Engagement Fund ;)

Showing posts with label Tinta Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Tinta Ilmu. Show all posts

Sunday, 31 March 2013

Jangan Pentingkan Diri Sendiri

Sebenarnya dah lama nak kongsi tentang ini tapi sebelum ni tak berjumpa dengan teks ejaan yang betul. Jadi entri ini diperam dulu hinggalah baru-baru ni salah seorang sahabat di FB berkongsi tentang ini, beserta gambar ejaan perbandingan. Maka, lebih mudah nak terangkan.

Pertama kali tahu tentang ini adalah ketika berada di tingkatan empat. Ilmu yang melekat sampai sekarang ini diperoleh sewaktu di kelas bahasa Arab yang untuk aku, tak sah kalau tak mengantuk. Serius, asal kelas bahasa Arab je mesti ngantuk tahap tak boleh nak tongkat mata. Tak tau kenapa. Hehehe...Satu hari tu, tiba-tiba ustaz Akram terangkan pasal doa ni siap dengan ejaan dan huraian lengkap lagi. Alhamdulillah,  sampai sekarang aku ingat tentang doa yang satu ini.

Buat para imam, berhati-hati apabila membacakan doa kerana bimbang kita hanya mendoakan diri kita tanpa mendoakan makmum di belakang. Yang dah tahu, sebagai peringatan. Yang belum tahu, sebagai pembetulan. Semoga doa kita diterima, amiiinn...

Monday, 22 October 2012

10 Awal Zulhijjah

Sedikit perkongsian yang diperoleh daripada blog ini, untuk tambah ilmu Tuan Tanah juga untuk anda yang datang berkunjung. Semoga bermanfaat.


Tujuh amalan dianjur sepanjang bulan penuh berkat
Oleh Hizbur Rahman

KINI kita berada di penghujung bulan Zulqaedah. Insya-Allah jika dipanjangkan umur, kita bakal bersua dengan bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hamba-Nya daripada neraka lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Buruj yang bermaksud: “Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya, daripada Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada satu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).”

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini, umat Islam dianjur melakukan pelbagai amalan antaranya:

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

Kedua: berpuasa pada hari berkenaan atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa pada hari Arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamdu.”

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kelima: Memperbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya digandakan pada hari berkenaan.

Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 maksudnya:

“Di situ ada tanda keterangan nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Orang yang menunaikan fardu haji merupakan tetamu Allah SWT. Mereka berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji mabrur.

Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

*Sumber asal adalah di pautan ini.

Wednesday, 12 September 2012

Antara Perkara Makruh Dalam Solat



Biarpun sesuatu perkara itu sudah kita ketahui, kita masih tetap perlu membacanya berulang kali agar terpahat terus dalam ingatan. Bila saja aku menekan butang merah pada alat kawalan jauh televisyen beberapa minggu lalu, terus skrin tv memaparkan siaran rancangan di saluran TV Al-Hijrah. Terus aku duduk dan mengikuti siaran itu. Tajuk yang dibincangkan yang menarik perhatianku. Semerta ingatanku melayang ke satu majlis ilmu sepuluh tahun lalu. Usrah yang wajib kami hadiri setiap minggu diadakan di Bilik Belajar Tingkatan 5 tika itu dan topik yang kami bincangkan pada minggu adalah 'Perkara-perkara Makruh Dalam Solat'; sama seperti yang dibincangkan di TV Al-Hijrah itu. Naqibah kami meminta setiap seorang memberitahu perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika solat. Setiap idea yang dilontarkan akan diulas dan dikupas dengan lebih lanjut oleh naqibah kami. Mana yang salah, beliau akan betulkan. Rindunya mahu kembali ke saat itu.



Disebabkan aku ni kadang-kadang termasuk dalam golongan orang yang STM (Short Term Memory), maka daripada 7 perkara yang dibincangkan, aku hanya ingat 4 saja. Selebihnya nanti aku cari dan kongsi kemudian ye. Inilah dia 4 perkara yang makruh dilakukan ketika bersolat;

  1. Meliarkan mata - bermaksud ketika solat mata kita sibuk melilau melihat keadaan sekeliling. Bukan apa, bila mata dah melilau sudah tentu tahap kekhusyukan akan berkurang. Jadi seeloknya mata itu dihalakan ke tempat sujud.
  2. Banyak menggerakkan anggota kecil - anggota kecil yang sering jadi mangsa keadaan adalah jari. Tak batal solat kalau menggerakkan anggota kecil tapi ada syaratnya untuk menggerakkan anggota kecil tu. 
  3. Meludah - kadang-kadang kita bersolat selepas waktu makan dan kadang-kadang adalah bendasing yang terselit celah gigi atau bawah lidah. Nak telan, tak boleh tapi bila diludah dah jadi makruh. Bagaimana nak tangani? Mengikut kata ustaz yang aku tak ingat namanya itu, cuitkan bendasing tu pada hujung kain. Lepas solat baru fikir nak buat macam mana.
  4. Melabuhkan punggung - keadaan ini berlaku ketika duduk di antara dua sujud. Seperti yang dimaklumi, kaki kanan kita perlu ditegakkan manakala kaki kiri menampung punggung ketika duduk di antara dua sujud ni. Bila saja kita meletakkan punggung atas lantai dan bukan lagi ditampung oleh kaki, itu dah jadi makruh.

Seperkara yang perlu difahami, makruh ini bila dibuat tak berdosa dan bila ditinggal tak dapat pahala. Cuma perlu berhati-hati kerana apabila dilakukan berulang kali, bimbang ia menerbitkan hukum lain pula. Sekian dulu perkongsian ilmu untuk kali ini. InshaAllah akan disambung kemudian ye. Kalau ada mana-mana yang tak betul atau kurang jelas, bolehlah perbaiki di ruangan komen.

Monday, 5 September 2011

Wakaf

Sebenarnya, dah lama nak kongsi tentang wakaf ni. Tapi asyiklah malas nak menaip. Makanya maklumat yang diperoleh daripada taklimat ringkas oleh Perbadanan Wakaf Selangor tempoh hari, terperuk dalam Buku Rahsia Kerajaan versi 2010/2011. Kikiki...

Seperti yang dikatakan oleh seorang sahabat, 'Tak kenal, maka taaruf'. Jadi sebelum bercerita lebih lanjut, mari aku kenalkan siapa Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) ni. PWS adalah merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor yang pada asalnya adalah Unit Wakaf yang bernaung di bawah MAIS. PWS telah diisytihar penubuhannya pada 11 Januari 2011. Objektif penubuhan PWS adalah untuk:

  • Mengembali dan mengembangkan budaya berwakaf di kalangan umat Islam.
  • Menggalakkan amalan berwakaf harta alih dan tidak alih
  • Membangun dan memajukan hartanah wakaf sedia ada dan baru dengan projek yang berdaya maju dari segi ekonomi dan sosial.
  • Menggunakan hartanah wakaf dan manfaatnya secara optimim dan berkesan.
  • Memenuhi niat dan hasrat pewakaf serta memastikan hartanah wakaf tidak terbiar dan lupus.

