Engagement Fund ;)

Friday, 28 July 2017

Kopi dari Mesin Layan Diri

Sebelum ni cuma tengok orang kongsi dekat IG je tentang kopi jenama UK, Costa, ni. Kebetulan waktu nak beraya ke rumah Mada tempoh hari, berhenti kejap isi minyak di Shell Hentian Hicom. Nampak pula perkataan Costa besar-besar depan Select tu, apa lagi, masuk parking la jawabnya lepas isi minyak sebab nak beli kopi. 

Disebabkan tak pernah jumpa mesin layan diri untuk beli kopi ni, memang tak tahu nak buat macam mana. Lama juga berdiri di tepi tu sebelum disapa oleh salah seorang pekerja Select. Nasib baik dia tegur, kalau tak, lagi lamalah kami tercangak-cangak di situ. Kahkahkah.. Adik tu terangkan langkah demi langkah untuk pesan kopi guna mesin layan diri tu. 

Mula-mula kena pilih nak kopi sejuk atau panas. Lepas tu tekan nak kopi perasa apa. Seterusnya, boleh pilih nak letak gula banyak mana atau tak nak letak langsung pun boleh. Gula ni tak dicaj, percuma je. Kalau pilih nak tambah perasa baru kena caj seringgit kalau tak silap. Terima kasih banyak-banyak atas bantuan yang diberikan. Acik kan orang kampung, tak reti benda-benda canggih ni. Hehehe...

Iced Latte Hazelnut - kalau tak silap la. Dah lama, jadi ingatan dah samar-samar.

Dah siap buat pesanan, nanti resit keluar dari mesin tu. Sementara tunggu kopi siap diisi dalam cawan, bolehlah bayar dulu di kaunter. Nak lepak minum dalam tu pun, boleh. Kalau penyegan, terus jelah angkut cawan tu minum dalam kereta. Rasa kopi dia sedap! Boleh ulang beli kalau kebetulan jumpa. Entri dikahiri dengan ucapan khas kepada Costa Coffee Malaysia, bila nak buka cawangan dekat Shell Banting? Orang Banting pun minum kopi mahal tau. Hehehe..

Thursday, 27 July 2017

Hamper Raya Untuk Mereka

Ini projek waktu bulan puasa tempoh hari. Disebabkan ahli yang boleh datang berbuka tak ramai, maka dah niat nak monjong lebih sikit. Hehehe.. Biasanya bagi sambal kentang je sebekas sorang sebab diorang memang suka makan sambal kentang tu. Tahun ni macam datang roh rajin nak buat hamper ringkas.

Gigihlah pergi cari barang nak DIY hamper ni sampai ke Giant sana. Alhamdulillah ada rezeki lebih nak buat hamper ni. Guna barang biasa je. Balang semua beli dekat Mr. DIY dan ada juga yang beli dekat 2Ply dan kedai 2 ringgit. Konsep dia, jimat seadanya. Begitu.

Isi perut untuk setiap balang berbeza. Ada dua jenis biskut dan dua jenis kategori kerepek. Lepas tu watak utama, sambal kentang, turut tidak dilupakan. Hehehe.. Semoga penerima hamper menerima dengan hati terbukalah ye. Cara nak hias balang tu saya Google je pun. Lepas dah siap ikat bagai, masukkan je dalam beg kertas, senang nak bawa.

Empat jenis bekas yang bakal dimuatkan ke dalam hamper

Less is more. Kiri, biskut labu leleh. Kanan, kerepek ubi lada hitam

Rupa selepas disusun dalam beg kertas

Beg kertas tu pun kosong je tak ada apa walaupun asalnya macam nak tampal ucapan dekat bahagian depan beg. Tapi bila fikir balik, biarlah kosong je sebab nanti bolehlah diorang guna semula beg tu. Sekali sekala datang angin rajin, memang gigih buat semua benda. Kalau datang ribut malas, apa pun tak jadi. Heee..

