Engagement Fund ;)

Showing posts with label Mana Mau Makan?. Show all posts
Showing posts with label Mana Mau Makan?. Show all posts

Tuesday, 20 May 2025

Tiba-tiba Dah Menghampiri Pertengahan Tahun 2025?

 Hai!

Datang jenguk blog sapu sawang, lap habuk sikit dengan harapan rajin sambung menaip demi meneruskan azam 2024 yang katanya nak kembali aktif berbloging. Hahahaha... Ini gigih masuk sini pun sebab dapat hembusan semangat dari Sepet yang katanya nak kembali berbloging semula. Selamat maju jaya Sepet! πŸ˜‰

Sekarang ni rasa macam tak selamat pula nak mencatat di blog bila mana sesuatu isu itu terlalu mudah diviralkan dengan tokok tambah yang melampau termasuklah penyelewengan fakta yang jelas. Belum lagi faktor ciplak penulisan. Ghisauuu... Ke sebab bila menjangkau umur sekarang ni, saya fikir panjang sampai terfikir pelbagai kebarangkalian? Zaman muda-mudi dulu nak tulis apa, nah tulis semua. Sampai kerusi pejabat bunyi berkeriut pun boleh jadi bahan bercerita. Hahahahaha...

Jadi, apa perkembangan sejak kali terakhir menaip? Masih berkisar di tempat sama. Ada beberapa perancangan untuk awal tahun 2025 yang tak berjaya dilaksanakan. Semoga hajat yang tak tercapai itu terkabul pada tahun 2026 nanti. Semoga Cik Fara terus rajin untuk kembali menaip dan mencatat pengalaman hidup di sini. Bukan untuk korang, untuk saya. Kita ni dah la pelupa bersiri. Kalau ada catatan tu adalah juga tempat nak rujuk kan. Saya sudahi entri pertama 2025 ini dengan sedikit cerita makanan sedap.

Singgah kedai ni waktu dalam perjalanan kembali ke tempat bermukim pada awal bulan lalu. Memang kedai ni dalam laluan pun, tapi tak pernah terasa nak pergi walaupun papan tanda dia besar gabak dekat jalan masuk tu. Dah masuk tahun keenam ulang alik laluan ni, tiba-tiba sampai seru nak singgah. Kedai ni nama Warung Kak Hajah, tapi dekat jalan masuk tu dia letak nama menu istimewa dia iaitu Mi Kuah Tulang Harimau. Kenapa ada harimau di situ? Rupanya selain ada tulang lembu, ada juga beberapa ekor udang harimau. Gituhh.. Sebab kali pertama sampai, saya pesan menu utama dia iaitu mi kuah tulang. Ambil yang biasa je sebab malas nak kopek udang. Hahahaha... Selain mi kuah tulang, menu yang lain-lain pun ada je. Nah layan gambar mi dan komen ikhlas Cik Fara sebelum melabuhkan tirai.


 Isi perut meriah, kuah pekat, rasa sedap dan keseluruhannya mi kuah tulang ni berbaloi untuk dinikmati.

Monday, 9 December 2024

Makan-makan dan Kafe Kawan Sekolah Rendah

Hai! 

Ini cerita JJCM di kampung halaman. Sekarang saya dah kerja jauh, crime partner pun dah kerja jauh,  memang susah la nak keluar ngopi macam dulu-dulu. Kalau tidak, seminggu berkali-kali ngopinya. Kadang sampai Hani yang super sibuk tu diajaknya dan terjebak juga mengikut. Masa Hani baru pindah Banting dulu, selalu juga dia tanya; "Zoh, mana tempat makan best?" Hahahaha.. (I miss you Hani! We miss youuu! Boleh ke lagi sesekali balik nak hantar kudapan di hospital macam dulu-dulu?) Sebab saya memang menetap di situ sebaik saja habis belajar, boleh kata tahulah juga kedai-kedai menarik yang ada. Sekarang ni kalau tanya Kerepek Fazz lorong keberapa kalau masuk ikut Jalan Cempaka pun lama mikir. 

Jadi, ini cerita pada 19 Oktober 2024 yang lalu. Mula-mula pergi makan dulu dekat pekan (sekarang bandar la kan?). Masuk Richiamo. Itu tak ada, ini tak ada, eh apa je yang ada? Dah dua kali pergi Richiamo Banting menu banyak tak ada. Baru ni borak dengan Kak Rin pun Kak Rin cakap benda sama. Nak tutup dah ke? Sebab banyak menu tak ada, masuk Hailam Kopitiam dekat sebelah. Masing-masing rambang mata tengok menu. Hahahaha... Tapi menu nasi la yang jadi pilihan sebab perut Jawa kan dua-dua.

Pesanan orang lapar. Hehehehe...

Habis makan, nak sambung pusingan kedua pula. Awal lagi waktu tu, kafe yang menjadi sebutan nak pergi buka pukul 5. Gigih dua-dua mencari kedai kopi yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di kawasan jajahan. Namunnn, semuanya pun buka lewat. Bukan ke patutnya orang minum kopi siang-siang, awat semua pakat buka petang ke malam ni? Penyudahnya Aten kata kita pergi jelah Sulaiman's by Bake & Brew tu. Sementara nak singgah isi minyak, singgah 'cucuk' duit, sempatlah sampai waktu dia nak niaga. Boleh ye sesat tak jumpa kedai. Tahu kena masuk ikut Jalan Redan tapi tak pasti lorong yang mana satu. Sambil mencari tu sambil borak. Lepas tu Aten tanya saya, saya tanya dia balik. Hahahahaha.... Salah masuk lorong akhirnya. Kena pusing balik. 