Apakah yang dimaksudkan dengan wakaf?
Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum dan khusus dengan niat sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Dalil-dalil Wakaf
Antara dalil yang disebutkan dalam Al-Quran mengenai wakaf adalah daripada surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud;
"Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kepada kebajikan yang sempurna, sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui".

Manakala bagi hadis, Rasulullah turut menyebut tentang wakaf ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud;
"Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara, Sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya."

Para ulama' berpendapat bahawa amalan wakaf adalah satu-satunya ibadah yang berbentuk sedekah jariah dan ianya mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya;
1. Menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir kepada pewakaf hingga ke hari akhirat selagi harta tersebut kekal dan dimanfaatkan.
2. Satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat Islam melalui konsep pengumpulan harta bersama.
3. Pengecualian cukai hingga 7% .
4. Menjadi penyelamat ketika melalui titian sirat. Harta yang diinfak akan menjadi tunggangan yang sepantas kilat ketika melintasi titian sirat.

Selain itu, amalan wakaf juga boleh memberi manfaat kepada orang yang berwakaf dalam segala segi. Contohnya, seseoarang itu mahu mendidik anak-anaknya menjadi soleh. Maka, apabila dia mewakafkan hartanya, hendaklah dia berniat; "Ya Allah, seandainya ada manfaat daripada harta yang aku wakafkan ini, kau berikanlah manfaat daripada wakaf ini kepada anak-anakku supaya menjadi anak yang soleh." Begitulah caranya. Niatkan supaya manfaat ibadah wakaf tadi disalurkan kepada apa yang kita hajatkan. Allah juga turut berfirman dalam Surah Hud ayat 114 yang bermaksud;
"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada ketika-ketika yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah- perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat."

Terdapat banyak lagi kelebihan berwakaf lain tapi inilah yang sempat disalin dan tertulis dalam pamplet yang diberikan. Sebuah lagi hadis mengenai anjuran bersedekah (berwakaf) ini adalah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud;
Daripada Abu Hurairah r. a berkata : " Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s. a. w lalu bertanya : Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab : Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila ruh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata : Untuk si polan harta ini, untuk si polan harta ini, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain. 


Saham Wakaf Selangor
Jumhur ulama' juga mengharuskan wakaf harta boleh alih. Tidak semestinya tanah atau bangunan saja. Oleh sebab itulah diwujudkan Saham Wakaf Selangor (SWS) ni. SWS adalah satu cara berwakaf melalui wang tunai iaitu dengan cara membeli unit-unit saham yang ditawarkan oleh MAIS sebagai pemegang amanah dan mewakafkan unit-unit saham tersebut selama-lamanya kerana Allah SWT dengan tujuan demi kepentingan dan kebajikan ummah.

Bagaimana Menyertai SWS?
1. Penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan boleh dikemukakan dimana-mana kaunter yang disediakan.
2. Kadar penyertaan minimum adalah RM10 (seunit) dan tiada kadar maksimum.
3. Penyertaan terbuka kepada orang ramai dan juga organisasi.
4. Setiap peserta tidak menerima sebarang bentuk dividen atau keuntungan kerana ianya bersifat wakaf (sumbangan kekal)
5. Penyertaan juga dibolehkan bagi pihak wakil mana-mana individu yang telah meninggal dunia atau masih hidup.

Selepas membaca syarat-syarat di atas, tidak ada alasan untuk kita berbakti kepada kedua ibu bapa walaupun mereka sudah tiada di dunia ini. Macam aku, lepas dengar taklimat ni baru tersedar aku tak buat amalan pertama dalam hadis diatas iaitu sedekah jariah untuk arwah mak. Yelah, tiap bulan bagi duit pada Abah je, pada mak tak ada apa-apa. Dengan adanya SWS ni, insyaAllah aku akan istiqomah mewakafkan sedikit daripada gaji yang diterima atas nama arwah mak. Jangan risau, bukan dengan cara mengisi borang aje, masih ada beberapa cara lain untuk wakaf ni seperti;

  • Mengunjungi  Kaunter Bahagian Baitulmal & Mal MAIS
  • Pejabat Agama Islam Daerah
  • Kaunter Lembaga Zakat Selangor
  • Ejen Penerangan & Kutipan
  • Skim Potongan Gaji
  • Pos
  • E-Mals (www.mais.gov.my)
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Bank In ke akaun Bank Islam:
    • Perbadanan Wakaf Selangor: 12 038 01 010810 6
Mudah bukan? Bagi yang sudah berjawatan tetap, mungkin lebih mudah kalau potong melalui gaji. Atau kalau dah banyak sangat potongan, boleh bank in saja. Cuma sebelum nak bank in, kena niatkan wakaf tu untuk siapa. Contohnya kalau untuk arwah mak atau ayah atau untuk anak-anak atau ahli keluarga lain, niatkan dengan "Aku mewakafkan  RM ____ untuk _________________ (nama orang/almarhum/almarhumah) kerana Allah Taala". Begitulah niatnya. Kalau untuk diri sendiri, niatkan dengan "Aku berwakaf RM _____ kerana Allah Taala."

Inilah serba sedikit maklumat yang dapat dikongsikan bersama. Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan, boleh terus lihat di laman web MAIS. Sesungguhnya, melakukan kebaikan itu sangatlah mudah dan setiap yang dilakukan itu berdasarkan niat. Jika kita berniat mahu melakukan kebaikan, insyaAllah akan dipermudahkan jalannya.

Monday, 4 July 2011

Tak Nampak, Tak Semestinya Tak Wujud

Hari ini sudah pun 2 Syaaban, tapi aku baru nak menulis tentang peristiwa yang berlaku pada bulan Rejab. Baiklah lewat daripada tiada bukan? Kali ini, nak kongsikan apa yang aku dapat waktu di Hamidiah dulu. Tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Jamaludin sempena sambutan Isra' Mi'raj bertarikh 10.9.2005.

Sepanjang berlakunya peristiwa Isra' Mi'raj ini, Rasulullah telah menemui pelbagai perkara. Untuk mengetahui apakah yang ditemui baginda, boleh baca di sini. Selepas baginda mengalami Isra' Mi'raj, Rasulullah menceritakan peristiwa yang berlaku kepada para sahabat tetapi hanya Abu Bakar As-Siddiq yang percaya dan yakin dengan apa yang telah berlaku sedangkan yang lain hanya mendiamkan diri. Kemdian, terdapat dua orang hamba Allah yang masih tidak mempercayai Isra' Mi'raj lalu berjumpa baginda dan minta ditunjukkan bukti.