Iftor Jama'ie Geng Bilik Prep 2016

Setahun telah berlalu, barulah cerita ini dapat disudahkan gara-gara kelewatan penyerahan gambar pada hari kejadian. Waktu buat keputusan nak buat majlis berbuka ni, jenuhlah memikirkan tempat yang selesa, makanan sedap dan harga murah. Kejap dekat sana, kejap dekat sini, nanti kang tengok dekat sana tu, lepas tu tak jadi pula. Eh, nak pilih tempat pun payah. Hahaha.. Sudahnya ke Bangi Golf Resort la kita.

Kalau tak silap, majlis ni tak ada perancangan teliti pun. Waktu buat pengumuman dalam kumpulan WhatsApp pun, AJK tertinggi tak menaruh harapan tinggi. Siapa nak datang, sila bayar cepat-cepat. Siapa tak dapat datang, duduk sana diam-diam. Begitu.

Dalam pada tak bersedia tu, ramai juga yang dapat datang. Siap ada yang berkejaran lagi sebab baru sampai ke Semenanjung. Tahun lepas sebab ahli ramai, maka kami dapat dua meja besar untuk 15 orang dewasa dan 5 orang kanak-kanak dah berkaki. Ada yang datang bawa suami dan adik-beradik. Kami okey aje. Yang penting waktu bergosip, Geng Bilik Prep ambil bahagian. Hahaha..

Tuan Kamera tak ada, maka kami pun hijack kamera dan penuhkan dengan gambar kami. Hehehehe

Sebahagian daripada ahli yang dah sampai

Sedang beramah mesra dengan orang-orang di meja belakang. Meja belakang tu khas untuk yang bawa keluarga besar.

Inilah dia Tuan Kamera tu. Hehehe.. Sebelah tu budak comel nama Emre.

Lagi gambar-gambar syok sendiri bila Tuan Kamera tak ada. Hai Hani!

Bila lama tak jumpa macam ni, banyaklah benda nak diborakkan. Macam-macam benda nak cakap, macam-macam benda nak tanya. Kalau tengok gambar-gambar yang jurukamera rasmi tangkap, banyak gila gambar tengah berjoyah, dengan mulut terjuih, ada yang ketawa sampai tutup mata, ada yang tangan tergawang di udara. Kahkahkah.. Meriah sungguh!

Bila tiba waktu makan, semua kembali menjadi normal dan menikmati hidangan di tempat masing-masing. Macam biasa, ambil makanan waktu perut lapar itu bahaya. Semua dikautnya! Konsep berkongsi tu tetap dipraktikkan untuk menu-menu istimewa macam kambing bakar dan sate. Sudahnya banyak berlebih kambing bakar dalam pinggan. Jangan risau, zip lock kan ada? Tak habis makan masukkan dalam plastik dan bawa balik. Hehehe..

Meja orang bujang.

Tuan Tanah

Selepas. Kemain banyak gelas kan, penat ke puasa?

Chik dan anak sulung, Zarif.

Geng mak-mak

Semua ahli yang hadir malam tu. Dari kiri: Mada, Radin, Aten, Tuan Tanah, Hani, Za, Man, Farahin Zamri, Chik dan Cnah.

Selfie dengan budak comel yang tak bagi umi dia pergi jauh. Hahaha... Comel sangatlah Afham ni, layan je acik-acik yang kuat mengusik ni.

Berlatarbelakangkan banner BGR. Dah tak ramai orang, gigihlah kan berdiri tengah laluan.

Selfie lagi

Satu lagi

Ini dekat bahagian pintu masuk. Minta tolong salah seorang pengunjung yang tengah berdiri di kaki lima ambilkan gambar.

Ini Mada yang ambilkan. Emre mana, Emre?

Dah selesai semuanya, wajiblah ada sesi bergambar berjemaah. Banyak gambar sebenarnya itu yang entri ni panjang sampai cecah lantai sebab banyak gambar. Hehehe.. Terima kasih kepada para peserta semua. Panjang umur, ada kelapangan kita jumpa lagi. Kalau AJK dah habis rajuk la. Kalau tak, krik krik krik jelah jawabnya. Hahahaha..

