Sebelum September melabuhkan tirai, saya seru semua semangat yang ada untuk menaip kisah raya yang lalu. Cerita raya kami mungkin tak sama dengan keluarga lain dan rutin sama berulang setiap tahun, setakat ini. Bila tiba raya, macam-macam hashtag muncul di media sosial. Saya punya hashtag adalah #teamtuanrumah sebab minggu pertama raya memang tak kemana-mana. Kalau keluar pun takat beraya rumah saudara-mara di dalam kampung je.
#teamtuanrumah ni sejak azali lagi sebab tinggal di rumah pusaka belah keluarga Arwah Mak. Sekarang pula, Nenek belah Abah dah duduk sekali dekat sini, maka memang duduk di rumahlah tunggu tetamu datang sebab ada orang tua. Keluar beraya pusingan pertama adalah selepas seminggu Syawal. Destinasinya adalah ke rumah makcik-makcik dan pakcik yang masih ada. Untuk pusingan pertama ni, tak jumpa pula gambarnya. Kalau nak tunggu jumpa gambar, memang tak ada la ceritanya. Hehehe..
Jarak di antara satu rumah dengan rumah yang lain jauh. Jadi kami ke Bukit Beruntung dulu untuk ke rumah adik Arwah Mak, Cik Iti. Tapi, sampai sana, tak ada orang. Bila telefon, rupanya keluar beraya juga. Tak ada rezeki nak beraya situ. Teruslah ke Felda Soeharto melawat suami kepada arwah kakak kedua Arwah Mak. Walaupun Wak kami dah tak ada, tiap tahun Abah mesti nak pergi juga jenguk Wak Sairin. Dari Soeharto, kami ke Gombak pula, beraya rumah Cik Esah, isteri arwah adik lelaki Arwah Mak. Tak rancang pun tapi sebab satu jalan, singgah jelah. Dekat sana, jumpa Cik Iti dengan anak-anak. Maka salam minta maaf kat situ jelah. Hehehe..
Pusingan kedua, minggu berikutnya tak silap. Kali ni pergi kondangan dulu rumah sepupu Abah dekat kampung sebelah. Rumah saudara, tak adalah segan nak makan banyak-banyak. Lauk semua lauk Jawa, lagilah syok! Agak lama juga dekat sini sebab Abah jumpa saudara mara yang lain. Lepas kondangan, terus gerak ke Klang untuk beraya rumah sepupu-sepapat.
Pinggan saya. Terserlah kejawaannya bila ada lemper dengan lauk kulit lembu tu.
Diakhiri dengan aiskrim kon. Aiskrim ni ambil lepas salam nak balik sebab lorinya dekat tepi jalan nak masuk rumah.
Keluarga kecil saya.
Disebabkan sepupu-sepapat ni berkumpul satu tempat, maka memang makan masa sehari untuk ke semua rumah yang ada. Ada juga rumah yang kosong jadi kami pergi rumah yang ada orang jelah. Mula-mula ke rumah Abang Jack tapi dianya tak ada, ada isterinya je. Singgah la juga sebab ada orang. Dekat sini jumpa Cik Iti lagi dengan anak-anaknya. Kebetulan dia pun baru sampai, maka untuk rondaan seterusnya, saing la dua keluarga.
Dari rumah Abang Jack, ke rumah Abang Hamid. Lama juga borak-borak, makan kuih raya sebelum ke rumah Abang Abib. Dekat rumah Abang Abib, kami dijamu dengan laksa sedap air tangan Kak Kiah. Kebetulan memang teringin nak makan laksa, memang rezeki betul ni. Sambil makan sambil borak. Orang tua-tua la borak, kami dengar je. Heee.. Macam-macam cerita keluar tapi banyak pasal kelapa sawit la sebab bidang kerja Abah dengan Abang Abib.
Waktu nak keluar dari rumah Abang Abib nak ke rumah Kak Yati, terserempak dengan Abang Hamid letak bungkusan plastik dekat atas kereta. Rezeki dapat ayam mentah dari tauke ayam. Dekat rumah Kak Yati tak lama pun sebab dia nak hantar anak balik ke asrama. Tapi habislah juga segelas air dan sebalang maruku. Eh! Hahaha.. Orang jemput makan, kena makan.
Rumah kedua terakhir adalah rumah Arwah Abang Deni. Baguslah juga gerak sama-sama dengan Cik Iti sebab dapat pergi rumah yang susah nak pergi. Yang ada dekat rumah cuma anak-anaknya. Memang lama sangat tak jumpa anak-anak saudara ni. Zaman kecil-kecil dulu selalulah juga jumpa dan waktu Arwah Mak masih ada, memang jarang sepupu-sepupu ni tak datang rumah kami waktu raya. Lama juga dekat sini sebab siap solat asar lagi.
