Engagement Fund ;)

Showing posts with label Kimchi. Show all posts
Showing posts with label Kimchi. Show all posts

Wednesday, 2 August 2017

Resepi Kimchi Cik Fara Edisi Kemaskini

Memandangkan resepi asal yang saya gunakan untuk buat kimchi telah diolah beberapa kali, maka saya kongsikan resepi terkini yang saya guna sekarang. Cerita pertama kali saya buat kimchi boleh baca di sini dan resepi sebelum ni pula boleh tengok di sini.


Baechu Kimchi
Sumber: Pelbagai

3 kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam kasar

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (saiz kecil, dihiris seperti batang mancis juga)
3 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)
1 batang leek (belah dua dan hiris halus)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
1 biji epal Pink Lady (kalau guna Royal Gala, boleh guna 1 biji setengah)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak
1/2 cawan gochugaru
1 sudu saeujeot (orang Malaysia cakap, cencalok)

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1/2 cawan serbuk cili - gochugaru
2 sudu besar ssalyeot

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.

2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.

3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.

4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili (Pes)
1. Kisar bahan A hingga halus.

2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.

3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.

4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.

5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.

6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.

Ini rupa botol ssalyeot yang saya beli dari Shin Sun Mi. Gigih muat turun aplikasi Google Translate sebab nak pastikan bahan ni selamat untuk muslim. Rasa dia manis dan rupa dia pekat sikit daripada madu.

Resepi ni dari pelbagai sumber dan rujukan utama adalah Maangchi. Kemudian bila baca dari pelbagai laman web, resepi bertukar lagi. Ada juga saya rujuk pada blogger Malaysia, Our Kizuna. Kalau blogger Korea, saya rajin tengok Korean Bapsang selepas Maangchi. Kemudian bila tengok rancangan masak-memasak Korea waktu dapat siaran percuma tvN tahun lepas, bertambah lagi bahannya.

Nak olah kobis pun ada cara juga. Kalau nak cepat, belah empat kobis tu dan lepas tu terus potong kasar. Ada la beberapa kali buat macam tu tapi rasa tak puas dan rasa macam kurang bersih sebab tak tengok sehelai-sehelai. Saya lagi suka ceraikan satu-satu sebab bolehlah nampak kalau ada ulat ke diantara helaian tu kan. Memang makan masa tapi puas hati.

Bila tengok orang Korea masak ni, punyalah banyak bahan perasa dia. Berbotol-botol! Seronok la tengok dan seronok nak buat sebab campurkan yang tu sikit, masukkan yang ni, tuangkan yang ni, gaul-gaul dan siap! Kalau rasa macam leceh nak buat, bolehlah tempah aje dengan saya. Hehehehe.. Untuk tempahan, bolehlah tengok butiran di bahagian kanan blog ye. Nak buat kimchi tak susah, tapi leceh. Macam manalah saya boleh jadi gigih benor bergelumang dengan kimchi ek?

Saya dan Kimchi

Sedar tak sedar, dah masuk tahun kelapan saya buat kimchi sendiri. Daripada buat guna cara paling ringkas, sampailah sekarang ni guna cara yang 95% orang Korea guna. Tahun ni merupakan tahun ketiga saya menjual kimchi secara serius dan tahun pertama kimchi saya diberi nama.

Bila dah sering buat kimchi ni, memang tak boleh tak ada stok kimchi dalam peti walaupun ada masanya tak lalu dah nak tengok kimchi buatan sendiri. Tapi bila makan dekat restoran Korea, kemain bersungguh makan kimchi yang dihidangkan. Hahaha..

Agasshi Kimchi dalam balang besar. Sempena meraikan hari lahir bulan lepas, saya buat promosi percuma 100 gm untuk setiap pembelian.

Nak makan kimchi dengan apa? Sebagai peminat tegar makanan Korea, cicah lemang dengan kimchi pun layaaann. 

