Lama tak
membebel mengarang dalam ni, rindu pula. Manakan sama karangan pendek dalam Instagram dengan karangan berjela dalam blog kan? Lagipun kesian dekat pengikut di Instagram yang nak tengok gambar tiba-tiba kena baca karangan berjela kalau dekat sana sebab sana tak ada pintu. Dekat sini ada pintunya; agak-agak bosan baca cerita meleret, silakan tekan 'X' di hujung atas belah kanan.
Itu dia, mukadimah saja dah satu perenggan. Hahaha.. Baiklah, mari kembali ke pangkal jalan. Kali ni nak catatkan sikitlah cerita persiapan hari raya yang lalu. Biasalah, dah cukup tempoh peraman baru sedap nak karang kan? Macam kimchi, kena peram dulu baru sedap nak makan. Tahun ni persiapan raya biasa-biasa aje. Keadaan ekonomi pun kurang baik, jadi seadanya sajalah. Bila dah tak ada mak, sayalah satu-satunya orang perempuan dalam rumah ni yang kena urus semua benda. Mujurlah Arwah Mak dah latih dan kerah dari dulu, jadinya dah tahulah apa yang kena buat. Anak perempuan seorang, memang apa-apa pun sayalah yang kena dulu sebab saya yang sentiasa akan ada di rumah.
Bila nak raya, benda paling penting adalah mengemas rumah walaupun secara semulajadinya, bab mengemas rumah tak berapa nak minat dari dulu lagi. Kalau diberi pilihan nak kena mengemas atau kena memasak, saya lagi rela duduk dapur memasak dan kemaskan sepah selepas memasak. Agak tertekan la juga bila tiba musim raya sebab dari A sampai Z saya buat semua untuk bahagian dalam rumah. Sekarang dah tahulah kenapa suara Arwah Mak kerap naik tinggi waktu nak raya. Stress oi nak fikir dan buat semua benda! Tapi sebenarnya stress pasal ni tak boleh layan sangat sebab kalau layan jadilah macam saya ni ha, merajuk tak bercakap sampai seminggu.
Pasang langsir pun saya yang buat.
Orang lain mana? Abah memang uruskan bahagian luar rumahlah jadi tak adalah nak minta tolong Abah buat yang dalam rumah. Cuma dok membebel dekat abang-abang la minta tolong mengemop dan mengelap. Tapi bila banyak bebel, lagi buat tak tahu pula. Dah bahagi tugas, abang nombor 1 lap sana, abang nombor 2 lap sini. Cakap dari awal puasa, sampai beberapa hari nak raya, tak jalan! Sudahnya, saya buat satu senarai tugas dan tampal dekat peti sejuk dan tak cakap apa-apa dah lepas tu. Sengaja letak senarai tugas saya lagi panjang berjela berbanding diorang dengan harapan ada la diorang nak tawarkan diri untuk tolong buat sebahagian tugas saya, nan hado ye.
Oleh itu, malam raya mogok tak buat apa-apa tapi duduk depan laptop mengadap Korea. Tak pernah-pernah buat perangai ni, tahun ni perangai ni muncul. Tapi masih lagi fikir rasional. Lepas layan dua episod drama, bangun la balik sambung kemas mana-mana yang wajib. Siap mop dapur, mop ruang tengah, susun gelas, dan isi kuih dalam balang terus. Tugas orang lain sekali saya buat sebab nak merajuk punya pasal. Memang sepanjang raya banyak berkurung dalam bilik kecuali waktu makcik-makcik datang beraya, baru keluar. Lauk raya pun masak rendang je semata-mata walaupun dalam otak dah fikir nak masak macam-macam. Hehehe..
Tahun ni kuih raya kurang meriah sebab tak dapat nak beli biskut-biskut yang biasa beli. Terpaksa tempah dekat orang lain tapi tak sedap sangat. Sobs.. Bolehlah dari tak ada. Sebenarnya rindu nak buat biskut sendiri tapi biasalah, bila minta tolong orang lain tengokkan oven yang semput tu dari sebelum puasa sampai dah nak raya tak ditengokkan, tak adalah biskutnya. Kerepek-kerepek beli je dari tempat biasa, begitu juga dengan rempeyek. Mujurlah Wak Jiah buka juga tempahan untuk pelanggan-pelanggan yang memang rapat dan biasa ambil dengan dia walaupun keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkan. Kalau tak, tak tahulah nak tempah dekat siapa. Moga Wak Jiah dikurniakan kesihatan yang baik supaya boleh terus buat peyek.