Rumah terakhir adalah rumah Abang Bakir, yang duduk di rumah pusaka iaitu rumah Arwah Wak Nah, kakak sulung Arwah Mak. Nostalgia betul rumah Wak Nah ni sebab dulu selalu juga ikut bermalam di sini dengan Arwah Mak kalau ada kenduri. Waktu kami datang tengah hari tadi, tuan rumahnya tak ada. Kebetulan bila nak keluar dari belakang, orangnya dah balik. Singgahlah sekejap.
Dekat sini lama juga sebab sekali nak tengok keadaan Abang Bakir yang baru je kemalangan sebelum nak puasa tu.Waktu lepas kemalangan tu tak boleh bergerak juga sebab tangannya patah tiga. Masa kami pergi beraya tu pun tangannya masih berbalut tapi dah boleh memandu. Sebelum balik, semua orang kena paksa bergambar untuk kenang-kenangan. Bukan senang nak berkumpul ramai-ramai macam ni.
Tangga rumah nostalgia.
Dari Rantau Panjang, terus ke Perepat nak beraya rumah Abang Leh. Dulu dia duduk dekat sebelah rumah Arwah Wak Nah. Tak lama lepas isterinya meninggal tak silap, dia pindah ke Perepat sebab senang nak uruskan lembu-lembunya dekat kandang baru. Tadi jumpa tauke ayam, ni jumpa tauke lembu. Nak sampai rumah Abang Leh ni kena masuk dekat ceruk; memang rumah dia je sorang dekat situ. Yelah, kalau bela haiwan ni kan ada bau-bauan yang pelik, jadi kenalah cari tempat yang jauh dari petempatan.
Saya pertama kali sampai sini jadi jakunlah sikit. Turun kereta je memang bau lembu menerpa hidung. Disebabkan kami dah telefon dulu nak datang, jadi tuan rumah dah siap goreng mi dah. Tapi lepas bersalaman dan bertanya khabar, saya dan sepupu yang lain terus minta izin nak tengok lembu di kandang. Kandangnya pun depan rumah je. Semua jakunlah kan nampak lembu besar gabak depan mata. Mula-mula pelik juga kenapa lembu-lembu ni lain macam besar saiznya, kemudian tu waktu borak-borak, Abang Leh bagi tahu yang lembu-lembu tu lembu import untuk pasaran daging. Kalau lembu untuk buat korban, lembu kampung; lembu yang biasa nampak dekat kampung-kampung atau tepi jalan. Kisahnyaaa..
Dah puas kacau lembu dan berperang dengan nyamuk dekat kandang, barulah kembali ke pangkal jalan. Sambil makan, sambil borak tentang macam-macam benda. Tapi topik utamanya adalah tentang perniagaan lembu dan daging. Kalau dulu Abang Leh ni jual daging juga dekat pasar tapi sekarang perniagaan daging dah diambil alih oleh anak-anak lelakinya; dia cuma fokus pada stok lembu hidup saja. Macam-macam cerita jerih-perih dunia perniagaan ni dia kongsi termasuklah pernah terkena buatan orang sebab dengki. Selama ni dengar dan baca cerita orang lain, rupanya keluarga sendiri ada pengalaman. Bukan senang nak senang.
Pandangan tepi kandang.
Saya dan lembu. Boleh tahan banyak nyamuk dekat sini sebab dah lewat petang dan kawasan kebun kot.
Borak punya borak, azan maghrib pun berkumandang. Maka yang perempuan solat dekat situ manakala yang lelaki ke masjid yang terletak di jalan utama. Tak terus balik sebab Abang Leh nak belanja makan malam dekat kedai makan isteri barunya. Wah, rezeki lagi. Orang nak bagi, kita terima. Bila lagi kan nak merasa? Jumpa setahun sekali pun belum tentu.
Sampai kedai isteri Abang Leh, kami pesan air je masing-masing sebab menu utama dah disediakan. Memang aktiviti pada hari tersebut adalah makan dan makan saja. Habis makan, siap dapat buah tangan lagi berupa keropok ikan jenis kering dari Thailand. Ala-ala keropok Ganu sebab rasa ikan dia kuat. Sedap!
Keluarga saya dan keluarga Cik Iti. Pada hari tu, Cik Iti dengan dua orang anak lelakinya. Yang paling depan sebelah Abah tu Abang Leh.
Gambar terakhir sebelum masing-masing pulang ke rumah. Terima kasih daun keladi, moga bertambah rezeki.
Alhamdulillah, raya kali ni banyak juga dapat ziarah rumah saudara mara dan dapatlah kemaskini data perkembangan anak-anak saudara yang sungguh ramai. Raya tahun ni juga, pertama kali Wak Yah tak ada jadi sangat terasa kehilangan tu. Sekarang, adik-beradik belah Arwah Mak tinggal Cik Iti jelah. Moga diberi umur yang panjang dan fizikal yang sihat untuk bertemu lagi Syawal akan datang. Sekianlah saja, cerita raya 2017 Cik Fara.