Engagement Fund ;)

Monday, 16 June 2025

Benda Nak Jadi - Episod 1


Hai!
Ini kisah pada 21 Mei yang lalu. Orang kata benda nak jadi. Pagi tu sebelum nak pergi kerja, saya jatuh tergelincir depan peti ais. Mula-mula nak tergelincir tu, tahan dgn kaki kot la boleh tak payah jatuh. Tapi jatuh juga terduduk dan rebah, pakej ibu jari kaki kanan terpeleot ke terkena kaki peti sejuk ke tak ingat dah. Saya rasa macam terpeleot teruk sebab menahan beban badan ketika jatuh.
Lepas jatuh tu, memang sakit yang sangat sakit. Sakit dia tu macam tersepak benda tapi naik lagi beberapa skala dan tak hilang sakitnya sampailah menghampiri tengah hari. Dalam hati ada terdetik patah atau retak ke ye jari ni pasal sakit dia lain macam. Tapi otak kata nanti hilanglah sakit tu. Ada juga rasa tak nak pergi kerja dan nak ke klinik terus, tapi entahlah kenapa gigih sangat tahan sakit terus juga memandu ke pejabat. 😅😂😂 

Dia punya gigih dan gagah menahan sakit tu siap boleh pergi beli kuih untuk sarapan dekat Parit Baru pasal dah lama sungguh tak beli makanan di luar sejak kontrak kafe bawah pejabat ni bertukar. Jalan memang berseret la sampai ke sudah. Dekat pejabat terserempak dengan bos yang kebetulan masuk pejabat sekejap sebelum gerak ke lokasi kerja luar, bos kata pergilah klinik. Saya masih dok berfikir lagi. Bila dah nak dekat tengah hari tu baru nampak lebam dekat tempat sakit. Cuma waktu tu kesakitan dah berkurang. Dalam hati ada rasa kalau ke klinik ni macam akan cuti lama; maka saya teruslah siapkan kerja-kerja yang paling penting supaya dapat diserahkan kepada pegawai lain untuk dibantu uruskan langkah seterusnya. Waktu ni tak selera makan dah, cuma makan kuih hasil borongan pagi tadi je. Solat zuhur dulu dan lepas waktu rehat tengah hari baru ke KK Parit Baru sebab nampak jelas dah lebam biru walaupun dah tak berapa sakit. 

Masa doktor suruh tunjuk kaki, saya terus tanya, "Doktor rasa patah ke jari saya ni?" Doktor tu pun jawab, "Hmmmm... saya pun tak boleh nak kata patah pasal bukan mata xray." Hahaha... Cuma saya minta nak xray jugalah sebab hati kata ini bukan sekadar sakit biasa.  Maka, Doktor KK Parit Baru terus tulis surat rujukan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah atau sinonim dengan panggilan Hospital Sabak. Doktor nak bagi ubat tahan sakit juga, tapi saya cakap kat doktor tak payahlah bagi sebab dah tak sakit sangat. Beliau tanya, kalau skala 1 hingga 10, duduk dekat skala berapa? Aduh, kena fikir pula eh? Penyudahnya saya kata dalam skala 2 je kot sakitnya 😂. Doktor kata skala 2 tu takde la sakit sangat pun. Iye, benar. Yang sakit beria tu pagi tadi.

Dari KK tadi dapat dua surat; satu surat untuk doktor dan satu lagi untuk xray. Doktor KK kata, sampai sana terus ke xray baru ke kecemasan. Sebab tak pernah kan, pelik juga tapi kita ikut jelah cakap doktor. Rupanya kena terus pergi je ke Kecemasan untuk daftar, bagi surat rujukan tadi dekat kaunter saringan dan ada MA buat pemeriksaan asas dulu sebelum disuruh ke tempat x-ray. Kita ni dah berjalan ke tempat x-ray, pergi ke JPL dan dari JPL tu dia kata kena ke kecemasan dulu sebab kes berlaku dalam tempoh 24 jam. Lepas x-ray, kembali ke kecemasan jumpa doktor. Nasib baiklah lokasinya sebelah-menyebelah saja. Hasil x-ray, doktor kata memang ada patah ibu jari tapi tak terkeluar dari soket. Macam tulah lebih kurang penjelasan doktor. Maka, kena pakai splint dan berbalut biasa untuk bagi tulang tumbuh/cantum semula. Sebab dekat jari, tak perlu simen. Doktor bagi cuti sakit 10 hari hingga temu janji seterusnya. 


Dari KK Parit Baru sampai ke Hospital Sabak, memang sorang-sorang je urus diri sendiri. Bila doktor kata patah tu ada la rasa sebak memikirkan betapa saya kena gigih jaga diri dalam keadaan sakit kerana jauh dari keluarga. Mula rasa perlukan bantuan kawan-kawan bila MA di kecemasan tengah buat persiapan nak balut kaki sebab terfikir boleh ke nak memandu lepas kaki dibalut. Terus mesej Tecoma Ladies maklumkan yang mungkin perlu bantuan untuk balik ke rumah kerana mungkin sukar memandu dengan keadaan kaki berbalut. Haaa, bila dah kabor ke deme, deme kabor ke group WhatsApp jabatan kerana mengambil kira perlu bantuan untuk bawa pulang kereta saya dari hospital. Tahu tu sebab ada beberapa rakan di jabatan mesej secara peribadi bertanya khabar. Hahahadoi... Waktu tu dah menghampiri waktu balik pun. Langsung Kak Linie kata tunggu dekat hospital, jangan balik sendiri. Bila dah sampai di kereta saya cuba letak kaki di pedal dan rasanya boleh je ni memandu pulang. Cuma tak boleh pakai kasut semasa memandu. Mujurlah ada plastik beli kek semalamnya, kita sarungkan plastik tu. Dia yang jadi gigih bebenor nak juga memandu sendiri tu pasal kereta saya si Taejang ni kan manual, siapa jelah yang masih reti pandu kereta manual di zaman TikTok ni? Alhamdulillah selamat tiba di rumah dengan diiringi oleh Kak Linie.