Tapi elok jugalah sesat tadi tu sebab sampai kedai je cuma tinggal beberapa minit dia nak buka pintu. Kami adalah pelanggan pertama pada hari tersebut. Habis pesan je, tak putus-putus pelanggan. Alhamdulillah, moga terus maju kafe Sulaiman's by Bake & Brew. Masa ni kami pesan kopi dan manisan je sebab dah makan berat sebelum tu. Biasa kalau ngopi mesti pilih latte. Kali ni gatal pula beli caramel macchiato. Risau dah ni manis leting. Namun, tidak ye. Kopi dia sedappp! Pekat pahit dan manisnya sedang-sedang saja. Aten kata kopi dia pun sedap. Kemudian kami beli kedua-dua jenis kek yang ada pada waktu tu iaitu raspberry ripple dan red velvet. Kek dia bertukar-tukar setiap minggu, jadi sebelum nak datang boleh tengok dekat IG dia minggu ni ada kek apa. Sedap weh kek dia! Dua-dua kek sedap. Kami berdua makan sambil geleng-geleng kepala sebab memang sedap yang sedap. Hehehe... 

Orang buat gini, takkan kita tak tiru? πŸ˜„πŸ˜„

Sorang satu minuman dan satu potong kek

Meja kami di bahagian dalam bersebelahan kaunter. Nyaman suasananya.

Dekat cawan saya dia lekat madah pujangga ni. Sesuailah untuk yang sedang galau untuk ngopi dan muhasabah diri di sini. 

Tak lama sangat pun kami di sini tapi puas la dapat juga merasa kelazatan makanan yang selalu nampak di media sosial. Waktu operasi pula hanya pada hujung minggu sebab kafe ni sampingan je. Kafe ni milik suami kepada kawan sekolah rendah saya, Ida. Ida pun sama-sama bantu mengusahakan kafe. Silap pula saya tak bergambar dengan Ida masa mula-mula sampai sebab waktu kami nak balik, Ida tengah sibuk ambil pesanan pelanggan di kaunter. Tapi masa kami tengah makan, sempat juga Ida ke meja tanya okey ke makanan semua? InshaAllah ada rezeki kita datang lagi tau cuba menu lain pula. Terima kasih Ten bawa makan, siap dapat ole-ole cantik lagi😘. Jarang sangatlah kalau balik kampung tu nak keluar lepak sebab selalunya malas nak keluar bersosial kecuali dah rancang dan niat dari SabakπŸ˜†. Faktor usia barangkali. Ahaks!

Tuesday, 11 June 2024

Minum Petang di Dapur Darling

 Hai!

Ini kisah minum petang sebaik sahaja keluar dari Central i-City. Memandangkan Shah Alam ni banyak tempat makan, terus tak keluar kedai mana nak tuju. Hahahaha... Sebabkan kedai pertama di Seksyen 8 tadi punyalah penuh parkingnya, terus patah balik. Kereta dah penuh, orang lagilah penuh dalam kedai tu kan? Jadi kami menuju ke Seksyen 9 yang terletak bersebelahan je pun. Kawasan Seksyen 9 ni dah biasa, tapi sebab dah lama tak datang, tak tahu kedai apa yang masih ada. Kak Chik kata jom tengok Dapur Darling. Ajom!

Crime partner kerja di Shah Alam, jadi kedai-kedai yang luar biasa ni ada dalam direktori beliau. Alhamdulillah masa sampai tempat parking berderet-deret kosong, maka masuklah dalam kotak yang betul-betul depan kedai. Masa kami sampai, tak ada pelanggan langsung. Tak lama kami duduk, ada dua keluarga masuk kedai. Dekat sini duduk je pelayan datang hantar kod QR untuk menu. Sila imbas dan telaah menu. Macam biasa, punya lama baca menu sebab semua nampak sedap. Hahahaha... Bila dah pilih nak apa, boleh panggil pelayan untuk buat pesanan.

Tema kedai ni warna hijau. Boleh la jadi kawan dengan yours truly yang suka hijau juga. Pilihan makanan ada dari menu berat sampailah ke pemanis mulut. Ada hidangan tempatan dan ada menu barat juga. Servis waktu ni sangatlah pantas. Tiba-tiba dah sampai makanan yang dipesan. Harga standard harga kafe kayangan tapi pada saya masih berbaloi dengan saiz hidangan yang diberikan, rasa makanan yang sedap dan suasana yang selesa.

Pandangan kafe dari luar

Cucur bawang. Sedaaaaappp! Sos pencicah pun sedaaaaaaappppp...!

OMG (Oh Mi Goreng) nama dalam menu sebab ada satu lagi menu, Mi Goreng Mamak. Saya pilih yang ini sebab Kak Chik kata nak makan mi goreng mamak kena pergi mamak. Baikklah... Meriah isi perut dia dan banyak. Ala-ala mi hailam gitu dengan kuah berlinang.

Ni Kak Chik punya, Hazelnut Latte rasanya. Saya punya Japanese Green Tea belakang tu. Takde gula, takde susu sebab nak makan PGM dan mi goreng.

Pertama kali jumpa Pandan Gula Melaka gaya macam ni. Eksklusif cara hidangannya. Sedaapp!

