Engagement Fund ;)

Showing posts with label Resepi: Kudap-kudap. Show all posts
Showing posts with label Resepi: Kudap-kudap. Show all posts

Thursday, 12 October 2017

Pisang Goreng Mentega

Sejak aktif dengan Instagram, bertambah satu lagi pengaruh dalam hidup. Bila kawan-kawan IG tayang gambar makanan dan letak hashtag, gatal juga tangan tu pergi tekan hashtag tu sebab nak tengok gambar lain yang ada. Bila tengok gambar, teruslah teringin.

Kebetulan waktu teringin tu ada stok pisang tanduk manis dekat dapur, gigihlah singgah CLC beli aiskrim sebab nak masak pisang goreng mentega ni. Mentega memang ada dalam peti, jadi bila dah ada aiskrim lengkaplah bahan yang diperlukan. Cara buatnya senang kacang je.


  1. Potong pisang ikut kata hati.
  2. Cairkan mentega dan goreng pisang tadi sampai masak.
  3. Angkat dan sejukkan.
  4. Hidang dengan aiskrim kegemaran.
  5. Siap!

Semangkuk pisang goreng mentega dan aiskrim vanila coklat.

Senang kan? Sedap wei! Rasa lemak-lemak mentega. Waktu goreng tu pula, satu rumah bau macam dekat kiosk Auntie Anne's. Hehehe.. Sedap tu memang sedap, tapi tak eloklah makan selalu.

Thursday, 15 October 2015

Popia Ketam Berkeju

Gigih taip nama dalam bahasa Melayu walaupun bila dekat alam fana, panggil cheesy crabstick roll. Hehehe... Buat popia ni sebelum kena chicken pox haritu dan buat sekali banyak lepas tu simpan dekat tempat sejuk beku. Senang sangat nak buatnya pun dan kosnya pun tak adalah mahal. Disebabkan aku gigih dan baik hati, hari ni nak kongsi langkah demi langkah nak buat popia ni. Layan gambar je sampai habis entri ye. Zasss...

Bahan-bahan; jejari ketam, kulit popia, keju, dan campuran lada hitam kisar + oregano...keju tu potong enam ye, jangan tamak letak sekeping untuk satu popia sebab lepas goreng karang dia tukar nama jadi popia bersalut keju goreng...ini cerita betul, bukan rekaan..

Mula-mula letak satu hirisan keju dan tabur sikit campuran oregano

Letakkan sebatang jejari ketam

Lepas tu letak lagi satu hirisan keju diikuti dengan taburan oregano

Lipatkan dan gulung sikit sampai jadi macam dekat atas ni

Kemudian lipatkan bahagian kiri dan kanan seperti di atas

Gulungkan dan tinggalkan sikit untuk digam...nak gam ni tak payah bancuh tepung jagung bagai, basahkan dengan air dan gulung ketat-ketat sampai dia melekat..

Taraaa! Hasil selepas digoreng...

Nota tambahan;
- Waktu gulung jangan terlalu ketat sebab nanti waktu goreng keju dia meleleh keluar sebab tak ada ruang dia nak duduk dalam balutan.
- Gunakan keju cap Kraft sebab dia tak terlalu masin.

Thursday, 8 January 2015

Jeruk Mangga Asam Boi

Zaman jeruk ni popular dah lama berlalu dan catatan ini juga merupakan cerita lama, waktu dia popular. Kisahnya, kebetulan waktu dia mencipta nama, pokok-pokok mangga depan rumah ni bukan main meriah lagi buahnya. Kalau dah masak ranum, tak rajin nak kupas. Sebelum dia masak, kait banyak-banyak buat jeruk. Dah siap jeruknya, bawak ke pejabat dan plinggg! Habis sekelip mata. Hehehe... Banyak kali jugaklah buat sebab tiba-tiba ramai pulak yang mengidam, maka layankan aje.

