Engagement Fund ;)

Tuesday, 24 March 2020

GBP Invades Hong Kong&Macau Episode 15: Disneyland Hong Kong, Kami Datang! (Bahagian 2)

Catatan sebelum ini dah cerita info penting, kali ini nak tulis pengalaman sendiri pula. Memandangkan kami sampai awal, orang masih tak berapa ramai. Kalau tak silap, tempat-tempat permainan mula beroperasi pada jam 10 pagi. Namun, para pengunjung dibenarkan masuk dari pintu masuk utama awal. Bolehlah kalau nak membeli belah di kedai cenderahati atau bergambar dengan watak-watak paling popular Disney seperti Mickey, Minnie, Donald Duck, Goofie dan lain-lain. Kawasan ini dinamakan Main Street sampailah jumpa bulatan. Dekat sini bolehlah pilih nak ke kiri dulu atau ke kanan dulu. Dekat kawasan ini juga terletaknya Sleeping Beauty Castle, salah satu tarikan utama di mana-mana Disneyland. Walaubagaimanapun, waktu tu istana tersebut ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan naiktaraf. Secara umumnya, Disneyland Hong Kong dibahagikan kepada 7 kawasan utama iaitu Adventureland, Grizzly Gulch, Mystic Point, Toy Story Land, Fantasyland, Tomorrowland dan Main Street, USA

 Kami dan Donald Duck

 Kami bersama Goofy dan Pluto. Cukup dua sebab barisan untuk bergambar dengan karakter lain amatlah panjang

Antara landskap di Main Street; sudah pun bertemakan Halloween.

Kami pilih untuk ke kanan dulu dan singgah di Iron Man Experience. Tarikan utama di sini adalah penerbangan di ruang udara Hong Kong bersama Iron Man. Kengkonon la. Dah macam naik roller coaster pun ada sebab kerusi dia bergerak-gerak. Best! Sebelum nak sampai di pintu masuk 'pesawat', bolehlah tengok-tengok Stark Expo dulu. Macam-macam pameran berkaitan Stark Industries dan Iron Man dipamerkan di sini. Kiranya kalau waktu menunggu tu lama, takdelah bosan.

Kemudian, kami ke bangunan sebelah yang bertemakan Star Wars. Mula-mula kami naik indoor roller coaster. Kalau tak silap, Hyperspace Mountain. Saya ikut je diorang ni nak ke mana dan naik apa sebab tak pernah masuk tempat-tempat gini. Berdebar woi nak naik menda alah ni sebab tak nampak apa. Gelap! Kata dekat angkasa lepas? Nah dia bagi keadaan gelap gulita macam di angkasa. Tapi bagus jugalah tak nampak sangat keadaan sekeliling sebab boleh tahan cerun juga trek dia. Menjerit dari mula sampai ke sudah. Hahaha... Lepas tu masuk ke pintu sebelah untuk berjumpa dengan watak-watak utama dari Star Wars. Dapatlah bergambar dengan Chewbacca dan R2-D2. Hani paling gembira sekali dalam ni sebab dia peminat Star Wars dan kami gembira melihat dia gembira. hehehe..





First ride, indoor. Walaupun dalam bangunan, dia punya goyang tu, terjerit-jerit dibuatnya. Hahaha..

 Sementara menunggu giliran untuk second ride. Roller coaster ye tapi indoor. Mujur gelap, kurang seram walaupun dia punya 'konar' tu, kusss semanga! Dari mula naik sampai berhenti, tak pernah tak jerit.

Ni bukti saya menjerit. Cemana Radin boleh senyum lagi tu?


 Sesi bergambar dengan watak popular Star Wars

 Depan pintu masuk. Hani dah redeem kupon snack dekat sini. Bekas popcorn tu mengikut tema dekat bahagian mana kita redeem.

Sebelum bergerak ke kawasan lain.

Dari kawasan Tomorrowland, terus jalan ke depan dan sampai di kawasan bertemakan Disney Fairy Tales. Dekat sini saya dengan Radin jelah yang terlebih gula. Hahaha.. Hani duduk dekat tepi manakala Mada jadi jurugambar melayan kami di Mad Hatter Tea Cups. Pening oi naik ni sebab dia berpusing lepas tu Radin naik sheikh pulas stering dalam cawan tu menyebabkan dia berpusing ketika berpusing. Get what I mean? Tapi gembira je pun. Kemudian kami lalu di depan The Many Adventures of Winnie the Pooh. Tengok tak ramai orang, kami pun beratur. Dekat sini best juga. Kami dibawa menyusur perjalanan Winnie the Pooh and the gang. Lepas tu terus ke Cinderella Carousel melayan saya yang teringin nak naik kuda pusing tu. Diorang awal-awal cakap; " Sazoh naik sorang tau, kitorang tunggu dekat tepi." Apa barang datang Disneyland naik kuda pusing kan? Kahkahkah.. Sekalinya, semua sibuk beratur sama nak teman naik kuda sekali. Omo, terharu acik! Terima kasih korang.