Kafe buka dari jam 11 pagi hingga 8 malam setiap hari Sabtu hingga Rabu. Hari Khamis dan Jumaat cuti. Harus datang lagi untuk cuba menu lain pula. Paling penting kena datang pada bukan waktu puncak sebab Kak Chik kata kalau waktu makan tengah hari, kedai ni penuh semedang. 

Wednesday, 5 June 2024

Terlebih Belanja

 Hai!

Minggu ni rasa tak begitu bermotivasi. Dah dua hari sampai pejabat tepat waktu maksimum boleh daftar masukπŸ˜…πŸ˜…. Pagi tadi ke bangunan pentadbiran hantar rekod kehadiran bulan lepas dan agihkan sijil kursus awal bulan lepas di pigeon hole pentadbiran. Lepas tu sambung meronda ke bilik ketua unit yang tak ada pigeon hole. Mujurlah orangnya semua ada di pejabat, maka tak perlu lagi pegang sijil mereka lama-lama. Risau rosak atau tersalah letak je bila pegang lama sangat ni. Hentian terakhir adalah JPA. JPA mestilah istimewa sikit, kita hantar terus sampai atas meja masing-masing. Hehehehe... 

Alang-alang dah sampai belakang, menyinggah la Nox Coffee nak ambil tempahan chicken wrap. Eh, 'ter'beli pula green tea cafe latte! Hahahahadoi... Dia bila ada peruntukan belanja merapu, gitulah. Tengah dok tunggu air siap, pembekal Nasi 3 Budak Gemuk sampai. Borak-borak dulu dengan puan pembekal sebab kenal je orangnya sambil tenung susunan nasi. Fikir nak beli nasi ni ke atau beli nasi di kafe. Memang saya dah siap bawa turun bekas makanan pun nak beli nasi untuk tengah hari di kafe dalam perjalanan pulang ke pejabat. Fikir punya fikir, tengok punya tengok, terus capai jelah sebekas nasi tu. Heeee... Lama dah pun tak beli. 

Pokok lidah jin dan epal hijau sebagai pelakon tambahan

Maka, hari ni kalori dan kafein terlebih. Biasa minum kopi pagi sekali, makan sarapan ringan dan tengah hari baru makan nasi. Ini sampai pejabat tadi terus makan chicken wrap dulu sebab masih hangat sambil hirup green tea cafe latte. Cumanya makan tengah hari lewat sikitlah; solat zuhur dulu nak dekat pukul 2 tu baru makan. Komen kesedapan?

Green tea cafe latte: Okey okey aje sebab teh dia ada rasa jasmin. Tak berapa gemar tapi beli sebab terhasut dengan crime companion yang dok menyebut green latte. Kahkahkah...

Chicken wrap: Sedaaaaap! Perapan ayamnya rasa smokey dan sedap, sayur banyak dan sosnya ngam soi! 

Nasi 3 Budak Gemuk: Sungguh sedaapp! Sebab nasinya lembut melekat, ayam kicap tak masin dan sambal geseknya baaanyak dan pedas menyengat. 


Thursday, 14 December 2023

Makan Berhidang di Rumah Tradisi - Dapur Mama

 Hai!

Kali ni saja nak kongsi lokasi makan berhidang di ceruk rantau ni. Bila ada tempat begini, bertambah pilihan tempat untuk dituju yang tidak begitu jauh daripada tempat bekerja. Asalnya nampak staf dari unit komunikasi korporat kot yang ke sini untuk sambutan hari lahir. Lepas tu ada juga staf-staf dari jabatan lain yang pergi makan santai-santai. Dah orang lain pergi, takkan kita tak pergi? Tergugat. Hahahaha.... Ini cerita permulaan bulan Ogos lalu. Lepas ni ada banyak cerita tertunggak yang akan didokumenkan di sini. 

Tempat ini sebenarnya merupakan kediaman peribadi milik Hj. Mokhtar dan rumah ini telah menjadi pilihan Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor untuk diabadikan gambarnya bagi sebahagian pameran di muzium berdasarkan seni bina rumah yang masih mengekalkan tradisi rumah Melayu dan dikenali dengan Rumah Warisan Hj. Mokhtar. Bila dibuka untuk lokasi santapan makanan tema kampung, maka satu lagi nama komersil wujud iaitu Dapur Mama yang merujuk kepada pemilik rumah semasa yang mesra dengan panggilan Mama. Kalau nak datang sini kena buat tempahan dahulu sebab semuanya diuruskan sendiri oleh Mama sekeluarga. Semasa buat tempahan, kita kena maklumkan siap-siap nak pilih set menu yang mana. Ada 5 set menu yang ditawarkan semasa kami ke sana seperti berikut:

a) Set Kenangan (RM48 - 1 Talam)

- Sayur lemak labu + pucuk manis

- Ayam goreng

- Sambal belacan

- Ikan masin

- Ulam


b) Set Warisan (RM58 - 1 Talam)

- Gulai lemak cili api ayam “special”

- Sambal tumis bilis + terung bilis

- Telur masin

- Sambal belacan

- Ulam


c) Set Bonda (RM52 - 1 Talam)

- Pajeri nenas

- Ikan goreng

- Sambal belacan

- Ikan masin

- Ulam


d) Set Asam Pedas (RM56 - 1 Talam)

- Asam Pedas Ikan

- Ayam Goreng

- Sambal belacan

- Ikan masin

- Ulam


e) Set Asam Rebus (RM56 - 1 Talam)

- Asam Rebus Keladi

- Sambal Tumis Sotong Kering

- Sambal belacan

- Ikan Goreng 

- Ulam

Kami pilih satu Set Kenangan dan satu Set Warisan dengan tambahan lauk asam pedas ikan kembung sebab ada yang tak makan ayam. Sambil makan, Mama pun duduk bersama dan bercerita pelbagai perkara. Berselera semuanya makan. Lauk kampung, makan cara kampung, memang syok habis. Ada beberapa lauk yang tak habis, Mama bungkuskan sebab Mama kata memang pelanggan dah bayar jadi semuanya hak pelanggan. Gitu. 


