Ehem..Sebelum terlupa, baiklah aku paksa diri menaip tentang pengalaman paling berharga sepanjang bekerja dibawah JTM ni. Mesyuarat Kerja Penggubalan Soalan tu adalah selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat. Sebab Selasa dan Rabu aku ada kelas, kalutlah aku cari pengganti untuk kelas yang bakal ditinggalkan. Kelas sem 2 tak ada masalah sebab pengganti dengan sukarela menggantikan. Satu kelas sem 1 juga tiada masalah sebab dah tukar dengan Kak Dayah. Yang masalahnya kelas pagi sem 1, tak dapat cari pengganti sebab orang-orang yang disyaki pun ada kursus pada hari kejadian. Kemudian bila bagi tahu Abah kena pergi PD dari hari Selasa sampai Jumaat, Abah tanya program mula pukul berapa. Bila aku cakap petang, terus Abah cakap;
"Kalau mula petang, pagi kena masuk pejabat dulu." Aku manalah tau kan? Bila dah macam tu, selesailah masalah aku. Apa susahnya, kelas pertama untuk sem 1 adalah dari jam 8 hingga 9.30. Jadi, masuk jelah kelas macam biasa kan? Ha, tepuk dahi kejap.
Habis kelas, aku kembali semula ke pejabat. Masuk-masuk je, semua orang dok tanya;
"Eh, Farah bukan kena pergi buat soalan ke?" Aku pun jawab la;
"A'ah, memang la. Check-in pukul 2. Jadi pagi ni datang dulu sebab ada kelas." Barulah semua orang menyebut huruf 'O' secara berjemaah. Jadi, kemas mana yang patut dan angkut buku-buku yang rasanya berguna, terus zaasss ke Banting. Isi minyak dulu, periksa tekanan angin pada tayar dan balik semula ke rumah untuk angkut bagasi. Aku memang tak reti nak bawak barang sikit. Walaupun pergi sorang, penuh juga bonet kereta. Hehehe... Dalam pukul 11 lebih jugak aku gerak dari rumah. Sebelum bertolak, macam-macam Abah pesan; dari cara memandu sampailah cara buat soalan. Abah kata,
"Buat soalan baik-baik. Ikut apa yang ditetapkan dan jangan buat soalan susah sangat. Periksa ni sebab nak bagi budak lulus." Lebih kurang macam tu la Abah pesan. Sebab ini pertama kali, maka aku pun tak dapat nak bayang apa-apa.
Pemandangan dari balkoni
Pertama kali memandu sendiri ke Port Dickson. Cuak juga sebab dah agak lama tak ke sana. Jadi aku ikut jalan pantai. Lebih dekat dan nyaman berbanding ikut lebuhraya. Sampai sana dalam 12 lebih. Waktu tu perut lapar gila. Jadi aku berhenti makan tengahari di Lukut. Lepas makan, sambung memandu. Dengan bantuan Google Map, aku jumpa jugak hotel yang dimaksudkan walaupun terlajak sikit. Sepanjang perjalanan, aku tak nampak pun papan tanda hotel tu yang tertulis nama penuh besar-besar. Bila dah dekat gila, baru dia letak papan tanda. Itu pun tulisan kecik. Hangin je rasa sebab balik-balik papan tanda Avillion la, Selesa Beach Resort la. Haih... Ancasa Allsuites Resort & Spa tak nampak bayang pun. Tempatnya adalah betul-betul lepas Telok Kemang, sebelum balai cerap. Aku daftar masuk dalam pukul 1 lebih, dekat pukul 2 kot.
Dapat bilik di blok terakhir iaitu blok C dan aku orang pertama masuk bilik tu. Puaslah aku jelajah semua ceruk apartment tu dan boleh pilih bilik yang best. Hehehe... Apartment aku ada tiga bilik dan menghadap laut. Memang masyuk! Boleh dengar bunyi ombak. Tenang je rasa. Kemas-kemas barang, solat dan tiba-tiba lapar balik. Hehehe... Teringat dia kata ada disediakan minum petang. Gigih la aku pakai baju lengkap turun bawah balik nak makan. Bila sampai tempat makan, makanan tak berusik lagi dan tak ada orang langsung. Tiba-tiba jadi segan. Terus aku keluar merayap cari makan. Beli burger je pun kat Telok Kemang. Dah dapat beli burger, zasss balik bilik. Makan burger sambil layan TV yang bosan. Elok je aku habis makan, seorang peserta sampai. Oh, beliau dari ILP Jitra. Ku panggil beliau dengan panggilan Kak Fizah. Bila Kak Fizah dah siap kemas barang, kami duduk la berbual mengisi masa lapang.
Malamnya, kami turun untuk makan malam lepas maghrib. Bila makan kat hotel, haruslah aku tamak dengan mengisi semua makanan yang ada dalam pinggan. Hahaha.. Rupanya bukan kami je yang terlibat dengan program dari JTM, ada lagi satu program JTM juga berjalan pada masa sama. Maka tempat makan tu dipenuhi dengan orang-orang JTM sajalah. Tapi aku tak kenal sesiapa pun. Lepas makan, terus ke Kayangan Ballroom; tempat program berjalan. Aku dengan Kak Fizah orang pertama sampai. Urusetia pun tak sampai lagi. Tunggu punya tunggu, pukul 9 lebih baru taklimat mula. Pung pang pung pang, pukul 10.30 gak baru habis. Nak tambah dukacita, kami kena pindah bilik pulak sebab mereka nak penuhkan kuota bilik. Adeh! Kalau kena pindah bilik berlainan aras, takpe jugak. Ini kena pindah ke blok lain. Pasrah ajelah.
Itu baru cerita hari pertama, dah panjang berjela. Penat aku taip. Maka kenalah sambung cerita untuk hari kedua pulak nanti. Hehehe...