Lepas dikait, biarkan dulu beberapa jam supaya getahnya kering sikit

Dah siap kupas

Sedia untuk dijeruk

Rasa macam pernah cerita cara buat jeruk ni dulu tapi meh la bagi tahu lagi sekali sebab tak rajin nak korek entri tu. Cara ni bukan macam yang muncul di FB atau blog tapi ikut cara Kak Wan, jiran satu lorong. Mula-mula rebus air gula dan letak garam sikit dan biarkan sejuk. Sementara tu, potong buah mangga ikut suka dan masukkan dalam balang diselang selikan dengan asam boi. Asam boi kena banyak baru ummmpphh! Akhir sekali tuangkan air gula dalam balang dan simpan dalam peti sejuk. Esoknya dah boleh makan. Sekian.

Sunday, 16 November 2014

Cucur Kentang Sendiri Bikin

Okey, fenomena potato fritters ni dah lama melanda dan dah lama reda pun tapi aku baru terhegeh-hegeh nak mencuba. Tak apa, biar lambat asal buat. Resepi asalnya aku tengok dari beberapa blog masakan popular yang tersenarai di belah kanan ANC ni tapi aku ubah-ubah sikit ikut bahan yang ada dan ikut kesedapan anak tekak ni. Contohnya macam daun kunyit tu, resepi asalnya guna daun bawang tapi sebab tak ada daun bawang maka aku petik aje daun kunyit yang tengah subur dekat keliling rumah. Kalau tak ambik kang berebut pulak dengan belalang yang suka betul makan daun kunyit. Hehehe... Sebenarnya idea letak daun kunyit ni datang dari Abah sebab kalau Abah buat jemput-jemput dia akan letak daun kunyit dan jadi sedap. Kalau tak percaya, boleh cuba ye. Okey, meh tengok resepi.

Cucur Kentang Sendiri Bikin


Bahan-bahan (4 orang makan)
5 biji kentang disagat
1 biji bawang besar
1 biji cili hijau + 2 biji cili padi merah
1 helai daun kunyit (boleh ganti dengan daun bawang)
1 genggam ikan bilis (ditumbuk kasar)
1 sudu lada sulah (sendiri kisar)
1camca garam
6 sudu besar tepung jagung
5 sudu besar tepung gandum
2 biji telur

Cara membuat
1. Hiris halus bawang besar, cili dan daun kunyit.
2. Campurkan semua bahan hirisan, ikan bilis, lada sulah dan garam ke dalam kentang yang disagat.
3. Gaul sampai sebati dan barulah dimasukkan tepung.
4. Akhir sekali, masukkan telur yang telah dikocok manja dan gaul sampai semua bahan sebati.
5. Panaskan minyak dan goreng sampai garing.
6. Makan sambil tengok tv. Hehehe....

Monday, 3 November 2014

Sandwich Sardin Sedap

Sementara terasa nak menaip tapi tak rajin nak taip isu serius dan panjang-panjang, mari tampal satu resepi. Ini resepi sandwich waktu pot luck sempena jamuan perpisahan Kak Noor minggu lepas. Bila pot luck, kemain masing-masing order lasagna. Kalau buat hari Jumaat ke, hari Khamis ke, sempatlah lagi nak masak. Ini buatnya hari Selasa, memang tak sempat nak masak sebab hari Isnin kan ada kelas tuisyen sampai malam. Balik rumah dah penat dah. Jadi sempat sediakan sandwich sardin sedap versi tak berapa nak rajin jelah. Memula tak yakin nak buat sebab tak pernah buat cenggini tapi aku belasah je. Kalau sardin tu ditumis dulu, lagi sedaplah rasanya. Tapi yang ini pun not bad, siap diorang cakap sedap lagi. Hehehe... Gambar solo takde, cuma ada gambar regu dengan makanan lain pada hari kejadian. Sila cari sendiri ye sandwich tu yang mana satu.