Rasulullah terkedu lalu salah seorang daripanya berkata; "Hai Muhammad, cuba angkat kaki kananmu." Baginda pun angkat. Kemudian, dia berkata lagi; " Sekarang, cuba angkat kaki kirimu." Baginda pun letakkan kaki kanan dan angkat pula kaki kirinya. Kemudian si hamba Allah tadi berkata lagi; "Sekarang, angkatlah kedua-duanya." Baginda tidak dapat mengangkat kedua-duanya serentak lalu si hamba Allah tadi mempersoalkan; "Bagaimana kau boleh naik ke langit sedangkan kau sendiri pun tidak berupaya mengangkat kedua-dua kakimu serentak." Akhirnya, Rasulullah menjawab; "Kalau begitu, kamu berdua pergilah berjumpa Umar dan Abu Bakar."

Kemudian, mereka berdua berpecah. Seorang pergi menemui Abu Bakar dan seorang lagi menemui Umar. Mudah saya namakan mereka hamba Allah A dan hamba Allah B. Apabila hamba Allah A ini berjumpa dengan Abu Bakar, Abu Bakar terus membacakan ayat 1 surah Al-Israa yang bermaksud; “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Sebaik saja mendengar ayat tersebut, si A pun percaya tetapi masih tidak puas hati. Lalu dia pun menguji Abu Bakar sebagaimana dia menguji Rasulullah sebelumnya. Cuma, apabila disuruh angkat kedua-dua kakinya, Abu Bakar melompat dan berpaut pada alang. Si A terkejut dengan reaksi Abu Bakar tadi. Abu Bakar pun menerangkan; "Mustahil bagiku untuk mengangkat kedua-dua kaki sekaligus tanpa bantuan. Begitu juga dengan bagaimana Rasulullah Isra' Mi'raj. Baginda pergi dengan bantuan Allah dan dengan menaiki buraq. Itulah bantuan yang mengiringi baginda."

Berlainan pula dengan hamba Allah B. Beliau pergi menemui Umar dan Umar turut membacakan ayat yang sama. Tetapi, si B masih ragu-ragu. Si B turut menguji Umar sepertimana mereka menguji Rasulullah tadi. Tetapi, saat Umar mahu mengangkat kedua-dua kaki, Umar menyuruh si B tutup mata dan tunduk. Lalu, Umar pun pancung kepala si B kerana orang yang tidak mempercayai ayat Quran adalah murtad dan wajib dibunuh. Begitulah bagaimana dua orang sahabat Rasulullah bertindak. Satu situasi yang sama dengan dua hasil yang berlainan. Sebagai manusia, akal dan fikiran kita memang terbatas dan jangan terlalu mempersoalkan apa yang berlaku. Cukuplah ayat Allah sebagai buktinya. Jelas bukan, tak mengalami sesuatu tidak bererti perkara tersebut tiada. Semoga bermanfaat.

Wednesday, 4 May 2011

Kahwin Waktu Belajar?

Petang tadi aku meronda bengkel untuk dapatkan pengesahan buku rekod mengajar daripada Ketua Bahagian. InsyaAllah minggu depan audit ISO nak datang, itu yang kena lengkapkan semuanya. Dah lama dapat memo, tapi baru nak buat. Sengal namanya. Hehehe... Balik daripada meronda, Bos aku cakap; "Farah, ada orang tu dapat bunga..." Wallaweh, siapakah gerangan? Aku ni lam.mim.ba.ta pa.ya.kap.pa(lambat pikap) bab-bab memahami bahasa tak terucap. Lepas ugh? hah? ugh? hah?, rupanya Kak *** yang dapat bunga dari encik suami. Sejambak weh, bukan sekuntum. Nak bunga? Kahwin la. Nanti encik suami hantar ke pejabat. Hahaha... Sungguh manis...
Ros merah ehsan Pakcik Google

Tiba-tiba teringat satu soalan dari seorang adik praktikal tak lama dulu kepada seorang staf; "Akak pergi kerja macam mana?" Lalu staf tadi menjawab; "Suami akak hantar." Spontan adik ni cakap; "Bestnya ada orang hantar tiap hari." Maka akak tu pun berkata; "Kahwin la kalau nak pergi berhantar, balik berjemput oleh encik suami." Lebih kurang begitulah inti pati perbualannya dan siang tadi, seorang adik yang dikenali di alam maya telah bertanya pendapat tentang berkahwin waktu belajar. Erkk??? Akak kau ni dah habis belajar pun, tapi belum lagi kahwin. Nak cakap lebih-lebih pun, belum ada pengalaman. Kawan-kawan pun, tak ada yang kahwin waktu belajar dulu. Tapi mintak pendapat, tak salah kot kalau kongsi pendapat. Teringat terus waktu di universiti, ada satu forum anjuran MPP bertajuk Cinta dan Perkahwinan di Alam Kampus. Kata salah seorang panel; "Cinta umpama kurap, makin digaru makin sedap". Betul ke? Dilema si adik ni adalah perlukah mereka  bernikah walaupun tidak belajar di tempat sama. Seorang di padang pasir, seorang di tempat bersalji. Jauh jaraknya, cinta antara benua. Walaupun jauh, dugaannya tetap ada. Bak kata orang melayu, hati terkenang mulut menyebut.

Walaupun tidak ternampak di depan mata, hati tetap terkenang. Ingatan sekali-sekala melayang pada si dia nun jauh di sana. Secara tak langsung sudah terkumpul dosa hati. Kalau diikutkan, empunya diri mungkin sudah bersedia. Tapi keluarga bagaimana? Bila rasa ragu-ragu, buat istikharah dulu. Yang pertama kali mungkin tiada apa-apa petunjuk. Buatlah berkali-kali hingga ditunjukkan jalan dan hati rasa yakin. Kadang-kadang petunjuk ni bukan dalam bentuk mimpi. Mungkin Allah akan datangkan dalam bentuk lain. Kemudian fikirkan semula sama ada keputusan ini yang terbaik atau tidak. Jodoh bukan perkara main-main.

Jodoh ini terbahagi kepada 3 jenis.
1. Jodoh dari Allah. Iaitu pandangan pertama yang jatuh terus ke hati. Daripada pandangan tadi, terus terdetik bahawa inilah wanita yang akan aku kahwini. Firman Allah dalam Surah Ar-Ruum ayat 21 yang bermaksud "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
Tetapkan niat dan kawal diri daripada memikirkan perkara yang tidak-tidak, dan mempersiapkan diri untuk perkahwinan.
2. Jodoh dari syaitan. Ini bahaya kerana menyalah gunakan anugerah yang diberi. Itu yang keluar frasa "Boleh pandang-pandang, jangan pegang-pegang." Bila seorang lelaki sudah berpuas hati dengan jodohnya pada pandangan pertama, maka haram baginya melihat wanita itu berkali-kali.
3. Jodoh dari jin. Ini juga bahaya kerana kita menggunakan cara salah untuk mendapatkan jodoh. I suka you, tapi you tak berkenan pada I pulak. Maka berjumpalah si lelaki dengan tok bomoh supaya jodoh tadi tunduk padanya. Macam drama Mantera Anjasmoro la. Suria menggunakan khidmat jin untuk buat Zahid jatuh cinta pada dia.

