Kalau yang mengikuti saya di Instagram atau Facebook, tentu dah tahu bahawa nama saya terpilih untuk menunaikan haji tahun ini. Kalau ikut giliran mendaftar pun, patutnya memang tahun 2018 tapi sebab dah lama dah semak penyata dan buku, lupa!
Bila lupa, tak ada la inisiatif untuk memenuhkan tabung. Waktu dapat surat, baca sekali dan rasa terkejut dan tak percaya dan perasaan untuk ke Mekah seakan sirna. Lama berfikir dan akhirnya surat tawaran terbiar sepi. Tak perasan rupanya walaupun tak dapat nak pergi, kena hantar jawapan tolak atau terima. Sobs...
Lepas dari tu, sikit demi sikit hati ini dijentik dengan rasa sayu dan sesal. Sayu membayangkan suasana di Tanah Haram dan sesal kerana ambik lewa surat yang diterima. Paling terkesan, waktu mengaji dalam bulan ramadhan tempoh hari. Kali ini memang saya niat untuk baca dan fahami maksud bacaan walaupun tak dapat khatam. Bila sampai ayat yang menerangkan tentang ibadah haji dalam surah Al-Baqarah, automatik air mata mengalir dan akhirnya saya menangis teresak-esak mengenangkan peluang yang saya lepaskan.
Akhirnya, mungkin inilah yang dikatakan seruan telah sampai ke hati. Perasaan untuk sampai ke sana meresap perlahan-lahan dan tiap kali teringatkan ayat itu, memang terasa sebak. Mudah-mudahan ada rezeki saya untuk menjadi tetamu di Tanah Haram dan diberi kemudahan dan peluang untuk menunaikan rukun islam kelima ini.