Engagement Fund ;)

Showing posts with label Resepi: Antarabangsa. Show all posts
Showing posts with label Resepi: Antarabangsa. Show all posts

Tuesday, 6 June 2017

Bebola Nasi Kuasa Dua

Kali ni cerita tentang makanan. Kenapa ada kuasa dua dekat tajuk tu? Sebabnya dah buat dua kali baru entri ni sempat ditaip. Kehkehkeh.. Kali pertama buat, aku cuma potong dadu je timun dengan lobak merah lepas tu terus gaul dengan nasi panas yang dah dicampur dengan satu sudu teh minyak bijan. Ini bebola nasi gaya Korea sebab bubuh minyak bijan. Tapi belum cukup Korea lagi sebab sayur tu aku tak masak. Kalau Korea totok punya cara, sayur tu kena tumis kejap baru campak dalam nasi.

Pertama kali buat kan? Jadi main belasah jelah bahan dia dan buat pun main redah je tak tengok resepi ke apa. Bolehlah, berasa la juga cuma macam tawar sebab aku tak letak garam langsung; hanya bergantung pada rasa masin rumpai laut berperisa. Selain sayur mayur, aku masukkan juga sosej rebus yang juga dipotong dadu dalam jumeok bap kali pertama ni.

Bebola nasi ataupun orang Korea panggil Jumeok Bap buat julung-julung kalinya dari dapur cik farae. Hampir kesemuanya aku makan sebab orang lain tak makan dekat rumah; Abah je la pun yang makan dua ketul.

Kali kedua buat bebola nasi ni, untuk berbuka minggu lepas. Kali ni memang ikut cara Korea totok. Sayur-sayur dia aku tumis dulu kejap baru gaul dengan nasi. Lepas tu terlebih rajin, siap buat inti daging lagi. Kebetulan ada sepotong daging dalam peti, kasi habislah buat inti. Untuk daging tu aku masak bulgogi. Nanti aku tepek resepi malas dekat bawah.

Waktu buat ni ala-ala kelam kabut juga sebab berkejar nak ke tuisyen. Sebelum pergi tuisyen aku siapkan sayur dengan bulgogi. Balik tu baru masak nasi guna beras sushi tu sebab nak gaul nasi tu kena waktu dia panas-panas. Lagi 5 minit nak buka baru kelam kabut kepal jumeok bap. Hahaha... Nasib baik sedap. Eh, terpuji masakan sendiri pulak. Heee.. Sedap la untuk tekak ahli rumah ni. Nah, resepi Juemok bap

Daging Bulgogi


Bahan-bahan

  • Daging lembu (hiris nipis)
  • Sos tiram
  • Bawang putih (cincang)
  • Leek (hiris halus)
  • Minyak bijan
  • Lada hitam tumbuk


Cara masak:
Gaul semua bahan dekat atas dan perap sekejap. Kalau nak sedap, perap semalaman dalam peti tapi sebab nak cepat, asal perap sudah. Lepas perap, masak dengan sedikit minyak sampai air daging kering. Ketepikan.

Jumeok Bap

Jumeok Bap kali kedua. Lebih berperisa sebab ada capsicum dan sayurnya ditumis. Kali ni buat banyak sebab semua orang ada dekat rumah lepas tu tak ada makanan berat lain, maka semua orang terpaksa makan. Hahahaha..

Bahan-bahan

  • Nasi sushi (satu cawan beras dimasak dengan dua cawan air)
  • Capsicum (potong dadu)
  • Timun (potong dadu)
  • Lobak merah (potong dadu)
  • Seulas bawang putih (cincang)
  • Sedikit leek (cincang)
  • Minyak untuk menumis (aku campur sikit dengan beberapa titik minyak bijan untuk mengharumkan lagi tumisan)
  • Garam secukup rasa
  • Satu sudu teh minyak bijan
  • Rumpai laut secukupnya


Cara buat:
Tumis sayur-sayuran sekadar dipinggiran; cukup untuk layukan dia je. Angkat dari kuali dan campurkan dalam nasi. Gaul sebati nasi dan sayur dan tambahkan minyak bijan. Gaul lagi dan masukkan rumpai laut. Aku guna rumpai laut yang beli dari Korea tahun lepas. Belum tamat tempoh lagi tapi hampir nak tamat. Hehehe.. Gaul lagi sampai nasi dan bahan lain sekata. Ambil nasi dan kepal. Letakkan hirisan daging di bahagian tengah dan padatkan. Siap!