Sebelum makan, Mama tangkapkan gambar kami berlapan.

Set Warisan

Set Kenangan

Alhamdulillah kenyang. Biasa kalau makan dekat pejabat nasi sesenduk pun dah terlebih cukup, makan dekat sini bersenduk-senduk jadinya. Hahaha... Habis makan, sibuk bergambar di pelbagai sudut serta meninggalkan jejak dalam Buku Pelawat. 

Kalau rumah kampung yang ada tangga, mestilah wajib bergambar di sini. Waktu ni dah tak cukup kuorom sebab Ariza terus balik lepas siap makan mengejar nak masuk mesyuarat.

Dekat anjung rumah. Terima kasih Mama layankan kami yang banyak songeh ni. Hehehe... Selesai acara, moh la kembali ke pejabat sambung kerja.

[ Sekian, catatan untuk peristiwa pada 9 Ogos 2023πŸ˜‰ ]

Thursday, 7 December 2023

Makan..makan..

Hai!
Rasa nak menaip cerita-cerita penting yang berlaku, tapi gambar-gambar banyak nak kena edit. Bila edit guna telefon je, tak puas la pula. Kena buat dekat laptop baru senang nak pilih dan edit. Sementara tunggu yang itu, saya failkan antara menu yang dimakan dalam tempoh 2 minggu kebelakang. 

Nasi Kerabu Ayam + Daging. Isteri staf yang jual ni dan biasa juga beli dari dia. Kali ni cuba tanya kalau boleh kurangkan nasi dan lebihkan sayur, memang selambak sayurnya. Hehehe... Satu set dengan keropok ikan sebungkus, RM 12. Bolehlah kan tinggal nak makan.

Ini sarapan hari Khamis minggu lepas rasanya. Lebihan makanan pasar malam; pagi esoknya masukkan terus dalam bekas aluminium ni, panaskan dalam oven, tunggu sejuk sikit baru tutup dan angkat ke pejabat. Karipap sardin guna roti dan samosa; dua-dua sedap. Seketul 80 sen. Kemudian nampak tat telur, tamak juga beli padahal dah banyak makanan lain. Hahaha.. Itu yang boleh sampai ke sarapan esoknya. Tat RM 2.50.

Ini menu hari Jumaat minggu lalu kot, Chicken Mango. Sebenarnya terlupa ada pesan ni, tiba-tiba masuk mesej dari penjual kata makanan dah dihantar ke pondok pengawal. Hah, gelabah! Nasib baik biasa juga berurusan dengan Ely Hot Kitchen ni. Mestilah sedap, sebab tu beli. Sebekas RM 12.

Ini menu hari biasa. Duduk sini sebenarnya memang boleh jimat banyak dekat makanan dengan syarat beli dekat kafe dalam. Kalau keluar ke Parit Baru, dah tak berapa jimat sebab harganya harga standard. Tapi masih murah dan puas hati dengan pilihan lauk yang ada berbanding di Sungai Besar. Macam yang ini nasi separuh + ayam rendang + kailan ikan masin + sambal tempe = RM 5.50 (ke RM 4.50?). Gerai yang ini memang murah! Dulu-dulu rajin tanya balik betul ke harga tu sebab ambil lauk dah banyak ni, tapi harganya murah sangat. Dia kata betul puan, itu harganya. Terima ajelah dengan doa supaya penjual gerai ni dimurahkan rezeki dan dimudahkan urusan perniagaannya. Suka pergi sini sebab ini je gerai yang banyak pilihan sayur; setiap hari mesti ada lebih daripada 4 jenis sayur. Tapi kalau lambat, mana yang ada je sebab budak-budak pun suka beli dari gerai ni.

Ini menu tengah hari tadi. Nasi sikit + bendi tumis + sambal tempe + ikan keli goreng = RM 4.50. Bekas petak bawa balik semalam isi kuih tak habis, maka ada bekas bulat je. Terpaksa letak ikan tu asing sebab tak muat. Memang dah terbiasa bawa bekas sendiri bila tapau nasi di kafe sebab waktu mula-mula masuk sini dulu, gagasan Tuan Pengarah waktu tu untuk hanya guna bekas guna semula untuk tapau. Tiada sebarang plastik dibenarkan. Bagus juga kan? Terus melekat tabiat tu walaupun kadang-kadang ada hari yang terbabas. Hehehe... Bekas ni beli dekat MR. DIY sebab senang nak basuh berbanding Tupperware. Awal-awal dulu kemain tayang Tupperware yang pelbagai warna tu tapi sakit hati pula nak membasuhnya sebab ambil masa untuk hilangkan minyak. Bekas aluminium macam ni senang basuhnya. 