Kemudian, persiapkan diri. Sebaik saja berkahwin, tanggungjawab akan berganda. Bagi yang lelaki, automatik menjadi pemegang amanah terbesar si isteri. Tanggungjawab yang sebelum ini dilaksanakan ayah sudah berpindah pada suami. Bagi yang perempuan, perlu benar-benar bersedia untuk menjadi pemegang amanah sebagai isteri. Suami bertanggungjawab mendidik dan membimbing isteri, dan isteri bersedia menerima didikan dan bimbingan si suami. Mungkin awak rasa dah bersedia tapi bimbang keluarga tak beri keizinan. Kalau awak dah benar-benar bersedia, buktikan pada keluarga yang awak mampu nak jadi ketua keluarga. Kalau sebelum ni asyik nak membantah je apa orang cakap, belajarlah untuk mendengar dan memikirkan apa yang orang cakap. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan. Komunikasi ini adalah perkara terpenting dalam kehidupan. Kalau sebelum ni semua benda nak kena mak ayah bagi tahu, sekarang belajarlah untuk ambik tahu sendiri. Biarlah berjauhan selepas nikah pun kerana semua benda yang dibuat selepas itu adalah halal. Nak teringat kat isteri pun, tak ada masalah. Nak bercakap mendayu-dayu, boleh. Nak menatap wajah melalui siaran kamera web pun, tak ada orang nak larang.

Orang kata wanita ni paling kuat dan tabah bila berkaitan dengan perasaan. Tapi kekuatan itulah sebenarnya kelemahan. Dengan perkahwinan, awak bimbing dia supaya tak merendahkan martabat dan maruahnya. Cabaran memang sentiasa ada bukan pada pasangan yang masih belajar aje tapi pasangan yang biasa pun tetap akan ada cabaran. Mungkinlah berbeza cabarannya dan kemampuan untuk menghadapi cabaran tu juga berbeza. Kadang-kadang kita pun fikir, bersedia ke aku ni? Boleh ke aku ni? Dah betul-betul kuat ke aku ni? InsyaAllah bila dah buat persediaan, kita boleh hadapinya sebaik saja kita berada dalam situasi tu nanti. Contohnya macam akak, dulu waktu praktikal ajar budak-budak kecil. Sekarang bila dah kerja, mengajar budak-budak remaja. Mula-mula memang takut dan tak tahu macam mana nak hadapi. Tapi lama kelamaan akak dah tahu macam mana berhadapan dengan mereka. Dua-dua situasi, ada cabarannya.




Ikhlas dan cintailah pasangan awak kerana Allah. Selalunya orang yang merantau ni lebih cepat matang dan kuat berbanding dengan orang yang senang hati 'berkuntau' di tempat sendiri. Itu salah satu kelebihannya. Dua-dua kena kuat dan sabar. Jadi, fikir-fikirkanlah ye. Apa yang tertulis ni adalah sedikit ilmu yang diperoleh daripada taman syurga di dunia. Pengalaman, memang tak adalah kan. Ilmu yang sikit ini jualah yang akak kongsikan.

Thursday, 14 April 2011

Dari Kerana Mata

Salam ketemu. Hampir seminggu tidak menconteng apa-apa di sini. Nak kata sibuk, orang lain lagi banyak kerja. Adalah kerjanya cuma untuk menebeng di sini, memang tengah malas. Orang kata, mood dah ke laut. Kena pergi Pantai Kelanang dulu kutip mood baru boleh menaip hari-hari. Ok, mengarut sudah. Sebelum buat entri mengarut, mari kita muhasabah diri sikit. Baca tazkirah ringkas yang tak berapa nak ringkas ni.

Masih ingat lagi lagu yang dinyanyikan dalam filem Jimi Asmara? Meh nyanyi sikit...
Dari kerana mata
Yang mempunyai kuasa
Oh, aku tergoda,
Aku tergoda terkecewa....

ataupun mungkin lagu tu orang tak nyanyi dah. Orang sekarang nyanyi lagu ni pulak kan
Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang



Apakah? Pandang pun tak boleh tahu. Kalau dah pandang, mesti nak pegang. Jadi, yang mana nak kena cegah patutnya? Sudah tentulah akarnya. Dalam Al-quran juga telah termaktub dalam Surah An-Nur ayat 31 yang berbunyi;

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ 

Maksudnya: "Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya"

Allah s.w.t tahu bahawa MATA merupakan anggota yang boleh menggugah kekuatan hati dan nafsu. Kerana itulah pencegahan terawal adalah tundukkan pandangan. Kemudian Allah juga berfirman dalam Surah Ghafir (Mu'min) ayat 19 yang berbunyi;

يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُوْرِ 

Maksudnya: "Dia mengetahui khianatnya (pandangan) mata dan apa yang disembunyikan oleh hati."

Maka jelaslah bahawa MATA ini berbahaya dan boleh membawa bencana. Kalau di Hamidiah dulu, tempat duduk kami memang ditetapkan lelaki di hadapan dan perempuan di belakang. Kenapa? Kerana pandangan mata inilah. Sekarang, aku juga mempraktikkan perihal yang sama. Pelajar lelaki di hadapan dan perempuan di belakang. Itu pun, susahnya mak aih nak suruh imam-imam muda tu penuhkan meja hadapan. Lelaki, kenapa nak menafikan hak anda berada dihadapan sedangkan dalam solat berjemaah juga, saf hadapan WAJIB diisi oleh jemaah lelaki? Fikir-fikirkan.

Artikel ini diolah daripada sini. Boleh tekan pada pautan untuk membaca artikel selanjutnya.

Wednesday, 29 September 2010

Buatmu Wanita (Episod 2)

Apabila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam ;"adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan:


"alaa...itu soalan mudah jee..bila datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang mereka belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu"


Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa...


Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun.


Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur. Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu.


Dalam BAB TIGA :" Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..."perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut :


PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID:


Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :


1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asarsebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.


2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'.


"Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)


HURAIAN MASALAH :


1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar,maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)


2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?- Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.


- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat (menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.


3. Dalam perkara solat subuh pun sama :-perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh,kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'.


-Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.-Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)

-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu diqadha juga solat maghribnya.

Sila rujuk : Kitab Ihya' Ulumuddin (Jilid ke 2)cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah.


Alhamdulillah, arwah mak awal-awal lagi memberitahu tentang ini walaupun mulanya aku sedikit pelik. Artikel ini ku ambil dari laman web Rakan Masjid. Semoga bermanfaat.

Buatmu Wanita...

Beberapa hari ini, aku diajukan dengan soalan berbaur kemusykilan yang melibatkan isu feqah untuk kaum wanita. Wanita adalah istimewa kerana kami diberi cuti setiap bulan. Memandangkan aku bukanlah bijak pandai yang khatam kesemua jilid Ihya' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali, ulama' feqah tersohor, maka aku telah mencari artikel-artikel yang dikarang oleh mereka yang lebih mengetahui dan ku kongsikan di sini. Isu puasa 6 dan puasa qadha telah ku kongsikan di sini siang tadi. Moga bermanfaat.