Ha, bolehlah cuba buat Jumeok bap untuk buka puasa esok. Barulah internasional gitu! Sekali-sekala tukar angin Korea kekdahnya. Oh ye, kalau ada cendawan shitake, boleh juga masukkan sekali. Potong dadu dan tumis sekali dengan sayur lain. Berkhasiat, mudah, sedap. Sukatan, sila agak-agaklah ye sebab aku main campak je ikut hati. Sekian.

Thursday, 12 May 2016

Nasi Daging Berkurun Lamanya dan Salad Lobak Merah Ala Morocco

Azam nak buat nasi daging ni sejak pergi kenduri kahwin Nab Nadz dulu. Lama gila kan? Anak dia pun dah umur setahun lebih, barulah muncul nasi ni dekat dapur. Hahahaha... Sampai sekarang teringat-ingat kesedapan nasi daging Nab Nadz tu. Sedap gila hoi!

Waktu buat ni rasanya Nenek dekat rumah Bibik sebab Nenek tak makan daging, jadi kalau masak waktu Nenek ada, kena juga masak lauk lain. Resepi nasi daging ni rasanya aku ikut dari blog Kak Jaja sebab tengok cara dia buat air asam tu macam sedap aje. Korang boleh ke sana ye kalau nak resepi nasi daging tu.
Air asam pedas

Ayam masak merah

Salad lobak merah ala Morocco

Nasi daging berkurun lamanya

Nasi daging ni aku lawankan dengan ayam masak merah dan salad lobak merah ala Morocco. Gigih buat salad lobak merah tu pun sebab teringat-ingat lauk waktu makan malam dekat salah satu restoran makanan antarabangsa dekat Korea dulu. Tak ingat restoran berasaskan makanan negara mana tapi macam negara belah Timur sana.

Macam terasa-rasa lagi keenakannya sebab salad tu ringkas je pun tapi macam tak sangka pulak boleh rasa sesedap itu. Gila kentang tak ingatan tu? Hahaha... Tapi memang sedap sebab Za yang tak makan sayur sangat tu pun kaut salad tu masuk pinggan.

Resepi salad ni aku rujuk dekat sini tapi bahannya ikut apa yang ada dekat dapur dan kuantitinya pun agak-agak je.

Salad Lobak Merah Ala Morocco.


1 batang lobak merah (saiz besar)
2 sudu minyak zaitun
2 ke 3 sudu jus perahan lemon
2 ulas bawang putih (dicincang)
1 camca jintan putih (ditumbuk kasar)*
Sedikit daun ketumbar (dihiris halus)
1/2 biji cili hijau (didadu halus)
Garam secukup rasa

Cara membuatnya
1. Sagat lobak merah dan ketepikan.
2. Dalam satu mangkuk besar, gaulkan semua bahan sampai sebati.
3. Masukkan lobak merah yang telah disagat dan gaul sekata.
4. Simpan dalam peti sejuk selama 1 hingga 2 jam supaya rasa jus meresap.
5. Hidangkan dengan nasi.

*Jintan putih tu aku bakar kejap dalam oven toaster supaya bau dia lagi wangi. Kalau takde ovan toaster, sangan atas dapur, ok?

Bagi aku, serasi sangat salad lobak merah ni makan dengan nasi daging dan rasa dia ada iras-iras rasa salad asal yang aku makan dekat Korea tu. Kalau nak cuba buat, silakan. Tapi resepi aku bagi ni resepi agak-agak tau, kalau tak yakin, boleh tengok resepi asal. Sekian.