Drama Korea: Ruler: Master of the Mask

Drama saguk kegemaran yang menjuarai carta setakat ini adalah Moon That Embracing the Sun dan tiada lagi yang boleh diletakkan sebaris dengannya hinggalah Ruler: Master of the Mask muncul. Disebabkan tahun ni berderet-deret drama saguk, kena pilih juga mana yang macam best jalan ceritanya, mana yang jalan ceritanya sedih. Pertama kali tengok iklan drama ni, dekat Fan Page FB Oh!K Asia. Tengok hero hensem, heroin cun, jalan cerita pun macam okey, layaaann.

Poster rasmi drama ni

Lee Sun marhaen dan juga Hwa Gun, cucu kepada Dae Mok

Cerita ni tentang kuasa di sebalik kuasa dan terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian adalah konflik masa maharaja masih hidup dan putera mahkota masih belum matang lagi; satu bahagian lagi adalah cerita lima tahun kemudian, selepas maharaja dibunuh dan putera mahkota dewasa. Nampak tak? Plot cerita dia macam Moon That Embracing the Sun juga.

Cerita bermula bila Maharaja Yeongjo buat keputusan untuk menentang Kumpulan Pyunsoo dengan menyembunyikan identiti Putera Mahkota Lee Sun (Yoo Seung Ho). Pada dia, bila orang tak kenal siapa Putera Mahkota, maka dia boleh halang Kumpulan Pyunsoo ni daripada paksa Lee Sun untuk sertai Kumpulan Pyunsoo. Sebabnya, bila mana-mana pemerintah buat perjanjian dengan Kumpulan Pyunsoo, automatik pemerintah tu hanya pada nama, bukan pada peranan.

Jadinya, Lee Sun ni dari kecil memang dipakaikan topeng; tak ada siapa yang tahu rupa sebenar dia kecuali maharaja, mak dia dan juga pengawal kepada maharaja. Bila Lee Sun meningkat remaja, dia mula tertanya-tanya kenapa dia kena pakai topeng sedangkan dia tak ada penyakit pun walaupun ayah dia cakap dia pakai topeng sebab ada penyakit pelik dari kecil.

Waktu dia tengah cari kebenaran tu, dia curi-curi keluar dari istana dan waktu nilah cerita jadi rumit. Sebab semua orang tak pernah nampak muka dia, maka bila dia menyamar jadi rakyat biasa, tak ada sorang pun kenal. Masa nilah dia dapat tahu tentang Kumpulan Pyunsoo dan juga kesusahan rakyat yang terpaksa bayar duit untuk dapatkan bekalan air yang dimonopoli oleh Pyunsoo. Waktu ni juga dia jumpa dengan heroin, Han Ga Eun (Kim So Hyun) yang merupakan anak kepada majistret Han kalau tak silap. Kira ayah Han Ga Eun ni pegawai kerajaan baik la sampai akhirnya dihukum bunuh kerana campur tangan Pyunsoo.

Babak ni comel. Hihihihi..

Tengok cara Lee Sun tu menjawab? Love at the first sight kekdahnya. 

Lepas dari kejadian ni, Lee Sun jadi tak keruan sebab ada orang yang terbunuh kerana dia yang tersilap langkah. Dalam masa yang sama, dah sampai masa untuk Lee Sun masuk dalam Kumpulan Pyunsoo seperti yang termeterai dalam perjanjian diantara maharaja dan Dae Mok. Tapi sebab maharaja tak nak Lee Sun terlibat dengan Pyunsoo, dia cari orang lain untuk ganti Lee Sun.

Kebetulan pula waktu Lee Sun ni menyamar jadi rakyat biasa, dia jumpa dengan kawan pertama dia, yang namanya Lee Sun juga. Tapi Lee Sun marhaen ni memang miskin dan hidup susah la dan disebabkan itu, dia setuju nak ganti tempat putera mahkota waktu upacara pertabalan ahli baru Pyunsoo.

Kalau tengok, Kumpulan Pyunsoo ni memang jahat sebab waktu upacara ni, dia bagi dadah dekat ahli baru tu supaya diorang ketagih dan terpaksa ikut telunjuk Pyunsoo untuk dapatkan stok dadah. Bila dah ketagih, nak tak nak, kena tunduk juga sebab memang Pyunsoo je yang boleh bekalkan dadah ni. Tapi, rancangan maharaja untuk ganti putera mahkota dengan orang lain tak berjaya bila Ketua Kumpulan Pyunsoo, Dae Mok, dapat tahu yang Lee Sun waktu upacara tu ialah palsu. Dan dan tu jugalah diorang serang istana dan bunuh maharaja.