Tentang Puasa
Bulan Syawal sudah hampir sampai ke penghujung. Namun, bagi sesiapa yang masih berusaha memenuhkan 6 hari puasa sunat Syawal, teruskan usaha. Kepada yang sudah melangsaikan kesemua 6 hari, alhamdulillah. Manakala bagi yang masih belum bermula, masih sempat lagi untuk anda memulakannya. Disebalik ganjaran pahala yang Allah janjikan kepada sesiapa yang menunaikan puasa 6 ini, timbul juga kemusykilan terhadap beberapa isu berkaitan. Teruskan membaca huraian dan penjelasan terhadap kemusykilan yang timbul berdasarkan hadis-hadis soheh dan huraian serta pendapat oleh para ulama'.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha
Satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan. Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?

Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.
Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW,

Ertinya "... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Artikel adalah olahan daripada artikel asal oleh Ustaz Zaharuddin dan juga artikel yang dipaparkan di PMIUM. Semoga bermanfaat.

Saturday, 21 August 2010

Nafsu

Bercakap tentang nafsu, teringat satu tazkirah tentang nafsu yang diceritakan oleh Ustaz Mahadzir ketika di Hamidiah dulu. Betapa degilnya nafsu hingga beberapa kali dihukum, barulah tunduk kepada penciptanya. Maka tadi, aku cuba mencari kisah tersebut melalui Google dan aku menemui kisah itu di laman blog Cerita Sekupang. Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya di neraka jahanam selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

Tolong Jaga Diri Ye

Assalamualaikum w.b.t...Agak lama tidak bersiaran. Serasa tiada cerita menarik untuk dikongsi walaupun sebenarnya banyak benda yang ingin dikongsi bersama. Maka hari ini aku gagahkan juga untuk menulis tentang isu ini. Isu yang panas dan makin kritikal hari demi hari. Rumahku tidak pernah tidak ada akhbar harian dan naskhah tetapnya adalah Utusan Malaysia dan Sinar Harian. Pun begitu, kadang-kadang aku hanya menyelak sekadar di pinggiran saja naskhah-naskhah tersebut kerana setiap hari pun ada dilaporkan kes pembuangan bayi. Sedih membaca berita yang tertulis. Tersayat hati melihat foto yang dirakam. Bayi kecil dibuang di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Dicampak ke dalam tong sampah mahupun ditinggalkan di tempat-tempat terbiar. Manusiakah mereka yang melakukan perkara sedemikian? Manusia yang Allah ciptakan dengan akal tergamak melakukan perkara sedemikian.

Beberapa minggu lepas, aku mendengar di berita radio ucapan dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata bahawa kes buang bayi akan disiasat sebagai kes bunuh dimana DNA bayi tersebut akan dianalisis untuk mengenal pasti ibu bapanya. Pada pandanganku, ia adalah tindakan yang wajar. Sewaktu ke pesta buku Selangor tempoh hari, Kak Chik berkongsi tentang pengalamannya bertemu dengan seorang remaja yang telah pun selamat melahirkan bayi hasil perhubungan haram dengan teman lelakinya kalau tidak silap. Betapa kisah itu membuat aku berfikir dan berfikir. Beginikah nasib anak-anak muda kita? Aku juga pernah mendengar kisah-kisah serupa dari seorang sahabat yang pernah bekerja di rumah perlindungan untuk remaja yang terlanjur. Ada yang sudah berkali-kali menghadapi situasi sama dan ada juga yang pertama kali. Kak Chik juga berkongsi tentang statistik kelahiran anak-anak luar nikah di negara ini. Seketika, aku tersentak mendengar angka yang disebutkan. Ini adalah statistik kelahiran anak luar nikah yang aku peroleh dari sini.

STATISTIK PENDAFTARAN KELAHIRAN ANAK LUAR NIKAH (1999-2003)
*Sebanyak 30,978 dari 70,430 adalah anak orang Islam
Pecahan mengikut negeri

SELANGOR            = 12,836 orang
PERAK                  =   9,788 orang
KUALA LUMPUR      =   9,439 orang
JOHOR                  =   8,920 orang
SABAH                  =   8,435 orang
NEGERI SEMBILAN  =   4,108 orang
PAHANG                =   3,677 orang
KEDAH                  =   3,496 orang
PULAU PINANG      =   3,412 orang
MELAKA                =   2,707 orang
KELANTAN            =   1,730 orang
PERLIS                  =      691 orang
SARAWAK             =      617 orang
TERENGGANU        =      574 orang
JUMLAH                =   70,430 orang

Lihat pada jumlahnya. Ini adalah statistik sehingga tahun 2003. Belum termasuk tahun-tahun terkini. Tidakkah anda fikir bahawa suatu hari nanti tidak mustahil akan terjadi perkahwinan antara adik-beradik? Bila mana a berlaku, rosaklah nasab keturunannya. Justeru, langkah pencegahan perlu difikirkan bermula dari sekarang. Kaum Hawa, jaga diri anda. Jangan rendahkan martabat anda sebagai wanita dengan melakukan perkara-perkara mungkar. Asuh nafsu untuk tunduk dengan perkara-perkara mungkar ini kerana bila nafsu menguasai diri, akal tidak akan berfungsi melainkan tunduk mengikut nafsu. 

Ingin aku kongsikan satu kisah pendek yang dikirim oleh seorang sahabat melalui SMS. 'Wanita ibarat EPAL.Epal yang tidak berkualiti amat mudah diperolehi kerana ia berguguran ditanah. Tetapi, epal yang tak mampu dibeli berada di puncak. Susah dipetik, sudah digapai. Kadang-kadang epal itu risau, "Kenapa diriku belum dipetik?' Lantas ia merendahkan martabatnya dan menggugurkan diri menyentuh tanah sedangkan ia sebenarnya telah dijadikan Allah begitu tinggi martabatnya sehingga tiada siapa yang berani memetiknya. Hanya pemuda yang benar-benar hebat sahaja yang mampu memetiknya. Mungkin bukan di dunia, tetapi di akhirat? Biarlah jodoh bukan di dunia asalkan cinta Ilahi kekal mengiringi'

Sumber gambar: Google

Fikirkanlah sama ada mahu menjadi epal yang mana. Epal berguguran atau epal di puncak. Semuanya terserah pada individu.

Friday, 18 June 2010

Komunikasi Solehah

Dah lama tak mengulas tentang ilmu. InsyaAllah kali ni aku titipkan sikit apa yang diperoleh dari segmen Al-Hidayah tadi. Tak sempat aku catat semua, jadi aku kongsikan apa yang sempat dicatat.