Isnin baru ni, selesai buat kimchi untuk kali yang kesembilan bagi tahun 2017. Alhamdulillah, ada pelanggan yang sudi nak beli walaupun tak adalah menderu tempahan masuk. Tapi bila buka tempahan tu, memang ada je akan tempah dan ada je pelanggan baru. Sebenarnya buat kimchi ni kadang ikut nasib. Ada masa, sedapnya lahai. Ada masa, rasa macam apakah yang terkurang ni? Bila buat guna sukatan agak-agak, beginilah jadinya. Hehehe...

Tengok juga resepi tapi ada la beberapa bahan yang diubah-ubah mengikut kuantiti kobis yang digunakan. Macam batch yang lepas, kobis terlebih masin. Jenuh la fikir dah kenapa masin lain macam kobis ni? Waktu tengah nak garamkan kobis untuk batch baru ni, baru teringat yang saya guna garam halus. Patutlah! Kalau guna garam halus, tak boleh perap lama sebab garam tu cepat hancur. Hadoi..

Ni nak kena senaraikan beberapa peringatan ni supaya tak lupa di masa hadapan. Macam baru ni, ada pelanggan yang minta nak kurangkan bawang putih. Disebabkan dia tempah sampai 4 balang, maka permintaan ditunaikan sebab boleh buat pes dia asing cukup-cukup untuk kuantiti 4 balang tu. Masalahnya, saya terlupa yang kali ni kobis tu lagi banyak dari biasa sebab nak lebihkan 100 gram setiap balang kan? Lepas tu bila dah siap gaul kimchi yang permintaan khas tu, tiba-tiba kimchi yang adunan biasa macam tak cukup pes. Hahaharu..

Tak lawak ye sebab tak sempat dah nak keluar cari bahan nak buat pes. Makanya, saya tawakal buat pes baru dengan kekurangan bahan. Pes baru tu tak ada Korean pear dan tak ada epal merah sebab memang tak ada bendanya. Belasah letak epal hijau separuh, bawang Holland suku, bawang putih seulas kecil, satu camca cencaluk, setengah camca minyak bijan dan tiga sudu besar gochugaru. Dalam hati berdoa banyak-banyak supaya rasa dia kekal sedap.

Alhamdulillah, rasa dia tak lari malah lebih sedap dari biasa. Heeee.. Tapi memang tau, kalau ada kejadian tak cukup atau terkurang bahan, kimchi tu jadi lebih sedap dari biasa. Dah kenapa? Kepada yang rasa nak cuba buat kimchi sendiri, bolehlah korek entri lama dalam blog ni untuk resepi kimchi olahan saya.

Sunday, 26 March 2017

Kimchi Cik Fara

Bila benda yang penting tidak disegerakan, maka terperuk lama benda ni dalam draf. Memandangkan kebelakangan ni ada dapat pertanyaan mengenai kimchi dari komen pada entri lama dalam ni, maka saya kongsikan sikit mengenai perniagaan kecil-kecilan ni.
Agasshi Kimchi! Ini logo untuk tampal dekat Atas Nama Cinta.

Saya mula buat kimchi sejak tahun 2010 kalau tak silap disebabkan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba yang kuat. Waktu tu masih susah nak cari makanan Korea apatah lagi nak jumpa kimchi. Berbekalkan dua perasaan tu dan entri resepi langkah demi langkah oleh kawan satu sekolah dulu, maka gigih saya buat ikut cara yang ditulis. Percubaan kali pertama berjaya walaupun ada sedikit silap. Rasanya saya ada catatkan dalam ni, kalau rajin bolehlah korek entri lama.

Berititik tolak dari kejayaan pertama, saya tambah lagi ilmu buat kimchi dengan berguru melalui YouTube, blog-blog masakan milik warga Korea dan juga blog masakan dari Malaysia. Resepi yang digunakan pun dah berubah-ubah mengikut sumber yang diperoleh. Dulu memang buat untuk makan sendiri je jadi dalam setahun ada la dalam dua ke tiga kali je buat.