Tapi, Putera Mahkota Lee Sun sempat larikan diri dengan pengawal peribadi dia dan waktu dia larikan diri dari istana, orang-orang Kumpulan Pyunsoo sempat kejar dan dia terjatuh dari tempat tinggi. Waktu dia jatuh tu, cucu Dae Mok yang dah jatuh cinta dengan Lee Sun ni ada di tempat kejadian dan berjaya selamatkan Lee Sun dengan memalsukan kematian Lee Sun. Bila Dae Mok sampai dekat tempat kejadian dan periksa nadi Lee Sun, dia yakin yang Lee Sun dah mati. Makanya, berdondang sayanglah dia tabalkan Lee Sun marhaen jadi maharaja. Maharaja pada nama, bukan pada kuasa.

Lima tahun kemudian, barulah cerita sebenar bermula. Bermulalah perjuangan sebenar Putera Mahkota Lee Sun. Waktu ni dia dah matang dan bijaksana la berbanding lima tahun lepas.Sebelum ni Kumpulan Pyunsoo cuma berkuasa ke atas bekalan air je, kali ni dia nak monopoli pula aliran mata wang Joseon. Kalau tengok drama ni, memang boleh nampak macam mana korupsi dalam kalangan menteri menyebabkan rakyat sengsara. Yang senang makin senang, yang susah makin susah.

Okey, budak kecik ni memang pandai berlakon. Comel je dan menjiwai watak sungguh! Ini Kko Mool, adik kepada Lee Sun marhaen. Waktu ni dia pertama kali jumpa dengan Chun Soo.

Ini dah episod 30 lebih tak silap, waktu Dae Mok dapat tahu Lee Sun ni masih hidup. Terus kena paksa minum Poppy Wine yang akhirnya 'meragut nyawa' Lee Sun sebab terlebih dos.

Terpaksa minumlah sebab diacukan pedang pada cinta hati.

Ni waktu Lee Sun hidup balik dan jumpa ladang popi serta tempat penghasilan pil popi.

Pun begitu, Putera Mahkota Lee Sun ni memang berjiwa rakyat dan tempoh lima tahun dia hidup secara sembunyi ni berjaya membentuk dia menjadi seorang pemimpin yang mendahulukan rakyat dan berjaya meraih kepercayaan dan pengaruh dari rakyat. Selain itu, Lee Sun ni juga dikurniakan orang-orang yang setia dan sanggup membantu dia untuk menentang Kumpulan Pyunsoo.

Macam-macam la halangan dia kena tempuh sebelum berjaya nak dapatkan balik takhta yang dirampas tu. Ni baru ulasan sampai episod 8 ni, episod seterusnya korang tolong tengok sendiri ye sebab ada lagi 32 episod nak cerita. Kahkahkah.. Kalau nak cerita sebiji sebiji, mereput.

Empat wajah Putera Mahkota Lee Sun. Gambar dari FB Oh!K Asia.

Nah belanja satu lagi gambar Lee Sun.

Kesimpulannya, drama ni wajib tonton untuk tahun 2017 sebab hero dia hensem, jalan cerita tak bosan, dan pengakhiran yang mantap. Acik bagi lima bintang untuk drama ni! Walaupun latar masa drama ni adalah Joseon, jangan risau sebab tak bosan dan senang nak faham. Macam biasa, ada banyak elemen dalam drama ni termasuklah persahabatan, percintaan, komedi, kesetiaan, keadilan, dan juga kekeluargaan. Tiba-tiba je ulasan berat sebelah sebab tergantung suku jalan kan? Hahaha.. Tak ada idea nak pendekkan cerita sebenarnya. Nak puas hati, silalah tonton sendiri ye.