4M yang menjauhkan komunikasi...
-Mengkritik
-Membina sempadan
-Mencela
-Menyalahkan orang lain

10 cara untuk berkomunikasi:
1. Cari tempat dan suasana yang sesuai.
2. Jangan potong waktu oran bercakap. Tunggu sampai orang tu habis cakap, baru la kita cakap.
3. Jadilah pendengar yang baik. Raikan orang yang sedang berkomunikasi itu dengan cara memandang wajahnya dan lihat matanya. Tapi AWAS! Bagi lelaki dan perempuan bukan muhrim, sila tundukkan pandangan ye.
4. Gunakan body language yang sesuai.
5. Wujudkan rasa empati. Letakkan diri kita pada tempat si dia.
6. Beri respon. Senyum atau angguk atau apa-apa la yang sesuai.
7. Bagi sokongan pada idea yang dilontarkan.
8. Beri kelegaan sekiranya si dia meluahkan masalah dengan cuba memikirkan cara penyelesaian.
9. Ungkapkan kasih sayang. Dengan cara dan orang yang sesuai ye.
10. Tegaskan emosi. Jangan la buat tak tahu je waktu orang tu bercakap. Gunakan bahasa yang sesuai dan lembut.

Wednesday, 10 February 2010

Jodoh Itu Ketentuan Allah

Kebelakangan ini, terlalu kerap soal jodoh menyapa pendengaran dan menjadi topik perbualan. Lumrah manusia, mahu menyayangi dan disayangi. Rasa sayang yang paling manis dan diberkati tentulah rasa sayang yang lahir dan mekar dari satu ikatan hubungan yang sah; perkahwinan. Rasanya belum terlalu lewat untuk aku mengucapkan tahniah kepada salah seorang sahabat i Rakan, Saudara Merico yang selamat bernikah 6 Februari lalu. Teringat dulu salah seorang makcik ku pernah berkata; "Cari la 'sesiapa' kalau dah tahun akhir ni. Dah keluar bekerja nanti susah nak jumpa yang sekufu." Lebih kurang begitulah dialognya. 'Sesiapa' merujuk kepada orang yang boleh dijadikan isteri/suami. Benarkah apa yang diperkatakan? Mungkin juga.



Mencari teman hidup bukanlah semudah mencari sepatu untuk dipakai setiap hari. Malah, mencari sepatu yang selesa dipakai juga memerlukan ketelitian dan masa. Apatah lagi mencari teman hidup yang akan menemani kita setiap hari hingga ke akhir hayat. Perlukan lebih ketelitian dan masa untuk menilai hati dan pekerti seseorang itu. Bukanlah aku katakan seseorang yang mahu dijadikan calon itu harus ada setiap sifat lelaki soleh/wanita solehah. Kalau ada yang menepati semua ciri-ciri itu, itu adalah satu bonus kerana tiada seorang pun yang sempurna di atas bumi Allah ini. Sekurang-kurangnya, jika memilih calon suami, biarlah dia seorang yang ada agama supaya dapat membimbing isterinya dalam segala aspek, menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidupnya, dan baik akhlaknya. Sifat penyayang dan sabar juga adalah antara ciri-ciri yang perlu diambil kira kerana sudah terlalu banyak kes perceraian yang dilaporkan di media massa dan sebab perceraian hanyalah kerana masalah kecil. Kenapa? Kerana tiada sifat sabar dan kurangnya rasa sayang. Bagaimana boleh berlaku? Rata-rata pasangan yang mendirikan rumahtangga adalah selepas bercinta bertahun-tahun; kononnya sudah kenal hati budi masing-masing. Sudah puas berpegang tangan, menyuap makanan, dan lain-lain perbuatan yang selayaknya dilakukan selepas diikat dengan lafaz pernikahan. Percayalah bahawa semua yang dilakukan semasa di alam percintaan bukanlah sifat sebenar pasangan anda. Hanya sifat yang indah saja yang dipamerkan tapi hakikat sebenar tersembunyi disebalik madu cinta palsu tadi.

Siapakah yang memiliki hati kita? Yang Maha Esa atau manusia biasa?

Buat wanita, janganlah mengimpikan suami sehebat Saidina Ali jika dirimu tidak semulia Fatimah Az-Zahra. Mahukan suami soleh? Jadikan diri solehah terlebih dulu. Memang, bukan senang mahu merubah diri menjadi baik. Tapi itu bukan sesuatu yang mustahil. Mulakan dengan langkah pertama dan perlahan-lahan melangkah agar kita akhirnya boleh berlari kerana jika terus mahu berlari, kita mungkin akan jatuh dan tercedera parah berbanding jika menapak satu-persatu. Muhasabah diri dahulu. Cukupkah solat kita? Tergesa-gesakah kita mengangkat wudhuk tatkala azan berkumandang bagi setiap waktu solat? Basahkah lidah kita dengan zikrullah? Khatamkah 100 ayat Al-Quran setiap hari? Sabarkah kita menempuh dugaan yang menimpa? Astaghfirullahalazim.... Aku juga masih belum boleh berlari. Masih perlu membina dan mengukuhkan diri. Masih jauh perjalanan mencapai gelaran solehah Fatimah Az-Zahra. Suka aku selitkan sepotong hadis yang bermaksud;

Rasulullah SAW bersabda, "Wanita yang paling baik iaitu yang pandai mengenderai unta. Wanita Quraisy yang terbaik iaitu yang besar kasih sayangnya kepada anak kecil dan pandai memelihara (harta) dan melayani suaminya serta pandai membelanjakan harta suaminya yang sedikit"
-Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, dan Muslim-

Nah, sudah jelas bukan apakah sifat-sifat yang perlu ada dalam diri kita untuk menuju solehah Fatimah Az-Zahra? Apa yang tercatat dalam hadis di atas hanyalah sebahagiannya saja. Banyak lagi ciri-ciri lain yang perlu dipupuk dan diterapkan dalam diri untuk mendapat pakej lengkapnya. Bukan niatku mahu membuat sesiapa terasa dengan beberapa baris ayat dalam entri kali ini. Namun itu hakikatnya. Tiada istilah couple dalam kamus seorang muslim. Semua itu hanyalah propaganda Barat yang mahu merosakkan akhlak seorang muslim. Iya, semua manusia pernah melakukan kesilapan. Tapi masih belum terlambat untuk bertaubat dan yang paling penting, jangan jadikan titik hitam yang hanya beberapa itu sebagai penghalang untuk berubah dan mengikut acuan hidup Islam. Allah juga telah bersabda dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud; “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Kepada seorang sahabatku yang sedang dalam dilema mahu memilih, buatlah istikharah. Berdoa memohon pada Allah agar ditunjukkan pilihan terbaik. Renungkan ayat di atas. Belas juga melihat mukanya yang sangat-sangat berubah selepas menamatkan perbualan dengan ibunya siang tadi. Pelbagai perasaan bercampur menjadi satu. Kerisauan jelas terpamer di wajahnya. Kita merancang. Allah juga merancang. Namun perancangan Allah lebih hebat daripada perancangan hambaNya. Wallahua'lam..

Wednesday, 27 January 2010

10 Jenis Orang Islam Yang Kejam

Sufyan Atsauri berkata; sepuluh jenis daripada kekejaman ialah:

  1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, tetapi tidak mendoakan untuk anaknya dan kaum mukmin lain.
  2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca 100 ayat.
  3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak solat dua rakaat.
  4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
  5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak solat jemaah.
  6. Seorang yang daerahnya didatangi orang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
  7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
  8. Seorang yang diundang pada jamuan tetapi tiba-tiba tidak hadir.
  9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
  10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi makanannya itu.