Kemudian, bila ada kawan-kawan rapat dan sepupu yang bertanya untuk beli dan rasa, saya cuba jual walaupun gementar dengan hasilnya. Yelah, tekak sendiri ni jenis tekak DBKL; semua pun sedap je, semua boleh telan. Alhamdulillah, percubaan awal menjual kimchi kepada kenalan terdekat mendapat komen yang positif. Mulai pertengahan tahun 2015 tak silap, barulah yakin nak buka tempahan untuk dijual. Alang-alang buat untuk makan sendiri, buat terus untuk jual.

Awal tahun ni, terasa nak buat peningkatan dengan menamakan produk kimchi buatan saya. Jenuh juga memikirkan nama yang catchy dan bermakna. Fikir punya fikir, maka dapatlah nama Agasshi Kimchi. Sebab yang tukang buat masih berstatus Cik, kita selitkan dalam nama produk. Dah bagi nama, nak ada label pula. Tentang label ni, dah lama dah fikir cuma tak disegerakan je pembuatannya.

Untuk tempahan pertama tahun ni, sasarannya mesti dah ada label dekat botol. Nak upah orang buat logo, macam kedekut. Sudahnya gigihlah fikir dan reka sendiri logo yang ada nama produk, tagline dan juga cara untuk berhubung. Orang lain reka logo guna Adobe Photoshop, saya guna Microsoft Picture It! Publishing 2001. Nampak, perisian tahun 2001 tu! Hahahaha..Gara-gara nak cepat dan jimat, perisian ni jelah yang dah pakar.

Bentuk pertama - saya suka yang ini tapi..

Bentuk kedua - kedua-dua crime companion pilih bentuk ini jadi saya ikut pandangan majoriti

Dulu ada Adobe Photoshop dalam laptop ni tapi bila dah hantar format, terus tak install semula. Nak guna yang free trial, kena daftar bagai-bagai, leceh. Sudahnya, guna je apa yang ada. Jadi juga.Walaupun nak reka logo yang ringkas, dia punya pening nak pilih jenis huruf dan reka letak tu, serupa macam pereka profesional. Memang patut la pereka grafik kenakan bayaran mahal untuk satu rekaan yang ringkas sebab nak fikir kesesuaian warna, huruf dan saiz logo tu boleh tahan menyakitkan kepala, menyerabutkan otak.

Terima kasih tak terhingga kepada crime companion, Kak Chik dan Aten atas pandangan dan galakan yang diberikan dalam proses mereka logo. Banyak kali jugalah kacau dua orang ni minta pendapat, dari pilih bentuk sampailah nak pergi cetak, sampailah dah tampal label pertama pada balang. Lepas ni untuk urusan pertanyaan atau tempahan kimchi, silakan rujuk pada logo Agasshi Kimchi di sebelah kanan blog ni.
Dah siap cetak!

Tampal sekeping pada balang dan terus hantar gambar dekat Kak Chik

Ini rupa pada balang yang siap untuk dihantar pada pelanggan

Walaubagaimanapun setakat ini, pembelian adalah berdasarkan tempahan awal(pre-order) mengikut kekosongan slot yang dibuka. Maksudnya, tidaklah sepanjang masa ada stok kimchi untuk jualan. Biasanya tempahan dibuka dua minggu sekali memandangkan projek ini dijalankan secara separuh masa. Untuk keterangan lanjut produk, nanti saya karang satu lagi entri. Kalau nak cepat, email je terus. Okey?

Monday, 22 August 2016

Tempahan Kimchi Selepas Raya

Kimchi lagi. Bila dah kerap buat, dah tak berapa ada selera pula nak makan kimchi buatan sendiri. Hehehe.. Kali ni buka tempahan tiba-tiba sebab ada yang bertanya. Memang dah niat nak buka tempahan tapi biasalah, banyak dia punya kekangan tu. Bila dah ada yang tanya, secara tiba-tiba jadi bersemangat waja.

