Annyeong! Sebelum terlupa kenangan percutian tahunan Geng Bujang Bilik Prep, saya mulakan dengan catatan pada hari pertama. Seperti yang dinyatakan dalam episod 1, kali ini kami menuju ke Pantai Timur. Kami singgah di Kuantan dahulu sebelum ke Terengganu. Macam biasa, ahli yang tinggal di hujung dunia ni mulakan perjalanan paling awal. Lepas subuh terus Aten gerak dari rumah kutip saya dan langsung menuju ke Cheras untuk kutip Radin. Dari rumah Radin, barulah sama-sama kutip Mada dan tukar kereta.
Demi menjimatkan masa, kami sepakat untuk sarapan dalam perjalanan saja dan sarapan ditaja oleh Mada. Terima kasih banyak-banyak Mada sebab sediakan sarapan dan juga minum pagi. Eceh, siap minum pagi lagi; dah macam pergi seminar apa je waktu makan berderet-deret. Hahaha.. Sebab Mada dah isi minyak siap-siap, kami singgah Petronas untuk tambah nilai kad Touch n Go saja.
Sarapan dulu
Alang-alang dah berhenti tu, macam-macam urusannya. Ada yang ke tandas, ada yang membeli bekalan di Kedai Mesra, dan ada yang keluarkan duit. Pun bolehlah. Saya ambil giliran pertama memandu dari KL ke Kuantan dan sempatlah makan sandwich dulu sementara tunggu orang lain. Kami gerak dari KL kurang lebih jam 9 pagi. Alhamdulillah perjalanan sangat lancar. Tiada kesesakan lalu lintas di beberapa tempat yang dijangkakan sesak. Cuma kenderaan banyak la atas jalan. Sempatlah singgah tapau kopi o kosong McD untuk pemandu yang wajib minum kopi pagi-pagi sebelum keluar ke lebuhraya.
Waktu masih lagi dalam KL, tiba-tiba rasa nak buat aktiviti sepanjang jalan. Apakah aktivitinya? Tak ada kerja cari kerja namanya ni iaitu kira berapa banyak Honda Civic baru yang ditemui dari KL sampai Kuantan nanti. Hahaha.. Satu lagi, kena kira berapa banyak jumpa KFC (ke McD ek?) sepanjang jalan tu. Sambil-sambil kan.
Sepanjang perjalanan, macam-macam cerita keluar. Tak berhenti-henti dari KL sampai Kuantan. Dari kisah benar, sampailah gosip hangat, membawa ke angan-angan Mat Jenin. Pakej lengkap! Sampai ada masa ketawa berdekah-dekah sampai tak nampak mata. Hahaha.. Dengan diorang ni jelah nak buat perangai pun, bila lagi kan? Cuaca pun cantik sepanjang jalan, memang santai-santai sajalah pemanduan saya. Dah penat borak, berhenti kejap dekat perhentian sebelah untuk tambah tenaga nak sambung borak. Tak ingat pula hentian mana. Sebab dah bawa bekal, jadi kami makan dalam kereta saja. Sedap hoi Kerabu Maggi ni!
Sorang satu bekas Mada buatkan. Meriah isinya! Licin saya makan. Tak baik membazir kan.
Langit cerah pada hari tersebut
Habis makan, perjalanan diteruskan. Kami tiba di Kuantan kurang lebih jam 1 petang. Dah masuk ke kawasan bandar ni, barulah merasa main tekan brek sebab ada tempat-tempat yang agak sesak. Memandangkan masih belum boleh daftar masuk ke hotel, kami terus ke lokasi pertama iaitu, Kula Cakes! Rancangan asal adalah nak cari patin tempoyak untuk makan tengah hari; tapi sebab macam masih kenyang makan Kerabu Maggi tadi, tak jadi cari nasi.