Saturday, 5 December 2009

Raja dalam Kehidupan

Sebelum ilmu yang aku peroleh menjadi kabur dan simptom ingat-ingat lupa muncul, aku berhasrat mahu mengolah apa yang aku dengar dan catat. Ini adalah ulasan daripada rancangan Suara Mimbar di Radio Malaysia Selangor. Ceramah kali ini bertajuk Raja dalam Kehidupan oleh Ustaz Amran (kalau tak silap sebab terlepas dengar namanya diawal siaran).

Rentetan dari entri Cari Mood, ini boleh dibandingkan dan adaptasi supaya seimbang kedua-duanya. Mood akan berkait rapat dengan jiwa dan emosi seseorang. Abu Hurairah berkata barangsiapa yang keluh-kesah hatinya, maka lakukanlah 4 perkara ini iaitu:
  1. Datang ke rumah Allah dan isilah dengan membaca Al-Quran. InsyaAllah hati yang gelisah akan tenang semula.
  2. Jika tak mampu, maka dengar orang yang baca Al-Quran. Guna pakai teknologi yang ada. Setiap kali selepas azan, bacaan Al-Quran akan dialunkan di IKIM.fm.
  3. Datang ke rumah Allah untuk majlis ilmu. Bukankah majlis ilmu itu diberkati dan dinaungi dengan rahmat Allah dan penuh dengan malaikat?
  4. Akhirnya, bangun di sepertiga malam. Lakukan qiamullail.
Semua yang disarankan adalah kunci kepada pembinaan kekuatan rohani dan pembersihan hati. Bila baik hatinya, maka baiklah akhlaknya, sebutannya dan amalannya. Firman Allah dalam Surah Al-Anfaal ayat 2 yang bermaksud; " Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal"

Imam Ghazali pula membahagikan hati kepada 2 iaitu; organ dan ruh. Hati sebagai organ hanyalah sekadar salah satu benda yang perlu ada dalam tubuh manusia ini manakala hati sebagai ruh boleh disifatkan sebagai pendekatan kepada Rabb. Sepotong hadis riwayat Bukahri dan Muslim tentang hati; "Ketahuilah, bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.”Justeru, didiklah jiwa untuk memahami setiap perkara yang ada di sekeliling kita dan setiap yang kita lakukan. Dengan cara ini, barulah perbuatan itu akan meresap ke dalam hati dan memberi impak dalam kehidupan. Contoh paling mudah, fahami setiap butir bacaan dalam solat. Bila faham, kita tahu apa yang kita buat dan akan buat bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan doa yang dipinta. Fahami maksudnya barulah doa mustajab.

Hati dalam erti kata ruh ibarat juga tubuh manusia; senang dijangkiti penyakit dan perlu rawatan serta penjagaan. Penyakit yang mesti menyerang hati adalah dosa dan jika dibiarkan tanpa rawatan, gagallah segala fungsi dan akhirnya mati. Peringkat kerosakan hati boleh dibahagikan kepada 3 iaitu:
Hati yang dijangkiti kuman
Pada peringkat ini adalah permulaan penyakit. Bila melakukan kesalahan, kita berasa sangat berdosa.
Hati yang diserang virus
Penyakit kian merebak pada peringkat ini. Bila membuat sesuatu kesalahan, masih lagi rasa berdosa tapi sudah terbiasa. Bila sudah terbiasa, perasaan bersalah beransur hilang.
Hati yang kronik dengan serangan virus
Ini adalah peringkat parah. Perasaan sangat berdosa dan bersalah sudah hilang sepenuhnya. Perasaan itu diganti dengan keseronokan kerana Allah tetap kurniakan nikmat dan kesenangan walaupun berbuat dosa. Kerana inilah dunia menjadi penjara bagi orang yang beriman kerana tidak dapat melakukan sewenang-wenangnya lantaran terikat dengan peraturan dan hukum Allah.

Sentiasalah berdoa memohon pada Allah dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Anas Bin Malik RA;

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ?
Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).


Inilah sedikit ilmu yang dapat aku kongsikan. Mudah-mudahan bermanfaat.

Friday, 20 November 2009

Manhaj Al-Quran Dalam Memperbaiki Masyarakat

Sekian lama Atas Nama Cinta terbiar sepi tanpa pengisian ilmu membuatkan aku terasa seperti mengkhianati tujuan asal blog ini direka; seimbang pengisian ilmu dan perkongsian pengalaman hidup. Malam tadi, sempat aku meneliti salah satu eBook yang tersimpan elok dalam koleksi eBook yang ada di dalam Permataku ini. Inilah sedikit perkongsian yang diharap dapat dihadam dan dicerna. Dipetik daripada Antara Semalam & Hari Ini karya Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna.

Firman Allah, maksudnya.
"Demikianlah supaya kami perkuat hati mu denganNya dan Kami (menurunkanNya) dan
membacakanNya kelompok demi kelompok. Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa sesuatu yang ganjil) melainkan Kami datangkan kepada mu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya".
(al Furqaan:32-33).

Setiap sesuatu yang berlaku ada penjelasannya. Dalam pada mengharungi arus kehidupan yang semakin mencabar, ketahanan diri perlu dimantapkan selain mencari strategi untuk mengekalkan keharmonian dalam hidup bermasyarakat.

Apabila sempurna wahyu itu diturunkan dan dipelihara di setiap dada dan pada mashaf-mashaf dalam masa lebih kurang dua puluh dua tahun, Allah telah kumpulkan didalamnya penjelasan tiap-tiap perkara untuk umat ini. Dasar-dasar pembaikian dan pengislahan masyarakat yang sempurna yang didatangkan oleh al Quran itu berlegar dibawah qaidah-qaidah ini:

1) Ketuhanan (Rabbaniah).

2) Ketinggian jiwa manusia.

3) Peneguhan aqidah terhadap adanya pembalasan.

4) Pengisytiharan persaudaran di kalangan manusia.

5) Membangunkan seluruh laki-laki dan wanita serta pengisytiharan tanggungjawab dan persamaan di antara keduanya serta penentuan tugas masing- masing secara mendalam.

6) Jaminan untuk masyarakat dengan penetapkan hak-hak kehidupan, pemilikan, kerja,
kesihatan, kebebasan, pelajaran, keselamatan individu dan penentuan sumber laba.

7) Memelihara dua kehendak semulajadi; keinginan memelihara jiwa dan memelihara
keturunan dengan mengatur keinginan perut dan seks.

8) Keras dan kesungguhan dalam memerangi jenayah-jenayah berat.

9) Menguatkan kesatuan umat ini menghapuskan seluruh unsur-unsur dan sebab yang
membawa perpecahan umat.

10) Mewajibkan umat supaya berjihad dalam menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang
didatangkan oleh sistem ini.

