Masak bihun ni dah lama. Sebab musabab bihun ini dimasak adalah kerana tak puas hati makan bihun yang disediakan oleh pihak kafe sempena menjadi AJK Robot Challenge tempoh hari. Kurang perencah dan bihunnya agak keras. Menjadi seorang aku, walaupun tak berapa sempurna cara masakannya, tidaklah aku nak kutuk lebih-lebih. Cukup sekadar cakap; "Bihunnya tak berapa sedap." Syukurlah sebab masih diberikan rezeki walaupun tak sempurna. Dapat makan dan percuma pula tu.
Dari dulu lagi aku tak berapa kisah bab makan ni. Apa yang orang hidang, makan saja. Kalau tak sedap atau tak kena pada selera, jamahlah sikit dan tak perlulah nak komen lebih-lebih sangat. Bimbang nanti kufur pada nikmat pula. Agaknya dah biasa makan makanan asrama yang sederhana dan kadang-kadang tak sempurna. Kalau diingat semula, menu di asrama dulu sudah diatur dan akan ditukar setiap hari. Bihun goreng termasuk dalam menu yang disediakan sebagai santapan untuk sarapan atau minum malam. Ada masa, bihun goreng yang dimasak adalah sangat sedap hinggakan kami tak segan untuk tambah lagi. Itu pun kalau tak ramai orang turun makan la. Kalau ramai, tak tambah sebab nanti tak cukup. Kadang-kadang, bihunnya masin. Yang paling haru bila bihunnya seperti tak masak langsung; masih keras macam dawai! Bila bihun itu yang dihidangkan, kami pasrah saja. Kadang-kadang kami telan barang dua ke tiga suap untuk alas perut. Kadang-kadang memang tak tertelan langsung sebab tak rasa bihun goreng. Keras, perencahnya belum sebati dan berbau hanyir dek kerana fishball dan fishcake yang digunakan sebagai perencah belum cukup masak.
Itulah pengalaman sepanjang lima tahun tinggal di asrama. Terlalu banyak kenangan yang tercipta dan kami tak jemu-jemu mengenangnya kembali bila bertemu. Biarpun diulang cerita, tetap tak pernah jemu. Dengan pengalaman-pengalaman seperti itulah yang menjadikan aku lebih berdikari dan bersyukur dengan rezeki yang diberikan.