Sekian, cerita bergambar hari ni. Tengah musim tak sibuk, bolehlah bekerja dengan tenang mengikut jadual dan ada masa nak melayan blog. Kalau mohon mengajar satu ke dua kelas haritu, tengah sama-sama kalut dan sibuk menanda tugasan budak la juga sebab minggu ni minggu terakhir kuliah dan minggu depan dah tarikh tutup untuk hantar markah. Nanti saya sambung balik cerita Korea tahun 2019 tu kalau rajin. Dalam hati macam nak putus asa je nak taip tapi separuh lagi hati kata sayang tak dokumenkan kenangan berjalan jauh.

Monday, 24 July 2023

Bila Dah Teringin...


Ini cerita awal bulan haritu. Kisahnya teringin sangat nak makan creampuff sedap yang dijual oleh salah seorang baker di Banting. Bila dia buka tempahan, laju la masuk sebab kebetulan tarikh ambil tu dah ada di kampung. Namun, tiba-tiba beliau cepatkan tarikh pengambilan sebab nak balik kampung tanpa pemakluman awal. Tak geram ke komer? Kita ni menahan diri beli manisan nak dekat sebulan sebab nak makan yang tu, tiba-tiba tak dapat. Kecewa.

Penyudahnya, waktu dekat kampung tu hari-hari tengok IG dekat mana ada jual creampuff yang dalam laluan. Lalu terjumpa kedai ni. Tengok lokasi, bukan dalam laluan tapi boleh dilajakkan. Hahahaha.. Teringin punya pasal kan. Tengok IG beliau, agak terkenal juga sampai dinasihatkan untuk tempah dulu sebelum datang sebab biasanya kalau hari minggu habis awal. Maka, tanpa membuang masa, terus pilih dari menu, masuk slot tempahan dan bayar. Esoknya datang tinggal ambil je.

Waktu sampai sana, kedai kosong dan chiller masih ada banyak juga pilihan. Tapi tak lama lepas tu berderet pelanggan masuk nak beli creampuff. Selain creampuff, ada juga manisan lain macam kek batik, madeleine, dan biskut. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh suruh Pakcik Google cari The Ordinary Baker. Lengkap maklumat harga, jenis creampuff dan set berapa biji nak. Semua sedap! Yang ada benda bulat atas dia tu versi premium. Hat bulat tu coklat, boleh telan sekali. Tapi saya lebih suka versi biasa sebab bila gigit coklat tu dia macam potong rasa creampuff. Ada masa teringin nanti nak pergi lagi beli perasa lain pula.

Tuesday, 13 June 2023

Itadakimasu!

Sementara tunggu masa, jengah blog kejap. Ada satu entri bulan November lepas, sambung taiplah. Hehehe... Sejak dua menjak ni asyik rasa nak makan sushi je pasal rajin tengok Tzuyang, Dyeong dan Kkani Jjang dekat Youtube. Kerap juga diorang makan sashimi dan sushi, udah teringin. Nak sediakan sendiri macam diorang, macam tak pandai. Singgah jelah Sushi KingπŸ˜†πŸ˜‚. 

Sekarang dah pandai untuk tidak tamak. Memang pergi untuk makan yang betul-betul nak makan je. Menu paling utama nak dimakan waktu ni adalah piri renkon apa entah nama dia iaitu lotus root goreng salut sambal. Sedap ui! Lotus root tu memang dah sedap, dia buat gitu lagi sedap jadinya. Tapi malangnya dah tak ada. Sobs... Kalau teringat-ingat sangat nanti, ada juga yang buat sendiri ni karang. Heeee....


Ada kawan kata, beli yang ni lebih untung daripada sushi salmon yang biasa tu. Nama surat beranak tak ingat.

Salmon Norweigian Carpaccio dengan jellyfish salad yang tak ingat nama surat beranaknya juga.

Inilah dia tempura percuma tu. Puas makan.

Ini pun sedap. Ayam goreng isinya dan tepi nasi tu dia salut serbuk pedas.

Pencuci mulut wajib, aiskrim dna mochi durian. Sedap!


Kunjungan kali ni tebus juga ebi ten percuma yang katanya promosi November. Untung la sebab kita memang order portion asal, bukan portion kecil promosi. πŸ‘πŸ‘ Waktu bayar guna mata yang hampir nak tamat tempoh, dapat la bawah RM 50 untuk semua ni. Kali ni tak order air langsung sebab selalu mesti perut kembung perabis air + makan macam-macam. Saya bawa je botol air kosong yang memang sentiasa bersama. Jimat pun jimat. Jumaat lepas ingatkan nak singgah makan di Kuala Selangor sempena Bonanza Sushi King, namun barisan agak panjang. Terus tak jadi sebab kalau nak beratur pun nanti sampai giliran dah masuk maghrib. Kita datang makan waktu biasa jelah ye esok-esok. Masalahnya sekarang, dia buat promosi percuma Norweigian Salmon Carpaccio tu untuk pembelian bernilai RM 30. Nak kena pecut ke Sushi King ke ni?? Yang paling dekat dengan tempat bermukim sekarang adalah di Teluk Intan, kira-kira 40 km sehala. πŸ˜…πŸ˜†

Monday, 6 November 2017

Melayan Selera di Family Mart

Memandangkan saya dan makanan berpisah tiada, maka wajiblah melawat tempat makan kegemaran sekali-sekala. Ini kisah awal Oktober tempoh hari. Memang dah rancang nak ke KLIA 2 sebab nak cuba nasib cari pelembap dan penyegar muka. Malangnya masih lagi tak ada stok tunggal Clinique 3-Step Skincare nombor 3 di The Zone; yang ada pun adalah satu set. Maka tak jadilah beli sebab pencuci muka baru je beli bulan 5 haritu.