11) Menjadikan negara sebagai wakil kepada fikrah Islam dan negara bertanggungjawab
melindunginya. Negara juga bertanggungjawab untuk melaksanakan matlamatnya dalam
masyarakat yang khusus(Negara Islam) dan menyampaikan fikrah ini kepada seluruh
manusia.

Sunday, 15 November 2009

Tenanglah Hati

Bila menyelak-nyelak kembali arkib artikel di dalam Permataku(laptop kesayangan saya), terjumpa artikel pendek yang bertajuk seperti di atas. Tak ingat ambil di mana. Namun harapnya, artikel pendek ini dapat sama-sama memberi manfaat dan sedikit peringatan pada kita semua yang acapkali lalai dari mengingatiNya. Semoga dengan amalan ini dapat membantu mengubat hati yang berkecamuk dan dirundung duka, InsyaAllah...

1. Banyakkan beristighfar memohon ampun dan maaf kepada ALLAH di atas segala dosa yang dilakukan sama ada secara sedar mahupun tidak sedar.Sesungguhnya menurut riwayat junjungan kasih kita Rasulullah S.A.W yang maksum lagi dijanjikan syurga beristighfar 70-90kali sehari.Inikan pula kita yang banyak melakukan kesilapan.

2.Banyakkan berselawat keatas Nabi.Sesungguhnya ALLAh beserta Malaikat berselawat ke atas Nabi.Inikan pula kita hambaNya.Dengan berselawat dapat menenangkan hati.Insyallah.


3.Perbanyakkan menyebut "Laillahailalllahu Muhammadar Rasulullah"dengan penuh keikhlasan,keyakinan dan niat kerana ALLAH semata-mata.Sesungguhnya andai di timbang kalimat tauhid ini dengan selurus isi alam nescaya lebih berat lagi kalimat ini.


4.Lafazkan "innaillahainaillahirajiun" seandainya menghadapi musibah.Sesungguhnya daripada ALLAH kita datang dan kepada ALLAH jualah kita kembali.Dan sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui akan segala.


Firman ALLAH dalam surah Adz-Dazariyat Ayat 56;

"Tidakku jadikan jin dan manusia hanyalah untuk menyembahku"

Wednesday, 28 October 2009

Kerana Hiburan Itu Indah

Beberapa hari lepas, aku diajukan dengan soalan cepucemas dari Kak Chik yang membuatkan aku terdiam seketika. Memikirkan jawapan terbaik untuk persoalan tadi. Sememangnya persoalan itu sudah kerap menjadi topik perbualan kami. Program hiburan di universiti seperti sudah menjadi adat dan tradisi yang harus di penuhi hampir setiap semester. Fenomena hedonisme seperti bukan masalah besar yang membebani pemikiran. Budaya hiburan terlampau bukan lagi sesuatu yang asing dalam masyarakat kini. Jika melihat di televisyen, ada saja berita tentang kedatangan artis-artis antarabangsa untuk mengadakan konsert di Malaysia. Ada saja program hiburan dan realiti televisyen yang diperkenalkan. Pendek kata, mentaliti masyarakat kini tertumpu pada hiburan dan keseronokan semata-mata. Apa yang menyedihkan, budaya hedonisme merebak dengan begitu pantas di kalangan anak muda yang bergelar mahasiswa dengan kewujudan program-program berbentuk hiburan yang tidak mendatangkan faedah malah menyumbang kepada kemerosotan akhlak dan tahap intelektual. Sebagai seorang mahasiswa, kita perlu sedar bahawa masyarakat memandang tinggi pada golongan yang berjaya menjejak kaki ke universiti kerana pada pandangan mereka, kualiti pemikiran dan ketinggian ilmu menjadi ukuran kerana tidak semua belia berpeluang ke universiti. Pandangan sedemikian perlu dihormati dan dipelihara kerana mahasiswa adalah pelapis kepada generasi pemimpin akan datang.

Budaya hedonisme perlu dihapuskan daripada terus tumbuh dalam kawasan kampus kerana belia adalah aset paling bernilai bagi sesebuah negara. Sayang kerana fikiran belia sudah tercemar dengan racun hiburan yang tidak mengenal batasan. Terlalu asyik menghayati irama dan alunan yang tanpa sedar melalaikan dan mencantas nilai-nilai murni dan merosakkan sahsiah. Berdasarkan pengalamanku sepanjang 4 tahun berada di alam kampus, mahasiswa lebih rela duduk bersila dan berhimpit untuk menonton konsert hiburan melalaikan daripada menghadiri diskusi ilmiah yang dianjurkan. Sanggup berbelanja lebih untuk tiket konsert berbanding mendengar forum ilmiah yang disediakan jamuan pada akhirnya tanpa perlu mengeluarkan sesen pun. Aku bertanya, adakah Pihak HEP begitu mudah meluluskan program-program hiburan yang mahu dibuat? Kak Chik lantas mengatakan perlu diingat bahawa tidak semua program memerlukan kelulusan dari Pihak HEP. Ada juga program yang diluluskan dengan kebenaran dari pihak fakulti. Jadi salah siapa? Berhibur tidak menjadi satu kesalahan asalkan kita pandai memilih dan tahu konsep hiburan yang dibenarkan dalam Islam. Sungguh menduka citakan bila melihat penonton bagi konsert-konsert adalah anak-anak muda bertudung yang sudah tentunya seorang Islam, terjerit-jerit dek kerana teruja dapat bertemu dengan artis kesayangan. Dari situ, sudah tercemar nilai murni yang perlu ada pada seorang wanita Islam. Setiap individu harus sedar peranan dan tanggungjawab yang tergalas di pundak masing-masing; peranan untuk membangun modal insan sebagai seorang mahasiswa, tanggungjawab sebagai seorang muslim yang perlu patuh pada batas hiburan yang dibenarkan. Sentiasa berwaspada agar terhindar dari kelalaian dan kealpaan budaya hedonisme seperti dalam firman Allah dalam Surah Luqman ayat 6 yang bermaksud;

"Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang bertujuan menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan".


Justeru, kita sebagai pewaris budaya ilmu perlu bijak memilih dan mengatur jalan kehidupan. Sementara berada di alam kampus, kutip sebanyak mungkin ilmu yang bukan saja diperoleh dari bilik kuliah, tetapi juga melalui penglibatan dalam persatuan untuk melahirkan mahasiswa yang matang dan mempunyai minda kelas pertama. Hormati dan hargai pandangan masyarakat pada mahasiswa universiti yang diharap dapat menyambung tradisi ilmu dan memimpin negara pada masa akan datang.


Tuesday, 1 September 2009

Ubat Hati

Rawat hati sebelum menjadi parah
  • Membaca Al-Quran dan maknanya
  • Bersolat malam
  • Bergaul dengan orang-orang soleh
  • Memperbanyakkan puasa
  • Berzikir

Wednesday, 26 August 2009

Ramadhan Yang Menjelma...

Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

Semoga puasa kita kali ini diterima Allah. Ameen...