Monday, 14 July 2014

Kimchi Kobis

Sejak berkenalan dengan kimchi dan belajar cara nak buat melalui internet, ini kali keempat. Sebelum ni guna resepi super ringkas dan aku kukus dulu kobisnya. Kali ni guna resepi campur-campur dari tiga laman web dan ini percubaan kedua guna resepi campur-campur. Kiranya lepas balik dari Korea dah dua kali buat kimchi tapi yang ini guna serbuk cili(gochugaru) Korea. Tragis kan, dah sampai Korea tapi tak beli serbuk cili lepas tu akhirnya kirim kat orang untuk belikan. Ada juga mencari-cari waktu kat sana tapi tak nampak la pulak. Kisah mengirim gochugaru ni terjadi apabila seorang pembaca blog bertanya mengenai salah satu entri Korea yang aku tulis tempoh hari. Memandangkan bab-bab makan kami di sana diuruskan sepenuhnya oleh TG, maka terpaksalah aku roger TG untuk tanya benda yang ditanya tu. Lepas tu terkirim beli gochugaru ni. Segan benornya nak mintak tolong tu tapi it's now or never kan, maka gagah jugaklah aku buat permintaan.

Nasib baik beliau okey saja. Dah kirim tu, tak fikir pulak nak ambik tu karang macam mana. Waktu dia kata dah belikan tu, excited tahap Power Rangers dan terus mintak nombor akaun nak transfer bayaran. Eh, ko ingat ni online shopping kah? Hahaha... Terus ketuk kepala sendiri kejap. Bincang punya bincang, aku kata jumpa dekat airport jelah. Bukan jauh nau pun airport dari rumah. Maka, itulah kali pertama aku jejak kaki ke KLIA2. Nasib baik flight beliau delay maka touch down dalam 3.30 camtu kot. Gedebuk gedebak mesti 4 lebih jugak baru keluar. Itu pun pening macam mana nak balik awal sebab tak baik buat orang menunggu, dah la mintak tolong kat dia. Dengan alasan yang direka selepas berunding dengan teman jenayah, aku keluar awal sikit lepas dapat kebenaran bos. Heeee... Isi borang tau, bukan balik cenggitu je.

Sampai airport, flight dah touch down tapi WhatsApp tak on lagi. Lama jugak tunggu sampai aku dah naik cuak, baru beliau keluar. Terima kasih banyak-banyak TG kami yang tolong belikan serbuk cili ni. Lepas rindu saya dekat Korea. Hahaha...

10 000 won untuk sepaket kecik ni...tanjat ai!

Kali ni buat banyak sebab ada dua ke tiga orang dekat ofis ni mengidam nak makan kimchi jugak. Okeylah, layankan aje. Nah resepi hasil rujukan dari tiga sumber berbeza. Sumber mana, nanti aku update kemudian ye. Kena korek arkib dulu.

Baechu Kimchi


Hasilnya - warna merah yang lebih menawan


1.2kg - 1.5kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (dihiris seperti batang mancis juga)
2 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1 cawan serbuk cili - gochugaru

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.
2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.
3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.
4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili
1. Kisar bahan A hingga halus.
2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.
3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.
4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.
5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.
6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.

Tuesday, 29 January 2013

Scones

Satu lagi resepi mudah yang aku jumpa waktu blog walking. Memikirkan ada lagi setengah tin susu cair yang berbaki tempoh hari, maka aku semangat nak cuba buat scones ni. Resepi dirujuk di blog Kak Ila dan Kak Zanariah. Tapi aku guna sepenuhnya resepi di blog Kak Ila dan rujuk cara nak membentuk beliau di blog Kak Zanariah sebab dekat resepi Kak Ila tu tak cakap cara nak bentuk dia. Kena kepal ke, kena pipe ke, atau kena terap? Memang blurr habis waktu tu sampai kena rujuk resepi lain jugak. Hehehe... Terima kasih atas resepinya ye. Meh tengok apa yang diperlukan untuk hasilkan scones yang sangatlah mudah.

Sebelum masuk oven

Lepas keluar oven - yang gelap belah kiri tu sebab aku teradjust suhu ke 180. Jadi untuk batch kedua aku adjust balik suhu ke 170


Scones
Sumber: Kak Ila


2 1/2 cawan tepung naik sendiri - aku guna tepung gandum biasa + serbuk penaik
200g mentega
4 sudu besar gula halus
1/2 cawan susu sejat
Sebiji telur
Slice of lemon - belakang rumah takde pokok lemon jadi aku guna slice of lime
1/4 sudu kecil soda bikarbonat

Cara mengadun;
1.Gaul tepung,gula, soda dengan mentega sejuk yang dipotong kecil-kecil dengan hujung jari hingga jadi macam serbuk roti .
2.Perahkan limau nipis ke dalam susu, masuk telur dan pukul dan terus masukkan ke dalam tepung dan uli . Kalau lembik, tambah tepung sampai tak melekat kat tangan.
3. Canaikan doh dengan ketebalan satu inci dan terap dengan acuan.
4. Bakar dengan suhu 170 darjah celcius selama 20 minit.

Patutnya waktu nak uli jadi doh tu kena masukkan campuran susu sedikit demi sedikit dan guna sekadar yang diperlukan barulah adunan tak lembik. Tapi aku bantai tuang semua sekali dalam adunan tu. Gelabah kejap sebab adunan terlembik. Hahaha... Jadi kena buat sampai dia tak lembik dan boleh diterap. Sebab aku tak ada acuan bulat saiz besar maka aku guna acuan tat nanas untuk terap. Adalah sikit rupa scones cuma saiz dia tak normal macam scones biasa. Scones ni nak sedap makan dengan clotted krim dan jem tapi sebab tak rajin nak buat krim maka makan jelah dengan jem. Pun sedappp!



Thursday, 30 August 2012

Shakshouka

Kembali bersiaran di hari Khamis. Bila masuk kerja terus duduk dan hadap kertas merah jambu, pukul 12.00 aku dah tak fokus. Jadi, rehat kejap sambil tulis entri tertunggak ni. Kali ini nak berkongsi satu resepi dari Timur Tengah yang wajib tersenarai dalam menu di restoran-restoran nasi arab yang tumbuh bagai cendawan sekarang ni iaitu shakshouka. Bila tengok dalam menu, takut nak order sebab tak tahu dia letak apa melainkan ada penerangan di bawah nama masakan tu. Dalam bulan puasa tempoh hari, ternampak resepi ni di rumah Kak Ayu. Terus terseru semangat nak membuatnya. Masa nilah aku nak rasmikan mangkuk Borcam segi empat yang baru rembat tu. Hehehe... Memandangkan banyak bahan dah ada, aku cuma perlu cari beberapa bahan yang tak cukup je lagi. Mari kita lihat resepinya....

Shakshouka
Sumber: Kak Ayu
Selepas dibakar

Sebelum diletakkan telur

Bahan-bahan:

500g minced beef - aku guna 400gm = satu paket daging kisar Ramly
3 sudu besar cili kisar - aku kurangkan kepada 2 1/2 sudu
3 sudu besar bawang putih kisar*
2 sudu besar halia kisar* (*aku campurkan kedua-duanya, kisar, dan dapat 4 sudu)
4 sudu besar serbuk kari daging - guna 3 sudu je
1 biji bawang besar dipotong dadu
1 biji tomato dipotong dadu
1 cawan sayur campur
1 tin tomato puree saiz sederhana
4 sudu besar sos tomato
1/2 - 1 sudu besar gula
1 - 2 cawan air
garam dan serbuk perasa

topping
2 biji bawang besar dadu - guna sebiji je
2 biji tomato potong dadu - guna sebiji jugak
sedikit daun ketumbar - tak letak
1 - 2 lada merah hiris halus
1 - 2 lada hijau hiris halus
6 biji telur - guna 4 biji je


cara memasak
1. campurkan daging + bawang putih kisar + halia kisar + serbuk kari dan perap selama 20 minit.
2. tumiskan bawang besar hingga layu dan masukkan cili kisar. tumis hingga pecah minyak.
3. masukkan perapan daging dan gaul rata. masukkan 1- 2 cawan air.
4. bila dah 3/4 masak, masukkan tomato puri, tomato sos, sayur campur dan tomato.
5. kacau rata dan masukkan garam, gula secukup rasa.
6. reneh sebentar dan matikan api. hidangan ini tak boleh terlalu cair atau terlalu kering

cara hidangan
1. masukkan daging ke dalam loyang/mangkuk tahan bakar dan ratakan.
2. taburkan topping atas daging.
3. buatkan lubang untuk telur dan bakar dengan suhu 180 c selama 15 minit atau hingga telur hampir masak.
4. boleh makan dengan roti