Kalau ada permintaan nak pos, memang aku buat Ahad petang sebab hari Isnin terus pos. Kiranya proses pemeraman tu tak adalah lama sangat. Bila pos ni, banyak risikonya dan kadang-kadang tu kena pasrah sebab ada banyak faktor yang boleh menyebabkan kegagalan barang untuk sampai ke tangan pelanggan.

Kali ni buat 5kg. Sebenarnya nak buat dalam 3kg je tapi bila tengok baechu tu lawa, terus beli sampai 5kg. Tak susah pun nak buat kimchi ni, cuma leceh. Bahagian paling nak nangis adalah bila nak kena perah air dari kobis selepas di toskan, bercinta! Sahih tangan akan rasa sengal sebab memang kena perah sesungguh hati.
Pes cili dengan warna yang sangat menawan..rahsianya? Gunakanlah serbuk cili yang diimport dari Korea..

Ini selepas digaulkan dengan bahan-bahan sampingan

Siap sediakan pes, aku biarkan dulu sebelum campurkan kobis. Bagi pes tu mesra dan bagi air dari kobis tos. Sebelum tak terfikir nak buat, hari ni mentol menyala atas kepala dengan bunyi ting! Hehehe... Lepas perah tu aku letakkan lesung batu beserta alunya sekali untuk menekan keluar lebihan air. Berhasil! Apa pasallah tak terfikir sebelum ni?

Ada seketul lagi alu yang paling besar, nasib baik besen ni tak berapa nak kukuh je, kalau tak memang aku letak semua sekali kasi air dari kobis tu keluar laju sikit..

Selesai gaul kobis dengan pes, biarkan dulu dalam 2 jam baru ke peringkat pembungkusan. Sementara nak tunggu pes dan kobis mesra, kaut sikit untuk ratah. Pengaruh tengok rancangan masak Korea banyak sangat, gigih aku beli bijan ni dan bakar sebelum digunakan. Nak sangan atas dapur malas. Sambil ratah kimchi yang ditabur bijan ni, sambil layan Korea dua episod sebelum mula membungkus.

Satu senduk untuk yours truly

Bungkusan untuk yang dipos dan serahan secara terus berbeza. Kalau pos, aku masukkan dalam ziplock baru letak dalam balang plastik dan balang tu dibalut dengan bubble wrap. Langkah keselamatan kena jaga sebab perjalanannya penuh liku. Kalau pecah balang tu, memang pening kepala orang pejabat pos sebab bau kimchi ni agak menusuk juga. Hehehe.. Untuk serahan secara terus, aku guna balang cantik sikitlah. Sukatan pun ada dua pilihan; 200gm atau 400gm. Tapi memang aku akan bagi lebih la dari sukatan yang ditentukan tu sebab nak bagi penuh balang. Tempahan seterusnya kena tungguuu...

Siap dibungkus dan sedia untuk diedarkan.

Monday, 14 July 2014

Kimchi Kobis

Sejak berkenalan dengan kimchi dan belajar cara nak buat melalui internet, ini kali keempat. Sebelum ni guna resepi super ringkas dan aku kukus dulu kobisnya. Kali ni guna resepi campur-campur dari tiga laman web dan ini percubaan kedua guna resepi campur-campur. Kiranya lepas balik dari Korea dah dua kali buat kimchi tapi yang ini guna serbuk cili(gochugaru) Korea. Tragis kan, dah sampai Korea tapi tak beli serbuk cili lepas tu akhirnya kirim kat orang untuk belikan. Ada juga mencari-cari waktu kat sana tapi tak nampak la pulak. Kisah mengirim gochugaru ni terjadi apabila seorang pembaca blog bertanya mengenai salah satu entri Korea yang aku tulis tempoh hari. Memandangkan bab-bab makan kami di sana diuruskan sepenuhnya oleh TG, maka terpaksalah aku roger TG untuk tanya benda yang ditanya tu. Lepas tu terkirim beli gochugaru ni. Segan benornya nak mintak tolong tu tapi it's now or never kan, maka gagah jugaklah aku buat permintaan.