Masih di dalam kawasan Fantasyland, kami masuk ke "It's a small world". Dari luar, bangunan yang berbentuk istana ini sangat gah dan cantik. Nasihat ikhlas, cukup sekadar bergambar dekat luar saja sebab ride dalam ni sangatlah perlahan dan jaraknya agak panjang. Mengantuk hoi! Sepanjang perjalanan perkumandang lagu It's a small world. Hentian terakhir di Fantasyland ialah Fairy Tale Forest. Landskap dekat sini memang cantik dan bertemakan cerita-cerita dongeng terkenal Disney seperti Snow White, Sleeping Beauty, Cinderella dan Tinker Bell. Ada banyak photo point juga di sini. Duduk je dekat tempat yang disediakan dan taraaa! Dapatlah gambar berlatarbelakangkan suasana dalam cerita-cerita dongeng tadi.

 Sejurus sebelum Radin naik sheikh putar stering. Pening oi!

 Suka gambar ni sebab semua gembira walaupun kena naik kuda pusing. Heee..

 Depan istana 'It's a Small World'

 Dekat bahagian dalam. Ni dah sampai penghujung rasanya sebab dah ucap selamat tinggal. Seram pun ada juga dalam ni sebab sangat banyak patung-patung kecil yang bergerak mengikut muzik.
 Okey, dah sampai Fairy Tale Forest. Dalam ni ada juga beberapa stesen untuk game mini dan ada banyak bingkai macam ni untuk ambil gambar.

Landskap dalam ni memang cun! Ini salah satunya, dekat bahagian Tinker Bell.

Seterusnya, kami berjalan masuk ke Toy Story Land. Dekat sini ada banyak ride menarik juga dan ada sesi beramah mesra bersama watak-watak dari Toy Story. Waktu sampai tu, sempat berselisih dengan Buzz Lightyear je. Masa bertemu peminat dah tamat. Jadi, teruslah ke RC Racer. Dari bawah tengok macam tidaklah menakutkan sangat. Bila naik, ambik ko! Dia punya kecondongan trek tu, bikin hati kecut. Terasa sangat lama ye berada di atas tu walhal berapa minit je pun sebenarnya. Bila dia berhenti dia hujung trek, memang terasa kena gantung dekat hujung tiang.

Masih dalam kawasan sama, saya, Mada dan Radin menuju ke Toy Soldier Parachute Drop. Mula-mula macam tak berani nak naik sebab tengok dari jauh macam kecut perut juga ni. Tapi Mada dengan Radin pujuk, "Okey je ni Sazoh. Tak adventerous sangatlah. Tengok tu, ada budak-budak kecik naik." Hahahaha... Lebih kurang macam tulah. Hani tak naik sebab dia rasa kurang sihat. Makanya, cuma kami bertiga aje dan Hani duduk di kejauhan jaga beg. Naik parachute ni okey sangat, tak kecut perut pun. Takat geli-geli. Hehehe...

 Apa nama watak ni? Lupa pulak..
 Buzz nak balik makan nasi. Muka senyum tapi di sebalik topeng mungkin dah masam sebab asyik kena tahan je walaupun dah habis duty. Hahaha..

Ini dekat kawasan parachute tu

Memandangkan hari dah lewat, kami terus ke kawasan Mystic Point untuk makan tengah hari di Explorer's Club Restaurant; salah satu restoran halal di sini. Cerita pasal restoran boleh rujuk dalam entri terdahulu. Dah makan, dah solat dan dah segar sikit, kami masuk ke dalam Mystic Manor. Ride dalam ni pun best. Siap kena percikan air lagi untuk membuatkan pengunjung merasai seperti apa yang diceritakan. Bila tengok balik peta Disneyland ni kan, terasa rugi sebab banyak sangat tempat yang kami tak sempat nak masuk. Ada rezeki lagi nanti, terasa macam nak pergi balik tapi duduk dekat resort dia dan beli pas masuk untuk dua hari. Eceh, cita-cita dia tu, kemain besar haa.