Terima kasih pada Kak Ayu kerana berkongsi resepi di blognya. Sebiji-biji aku taip balik dari blog beliau. Hehehe... Selama ni asyik masak masakan Western je, kali ni masak masakan Eastern pulak. Rasanya memang berbeza sebab dia berempah dan pedas. Tang pedas tu aku suka. Kalau resepi asal, dia letak segala mak nenek rempah dan gunakan kacang. Ini mengikut apa yang aku jumpa di kebanyakan web masakan dan juga melalui pembacaan di Wikipedia. Resepi ni mungkin dah ubahsuai ikut tekak Melayu kot. Hiks... Memang sedaplah dimakan bersama roti. Macam aku, aku bakar kejap roti tu bagi dia macam rasa rangup. Boleh buat lagi lain kali. Ini untuk 4 orang makan pun banyak. Tak dapat habis dalam satu masa. Lebihnya, aku masuk dalam peti dan esoknya buat kebab pulak. Sumbat inti, selit cheddar cheese sekeping, taburkan bawang besar yang dihiris dan carikkan kepingan keju atas bawang  tadi. Bakar dalam 10 minit pada suhu 170 celcius.


Tuesday, 11 October 2011

Tak Cukup Rajin

Selepas menanti hampir seminggu, sedang elok je dapat SMS cinta dari BIMB memaklumkan gaji dah masuk waktu nak balik kerja semalam. Yeay! Walaupun gaji dah masuk, bajet tetap ketat untuk bulan ni. Macam-macam nak guna. Itu pun dah terbeli sesuatu daripada kedai maya. TERBELI hokey! Selalunya kalau malas masak boleh beli makanan siap masak di pasar malam. Tapi disebabkan bajet ketat, malas-malas pun kena masak jugak. Semalam pergi pasar untuk beli sayur je. Itu pun beli 'sayur malas' sebab minggu ni macam malas-malas je nak duduk dapur lama-lama. Sayur malas di sini adalah sayur yang tak perlu disiang dengan teliti macam kobis, petola, peria, dan terung. 'Sayur rajin' pula adalah sayur yang perlu disiang dengan teliti macam sawi, kailan, kangkung dan bayam. Sayur rajin ni pun tak boleh simpan lama-lama sebab nanti dia layu. Maka, kenalah rajin masak sayur ni. Kerana itulah aku bahagikan sayur mengikut kategori rajin dan malas. Suka hati je kan? Hahaha...

Semalam jugak baru nampak bayang nappa cabbage. Adoi, waktu malas nilah kau nak muncul kan? Dari minggu lepas cari nappa cabbage ni sebab ingat nak buat kimchi tapi tak ada. Sudahnya tak beli pun sebab dah tahu minggu ni tak cukup rajin nak duduk dapur lama-lama. Minggu depanlah nampaknya. Hari Ahad lepas berjaya memasak rendang daging dan pulut kuning. Siap rebus nasi impit lagi. Alang-alang ada rendang kan? Lagipun nak habiskan kuah kacang punjungan raya tempoh hari yang diawet dalam tempat sejuk-beku. Bagi lapang sikit peti sejuk tu.

Minggu sebelumnya merajinkan diri masak lasagna sebab bahan-bahan masak untuk jamuan raya minggu sebelumnya ada lagi sikit. Teringin nak masak lasagna jugak? Meh ikut resepi ni..

Lasagna Daging

Bahan-bahan:

1 kotak lasagna (Ikut cara masak yang ditulis di bungkusan.Kalau jenama San Remo, tak perlu dimasak dulu)
Keju (cheddar, mozarella, parmesan)

Sos daging
400gm daging kisar
1 batang lobak merah (saiz sederhana)
1 biji lada benggala hijau (kecil..kalau besar, guna separuh je)
1 labu bawang besar
2 biji tomato
3 ulas bawang putih
4 sudu besar pati tomato
1 camca serbu lada hitam
Sedikit Italian Herbs (kalau tak ada, boleh guna oregano atau mixed herbs)
Garam secukup rasa


Cara membuatnya:
1. Potong dadu semua sayur dan bawang.
2. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu.
3. Masukkan lada benggala dan lobak dan gaul kejap.
4. Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga air daging kering.
5. Kemudian masukkan tomato diikuti pati tomato dan kacau hingga sebati.
6. Akhir sekali masukkan bahan-bahan perasa. Kacau dan biarkan seketika sebelum diangkat.