Nasib baik beliau okey saja. Dah kirim tu, tak fikir pulak nak ambik tu karang macam mana. Waktu dia kata dah belikan tu, excited tahap Power Rangers dan terus mintak nombor akaun nak transfer bayaran. Eh, ko ingat ni online shopping kah? Hahaha... Terus ketuk kepala sendiri kejap. Bincang punya bincang, aku kata jumpa dekat airport jelah. Bukan jauh nau pun airport dari rumah. Maka, itulah kali pertama aku jejak kaki ke KLIA2. Nasib baik flight beliau delay maka touch down dalam 3.30 camtu kot. Gedebuk gedebak mesti 4 lebih jugak baru keluar. Itu pun pening macam mana nak balik awal sebab tak baik buat orang menunggu, dah la mintak tolong kat dia. Dengan alasan yang direka selepas berunding dengan teman jenayah, aku keluar awal sikit lepas dapat kebenaran bos. Heeee... Isi borang tau, bukan balik cenggitu je.

Sampai airport, flight dah touch down tapi WhatsApp tak on lagi. Lama jugak tunggu sampai aku dah naik cuak, baru beliau keluar. Terima kasih banyak-banyak TG kami yang tolong belikan serbuk cili ni. Lepas rindu saya dekat Korea. Hahaha...

10 000 won untuk sepaket kecik ni...tanjat ai!

Kali ni buat banyak sebab ada dua ke tiga orang dekat ofis ni mengidam nak makan kimchi jugak. Okeylah, layankan aje. Nah resepi hasil rujukan dari tiga sumber berbeza. Sumber mana, nanti aku update kemudian ye. Kena korek arkib dulu.

Baechu Kimchi


Hasilnya - warna merah yang lebih menawan


1.2kg - 1.5kg kobis cina (nappa cabbage)
1 cawan garam

Bahan untuk dihiris
1 biji lobak merah (dihiris seperti batang mancis)
1 biji lobak putih (dihiris seperti batang mancis juga)
2 pokok daun bawang (batangnya dihiris halus manakala daunnya dipotong sepanjang kira-kira 1 inci)

A
3/4 biji bawang Holland
3/4 biji Korean pear (kulit warna gelap)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/4 cawan air masak

B
1 sudu besar gula
1 sudu besar minyak bijan
1 cawan serbuk cili - gochugaru

C
4 sudu besar tepung pulut
1/2 cawan air
1/4 cawan sos ikan

Cara membuat;

Kobis
1. Bersihkan kobis dan potong besar-besar sebab lepas diperap dengan garam dia akan kecut.
2. Dalam satu besen besar, buat satu lapisan nipis kobis dan ditabur garam di seluruh permukaannya. Buat sampai habis dan tutup bekas dan tindih dengan benda berat. Biarkan selama 1 jam.
3. Selepas satu jam, gaulkan kesemua kobis dan bilas dengan air bersih sebanyak 3 kali. Ambik secebis dan rasa; kalau masin sangat boleh bilas lagi sekali.
4. Kemudian, perahkan kobis yang telah dibilas dan ketepikan.

Sebatian cili
1. Kisar bahan A hingga halus.
2. Bancuh bahan C hingga larut dan masak atas api kecil hingga mendidih. Perlu sentiasa kacau supaya tidak hangus dan berketul. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan air. Dah mendidih, boleh matikan api.
3. Seterusnya, tuangkan bahan kisar dalam satu bekas besar. Masukkan serbuk cili dan gaul hingga sebati. Masukkan bancuhan tepung dan gaul lagi. Kemudian masukkan gula dan minyak bijan dan kacau sampai semuanya mesra.
4. Masukkan bahan-bahan yang dihiris tadi dan gaul sampai semuanya sekata menggunakan tangan. Sila pakai sarung tangan sebelum menggaul.
5. Akhir sekali, masukkan kobis dan gaul lagi sampai semua bahan mesra.
6. Masukkan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti. Sila makan dalam masa dua minggu. Kalau nak cepat masam, biarkan kobis pada suhu bilik semalaman sebelum disimpan dalam peti sejuk. Sekian, terima kasih.