Dari Mystic Point, kami masuk ke Grizzly Gulch. Tema dekat sini adalah kehidupan silam pelombong, ala ala Wild Wild West. Banyak tempat menarik untuk bergambar dan ada satu tempat untuk main air. Dia letak pam air yang digunakan pada zaman dulu dan mainlah air dekat situ. Di sini, kami naik Big Grizzly Mountain Runaway Mine Cars. Hat ni pun best. Saya naik dengan Radin manakala Mada dapat kawan baru dari Jepun sebab satu tempat duduk tu boleh masuk dua orang. Hani masih lagi tak ikut waktu ni. Mula-mula naik okeylah berlagak sebab dia jalan perlahan je dan belokan pun tak tajam dan curam. Sekalinya, bila sampai satu kawasan tinggi ni, tiba-tiba dia berhenti kejap dan syiuuuuuuuuuuu! Dia mengundur ke belakang dengan lajunya. Barulah reti nak menjerit cemas dan rasa kecut perut. Hahaha... Tapi best sampai saya ajak diorang naik dua kali tapi diorang tak layan.

Seterusnya. kami berjalan ke Adventureland. Mula-mula kami naik Rafts to Tarzan's Treehouse. Tak ada apa sangat pun dekat sini. Kalau naik ke Treehouse tu mungkin boleh nampak pemandangan cantik tapi sebab kami kejar masa nak tengok Festival of The Lion King, takat naik rakit, turun kejap dekat kawasan Tarzan's Treehouse dan patah balik ke jeti sebelum berlari mengejar masa persembahan pentas Lion King. Untuk persembahan pentas ni ada jadual dia. Kena tengok dalam pamhplet yang disediakan. Bab ni Radin punya tugas sebab hal yang melibatkan taman tema, dia senior. Lepas dari persembahan Lion King, kami berjalan dalam kawasan Adventureland ni sekadar mengambil gambar saja. Asalnya nak naik Jungle River Cruise, tapi sebab orang sangat ramai dekat sini dan kami nak kena tebus kupon makan malam dan berkejar untuk perarakan, tak jadi. Cumanya sempat naik keretapi antik yang mengelilingi Disneyland dari stesen Fantasyland. Dia ada dua stesen; satu lagi di Main Street.

 Di luar Mystic Manor. Bergambar sementara menanti Hani kembali

Ini dekat kawasan Grizzly Gulch. Setting dia lebih kurang zaman koboi.


 Ha, ini salah satu stall untuk tebus kupon snack

 Persembahan Lion King
 Best gila persembahan ni! Pelakon-pelakon dia memang fit dan bertenaga. Dahlah suara sedap pulak tu.

 Dah habis...

 Sementara menanti keretapi sampai

 Tadaaa, sampai!
Keadaan dalam gerabak. Masuk cepat, dapatlah duduk di barisan depan

Dah pusing naik keretapi, kami patah balik ke Explorer's Club untuk makan dan kemudian berkejar ke Main Street untuk perarakan. Salah satu acara wajib tengok jika ke Disneyland adalah perarakan ni. Sebelum tu, sesiapa yang belum tebus kupon snek singgah tebus dulu. Saya ambil popcorn kononnya bolehlah makan waktu tengok perarakan tu. Tapi perut kenyang sangat sampai tapau popcorn tu bawa balik Malaysia. Okeylah, tak membazir. Waktu mencari tempat yang strategik untuk tengok perarakan, terjumpa satu keluarga dari Malaysia. Sempatlah borak-borak dan berkongsi keterujaan bersama anak-anak kakak tu. Hahaha.. Bila masuk dalam ni, yang dah dewasa pun boleh kembali menjadi kanak-kanak. Bila tengok balik video-video yang direkodkan oleh Radin, boleh dapatlah bukti keterujaan kami. Kahkahkah.. Lama juga perarakan ni berlangsung dan kemuncaknya adalah persembahan pentas oleh Mickey Mouse di kawasan yang dinamakan Town Square. Tapi saya dengan Radin ingatkan lepas dia lalu Main Street tu dah habis dah, teruslah kami masuk ke dalam kedai cenderahati paling besar dalam Disneyland tu untuk membeli sedikit cenderahati untuk diri sendiri dan kawan-kawan rapat. Harga dia harap maklumlah mahalnya sebab Disneyland kan? Saya cuma beli fridge magnet dan rantai kunci saja. Begitulah kisah pengembaraan kami di Disneyland Hong Kong. Dari pagi sampai ke malam, tak cukup ye nak menjelajah semua tarikan yang ada dalam ni.

