Engagement Fund ;)

Tuesday, 5 November 2024

Ada Ni Ha...

 Hai!

Tetiba dah bulan November ye? Masuk je bulan Ogos, memang mula sibuk dengan pelbagai program. Program yang dirancang awal untuk elak bertembung dengan program yang dijadualkan pada sukuan terakhir pun tertunda-tunda sampai bertembung jua akhirnya. Lepas tu sampai pula musim pendaftaran pelajar baharu universiti, lagilah sibuknya tu menguruskan permohonan-permohonan yang masuk untuk dapatkan silibus diploma bagi tujuan pindahan kredit. Memang banyak hari terpaksa balik malam sebab kena proses permohonan diorang ni ikut tarikh. Dalam panduan memang dah letak permohonan diproses dalam tempoh 10 hari bekerja (maksimum) sebab kerja saya bukan ini saja, banyak lagi kerja lain yang menuntut perhatian. Tapi sebab semua pun nak mengejar tarikh tutup yang ditetapkan universiti, nak tak nak memang terpaksa balik sampai malam untuk proses ni. Stress woi!

Lepas tu modem rumah rosak pula. Sim kad yang untuk internet pun tetiba kena terminate. Hangus baki kredit RM 10 dalam tu. Sobs... Dan kemudian PC rumah yang berfungsi macam tv pun rasanya macam nak kiok sebab bila pasang, dia kacau elektrik satu rumah. Mula-mula tak perasan dia tu punca; ada sekali tu waktu petang keluar nak angkat kain, dengar bunyi 'zzztttt..zzztttt...' dekat elektrik utama yang ada meter tu. Semalaman bekalan elektrik satu rumah terganggu sampai takut nak tidur sebab bekalan kuasa dia macam tak stabil. Kejap kipas jadi perlahan lepas tu lampu kelip-kelip. Lepas tu bila pasang suis lampu lain, tetiba satu rumah bergelap kemudian menyala balik. Jadi PC tu memang terus tutup tak buka dah sampai sekarang. Waktu tengah sibuk la macam-macam hal nak jadi. Tak sempat nak fikir alternatif jadi bila nak guna internet, kena hotspot dari telefon. Mujurlah ada laptop, boleh jugalah layan drama-drama simpanan yang ada.

Dah selesai audit ni baru sempat nak kemas rumah secara besar-besaran. Rumah ni kan kalau nak bagi sepah, cukup seminggu kau letak barang ikut dan, terus jadi tongkang pecah macam rumah bersepah dalam drama Korea tu. Hahahaha.. Proses mengemas masih dalam proses. Sejenis nak kena ada mood juga untuk mengemas ni. Modem baru dah beli, simkad baru pun dah beli. Selagi boleh tak terikat dengan kontrak bayaran bulanan, selagi tu saya usahakan. Satu lagi masalah yang menuntut penyelesaian adalah paip sinki dapur yang akhirnya tunggu masa nak mati. Masa baru masuk dulu, syok basuh pinggan sebab air laju. Lepas tu bila dah habis musim BDR (bekerja dari rumah), tetiba aliran air jadi perlahan. Waktu Kak Chik datang melawat tempoh hari pun beliau kata kenapa air ni tak laju macam dulu? Berkali dia pesan suruh bagi tahu tuan rumah untuk betulkan dan saya mestilah masih tak rajin nak bagi tahu sebab kena bersedia untuk tunggu kedatangan orang yang nak baiki tu. 

Sampailah dua bulan lepas tak silap, tiba-tiba aliran air dia terus menjadi sangat perlahan. Ingatkan sebab masih dalam musim ketiadaan bekalan air. Siap tanya Kak A lagi air rumah dia perlahan ke tak sebab dia duduk dalam kawasan yang sama. Dia kata rumah dia okey aje, jadi saya cuba buka paip luar. Nah, kemain deras air keluar. Maksudnya paip sinki dapur tu yang bermasalah. Kena rajinkan jugalah untuk bagi tahu tuan rumah. Sebagai penutup entri ni, terimalah koleksi kopi yang dibeli sepanjang musim sibuk. Saya kata, kekerapan kopi ni muncul menunjukkan tahap stress saya. Jadi kawan-kawan lain tahu dah kalau saya pergi beli kopi, mesti stresslah tu. Hahahaha... Walhal dalam laci ni ada macam-macam jenis kopi, tapi tetap nak pergi berjalan jauh semata-mata nak kopi susu chaebol ni.