Baiklah, perlahan-lahan ambil nafas dan mula menaip. Kalau ikutkan, memang saya suka menulis dari sekolah rendah lagi dan suka juga membaca sebab dari bacaan itulah dapat bahan untuk ditulis. Waktu dekat univerisiti dulu pun, dapat satu kolum untuk buletin persatuan. Jenuhlah perah otak fikir ayat yang sesuai dan kaitkan topik dengan isu semasa.
Maka dengan ini, marilah kembali ke pangkal jalan. Nak cerita pasal kerepek, boleh melalut sampai zaman tok kaduk. Hahaha.. Ini cerita pada penghujung Syawal yang lalu. Tiba-tiba dapat mesej dari Kak Chik bertanyakan kesanggupan untuk ambil tempahan kerepek dari rakan beliau yang akan ke United Kingdom pada awal bulan Ogos.
Memandangkan saya dah biasa dengan kerja-kerja macam ni, okey jelah. Kak Chik pun bagi nombor telefon saya pada kawannya untuk berbincang terus tentang pembelian tu. Zaman sekolah dulu memang tauke kerepek pun jadi jiwa nak jual kerepek tu masih ada dalam diri ni. Cewah!
Tempahan yang diterima agak banyak. 5 kilogram kerepek bawang, 5 kilogram ubi pedas basah, dan 3 kilogram ubi pedas kering. Kiriman kawan kepada kawan Kak Chik yang bermastautin di UK katanya, maka sekali beli terus banyak. Lepas tengok harga terkini, saya pun bagi tahulah jumlah yang perlu dibayar untuk kerepek, dan caj penghantaran.
Disebabkan kawan Kak Chik tu duduk di Perak, asalnya dia suruh pos ke Perak. Tapi bila fikir-fikir balik, kesian kerepek tu kena tempuh dua kali perjalanan yang penuh ranjau. Bincang punya bincang, saya kata nak hantarkan ke KLIA sebelum beliau berangkat ke sana sebab pada asalnya beliau akan sampai di KLIA sehari sebelum penerbangan. Jadi, tak ada masalah nak jumpa dan serah bungkusan berisi kerepek.
Langkah pertama, kumpulkan kerepek di tepi kotak.
Kemudian, susun kerepek dalam kotak sampai muat semua bungkusan.
Langkah terakhir, sumbat kertas surat khabar yang digumpal di celah-celah bungkusan kerepek. Ini adalah cara bungkus terakhir selepas banyak kali percubaan. Itu pun dengan bantuan Abang Paiz sebab saya takut nak sumbat-sumbat sangat plastik kerepek tu; takut hancur teruk. Bila orang lelaki yang buat, hambik ko! Main tekan je tapi akhirnya muatlah semua kerepek ni dalam dua kotak.
Harga yang saya kenakan dah termasuk sekali dengan pembungkusan. Jenuh fikir macam mana nak sumbat kerepek banyak-banyak tu dalam dua buah kotak. Ada dalam lima kali juga kot keluar masuk kotak kerepek-kerepek tu sebab nak bagi semua muat dalam kotak sedia ada dan dalam masa yang sama, nak pastikan mereka mengalami kehancuran yang paling minima. Tak cukup sendal dengan kertas surat khabar, letak juga bubble wrap.
Asalnya kami akan berjumpa sehari sebelum. Namun, pada saat akhir, rancangan berubah dimana beliau hanya akan tiba di KLIA beberapa jam sebelum penerbangan. Sudahh.. Penerbangan adalah pada jam 9 pagi++ kalau tak silap jadi kurang lebih 3 jam sebelum berlepas dah kena ada di lapangan terbang. Penyudahnya, malam tu saya tak tidur sebab takut tak terbangun paginya. Tak nak bagi mengantuk, marathon drama Korea la jawabnya lepas tu minum kopi.
Bertolak dari rumah dalam pukul 4.45 pagi macam tu dan sampai KLIA dalam pukul 5.30 pagi. Disebabkan waktu penghantaran dah berubah, maka saya caj lebih dari caj biasa selepas minta pendapat dari Penasihat Kewangan 2. Hehehe.. Aten kata, bolehlah sarapan dekat KLIA alang-alang dah sampai sana. Tak ada maknanya. Sampai sana turunkan kerepek, salam dan borak kejap, terus pecut balik rumah. Ngantuk hoi! Sempatlah subuh dekat rumah.






