Bagus jugalah kami sampai awal dekat Kula Cakes sebab orang masih belum ramai. Dengar cerita, kalau hujung minggu tempat ni sesak dan kena beratur panjang sampai ke luar. Waktu kami sampai tu, ada la beberapa orang tengah beratur. Kira tak adalah lama sangat nak sampai giliran tu. Cara nak makan dekat sini macam kebanyakan kafe hipster; beratur dan buat pesanan di kaunter. Lepas tu bayar terus dan tunggu pesanan kita siap barulah boleh angkat dulang berisi makanan dan minuman cari tempat duduk.
Kalau tak silap, menu dekat sini semuanya manisan. Macam-macam ada! Kek keju, kek bukan keju, pavlova, brownies dan muffin. Paling terkenal di sini dah tentulah Kek Keju Mangga. Waktu pergi tu saya masih lagi belum
move on dengan kek keju mangga, jadi terujalah nak tahu apa yang sedap sangat kek keju mangga Kula Cakes ni.
Sampai dekat meja, macam biasalah, kena ambil gambar dulu. Gambar makanan pun kena ambil, gambar orang yang nak makan tu apatah lagi. Pelancong katanya. Kahkahkah.. Dekat sini kami beli manisan berbeza sorang satu, jadi boleh la rasa banyak jenis; watak utamanya ada tiga. Sebulan sebelum pergi ni, saya dengan Aten ada la buat perjanjian. Kalau saya menang, saya dapat kek keju mangga percuma; kalau dia menang, saya kena taja kek keju mangga untuk dia. Sebab saya menang, kek keju mangga saya pada hari tersebut ditaja oleh Aten. Kehkehkeh.. Terima kasih Ten! Aten dengan Radin kongsi sepotong, manakala Mada beli yang sepotong lagi tu.
Dari atas kiri, Pavlova Aten dan Peanut Butter Cheese Saya. Barisan tengah, watak utama iaitu Kek Keju Mangga. Belah kanan, Brownies Radin dan Kek Pandan Gula Melaka Mada. Macam makan nasi berlauk kan? Orang ada empat, pinggan kek ada tujuh. Kalau ikut nafsu tu, ada lagi dua tiga jenis nak tambah tu.
Geng Bujang Bilik Prep ke Pantai Timur. Hani mana, Hani?
Jadinya, kami makan kek macam makan nasi pada hari pertama di Kuantan. Tu yang dari sakit tekak saya macam dah nak sembuh, terus hilang suara. Hahahaharu.. Lama jugalah kami makan kek sambil bergambar dan bergosip. Habis makan, kami ambil peluang bergambar dibeberapa sudut yang kelihatan unik. Sesi kunjungan ke Kula Cakes diakhiri dengan sesi bergambar di sudut wajib iaitu di dinding yang terpapar nama kedai.
Komen saya tentang kek keju mangga di sini? Bagi tekak saya, rasanya biasa-biasa saja. Mungkin sebab saya pernah rasa yang lagi sedap atau memang tekak saya tak serasi dengan kek keju mangga di sini. Orang kata, lain orang lain seleranya kan? Apa pun, Kula Cakes wajib dimasukkan dalam senarai tempat wajib pergi jika ke Kuantan kerana kedai ini telah pun jadi penanda aras kepada kesahihan kunjungan ke Kuantan. Kiranya macam tipu jelah korang datang Kuantan kalau tak singgah sini. Gitu. Walaupun kek keju mangga dia biasa-biasa je pada saya, kek yang lain semua daebak! Sedap! Kecuali brownies la sebab brownies yang kami makan pada hari tu, keras dan kering; dah macam makan biskut la pulak.
Konon-konon candid, padahal berlakon ni. Hehehe..
Gambaran keseluruhan ruang makan di Kula Cakes. Tempat makan dia dekat luar dan agak luas tempatnya.
Dah makan kek, terlebih gula. Ginilah jadinya. Hahaha..
Sampai jumpa lagi, Kula Cakes.
Selesai episod dua untuk hari pertama di Kuantan. Cerita tentang penginapan akan disambung dalam episod seterusnya. Harap-harap berterusanlah sambungan ceritanya supaya tak lupa kata laluan blog lagi. Hahaha.. Lama sangat tak jenguk, sampai kata laluan pun tak ingat. Babai~~