Wednesday, 26 July 2017

Menjakun di Plaza Korea Kuala Lumpur

Disebabkan baaaru je dapat gambar kejadian tahun lepas ni dari Mada waktu beraya tempoh hari, maka barulah boleh nak cerita tentang kunjungan kami ke Plaza Korea pada tahun lepas. Tak ingatlah pula sama ada dah pernah cerita sikit dalam blog ni ke belum tapi rasa macam pernah tunjuk gambar dengan Joong Ki dulu. Ni sebab tak boleh buka laman web subscene.com je ni, tu yang tak boleh sambung tengok drama baru. Tak tahulah kenapa tak boleh buka. Cuba dekat Yong pun, tak boleh. Cuba dekat PC tuisyen pun tak mahu. Mereputlah jawabnya.

Okey, kembali ke pangkal jalan. Sebenarnya tujuan utama ke Plaza Korea tahun lepas tu adalah sebab nak tuntut buku kupon dan kad T-Money percuma. Memang tiap tahun kerjaan Korea Selatan ada buat promosi macam ni untuk rakyat Malaysia sebagai salah satu cara nak tarik pelancong datang ke Korea sana.

Sebelum nak tebus buku kupon ni, kena daftar dulu jadi ahli Kaki Korea Club dekat www.visitkorea.com.my. Nanti lepas daftar akan dapat kod untuk penebusan kalau tak silap dekat email. Waktu nak tebus, kena tunjuk kod dari email tu, kad pengenalan dan itinerary flight yang ada nama sendiri. Kalau tak silaplah ye, sebab dah setahun berlalu, ingatan tu dah samar-samar.

Alang-alang nak keluar rumah untuk berbuka bersama petangnya, maka berbondong-bondonglah kami berempat  keluar awal pagi untuk ke Menara Hap Seng demi barang percuma. Alhamdulillah, perjalanan ke sana lancar dan kereta pun tak banyak atas jalan. Kejap je dah sampai rasanya. Bila sampai sana lagi bahagia sebab tak ada orang langsung woi! Puas hatilah menjakun dalam Plaza Korea tu. Hahahaha..

Maaf, terpaksa letak gambar dalam tandas ni sebab tandas dia bersih sangat dan cantik. Cermin besar dan banyak. Puaslah sawan kamera dalam ni. Kahkahkah...

Pemandangan dalam ruang utama Plaza Korea dari pintu masuk

Tu dia, Song Joong Ki yang tak lekang dengan senyuman. Salah seorang staf dekat situ cakap, dia baru je sampai KL beberapa hari lepas.

Kaunter untuk urusan penebusan dan juga sekiranya ada apa-apa pertanyaan nak ditanya.

Kami pergi berempat dan tolong tebuskan untuk Hani sekali sebab dia baru je nak terbang balik dari Sabah pagi tu. Selain menebus buku kupon dan kad T-Money percuma, kami juga kaut segala jenis pamphlet dan peta yang difikirkan berguna untuk masa depan. Tamak kan? Semua dikautnya. Hahaha.. Staf yang bertugas dekat kaunter tu pula ramah bukan main, seronoklah kami tanya macam-macam dekat dia. Siap bagi panduan lagi nak pergi Yeouido Park ke apa yang akhirnya tak sempat nak pergi sebab hujan lebat pada hari kejadian. Hadui, rindu pula dekat Korea.

Rindu waktu-waktu merancang perjalanan ke Korea. Rindu ikat perut sebab nak cukupkan bajet belanja waktu di Korea. Rindu nak menghadap laman web berkaitan untuk rujukan perjalanan di sana. Rindududuuuu... Tahun lepas, waktu macam ni tengah kalut la ni fikir macam-macam. Eish, ni ada yang keluar entri pasal Korea karang ni. Tapi kalau nak melancong ke luar negara ni, memang kena hidup seadanya saja. Tahun lepas, baju raya pun tak ada sebab nak jimat punya pasal. Sobs.. Hahaha..

Marilah bergambar berjemaah dengan Joong Ki. Tak ada orang kan, memang riuh suara kami je.

Kkakdugi! Ini pameran tentang makanan Korea

Ini juga.

Ini pun sama. Nampak samgyetang tu, teringat dekat samgyetang Muree.

Hiasan kepala dan aksesori wanita untuk dipadankan dengan hanbok.