Sekuali besar rendang daging yang waktu potong daging ni, berjuraian air mata sebab banyak gila lemak degil pada daging. Sobs.. Sebenarnya sebab utama adalah stress kena uruskan rumah sendiri, bila ada sebab nyata, memang teresak-esaklah menangis dekat dapur sorang-sorang. Hahaha..
Satu bonet penuh dengan rempeyek dan tumpi untuk rumah dan juga kiriman orang lain.
Ini bahagian kerepek pula. Kerepek pun ada orang lain tempah juga, jadi belikan jugalah walaupun tahun ni tak ambil tempahan.
Balang-balang kuih yang nasib baik dah keluarkan dan basuh awal-awal.
Siap isi tiga set hidangan kuih raya untuk tiga tempat. Maklumlah ada orang tua dekat rumah, jadi tetamu pun boleh tahan ramai datang ziarah.
Isi perut balang. Balang dan Tupperware yang saiz besar ni isi kerepek sebab kerepek biasanya cepat surut. Letak dalam bekas besar jadi tak payah nak isi dengan kerap.
Baju raya pula ada cuma tak beria la macam selalu. Wajib ada, mestilah baju kurung. Tiap tahun pun baju raya mesti ada baju kurung dan sepasang baju berfesyen beli siap. Tahun ni tak adalah baju berfesyen tu sebab kena jimat, jadi cuma tempah baju kurung je sepasang dekat Kak Wan guna kain kapas yang beli dekat Gwangjang tahun lepas. Lepas tu bos bagi tudung satin mahal pula (tahu mahal sebab sebelum ni pernah tengok dekat Facebook harga dia) sebelum puasa tempoh hari, jadi tudung tu suai padan saja dengan blouse dari Bello Scarves dan kain batik pastel yang patutnya pakai untuk raya tahun lepas. Untuk Nenek pun alhamdulillah sempatlah tempahkan sepasang baju kurung. Baju Abah pula belikan kemeja ala-ala batik je sebab kalau bagi baju melayu, takut Abah tak pakai.

Kemeja raya untuk Abah. Saya suka beli jenama GMV ni sebab kainnya selesa dan coraknya ringkas tapi eksklusif walaupun harganya mahal. Tak apalah, untuk Abah kan? Baju sendiri selamba je beli sampai beratus, takkan untuk Abah tak boleh?
Duit belanja untuk raya hasil kutipan dari Abang-abang. Tak nak sumbang banyak tenaga kan? Bak sini duit banyak-banyak untuk tampung belanja. Muahahaha... Biasanya saya okey je keluar duit sendiri untuk belanja rumah ni tapi tahun ni memang minta semua orang bagi amaun yang ditetapkan. Bukan tak mampu pun, mampu je semua.
Jadi, itulah dia cerita persiapan raya untuk tahun 2017. Tiap tahun pun sama je rutinnya. Kena kemas rumah, kena sediakan kuih raya, kena sediakan juadah untuk raya, kena adakan baju baru mengikut bajet dan kena sabar banyak-banyak. Bila orang kata musim raya pakai banyak duit, memang betul. Jadinya, kepada yang bujang dan tak biasa ambil tahu aliran perbelanjaan untuk musim perayaan, bolehlah mula ambil tahu. Sumbanglah sorang sikit duit pada mak ayah untuk ringankan beban. Kalau tak mampu sumbang duit, sumbang tenaga pun dah cukup dah.
Lepas ni inshaAllah muncul cerita beraya pula walaupun orang lain dah mula buat persiapan untuk raya haji. Sekian, catatan Cik Farae untuk rujukan tahun depan supaya janganlah merajuk lagi waktu raya. Kahkahkah...