 Tinker Bell
 Monster Inc. Comel ngat dia ni sebab dia suruh penonton jerit. Bila tak kuat, dia suruh buat lagi. Kitorang pun layankan je dengan gembira. Hahaha...

 Ni pun MOnster Inc. kot kan?

 Rombongan dari filem Cars.

 Ni pun dari Cars juga rasanya. Saya reti nama filem jelah, tengoknya idak. HEhehe..

 Little Mermaid! 
 Ni ketua segala watak Disney, Mickey Mouse. Dia muncul paling akhir sebab watak utama kan?

 Ini penanda kepada pengakhiran perarakan. Belakang ni berduyun-duyun manusia mengikut untuk ke Main Street

 Sebelum melangkah ke stesen, fokus pada rupa Mickey belakang tu ye

 Duit dalam Octopus tak cukup jadi kena tambah nilai dulu guna mesin ni. Ada arahan dalam bahasa inggeris, jangan risau ye.
 Dah sampai dekat stesen utama, boleh cari hentian Tsim Tsa Shui tu

Hasil tangkapan. Sebab tak berapa nak berduit, kita beli yang paling murah untuk buat syarat kenangan dari Disneyland.

Dengan ini, tamatlah kisah hari keempat di bumi Hong Kong. Ada baki dua hari lagi ni. Kau buat apa lama-lama dekat sana tu? Kan dah jenuh nak catat pengalaman. Hahahahadoi! Ni belum masuk cerita balik kampung 2019 yang sampai nak dekat 2 minggu tu. Yang tu lagilah tak tahu bila nak mula, bila nak habis. Doakan saya rajinlah ye. Hehehe..

GBP Invades Hong Kong&Macau Episode 14: Disneyland Hong Kong, Kami Datang! (Bahagian 1)

Hello Disember! Tiba-tiba dah nak habis tahun 2019. Sebelum bertukar tahun 2020, marilah habiskan catatan perjalanan di Hong Kong tahun lepas. Nampak tak, sampai dah bulan 3 tahun 2020 baru entri ni keluar. Lama sangat terperuk dalam draf. 😂😂😂😂 Sungguh tak produktif ye, makan tahun nak habiskan karangan satu perjalanan. Hari keempat di bumi Hong Kong, kami berkunjung ke taman tema terkenal di seluruh dunia, Disneyland. Selaku seorang manusia yang kurang gemarkan taman tema, perasaan waktu mula-mula nak pergi tu biasa-biasa je.

Pagi tu kami gerak awal untuk membolehkan kami masuk sebaik saja pintu Disneyland dibuka. Dari pusat bandar, kami naik MTR dan ada tukar laluan beberapa kali tak silap. Gerabak terakhir yang kami naiki untuk tiba di Disneyland sudah pun bertemakan watak terkenal Disney, Mickey Mouse. Waktu ni dah tak ramai orang dalam gerabak sebab yang naik tu semua pengunjung ke Disneyland. Dapatlah duduk dan menjakun bergambar.

 Antara pemandangan dalam perjalanan ke Disneyland

 Tingkap pun bentuk kepala Mickey

 Pemegang dalam gerabak pun sama

Dah sampai depan pintu masuk sebaik saja keluar dari stesen. Muka wangi lagi ni masing-masing.

Sedikit info yang boleh dikongsikan, Disneyland Hong Kong terletak di Lantau iaitu salah satu pulau yang membentuk Hong Kong. Lapangan terbang antarabangsa juga terletak di pulau sama. Jadinya, semedang boleh nampak kapal terbang di ruang udara Disneyland. Sampai je dekat Disneyland tu, kena tuntut tiket masuk dulu. Jadinya, kami ke kaunter tiket dan tunjuk QR kod dari Klook dan pasport juga tak silap. Kemudian tu dia bagi 4 keping tiket untuk seorang. Sekeping tiket masuk, lagi 3 keping tu untuk kupon makan (snack, lunch dan dinner). Tiket pun comel sebab ada karakter dari Star Wars.