Sos Putih (Bechamel Sauce)
2 cawan susu segar
1 sudu besar mentega
4 sudu besar tepung gandum
*1 kiub pati ayam
*sedikit serbuk oregano
*sedikit serbuk lada hitam


Cara membuatnya:
1. Cairkan mentega dengan api sederhana.
2. Masukkan tepung gandum dan kacau sampai dia tak berketul. Kacau guna whisker adalah senang ye!
3. Dah sebati, masukkan susu dan kacau tanpa henti sambil masukkan kiub pati ayam, oregano dan lada hitam. Yang bertanda * tu sebenarnya saja ditambah. Kalau bahan asas untuk sos bechamel, hanya 3 bahan di atas tu ye.
4. Kacau lagi dan lagi sampai sengal pekat. Kalau tak pekat-pekat jugak, tambah lagi tepung sampai dia pekat macam sup cendawan Campbell dalam tin tu. Tapi jangan la letak tepung tu sekali banyak, letak sikit-sikit.
5. Bila dah pekat, matikan api.

Cara melapis:
Aku tak berapa ingat sangat nak mula lapisan dengan yang mana satu. Dekat kotak lasagna tu dia ada tulis resepi jugak, boleh rujuk kat situ. Tapi aku mulakan dengan sos putih. Letak satu lapisan nipis sos putih diikuti dengan kepingan lasagna; diikuti dengan sos daging; diikuti dengan sos putih dan begitulah seterusnya. Sepatutnya, sekotak lasagna tu habis digunakan untuk satu resepi ni. Tapi kalau tak berapa nak rajin untuk buat lapisan nipis-nipis, mungkin hanya guna separuh je daripada kuantiti dalam kotak tu. Lapisan teratas adalah sos daging dan ditutupi dengan taburan keju cheddar, mozarella atau parmesan. Untuk rasa yang sedap, taruk tiga-tiga jenis keju tu sekali. Barulah tambah berat badan! Kehkehkeh.. Dah siap, bakar selama 20 minit pada suhu 200 darjah celcius atau hingga masak.

*Gambar kemudian ye.. Tuan Tanah tak cukup rajin lagi nak pindahkan gambar ke dalam laptop.

Saturday, 23 October 2010

Pastel de patata

Selepas sekian lama Puan Oven tersadai kat tepi, petang tadi aku gunakan beliau untuk membakar pastel de patata ni. Awat nama pelik sangat? Entah, jumpa resepi ni kat sini. Nampak macam best je, jadi aku pun cuba la buat petang tadi. Ala-ala Shepard Pie jugak menda alah ni. Motif utama buat sebab nak habiskan brokoli yang dah layu tu dan cendawan yang dibeli Isnin lepas. Seminggu ni cuma masak sekali je sebab ada beberapa hari Abah ke kebun nenek. Jadinya bila dah ke sana, nenek selalu akan membekalkan nasi dan lauk pauk sekali. Ahh, seronoknya dapat memasak. Hehehe..Ini resepi belasah ye. Aku kan suka letak menda ikut suka. Intinya aku main campak je. Cuma bahan lapisan bawah dan atas aku ikut resepi. Nak resepi? Meh tengok kat bawah ni..


Bahan lapisan:
Kentang (aku guna 12 biji hok kecik)
Garam secukup rasa
Susu
Mentega
Serbuk buah pala
Oregano
Serbuk lada hitam
2 biji telur
2 paket sup cendawan segera (ini versi nak menghabiskan stok, tak letak pun takpe)

Cara masak:
1. Rebus kentang bersama garam hingga empuk.
2. Toskan dan lenyek.
3. Masukkan sedikit mentega, susu, lada hitam, serbuk buah pala, dan oregano. Korang agak-agak la ye sebab aku pun agak-agak je Gaul sebati.
4. Asingkan kuning dan putih telur. Masukkan kuning telur dan gaul rata.
5. Pukul putih telur hingga ringan dan masukkan sedikit demi sedikit dalam kentang. Kacau sampai rata.

