Engagement Fund ;)

Friday, 27 February 2009

Perjalanan yang harus ku tempuh...





20 hingga 22 Februari yang lalu, barisan pimpinan i Rakan telah selamat menjalani kem kepimpinan yang bertempat di Banyu Manis Resort, Meru Klang. Tak sangka di Klang juga ada tempat sebegitu. Jangan tertipu dengan perkataan Resort di belakang Banyu Manis kerana ia bukanlah seperti resort-resort yang biasa dikunjungi untuk bercuti. Pun begitu, tempatnya ku kira damai dan indah. Teringat ketika berkhemah di Sukida Resort, beberapa tahun yang lalu. Malamnya indah berbumbungkan langit yang dipenuhi bintang-bintang. Keindahannya, Subhanallah... tak dapat diucapkan. Sama seperti malam di Sukida Resort. Di Banyu Manis, kami ditempatkan di chalet-chalet kecil. Agak selesa berbanding di dalam khemah.

Terasa begitu jauh perjalanan dari jalan utama. Beberapa buah kampung dilalui dan pohonan kelapa sawit berbaris menyambut ketibaan kami. Sampai di satu simpang, bas berhenti dan membuat pusingan. Aku tertanya-tanya, mana resortnya? Rupanya, perjalanan masih belum berakhir. Sebuah lori sederhana besar tiba ketika kami turun dari bas. Untuk sampai ke resort tersebut, kami perlu menaiki lori ini. Aku yang berbaju kurung agak kalut memikirkan cara untuk naik ke lori tersebut. Begitu juga beberapa teman yang lain. Mujurlah beberapa sahabiah yang dah pun selamat berada di atas, menghulurkan bantuan. Deretan pokok getah menemani perjalanan kami seterusnya. Barulah aku faham mengapa lori menjadi pengangkutan kami. Jalan berlekuk dan bertanah merah langsung tidak mengganggu kelajuan lori yang dinaiki. Satu pengalaman baru kerana di Sukida Resort dulu trak bomba dijadikan pengangkutan kerana perkhemahan yang aku sertai itu adalah perkhemahan Kadet Bomba. Kami memasuki pintu utama resort ketika senja melabuhkan tirainya. Pemandangan menghijau dan sebuah tasik mencuri tumpuan kami. Terus sesi bergambar berjalan secara tak rasmi. Encik presiden ku lihat tak berupaya menghalang kami yang teruja ketika itu. Malah seingatku, tumpang dua kaki. :-)

Usai solat maghrib, kami berbincang untuk menentukan jawatankuasa yang akan berkhidmat. Atas sebab-sebab tertentu, aku termasuk di bawah biro makanan bersama dengan Kak Suma, Ija dan Za. Jadi, tugas kami terus bermula sejurus selepas pelantikan. Hangus kuliah maghrib dan semua kuliah yang berjalan selepas waktu solat. Menu sepanjang berada di sini benar-benar seperti menu orang bujang. Telur, ikan masin dan sayur kobis. Sekampit beras yang ada perlu digunakan untuk 3 hari. Riuh juga kami berempat menentukan menu untuk 3 hari berbekalkan barang mentah yang harus dijimatkan. Aktiviti pada malam tersebut merupakan aktiviti yang wajib bagi setiap kem iaitu sesi taaruf atau ice breaking. Terketar lutut juga la berhadapan dengan kakak fasi yang tegas. Waktu ini, barulah aku sedar yang diri ini kosong. Segala ilmu yang dikutip di zaman persekolahan dulu tidak aku manfaatkan sebaiknya. Hasilnya?lupa segala. Menerusi sesi ini, aku kembali menyelak lembaran-lembaran ilmu yang berhabuk di minda. Tepat jam 3, sesi taaruf tamat dan kami dibenarkan kembali ke chalet masing-masing.

Tugasku pada hari kedua dimulakan di dapur, menyediakan sarapan bagi sahabat-sahabat yang lain. Lebihan nasi malam tadi dijadikan nasi goreng dan cucur bawang turut disediakan. Lepas bersarapan, satu slot ceramah berjalan. Aku kurang pasti tajuknya. Tetapi, banyak isi yang dapat dimanfaatkan. Kira-kira jam 11, slot tersebut tamat dan kami diberitahu untuk bersedia bagi aktiviti seterusnya. Seperti yang telah kujangkakan, tasik yang berhadapan dengan chaletku termasuk dalam agenda aktiviti tersebut. Kami dikehendaki bergerak dalam satu kumpulan dimana dalam kumpulan tersebut perlu ada seorang yang buta, bisu, kudung dan tempang. Kami perlu melalui check point yang telah ditetapkan dan menyelesaikan tugasan yang ada dan menjawab soalan yang disertakan di setiap check point bagi mendapatkan klu. Salah satu aktiviti menyeronokkan bagiku kerana aku berjaya mengatasi rasa takut terhadap air dengan meredah tasik tersebut dengan selamat. Selain itu, ada juga aktiviti membuat rakit dan menyeberang tasik dengan rakit tersebut. Suasana tika ini agak kecoh kerana Abang Garang yang turut memantau kami sepanjang disitu turut sibuk mengocak dan menyimbah air tasik ke arah rakit yang lalu dihadapannya. Laluan berhalangan diredah bersama yang akhirnya aktiviti tersebut tamat pada jam 2 petang. Usai makan tengahari, hujan turun selebat-lebatnya.