Tiket masuk kami beli di Klook untuk dapatkan harga yang lebih murah. Harga untuk seorang RM 280. Kami juga beli kupon makan dari laman web yang  sama untuk memudahkan urusan. Saya difahamkan, Disneyland Hong Kong adalah satu-satunya Disneyland di dunia yang menyediakan restoran makanan halal. Ini info pada tahun 2018 ye, info terbaru saya tak pasti. Ada dua pilihan kupon iaitu set 1: makan tengah hari + snek dan set 2: makan tengah hari + makan malam + snek. Disebabkan kami tamak, kami ambil kupon set 2. Harga kupon makan set 2 ni RM 117 seorang. Sangat berbaloi guna kupon ni sebab pilihan makanan banyak dan saiz hidangan juga setimpal dengan harga.

Sebab beli tiket guna nama saya, sayalah yang kena tebus di kaunter. Kaunter ada banyak dan kebetulan kami awal maka orang tak ramai lagi

Terdapat dua pilihan restoran untuk makanan halal iaitu The Explorer's Club dan Tahitian Terrace. Waktu kami pergi tu, Tahitian Terrace ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian. Walaupun hanya satu restoran yang beroperasi, pilihan makanan masih banyak. Untuk yang perut Jawa macam saya, jangan risau sebab ada set nasi juga. Nasi goreng ada, nasi putih ada. Cumanya untuk kupon ni, kena pilih set dengan harga yang ditetapkan. Kalau kurang, tak boleh claim baki yang kurang. Kalau lebih, kena bayar kot. Ke tak boleh pilih makanan yang harganya lebih dari yang ditetapkan? Lupa sudah. Oh, baru teringat! kami ambil set 2 tu sebab kononnya nak cuba kedua-dua restoran yang ada. Sekalinya cuma satu je yang buka daaa. Nasihat untuk anda, sebenarnya kupon set 1 sudah memadai sebab masuk dalam tu lebih kepada nak main permainan yang ada dan memang kenyang dia lama. Macam kami, waktu nak makan malam tu, perut masih kenyang lagi tapi sebab dah beli, kami makan jugalah. Cuma snek la yang tak habis. Dapatlah bawa balik Malaysia popcorn sedap tu. Untuk snek, boleh pilih popcorn atau aiskrim. Nak tebus, tunjuk je kupon yang diberikan di pintu masuk tadi. Banyak je tempat nak tebus snek ni, tak perlu risau okey?

 Ada menu makanan dekat pintu masuk restoran. Boleh ulangkaji dulu sebelum masuk barisan untuk memesan. Hehehe..

Makanan kami berempat. Portion besar dan pada saya, sesuailah dengan harga yang dikenakan. Sedap pun sedap.

 Ni set makan tengah hari yang saya pilih. Nasi goreng tak ingat nama dia.

 Keadaan dalam restoran. Kawasan dia sangatlah besar. Ini bahagian kaunter untuk beli makanan. Kalau masih tak pasti, boleh tengok dalam display tu, dia ada letak replika hidangan untuk setiap menu yang ada.

 Antara ruang makan yang ada. Setiap bahagian ada tema tersendiri.

 Ini set makan malam saya. Tak ingat apa tapi rasanya tema Korea. Yang ni kurang berbaloi sebab daging tu tulang je banyak dan daging agak liat.

 Ini contoh aiskrim yang boleh ditebus dengan kupon snack

 Ini pula popcorn yang ditebus sejurus sebelum perarakan bermula. Bekas popcorn ikut tema dekat mana kita redeem

Ini rupa kupon makan. Tema pada hari tersebut kalau tak silap Star Wars. Jadi, setiap kupon ada watak berbeza

Tempat solat juga disediakan dalam ni. Takdelah dia tulis musolla sebab bilik tu untuk bilik ibadat bagi semua agama. Dia panggil Quiet Room dan tak ada asing untuk lelaki dan perempuan. Pandai-pandailah nak hidup ye. Tempat wudhuk juga ada disediakan dan kena bergilir juga. Selesa semuanya cuma kena pandai bawa diri di tempat orang ye. Quiet Room ni satu tempat dengan The Explorer's Club. Jadinya, kalau makan tengah hari dekat situ, senanglah nak solat.

Pintu masuk ke kawasan wudhuk. Kongsi juga lelaki dan perempuan. Kalau bimbang ada orang lelaki masuk, ajak la geng bergilir tunggu depan ni. Alhamdulillah selesa dan mudah tempat berwudhuk ni.


Itulah serba sedikit info yang saya boleh kongsikan berdasarkan catatan yang saya buat dan rujukan dari internet juga. Kot la pada masa akan datang keadaan dunia dah kembali pulih dan ada yang diberi rezeki untuk ke sini, mungkin bolehlah jadikan rujukan.