat sajalah...