Inti:
Sepeket daging kisar Ramly
Sepokok brokoli (kalau kat pasar dia memang jual sepokok kecik-kecik kan, buh semua sekali)
Secawan cendawan (hiris nipis)
Sebiji tomato (potong dadu)
Lada benggala (potong dadu jugak..aku guna separuh je sebab dalam rumah ni ada yang alergik dengan cili ni)
Seulas bawang besar
3 ulas bawang putih
Kiub daging Knorr
Serbuk lada hitam
Italian herbs

Cara memasak:
1. Tumis bawang besar yang dicincang bersama dengan bawang putih dan kiub daging hingga layu.
2. Masukkan lada benggala. Kacau rata.
3. Masukkan brokoli dan cendawan. Gaul kejap dan masukkan daging.
4. Masak hingga daging masak dan masukkan tomato.
5. Bubuh garam secukup rasa, italian herbs dan lada hitam.
6. Gaul sebati dan biar la sampai masak.

Sentuhan terakhir:
1. Ambil 2 senduk kentang putar dan campurkan dengan 2 paket sup cendawan yang dibancuh secara pekat. Gaul sebati.
2. Griskan loyang dan letak campuran kentang bersama sup cendawan ni sebagai lapisan pertama.
3. Letakkan intinya pulak.
4. Letakkan kentang selebihnya hingga menutupi inti. Bakar dalam 20 minit pada suhu yang sesuai (oven ku tak ada penetap suhu).
5. Keluarkan kejap dan parutkan keju parmesan atas permukaan pai ni. Bakar balik sampai jadi warna keemasan.
6. Senduk dalam pinggan dan siap untuk dinikmati.

 Mai sepinggan..!

Silalah mencuba ye. Sonang je.

Monday, 19 July 2010

Pizza Segera Humraaz

Pizza kali ni tak payah uli doh. Cuma guna roti pita sebab ada orang tu syok beli tapi tak reti nak makan sampai dah dekat expired.  Sonang je pun. Suka hati nak letak apa kat atas dia. Aku cuma guna apa-apa bahan yang ada dalam peti sejuk.

Bahan-bahan:
Roti pita
Keju (ikut suka nak letak keju apa tapi aku letak slice cheese Cheesedale)
Sosej
Bawang goreng (goreng sekadar masak je..tak perlu sampai garing..Rachael Ray kata, caramelized onion)
Sos cili
Oregano
Lada hitam

ni rupa sebelum dibakar

Cara nak buat:
Mula-mula goreng bawang sampai agak-agak layu. Aku punya geseng banyak sikit sebab sambil goreng sambil tengok hindustan. Hahaha.. Lepas tu, panaskan ketuhar. Ambil roti pita, carik-carik keju dan taburkan. Letakkan sosej yang dihiris. Suka hati la ye nak hiris macam mana. Taburkan bawang diikuti lada hitam. Letakkan sos cili sebanyak mana yang disukai. Taburkan oregano. Kemudian, taburkan keju lagi. Bakar sampai keju cair. Dah siap...!

Dah siap bakar..boleh la makan..

Sambil buat pizza, sambil layan Bobby Deol dengan Amisha Patel. Lama tak layan hindustan, tiba-tiba ada pulak cerita best kat TV2. Nak-nak ada sekali Akshaye Khanna.  Melekat la depan TV, apo laie.. Hindustan ni memang layan pun tapi layan cerita yang lama-lama. Yang baru-baru ni kureng sikit sebab tak berapa berkenan dengan pelakon-pelakonnya; satu. Kedua, pakaian yang dikenakan untuk filem hindustan baru-baru ni amat la terdedah dan tidak sesuai dengan citarasa.  Tu yang sampai geseng bawang gorengnya. Geseng pun gesenglah. Janji sodap..kahkahkah..Selain guna roti pita, boleh jugak guna roti arab. Pernah rasa yang Faien buat dulu, guna roti arab pun sodappp. Moh ushar sikit hero dan heroin Humraaz ni..zassss..

terima kasih kepada Pakcik Google untuk gambar ni ye..