Sudahnya pergi makan jelah di Family Mart. Konon-konon nak cuba makan di cawangan baru yang lebih besar dan lebih banyak tempat duduk, tapi bila sampai tu dia kata kena tunggu 30 minit sebab baru nak masak. Okeylah, beli Melon Pan je dulu dengan Cheesecake Ice Cream. Antara makanan wajib beli kalau ke Family Mart adalah aiskrim, roti, onigiri dan juga bebola pelbagai jenis.

Dah habis makan aiskrim dan roti, kami menuju ke cawangan asal di tingkat atas. Sampai atas, pun sama juga belum masak lagi bebola tu. Maka saya cuma beli onigiri je dekat situ sebab nak beli di bawah tadi barisan dah panjang berjela. Dalam perjalanan nak ke Family Mart baru semula, singgah kejap Jaya Grocer beli stok kopi sebab kebetulan stok rumah dah habis. Harga kopi dekat sini murah sikit berbanding di Giant. Setakat kali terakhir saya tengok la.

Dah tahu dah jenama yang sedap adalah Bon Cafe, tapi gatal tangan nak beli Trucillo hanya sebab dia murah beberapa ringgit dari Bon Cafe. Sudahnya sesi minum kopi setiap hari tidak menggembirakan. Hahaha.. Saya kan jenis yang kena minum kopi sehari sekali sekurang-kurangnya dan kopi tu mesti tak payah letak gula, jadinya saya memerlukan kopi yang pekat dan beraroma kuat. Kopi Trucillo ni kurang pekat dan serbuknya lebih halus berbanding Bon Cafe; bau dan rasanya juga kurang enak. Lepas ni kena kembali kepada Bon Cafe.
Biasanya beli perasa matcha tapi sebab ini perasa baru, kena cuba. Melon Pan tu ada beberapa jenis tapi yang paling sedap yang warna hijau tu.

Beli kopi sempena hari kopi sedunia katanya.

Sampai semula dekat Family Mart, oden dah masak tapi hanya ada pilihan kuah tomyam, kuah yang asli tak siap lagi. Bolehlah. Saya pun pesan macam orang kebulor tak makan sebab dah lama sangat tak makan. Hahaha.. Kebetulan waktu tu ada promosi sempena Musim Luruh, jadi ada menu tambahan lain juga. Saya pilih set udon dan tambah dengan bebola yang dimahukan.Pilih punya pilih, makan punya makan, habis 30 ringgit lebih juga hanya untuk makan ye.

Mangkuk oden saya dan juga onigiri berintikan sotong. Lain kali baik beli yang salmon sebab lebih padat intinya.

Mangkuk saya dan crime partner. Crime partner tak berapa sihat sebenarnya tu yang memang tak meronda sangat dalam KLIA 2 tu. 

Udon berkuahkan tomyam. Pertama kali rasanya ni makan udon. Bolehlah, macam laksa tapi tekstur dia lebih padat dan lebih gemuk.

Sebenarnya pelik juga mula-mula tu sebab semua yang dibeli habis makan dekat situ tanpa rasa sendat di perut selepas makan. Biasanya beli semua yang disebutkan di atas tadi tapi mesti ada yang dimakan keesokan harinya sebab dah tak mampu nak sumbat. Rupanya nak sampai masa ABC, patutlah. Lepas ni tak tahulah bila lagi nak makan-makan dekat sana. Tunggu ada promosi menarik lagi la kot atau jumpa duit terpijak.

Saturday, 4 November 2017

Kek Hari Jadi 2017 dari Teman Jenayah di Gula Cakery

Sebagai kenang-kenangan, saya catatkan kisah sambutan kecil-kecilan hari lahir yang ke-19 oleh crime partner di Gula Cakery. Senang je nak gembirakan saya pada hari jadi, sebiji beserta ucapan ringkas di atasnya dan secawan kopi. Tapi tak dapat sebiji, sepotong pun boleh. Yang penting, kek wajib. Alhamdulillah, crime companion jenis yang memahami dan sepanjang bersahabat dengan mereka, banyak juga hasrat sempena hari jadi tercapai.

Tahun ni gila dengan kek keju mangga, maka selagi ada peluang, memang mencari kek keju mangga yang dibayangkan. Bila cari punya cari tak jumpa yang macam dalam bayangan, Aten kata jomlah cuba dekat Gula Cakery. Jadinya, pada 29 Julai lalu, kami singgahlah ke Gula Cakery selepas selesai menghadiri majlis pertunangan bekas rakan sekerja Aten. Saya yang tak ada kena mengena pun jadi ada kena mengena. Hahaha.. Terima kasih Dila sudi terima tetamu terpaksa undang ni. Tahniah atas ikatan pertunangan yang termeterai.
Saya dan yang diraikan

Saya, dia dan yang diraikan.

Dalam perjalana ke Kota Kemuning. Sekali-sekala berswafoto guna Yong.

Walaupun dah makan macam-macam dekat majlis tadi, bila sampai Gula Cakery tergugat juga dengan menu utamanya yang pelbagai. Memandangkan Kota Kemuning adalah kawasan jajahan Aten, saya serahkan pada yang pakar. Yang penting sampai dekat lokasi. Hehehe.. Sebelum ke sini lagi saya dah mula jadi pengikut di laman Instagram, jadi memang asyiklah menjamu mata dengan gambar-gambar kek dan manisan lain yang kelihatan sangat sedap.

Alamat restoran ni boleh Google ye. Kedainya terletak di tingkat atas sebab tingkat bawah dikhaskan untuk ruang bagi kelas membuat kek. Sampai saja di pintu masuk, kami disambut dengan staf yang sangat ramah dan mesra dengan sapaan dan senyuman. Cara untuk pesan makanan adalah seperti di restoran makanan segera; pelanggan perlu ke kaunter untuk buat pesanan dan terus bayar. Kemudian nanti, pesanan akan dihantar oleh pelayan ke meja.

Sebelum memesan, boleh tengok dulu menu yang diletakkan di meja-meja makan. Sesuailah untuk yang lalang macam kami ni, rancangan asal nak makan lain tapi bila nampak senarai menu yang macam-macam, terus berbolak-balik. Terus rasa nak pesan semua. Hahaha.. Tapi pada hari tersebut memang saya dah tetapkan untuk makan pasta pesto, jadi tergugat sikit jelah bila tengok menu. Walaubagaimanapun, waktu buat pesanan, pasta pesto dah habis. Sobs.. Terus tak tahu nak beli apa dan akhirnya saya pilih spaghetti carbonara kot.
Kami

Crime partner, Aten. Terima kasih daun keladi.

Makanan yang dipesan pada hari tersebut

Pasta saya

Bagi peluanglah ye letak muka sendiri banyak kali dalam ni

Nama-nama saintifik makanan semua dah lupa tapi semuanya sedap belaka. Sedap dan berbaloi dengan harga serta suasana restoran yang santai dan tenang. Sesuai sangat untuk yang nak borak santai-santai tapi dalam masa yang sama nak mengunyah. Yang penting, objektif utama tercapai iaitu untuk merasai kek keju mangganya. Inilah dia kek keju mangga yang ada dalam bayangan saya; adunan kejunya lembut dan cair di mulut serta ada campuran isi mangga didalamnya. Atas kek pula disusun dengan hirisan mangga. Terbaik!

Terima kasih banyak-banyak crime partner sebab sudi belanja kek sempena hari lahir saya yang ke-19. Tahun depan nak kek sebiji okey? Kek sebiji dengan hiasan Korean buttercream. Minta dulu, dapatnya belum tentu. Hahaha.. Karangan diakhiri dengan gambar Tuan Tanah yang gembira dapat kek keju mangga.


Wednesday, 11 October 2017

Melantak Sushi 3 Hengget Sepinggan

Ini cerita waktu Sushi King buat promosi RM 3 sepinggan tempoh hari. Sejak dua menjak ada cawangan Sushi King dekat belakang pusat tuisyen dan dah pandai makan sushi taraf chaebol, pantang nampak promosi. Laaaaju je ajak crime partner pergi. Hahaha.. Ajak dia sebab dia ada kad keahlian, dan dia jelah orangnya yang boleh layan pergi makan tempat pelik-pelik ni. Annyeong Chingu! 😁

Orang kata, waktu dia buat promosi macam ni kena pesan sushi pinggan mahal. Disebabkan saya budak baru belajar, kenalah tengok pada menu. Nasib baik juga dia letak menu tu, kalau tak jenuhlah bertanya. Pertama kali sebenarnya pergi makan sushi waktu promosi macam ni. Komen? Rasa tak seronok sebab ada tempoh masa untuk satu sesi dan tak tenang nak makan. Yelah, mana nak makan, mana nak gosip kan? Kawan baik dah jumpa kawan baik, wajiblah borak-borak sekali.

Pusingan pertama. Pinggan ungu tu lagi mahal dari pinggan merah rupanya. Selama ni dengar orang cakap, kalau Sushi King buat promosi macam ni kena makan salmon banyak-banyak.

Tapi, salmon macam yang atas ni, pinggan merah. Murah sikit dari ebi tempura tu. Tapi kan, serius sedap wei sushi salmon letak mayonis ni! Sedap gila! Tekstur salmon tu ngam sangat dengan rasa mayonis yang lemak berkrim.

Pusingan terakhir. Karage tu sampai kena paksa kunyah dan mulut kena tutup dengan tangan untuk mengelakkan kunyahan tadi terkeluar sebab dah kenyang gila tapi tamak nak makan juga. Nak menampakkan ketamakan tu, pergi pesan sorang sepinggan. Tolaklah sushi tu dengan chopstik masuk mulut. Hahaha..

Sudahnya, makan macam orang kebulur. Semua dikautnya! Hahaha.. Tapi lepas tu tak puas sebab ambil sushi kerana harga murah dan makan dalam keadaan tergesa-gesa. Takpelah, pengalaman. Lepas ni kalau nak makan sushi santai-santai kena pergi waktu biasa je. Terima kasih banyak-banyak Ten sebab sudi teman makan sushi chaebol ni. Sesi seterusnya jangan lupa, lepas balik bercuti nanti okey? Hehehe..

Selepas. Bertingkat-tingkat pinggan ha.. Walaupun ada adegan terpaksa kunyah dan telan, tiada pembaziran berlaku. Syabas!






Saturday, 9 September 2017

Ulang Makan di Chilli Dawg Banting

Memandangkan makan adalah salah satu aktiviti harian, maka kali ni saya nak letak gambar makanan banyak-banyak. Siapa tengah lapar jangan tengok, nanti korang teringin. Hehehe.. Kalau teringin nak makan menu ala-ala Barat, terus zasss ke Chilli Dawg. Makanan sedap, harga berpatutan. Bulan lepas tiap minggu pergi makan sana. Hari ni pula, dua kali pergi sebab petang tadi beli makanan untuk diri sendiri. Malam ni lepas habis mengajar supper dengan crime partner pula. Nah, layan cerita bergambar.