Ruang pameran untuk pakaian tradisional.

Deretan pakaian tradisonal Korea yang ada. Lepas guna jangan lupa kembalikan pada keadaan asal.

Nak sarung hanbok malas, kita bergaya dengan topi askar zaman Joseon jelah.

Ada macam-macam jenis topi.

Mereka berdua ni pula pakai topi yang biasa dipakai oleh orang-orang lelaki zaman Joseon. Muka nak serius je kan?

Anda dan anda yang merancang untuk melancong ke Korea, bolehlah datang ke Plaza Korea ni untuk dapatkan benda percuma ni dan juga kutip maklumat berkenaan Korea. Selain tu, tempat ni macam muzium mini jugalah kurang lebih sebab ada dipamerkan maklumat mengenai budaya dan negara Korea tu sendiri. Duta pelancongan Korea pun ada dekat sini. Waktu kami pergi tahun lepas, Song Joong Ki baru je selamat sampai dari Korea. Tahun ni tak pasti siapa yang jadi dutanya. Kalau nak cuba pakai hanbok pun ada juga dekat sini. Lengkap serba-serbi okey! Untuk maklumat lanjut, bolehlah terus pergi ke laman web rasminya ye.

Gambar terakhir dalam Plaza Korea sebelum berangkat pulang.

Dekat luar ni ada disediakan bangku dan bingkai tertulis I ❤ Korea.

Okey okey, ni yang terakhir. Punyalah susah nak diajak balik tu. Hahaha..

Monday, 24 July 2017

Iftor Jamai'e Geng Bilik Prep 2017

Daripada keputusan mesyuarat dan maklum balas ahli Geng Bilik Prep, akhirnya perancangan awal tu dibatalkan. B.A.T.A.L. Tak ada tangguh-tangguh dah, terus batal bila tak ada yang berbunyi langsung nak turut serta atau tidak. Makanya, AJK kuat sentap tu bawa diri, layan diri je. Hahaha.. Faham, semua orang banyak komitmen, kami yang bujang-bujang ni je tak ada komitmen. Begituh.

Akhirnya, terus buat perjumpaan kecil-kecilan je dengan ahli yang sahih boleh datang. Siapa lagi kalau bukan Aten, Mada, Chik dan Sazoh. Sebab cuma berempat, kami kembali ke tempat kegemaran untuk bufet ramadhan iaitu Bangi Golf Resort. Bagi saya, BGR adalah tempat paling best untuk berbuka secara bufet pada bulan ramadhan kerana harga yang ditawarkan adalah murah jika dibandingkan dengan pilihan dan kualiti makanan yang disediakan. Saya bagi 5 bintang untuk BGR! ☆☆☆☆☆

Tahun ni memang ke Bangi untuk berbuka je, tak macam tahun lepas dan tahun sebelumnya yang sempat mengukur jalan dan merabak dompet. Dari rumah lepas asar dan sampai sana sedang elok untuk tunggu waktu berbuka. Mada sampai dulu dan dah selamat pun duduk di meja waktu kami sampai. Chik sampai paling akhir. Tahun ni Chik datang bawa adik Zharif dalam perut, Zharif tinggal sebab belum sihat sangat.

Dah salam-salam, borak-borak sikit, teruslah masing-masing menuju ke meja hidangan. Lokasi meja tahun ni cantik dan tak cantik. Cantik sebab dekat benar dengan bahagian manisan dan pencuci mulut. Tak cantik sebab dekat sangat dengan pentas utama dimana kami terpaksa menjerit bila nak bercakap dek kerana sistem bunyi yang tak bagus.
Meja kami. Tiap tahun nama sama je yang tertulis sebab memang tukang tempahnya orang yang sama. Terima kasih Aten!

Rasanya, pihak BGR boleh baiki kot bahagian ni. Kami tak ada masalah pun dengan persembahan langsung dari pemuzik jemputan, suara sedap dan muzik pun okey, cuma bunyi pembesar suara tu terlampau kuat dan nyaring. Kesian dekat kami yang duduk depan pentas ni. Sob..sob..sob..