Friday, 19 February 2010

Pizza


Doh

1/4 cawan quaker oats
1/2 sudu teh garam
1/4 cawan myk zaitun dan myk sayuran
1/4 sudu teh gula
3/4 cawan air suam
1 paket yis segera (2 sudu teh)
2 cawan tepung

Gaulkan yis dan gula dalam air suam hingga sebati (tunggu sampai dia berbuih)
Ayak tepung dan garam dalam mangkuk besar. Masukkan quaker oats. Gaul bersama campuran yis dan minyak hingga menjadi doh yg lembut.
Uli atas permukaan yang ditabur tepung selama 5 minit hingga kenyal. Biarkan di tempat panas hingga naik. Dah sudah naik, canaikan ikut saiz yang dikehendaki. Letak dalam pan*. Biarkan dalam 20 minit. Kemudian, bakar dalam 10 minit(separuh masak). Dah sudah tu, keluarkan dari oven dan tabur la topping.

*Aku guna tudung periuk je. Tak ada pan.

Sos* (memandangkan aku tak ikut sukatan, jadi agak-agak je la ye)

Tomato
Bell pepper(capsicum)
Minyak zaitun (EVOO)
Bawang putih
Italian herbs
Garam dan lada hitam secukup rasa.

Belah 2 tomato dan capsicum. Ketuk bawang putih. Letakkan semua dalam loyang, tabur italian herbs dan masukkan EVOO. Perasakan dengan garam dan lada hitam. Bakar sampai agak-agak masak. Dah masak, tunggu sejuk sikit, baru kisar.

*Nak sonang, beli je sos pasta prego kat pasaraya. Sapu je atas doh tu.

Topping

Daging(pun tak timbang, campak je.hehehe)
2 camca lada hitam
2 camca tepung jagung
2 sudu besar kicap pekat
1 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
garam dan gula secukup rasa

Cincang daging. Campurkan lada hitam, tepung jagung, dan kicap pekat dan bancuh dengan 1/2 cawan air. Racik halus bawang merah dan putih. Tumis bawang hingga layu. Masukkan daging. Kacau-kacau kejap. Masukkan bancuhan lada hitam dan biar sampai masak. Perasakan garam dan gula.

Topping lain, suka hati nak letak apa. Aku letak cendawan, capsicum, bawang, dan tomato. Dah siap tabur topping ni, tabur sikit oregano. Banyak pun sedap jugak. Dah sudah, baru tabur keju. Bakar la sampai keju tu cair dalam 15 minit.

Nota: Doh aku tak menjadi sangat. Tak lembut seperti yang sepatutnya. Ada la tu yang tak kena kat mana-mana. Asal boleh kunyah, kira ok la kan. Hehehe..

Tuesday, 5 May 2009

Apple Crumble

Bahan asas:
100 gram biskut Marie
1 cawan oat
1 biji telur
2 sudu besar mentega

Inti:
3 biji epal hijau
1/2 cawan gula perang
1/2 cawan gula
1 sudu besar mentega
2 sudu makan tepung kastad
1 camca serbuk kayu manis

Hancurkan biskut Marie. Hancur ikut selera masing-masing la ye. Nak hancur sangat ke, tak nak hancur sangat ke. Satukan oat dan biskut Marie dan ramas bersama telur dan mentega sampai la dia jadi lembab. Okey, letak tepi dulu. Untuk intinya pulak, cairkan mentega. Masukkan gula dan gula perang. Biarkan hingga cair. Masukkan epal yang telah dipotong kiub. Gaul dan gaul lagi. Kemudian, masukkan serbuk kayu manis. Kalau tak suka bau dia yang tak berapa nak best, tak payah letak pun tak apa. Kacau lagi. Akhir sekali, masukkan tepung kastad dan gaul rata. Biar hingga 2 ke 3 minit sebelum tutup api. Sentuhan terakhir, mampatkan separuh daripada bahan asas tadi ke dalam acuan. Tekan, tekan dan tekan hingga betul-betul mampat. Dah sudah, tuangkan bahan inti. Ratakan. Akhir sekali, tutup dengan separuh lagi bahan asas tadi. Pandai-pandai la nak mampatkan dia macam mana. Nanti kejap, belum boleh makan lagi. Kena bakar selama 20 ke 30 minit dulu. Dah siap bakar, sejukkan kejap sebelum letak dalam peti sejuk. Setengah jam kemudian, keluarkan dari peti dan makan la dengan aiskrim vanila.

*Resepi asal ku peroleh daripada Mimynn dan diolah sedikit dek kerana ada beberapa bahan yang macam best je kalau campur sekali. Hehehe... Nak tau rasa dia macam mana, cuba la buat sendiri ye.