Mujurlah slot seterusnya bermula agak lewat. Dalam pemerhatianku, masing-masing sedaya upaya menahan mata dari terkatup rapat termasuklah aku. Slot muhasabah adalah slot yang paling meninggalkan kesan padaku dan mungkin sahabat-sahabat lain. Cara fasilitator mengendalikan slot tersebut lain dari yang pernah aku lalui sebelum ini. Tersingkap kembali semua kekurangan yang aku ada dan terbentang realiti tugas baruku sebagai ketua. Ya Allah, memang berat amanah yang tergalas di bahu ini. Sebelah kakiku sudah berada di neraka! Ketika ditanyakan soalan mengenai latar belakang sahabat-sahabat yang ada, banyak yang tak dapat menjawab termasuk diriku. Apa yang sebelum ini sudah berlegar di ruang minda terbang melayang dek kerana sergahan fasilitator yang mengendalikan slot tersebut. Hanya satu soalan yang berjaya ku jawab, tarikh lahir presiden kerana seingatku Hari Lahirnya tahun lalu diraikan ketika kami berada di Pulau Pangkor. Rentetan dari kegagalan kami menjawab soalan yang diajukan, kami diasak dengan pertanyaan demi pertanyaan lain. Beliau turut menekankan bahawa ukhuwah merupakan kunci utama kepada kebajikan jemaah. Lantas aku teringat kembali perbualanku dengan salah seorang teman di Yahoo Messenger mengenai kepentingan ukhuwah. Memang sama dan serupa seperti apa yang sedang diperkatakan. Selepas tamat sesi tersebut, seorang lagi fasilitator meneruskan slot dengan memberi tazkirah. Apa yang sempat aku rakam dan hadam, ukhuwah mempunyai 3 cabang dimana selemah-lemah ukhuwah adalah berlapang dada. Kemudian bersangka baik dan yang paling kuat adalah melebihkan sahabat. Aku terus mengingat kembali ukhuwahku dengan sahabat-sahabat lain. Masih belum kukuh dan terlalu banyak yang perlu dibaiki. Slot tersebut tamat kira-kira jam 3 pagi.

Hari terakhir, pagi kami diisi dengan slot ceramah yang banyak memberi kesedaran pada kami. Kami didedahkan dengan perkara-perkara yang wajib ada pada setiap diri pemimpin. Penceramah sempat menitipkan pesanan As-syahid Imam Hassan Al-Banna supaya:
1. Membentuk diri menjadi muslim yang baik.
2. Berkahwin dengan orang yang baik dan sefikrah.
3. Membentuk masyarakat muslim.
4. Membentuk pejuang-pejuang islam yang dapat mengembalikan kepimpinan islam (khilafah).
Bagi merealisasikan perkara-perkara di atas, setiap muslim perlu ada 4 perkara iaitu:
1. Iman. Perkara paling penting dan kunci untuk melaksanakan apa yang diwasiatkan.
2. Tanzim. Atau organisasi yang merupakan medium untuk mewujudkan gerakan seterusnya menyumbang kepada pembentukan ummah.
3. Takhdid. Perancangan adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan kerana Saidina Ali Karramallahuwajha bersabda; "Jangan sesekali berfikir tentang kemenangan kalau tidak merancang kerana kebatilan yang terancang boleh mengalahkan kebenaran yang terancang."
4. Perkara terakhir adalah istiqamah. Usaha yang berterusan insyaallah akan membuahkan hasil dan diredhai.
Akhirnya, kami semua berkumpul dan berbincang mengenai hala tuju dan peranan i Rakan serta memperjelas segala kekaburan sebelum ini. Alhamudlillah... Program tamat tepat jam satu dan lori putih telah pun menunggu untuk meraikan kepulangan kami. Semoga segala ilmu yang diberi oleh fasilitator dan penceramah sepanjang kem ini berjalan dapat aku manfaatkan dan aplikasikan dalam kehidupan seharian. Insyaallah... Buat sahabat dan sahabiah pimpinan yang membaca coretan ini, dialu-alukan untuk menambah atau membetulkan andai ada yang tersilap. Wallahua'lam...

No comments: