Walaupun kami tahu latihan untuk POTO akan bermula jam 3.00 petang. Rasanya, tak salah sekali ni datang lewat sebab selalunya kamilah yang setia menunjuk muka. Agak lama juga kami meronda di SOGO. Sebelum berangkat, kami mengisi perut di M (bukan nama sebenar). Hehehe...Kesilapan paling besar adalah memesan air berkarbonat sejuk walaupun tekakku sudah terasa perit dan tidak selesa. Kami sampai di Dewan Utama pada jam 5.00 petang dan teman-teman lain sudah mula berlatih. Latihan hanya tamat pada jam 8.15 malam. Alhamdulillah, sempat juga aku makan malam bersama Kakak Bear(bukan nama sebenar) dan bertukar-tukar pandangan dan cerita.
Pagi Selasa. Sekali lagi aku diuji. Kali ini dengan kedinginan suhu, kepenatan yang mencengkam, suara yang tersekat di kerongkong dan jarak perjalanan yang harus aku lalui untuk sampai ke kelas kerana aku perlu menapak ke Fakulti Kejuruteraan, fakulti paling jauh di sini! Apatah lagi dalam keadaan hujan. Sepanjang berada di kelas, tumpuanku tidak sepenuhnya kerana terasa seperti mahu demam. Habis kelas, kami ke PP untuk makan tengahari sebelum meniti laluan pejalan kaki ke hostel. Benarlah bagai dikata. Dari petang hingga ke malam, aku hanya terlantar di katil.

Alhamdulillah, demamku surut pada hari Rabu. Yang tinggal cuma batuk dan muqaddimah selesema. Penyakit dua serangkai ini agak merisaukan kerana aku memerlukan suara untuk POTO. Cara terbaik adalah berpantang makan untuk seketika hinggalah POTO selesai. Latihan tetap berjalan seperti biasa hingga ke malam.
Debaran makin terasa pada Khamis yang telah menjelma. Oleh sebab petangnya ada kelas ganti oleh Miss Puspa, latihan hanya berlangsung pada waktu malam. Buat kali pertama, aku tidak menghadiri mesyuarat mingguan i Rakan. Ya, aku perlu utamakan yang utama kerana POTO adalah termasuk dalam markah untuk subjek 'Theatre in TESL'. Memandangkan latihan tamat agak awal, aku bercadang untuk tidur awal. Namun, sesuatu diluar dugaan telah berlaku. Siren panjang dari pondok pengawal menghadirkan rasa kurang enak. Tambahan pula, jam di meja sudah menginjak ke angka 2. Kemudian, sayup-sayup terdengar pengumuman. Aku cuma dapat menangkap perkataan 'kosongkan blok', 'berkumpul di gelanggang tenis', 'kebakaran' dan 'F2'. Cepat-cepat aku mengetuk pintu bilik sebelah untuk mengkhabarkan apa yang terjadi. Tapi, kami berbolak-balik untuk turun. Bila saja aku mendengar siren Bomba dan melihat sebuah jentera Bomba masuk ke kawasan hostel, perasaan cemas memuncak. Lantas aku menelefon Kakak Bear untuk bertanya memandangkan lokasi rumahnya yang dekat dengan pondok pengawal yang memungkinkan dia mendengar dengan jelas pengumuman yang dibuat. Huh! Lega bila dia mengatakan hanya penghuni di H2 yang diarahkan untuk mengosongkan bangunan. Tapi aku, Faien dan Kak Far turun juga untuk melihat apa yang berlaku sebenarnya. Aduh, rupanya kejadian tadi hanyalah sebahagian daripada latihan kebakaran. Benar-benar mengganggu waktu tidurku yang terhad....
Hari ini adalah hari terakhir untuk kami berlatih dengan props dan kostum bagi membiasakan keadaan esok. Masalah yang timbul memang banyak terutama dari bahagian teknikal. Bagiku, tiada majlis yang sempurna. Seharian kami berkampung di Dewan Utama. Hanya rehat untuk makan tengahari dan bersolat saja. Itupun kami cuma ke masjid untuk bersolat. Petangnya, barulah aku pulang ke hostel untuk membersihkan diri dan memakai 'kostum' kerana malam ini adalah 'rehearsal' penuh. Pertama kali berlakon dengan props dan kesan lampu. Kali pertama, memang bagiku yang terburuk kerana serba serbi tak kena. Pengarah juga tidak berpuas hati menyebabkan kami terpaksa ulang buat kali kedua. Kali ini, lebih bagus dan kukira sempurna. Sangkaku, cuma 2 kali. Tetapi, pengarah masih tidak berpuas hati menyebabkan kami bermula semula. Semuanya mengeluh dan menarik muka. Mana tidaknya, ada segelintir dari kami yang berada di Dewan dari pagi tanpa balik ke rumah waima untuk mandi atau menukar baju. Demi A+, kami buat-buat tak kisah. Tapi, rehearsal kali ini yang paling sempurna dan agak lucu juga kerana aksi-aksi tambahan yang dilakonkan oleh para pelakon dan semua yang terlibat dek kerana kepenatan. Semuanya tamat pada 2.00 pagi.
Hari kemuncak... Aku terjaga lewat pagi ini. Itupun dikejutkan oleh deringan Nokia 6810 menandakan ada mesej masuk. Cepat-cepat aku bangun untuk mengejar subuh yang hampir ke penghujung. Usai solat, barulah aku bersiap. Mujurlah Dewan masih lengang dan agak sunyi ketika kami sampai. Aku yang ditugaskan untuk protokol majlis terus bersedia untuk bertugas sebelum berada di belakang pentas. Mulanya risau juga kalau-kalau tetamu yang dijemput tidak kunjung tiba kerana masalah-masalah yang timbul sebelum ini. Namun, kerisauan yang bersarang di hati beransur pergi bila melihat satu demi satu bas sekolah berhenti di hadapan Dewan Utama. Hampir kesemua kerusi yang ada penuh. POTO bermula ketika jarum pendek jam berada di angka 10. Kita hanya merancang, Allah jualah yang menentukan. Walaupun kita cuba yang terbaik, pasti akan ada juga kesilapan. Biarlah kami sahaja mengetahui apa sebenarnya terjadi. Alhamdulillah, kejayaan berpihak pada kami. Tepukan dan reaksi dari penonton memberi galakan kepada kami untuk tidak lemah dengan kesilapan yang berlaku. Pementasan tamat s

Tugas aku belum berakhir kerana perlu membantu kumpulan B pula. Aku hanya meninggalkan Dewan pada jam 3.00 petang. Penatnya, tak dapat diungkap dengan kata-kata. Sampai di rumah, aku lantas bersolat zuhur sebelum terpacak di depan TV. Bimbang terlajak tidur andai bersantai di dalam bilik kerana penat.


Hari ini, satu tugas baru menanti. Perancangan awalku terpaksa dibatalkan kerana panggilan tugas. Seperti yang selalu Mantan Presiden i Rakan katakan, "Bersedia untuk tidak bersedia". Perasaan bersalah dan berbelah bagi memang menggunung. Antara tanggungjawab dan masa santai, aku wajib dahulukan tanggungjawab. Terasa mahu menarik diri di saat akhir tika membuka mata pagi tadi kerana kepenatan yang masih terasa. Seluruh badanku juga lenguh ditambah dengan kepala yang agak berat. Memikirkan janji yang sudah dibuat, aku gagahkan diri juga. Aku tiba di tempat kejadian pada jam 8.50 pagi. Bayang bosku masih belum kelihatan. Jadi, program hari ini bermula agak lambat. Aku yang tidak tahu menahu mengenai perjalanan program ini dipanggil oleh Presiden untuk diberi taklimat. Training of Facilitator. Program yang sekian lama dirancang telah menjadi kenyataan hari ini. Bila melihat tentatif, aku menarik nafas lega kerana program akan berakhir pada jam 2.00 petang. Aku mendapat pengalaman baru daripada program ini. Namun, seperti yang selalu terjadi, TOF siri 1 ini tamat lewat dari masa asalnya iaitu kira-kira 3.30 petang. Aku dan sahabiah lain redha dengan keadaan ini kerana sudah lali.