Etika makan bufet adalah, ambil sedikit dulu dan duduk makan sampai habis baru pergi ambil lagi. Tapi, kami kan tamak + pemalas, maka awal-awal terus ambil semua makanan yang nak dimakan sampai penuh satu meja. Hahahaha.. Yang paling wajib ambil adalah manisan dia sebab manisan BGR ni sangat sedap dan kualitinya bukan calang-calang. Kaut banyak-banyak terus! Tak nak kongsi tu dengan orang sebelah.

Nampak? Penuh kan? Ada yang pinggan kongsi, ada yang pinggan sendiri. Tapi pinggan sendiri paling banyak la sebab sorang punya pinggan paling kurang dua.

Ahli Geng Bilik Prep tetap dan berpencen.


Kegemaran. Manisan yang belakang tu yang paling ditunggu-tunggu. Semua perasa saya kaut sebab memang sedap! Lawankan dengan kopi dia yang torbaik ni. Kopi dia sedap pekat dan rasa pahit. Kopi memang la pahit kan? Tapi kadang-kadang ada tempat yang kopinya tak pahit, rasa tawar je. Pencinta kopi faham la kot apa yang saya cuba sampaikan ni.

Gelato. Pun sedap! Dekat sini semuanya memang dihidangkan dalam saiz kecil supaya sekali ambil boleh terus habis makan. Tak cukup tak apa, boleh ambil lagi.

Churros pun sedap!

Dua jenis kek yang terpaling sedap, tak pasti kek apa sebab tak ada nama tapi yang belah atas tu rasa macam Pandan Gula Melaka. Memang ulang ambil dua ni je.

Bahagian kek lagi dan makanan bergoreng. Ada popia, samosa dan nugget.


Lepas berbuka, mana yang boleh solat, pergi solat dulu sebelum sambung makan. Memandangkan kami datang pada hari terakhir bufet ramadhan BGR, maka orang tak begitu ramai. Masih ramai tapi tak terlalu bersesak macam selalu. Dari pemerhatian, kebanyakan yang datang dalam perjalanan nak balik kampung agaknya sebab makan kejap je lepas tu terus balik.Yang duduk sampai pintu nak tutup tak ramai macam tahun-tahun lepas.

Habis makan, habis borak, selesai sesi penyerahan cenderahati, maka tibalah masa untuk balik. Tahun ni tak berlaku pembaziran di meja kami. Tiap tahun pun tak ada membazir sebab memang bawa plastik siap-siap untuk tapau makanan yang tak habis makan. Yelah, waktu ambil makanan tu kan perut lapar? Maka kaut makanan masuk dalam pinggan tak ingat dunia. Sudahnya berlebih tak terusik. Daripada membazir, baik bungkus bawa balik kan?
Sebelum balik, bergambar satu kali dalam dewan. Nampak tak belakang tu meja dah kosong? Memang tinggal beberapa meja je yang masih ada penghuninya. Waktu ni dalam pukul 9 lebih kalau tak silap.

#teamjubahhitam

#teamblousepeachypink

Orang lain balik rumah, saya dan Aten melencong ke KLIA 2 untuk ngopi. Tak cukup-cukup kopi secawan tadi, nak juga beli kopi dekat KLIA 2. Hehehe... Selalu datang sini hari biasa, kali ni datang sehari sebelum raya. Keadaan agak lengang; cuma nampak ramai orang yang dalam perjalanan pulang ke kampung. Orang lain sibuk dah nak balik kampung, kami berkampung lagi dekat lapangan terbang. Hahaha... Tapi best la lepak KLIA 2 malam tu sebab terserempak dengan ramai orang hensem. Eh! Cuma tak best sebab dah tak ada kedai kopi kegemaran. Sobs.. Saya tak ngam dengan Strabucks, mesti nak Gloria Jeans juga. Itu yang sudahnya pergi Mc Cafe jelah.

Sebab tak ramai orang, tak adalah segan sangat nak bergambar dekat sini. Kihkihkih.. Terima kasih banyak-banyak jurugambar rasmi GBP.

Saya dan kopi. Menyesal beli americano sebab lepas beli baru teringat yang tadi dah minum kopi o.