Mula-mula ingat nak bagi cawan untuk kopi beserta sebungkus serbuk kopi mahal, tapi tak jumpa-jumpa cawan kopi yang dalam bayangan ni. Sebab crime partner suka juga minum kopi lepas tu kata kopi dekat lobi pejabat mahal. Jadi, cadangnya nak bagi la cawan kopi supaya boleh bancuh siap-siap dekat rumah dan bawa minum dalam perjalanan. Jimat banyak dah. Tapi tak sempat nak bagi, dia dulu dah bagi satu beg penuh berisi makanan termasuk sebungkus serbuk kopi mahal. Hadiah hari jadi saya untuk tahun 2017 katanya. Better late than never kekdahnya. Alhamdulillah, syukur. Meh tengok antara isi perut beg yang sempat dirakamkan gambarnya.
Walaupun makanan dan lepas habis dah tak ada kenangan, tapi ada gambar tanda ingatan dan juga nota-nota comel yang dilekat pada setiap makanan. It's the thought that counts kan? Sepanjang hidup ni, ada beberapa kali giliran hari lahir yang meninggalkan memori terindah. Pertama, hari lahir waktu tingkatan 3. Bila duduk asrama, selalu juga tengok kawan-kawan potong kek waktu hari jadi dan untuk tahun tu, saya minta Arwah Mak belikan kek untuk sama-sama sambut dengan kawan-kawan di asrama. Bayangan saya adalah sebiji kek besar yang boleh dipotong, tapi Arwah Mak lebih praktikal sebab datang dengan satu kotak sederhana besar penuh berisi kek cawan siap riben untuk diagihkan kepada kawan-kawan. Senang nak makan katanya.
Masa dapat tu, sedikit kecewa sebab perasaan potong kek tu lain kan berbanding dapat kek yang tak payah potong. Tapi bila dah tua-tua ni, barulah nak sedar bahawa kek cawan macam tu lagi mahal berbanding sebiji kek besar dan sepatutnya saya bersyukur sebab Arwah Mak susah payah cari duit untuk tunaikan hajat saya. Moga Allah ampunkan dosa-dosa Arwah Mak dan mendapat rahmat di alam sana.
Memori kedua adalah sewaktu berada di tingkatan 5. Kebetulanlah agaknya tarikh hari lahir saya jatuh waktu berada di asrama untuk dua tahun ini maka memori tu kekal sampai hari ni. Waktu ni dah matang sikit dan tak adalah minta kek dah. Duduk je diam-diam di asrama tapi kawan-kawan Geng Bilik Prep buat kejutan. Bila turun bilik prep, ada je hadiah kecil dekat atas meja beserta ucapan ringkas selamat hari lahir. Nanti naik ke dorm, ada juga yang tinggal hadiah atas katil atau dalam loker. Walaupun cuma sebungkus gula-gula atau coklat, tanda ingatan tu yang paling bermakna. Saya ingat lagi, ada seorang kawan bagi sebungkus jajan yang dibalut dengan kertas surat khabar dan pada surat khabar tu, tertulis ucapan selamat hari lahir. Sampai ke sudah saya simpan pembalut surat khabar tu sebab ada kenangan manis.
Seterusnya, semasa di universiti. Teman-teman serumah dan kawan paling akrab waktu tu buat kejutan. Dua kali dapat kek untuk sambutan ulangtahun pada tahun tersebut. Mula-mula Umi dan adik-adik serumah buat kejutan di satu kedai makan, kemudian Kak Chik dan adik-adik serumah buat satu lagi kejutan di kafe perpustakaan. Allahuakbar, terharu sungguh-sungguh! Terima kasih untuk kenangan yang diberikan.
Bila dah mula bekerja ni, ada tiga kali sambutan yang membuatkan saya terharu. Kalau tak silap, untuk tahun 2013. Mula-mula Hani telefon kata nak makan sama sempena hari lahir. Kebetulan saya ada tugas yang perlu diselesaikan sebelum balik pada hari tu, keluar dari pejabat dah agak lewat. Hani baru habis tugas waktu tu, gigihlah dia menunggu dekat Saha sambil baca buku sambil mengantuk. Aduhai, terima kasih banyak-banyak atas kesabaran menunggu dan minta maaf banyak-banyak kerana terpaksa menunggu. Waktu tu Hani masih MO lagi. Kemudian, crime partner pula ajak makan kek di SR. Walaupun dah tahu nak dapat kek sempena hari lahir, masih lagi terharu bila kek tu betul-betul ada depan mata. Paling best, atas kek ada tulisan. Wow! Mudah terhibur sungguh. Hehehe..
Kesimpulannya, sepanjang hampir nak 3 dekad hidup ni, macam-macam pengalaman dan kenangan yang diperoleh. Semuanya bermakna biarpun bercampur suka dan duka. Di sinilah salah satu tempat saya mencoretkan kenangan berharga itu. Terima kasih semua yang terlibat. Moga saya diberikan rezeki untuk mencipta kenangan terindah sempena hari kelahiran buat kalian. Crime partner punya kek dengan hadiah tahun ini terpaksa saya tangguh dulu hingga ke tahun depan atas sebab kekangan kewangan.