Antara menu baharu di Chilli Dawg, Nasi Lemak. Ada tiga variasi iaiti Nasi Lemak Biasa, Nasi Lemak Bebola dan Nasi Lemak Special(ada ayam goreng dan bebola). Ini kali pertama makan, lepas balik mengajar hari Sabtu. Lapor wei, terus pesan Nasi Lemak Bebola dengan Air Soda tu. Ambik ko, jenuh habiskan air sebab satu, dia berais. Saya kan jarang dah makan berat dan minum air berais pada masa yang sama, jadinya perut rasa kembung. Kedua, gelas dia besar. Kalau datang berdua, memang kongsi air je.

Ini kunjungan minggu pertama bulan lepas. Datang dengan Aten sebab nak makan chicken chop. Maka, kami pesan Kentang Chop dan nak rasa menu baharu juga, Bingsu Kekasih. Sebenarnya saya nak makan aiskrim juga jadi ingatkan Aten beli jelah Bingsu biasa sebab Bingsu Kekasih ni mangkuk besar. Tapi sebab dah terpesan yang ni, tak jadi la beli aiskrim. Rezeki kami sebab tuan kedai bagi percuma satu scoop aiskrim; kalau tak aiskrim tu ada dua scoop je.

Bingsu Kekasih dari jarak dekat. Memang besar okey mangkuk dia! Makan 4 orang pun boleh.

Minggu kedua, datang sini waktu masing-masing tengah kebulur. Kami pesan Nasi Lemak Special, Teh O Soda, dan Bingsu Coklat. Tiada dalam gambar, Bebola Sombong. Tamak kan? Belum cukup tamak lagi ni. Tengok gambar bawah pula.

Habis makan nasi, masih rasa lapar lagi. Saya pandang Aten, Aten pandang saya. Marilah pesan Ramen Chop. Membela ke apa ni? Dah makan nasi, makan mi lagi. Hahaha.. Ramen Chop ni besar ye saiz dia. Ada mi Samyang, chicken chop dua potong, kentang goreng selambak, bebola daging 4 ketul kalau tak silap, dan salad tu. Waktu pesan tak tengok menu, boleh pula cakap; "Ala, nak makan kentang goreng juga." Nasib baik tak pesan kentang goreng sebab bila pinggan gedabak ni sampai, ada selambak tu ha. Lepas makan ni, tersandar kekenyangan dan kena duduk bertenang 20 minit dulu bagi makanan turun. Hahaha..

Minggu seterusnya, datang dua kali. Ini waktu datang hari Jumaat. Memang seharian belum makan nasi, maka saya pesan Nasi Lemak Special. Datang ni sebab nak bagi sebalang kimchi untuk promosi Agasshi Kimchi di laman rasmi Chilli Dawg. Alang-alang dah datang, makan la sekali. Tapi makan tak tenang sebab kejar masa nak ambil budak tuisyen.

Maka, esoknya datang lagi. Hahaha.. Memang muka kitorang jelah tiap minggu. Kali ni makan Getti Chop. Ada creamy spaghetti dengan dua keping hirisan dada ayam yang digoreng. Suka chicken chop dia sebab dia guna dada ayam. Terasalah sihat sikit makan bahagian ayam yang kurang lemak. Gituuu.

Tujuan utama ke sini sebenarnya nak makan Roti Aiskrim ni ha sebab semalamnya nampak meja depan pesan. Pergh, kelihatan begitu sedap sekali! Maka kami pesan roti ni dulu dan makan sebelum makan makanan lain. Memang sedap!Roti dibelah tengah dan diletakkan tiga scoop besar aiskrim. Atasnya ditaburi dengan biskut coklat hancur dan dicurah sos coklat. Gandingan mantap.

Hidangan sampingan, kami pesan Cheezy Fries. #gemokdontcare. Begitu ye hashtag yang digunakan. Dua makanan ni kami kongsi la walaupun pada mulanya saya tamak tak nak kongsi roti tu berdua. Hehehe..

Jeng jeng jeng.. Ini dari kunjungan petang tadi. Menu paling baharu, Churros! Memang sedap! Rangup dan tebal dan kuah coklat banjir. Petang tadi tapau je makan dekat kereta dua ketul sebab lapar sangat belum makan dari tengah hari.. Makan ni tiga ketul dan minum Extra Presso Wonda, kenyang dah.

Sebab dia sedap, letak lagi sekali gambar dia. Orang kata, buat churros ni senang je tapi bagi saya leceh sebab nak kena letak dalam piping bag dan nanti nak bersihkan nozel dia lagi, lepas tu nak kena berdiri depan kuali panas lagi. Tak kuasa! Beli je senang. Hehehe.. 

Chilli Dawg ni beroperasi dari rumah je pun tapi bila makan dekat sini rasa seronok dan mesra sebab kakak kepada tuan kedai yang juga merupakan tukang masak utama di situ adalah sangat peramah. Makanan tu pun rasa macam masakan dekat rumah. Rasa-rasa nak makan makanan hipster dekat Banting ni, bolehlah datang sini. Boleh singgah beli kerepek terus sebab lokasinya selang sebuah rumah je dengan salah satu kilang kerepek terkenal di Kanchong Darat ni. Sekian, ulasan bergambar dari Cik Fara.