Ajal telah termaktub dalam kamus kehidupan seorang manusia seawal sebelum roh ditiupkan ketika di dalam kandungan ibu lagi. Tidak kira muda atau tua, sakit atau sihat, malah bagaimana keadaan ketika ajal menjemput juga sudah tertulis. Kadang-kadang, seseorang itu kita lihat sihat dan tiada langsung penyakit namun tiba-tiba sampai berita tentang kematiannya. Ada pula orang yang bertahun-tahun terlantar sakit dan tidak berupaya berbuat apa-apa tapi masih lagi menghirup oksigen yang Allah ciptakan. Ada juga ibu yang kehilangan bayi yang baru saja dilahirkan tanpa sempat membelai zuriat yang sekian lama dinantikan. Sungguh besar ujian yang ditimpakan. Sepanjang penglibatanku dalam dunia blog, ada juga terbaca beberapa blog yang menceritakan tentang pemergian anakanda tersayang dalam usia yang sangat muda. Baru beberapa bulan melalui perjalanan di dunia; masih bayi. Sebabnya, tersedak susu. Di dada akhbar juga sering terpapar kes kematian kerana kemalangan. Ada juga kerana lemas dan baru-baru ini, kerana dibunuh. Sungguh, kematian boleh datang dalam pelbagai keadaan. Selepas aku melalui sendiri pengalaman kehilangan orang-orang tersayang, juga pembacaan beberapa sumber, dan ilmu yang dikumpul di pelbagai tempat, seorang manusia itu meninggal dunia kerana ajalnya adalah pada saat itu bukan kerana dia sakit atau dibunuh kerana orang yang sihat juga boleh menghembuskan nafas terakhir tiba-tiba. Apa saja situasi si mati hanyalah sebab kepada ajal yang sudah ditakdirkan datang menjemput ketika itu. Sudah tercatat di Al-Quran dalam Surah Al-Ahzab ayat 16 yang bermaksud; "Katakanlah(Muhammad), "Lari tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika demikian, (kamu terhindar dari kematian) kamu hanya akan mengecap kesenangan sebentar saja". " Bagaimana kita mengelak pun, ajal tidak mungkin dapat dielak. Tibanya tanpa pemberitahuan dan tidak juga bertangguh walau sesaat.
Justeru, sebagai manusia yang masih hidup, harus beringat sentiasa tentang kematian kerana manusia sering merasakan masih ada esok untuk mempersiapkan diri. Persiapkan diri dengan amalan-amalan yang menjadi peneman di 'alam sana' nanti. Walau mudah terleka, Allah tetap sayangkan hambaNya. Masih juga diberi peluang untuk bertaubat walau sehebat mana pun dosa yang tercalit dalam hidupnya selagi ajal belum menjemput. Sentiasa berdoa dengan;
ALLAHUMMAKHTIM LANA BI KHUSNIL KHOTIMAH,
WA LA TAKHTIM 'ALAINA BI SUU'IL KHOTIMAH.
(Ya Allah, matikanlah kami dengan pengakhiran yang baik, janganlah Engkau matikan kami dengan pengakhiran yang buruk.)
AMEEN..
WA LA TAKHTIM 'ALAINA BI SUU'IL KHOTIMAH.
(Ya Allah, matikanlah kami dengan pengakhiran yang baik, janganlah Engkau matikan kami dengan pengakhiran yang buruk.)
AMEEN..
No comments:
Post a Comment