Sandwich Sardin

1 tin besar sardin (ambik isi je, kuah buang)
1/2 biji limau nipis
1 biji bawang besar (dipotong dadu halus-halus)
3 biji cili padi (kalau suka pedas boleh tambah lagi)
1 camca lada hitam kisar
Mayonis ikut suka
Garam secukup rasa (anggaran 1/2 camca)
Marjerin untuk disapu pada roti
2 buku roti (1 jumbo, 1 lagi saiz biasa)

Cara penyediaan;
1. Toskan sardin dan lenyek sampai hancur. Perahkan limau nipis untuk kurangkan hanyir. Kalau ada limau kasturi lagi sedap sebab dia lagi wangi dan kurang masam.
2. Gaul sampai sekata dan masukkan lada hitam, bawang dan cili padi yang dah diracik halus.
3. Kacau sampai sekata dan masukkan mayonis mengikut kadar kesukaan masing-masing. Kalau rasa nak lembab, boleh letak banyak. Akhir sekali, perasakan dengan garam. Siap!
4. Untuk buat sandwich, sapukan marjerin pada kedua-dua belah roti sebelum letakkan inti. Katupkan dan potong kulitnya. Akhir sekali potongkan jadi segi tiga dan hidangkan.

Kulit roti tu kalau tak nak buang pun boleh tapi tak comel la kalau untuk tujuan hidangan. Sebab nak hidang untuk orang makan, kita buat comel-comel. Tapi kulit tu jangan buang, masukkan balik dalam plastik roti dan simpan dalam peti sejuk. Sebelum dia tamat tempoh, bolehlah buat roti lapis dengan reja-reja tu. Dia jadi lagi sedap sebab ada perasa sardin. Sekian.

Sunday, 19 October 2014

Puff Segera Semudah ABC

Nak memasak tak susah sebenarnya tapi kena bijak dan kadang-kadang kena derhaka. Derhaka pada resepi tak apa, jangan derhaka pada ibu bapa mahupun guru. Itu tak bagus. Kali ni nak kongsi resepi yang serius senang! Jumpa resepi ni dari blog Kak Pnut yang dah seakan-akan mengundur diri dari berblogging. Beliau memang suka kongsi resepi yang mudah tapi hasilnya nampak hebat dan sudah tentu sedap.

Puff Segera


Bahan-bahan:
Roti parata jenama Kawan secukupnya
Tuna chunk
Lada hitam kisar secukup rasa
1/2 biji bawang besar (hiris halus dan didadu)
3 biji cili padi (hiris halus)
Garam secukup rasa

1. Toskan air tuna dan lenyek sampai hancur. Campurkan semua bahan lain dan gaul sebati.
2. Panaskan ketuhar dengan suhu 200 darjah celcius selama 10 minit.
3. Ambil sekeping roti parata dan potong dua dengan saiz sama besar.
4. Letakkan inti di bahagian tengah separa bulat dan lipatkan menjadi bentuk segi tiga.
5. Tekan hujung lipatan dengan garfu untuk mengelakkan inti terkeluar.
6. Cucukkan permukaan puff dengan garfu dan sapukan dengan kuning telur.
7. Buat sampai habis dan boleh bakar menggunakan api atas bawah selama 15 minit atau sampai puff masak.

Kalau nak langkah demi langkah resepi ni, boleh scroll URL blog Kak Pnut dekat belah kanan ye. Aku letak resepi ni agak-agak sebab dah lupa-lupa sikit, maklum la buat benda alah ni waktu bulan puasa haritu. Resepi mudah, sedap dan setanding hotel. Hehehe... Kot nak buat mak mertua kagum atau bakal mak mertua kagum, boleh la cuba ye. Inti tu pun boleh pelbagaikan. Nak guna sardin biasa pun sedap, nak buat inti macam karipap bubuh ayam pun boleh. Ikut suka masing-masing ye. Selamat mencuba!

Sunday, 25 March 2012

Murtabak Mee Segera

Okey, macam biasa buat syarat nak bagi penuh kuota entri tiap bulan, kena kemaskini juga blog kesayangan dengan entri yang bermanfaat pada aku saja atau pada orang yang termasuk dalam blog ni kerana menaip sesuatu carian pada Pakcik Google. Mari berkongsi resepi lagi. Kekdahnya, petang tadi lepas balik dari ngajar tuisyen aku gedik la buka tonton.com dan gedik la nonton episod JJCM yang sudah-sudah. Sekali dia tunjuk murtabak mee segera daaa. 10 hengget untuk satu hidangan. APAAAA?? Ah, ko tinggal masuk kedai, tengok menu, pesan menda alah tu, makan dan bayar je. Tak payah berpanas kat dapur, tak payah nak cuci kuali dan pinggan pun. Nak bising lagi? Hahaha... Tapi untuk aku yang rasa macam senang gila nak buat menda alah tu, macam tak munasabah pulak.

