Engagement Fund ;)

Monday, 11 May 2009

Jalan-jalan Cari Pasal

Siang tadi, aku telah memenuhi undangan walimatulurus salah seorang seniorku, Kak Edura di rumahnya di Jalan Kebun. Pemergianku hari ini ditemani oleh sahabatku yang juga sedang bercuti, Aten memandangkan inilah satu-satunya cara untuk bersua muka dengannya, menyelam sambil minum air. Beberapa sahabat yang merancang untuk hadir pada mulanya tidak sampai hajat kerana beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Setelah memenuhi undangan tersebut, aku melirik ke jam di dashboard kereta. Masih awal lagi waktunya.

Aku terus menghalakan kereta ke Pelabuhan Klang. Hajat hati untuk menjejakkan kaki di Tanjung Harapan, tempat yang telah sekian lama aku tidak kunjungi. Dulu, selalu juga abah membawa kami adik-beradik ke situ memandangkan jarak dari Taman Desa Utama ke Tanjung Harapan tidaklah jauh mana. Alhamdulillah, aku masih ingat jalannya. Kira-kira jam 3.00 petang, kami tiba di situ. Aku mencari tempat meletak kereta yang agak redup kerana terik mentari akan membuat kereta hangat dan berkepam. Frasa 'buang tebiat' yang kami sebut-sebut sepanjang perjalanan ke sini terus lenyap memandangkan ramai juga pengunjung yang bersantai di sini walaupun bahang mentari terasa menyengat. Daripada yang bersendirian hinggalah yang sudah berkeluarga, semuanya asyik menikmati bayu pantai yang bertiup lembut. Terasa lega bila aku sudah mengadap laut. Inilah ubat mujarab bagiku untuk menghilangkan keresahan dan tekanan yang aku alami sejak beberapa minggu sudah. Hembusan angin laut yang sejuk seakan membawa pergi segala masalah yang ada. Agak lama juga kami di situ sebelum bergerak ke destinasi seterusnya.

Sejam berikutnya kami meredah lautan manusia di Jusco Bukit Tinggi. Mulanya mahu membasahkan tekak di Old Town Kopitiam kerana masing-masing kepingin merasa keenakan kopi putihnya. Bila menjenguk ke dalam premis yang sederhana besar itu dan kesemua tempat duduk penuh, kami terus melangkah. Akhirnya, langkah kaki terus ke Laksa Shack biarpun Aten mengidam spaghetti Secret Recipe. Usai makan, kami meronda sebentar sebelum ke aras bawah. Aku berhajat untuk membeli sebiji kek untuk meraikan hari ibu. Mujurlah La Boheme tidak sesesak Lavender yang sentiasa penuh dengan pengunjung sejak aku sampai tadi. Akhirnya, kami menyertai barisan manusia yang panjangnya hingga menutupi laluan di hadapan kaunter aiskrim Mc D untuk membeli McFlurry yang sudah terlalu lama tidak dijamah. Perjalananku untuk cuti semester kali ini sempurna kerana hasratku untuk ke Tanjung Harapan tertunai juga.

Akhir sekali, aku perlu memastikan "to do list" dan amanat dari Encik Presiden terlaksana dengan baki cuti yang kurang dari 4 hari ini.

1 comment:

Nurfarahin said...

salaam..uits cuti tinggal lagi 4 hari..mcm harapan tinggal harapan je nk ikut kalian semua..anyway mungkin faien ada tugas lain disini..pape pun kita akan masuk hostel sama2 tau..n lagi 1..erm boleh la pas nie akak cerita yg akak g laksa shack kat aien..wakakaka