Sebenarnya aku dapat resepi ni daripada Cik Umie waktu subjek Ms. Kim semasa di tahun asas dulu. Aku tak ingat kami diberi tugasan apa tapi kami kena tunjukkan sesuatu langkah demi langkah. Maka kumpulan kami pun masaklah menda alah ni dalam kelas tu. Memang dapat sambutan ramai la kan sebab satu; dia adalah makanan dan dua; dia adalah percuma. Waktu tu kami panggil menda alah ni Pizza Maggi. Mana-mana pun bolehlah. Resepinya adalah sangat-sangat senang. Mari tengok apa yang diperlukan...

gambar ambik dari FB ku..malas nak edit gambar dari kamera

Bahan-bahan:
2 biji telur
1 paket mee segera (perisa kari/tomyam - perisa lain aku tak pernah cuba lagi)
1/2 labu bawang besar
3 biji cili padi (ikut suka nak pedas atau tak)
Sedikit lada hitam
Minyak untuk menggoreng

Bahan sampingan sesuka hati:
Daun bawang
Lobak merah
Serbuk oregano
Sosej
Udang atau sotong - dicelur sebentar
Ayam atau daging - dimasak terlebih dulu

Cara memasak:
1. Rebus mee segera hingga lembut dan toskan airnya. Gaul dengan perencah mee segera hingga sebati.
2. Hiriskan bawang dan cili.
3. Pukul telur hingga kembang dan masukkan bahan-bahan hirisan serta sedikit lada hitam. Gaul rata. Kalau ada bahan sampingan yang tersenarai di atas, boleh la masukkan sekali waktu ni.
4. Tuangkan sebatian telur kedalam sebatian mee. Gaulkan rata hingga telur bersalut pada mee.
5. Panaskan minyak. Masukkan mee yang bersalut telur ke dalam kuali dan perkemaskan bentuknya. Yelah, waktu tuang tu kot-kot dia senget ke kan.
6. Masak dengan api perlahan. Bila dah kekuningan, boleh balikkan. Ala, macam goreng telur dadar la. Kalau nak bagi dia cepat masak, boleh tutupkan kuali dengan penutup.
7. Bila dah masak, bolehlah angkat dan hidangkan dengan sos cili.

Benda alah nilah yang jadi santapan aku dengan teman serumah malam-malam buta waktu di U dulu. Sepekat tak cukup weh. Berpaket-paket aku buat tapi tak risau gemuk pun sebab waktu tu rumah tingkat 4. Hari-hari turun naik tangga tak terkira berapa kali. Boleh bakar balik kalori yang ditelan. Sekarang? Makan sepotong cukuplah.

Tuesday, 1 September 2009

Wedges

Ni la rupa wedges buatanku..

Bahan-bahan:
4 Biji Kentang

Tepung gorengan (Adabi, HPA, etc..)
1 biji telur
Secubit serbuk rempah kari
Secubit serbuk jintan manis
Secubit serbuk jintan putih
Secubit serbuk ketumbar
Minyak untuk menggoreng

Cara memasak:
1. Potong kentang mengikut cara potongan wedges KFC.
2. Masukkan dalam air mendidih dan rebus hingga separa empuk.
3. Angkat dan toskan.
4. Pukul telur bersama-sama kesemua serbuk hingga kembang.
5. Kemudian, celupkan kentang tadi kedalam telur dan golekkan dalam tepung gorengan.
6. Goreng hingga kekuningan.
7.Bolehlah hidangkan dengan sos.

Nota:
Tak perlu tambahkan garam kerana tepung gorengan sudah masin. Memang sedap dimakan waktu masih panas. Selamat mencuba =)