Engagement Fund ;)

Wednesday, 10 February 2010

Jodoh Itu Ketentuan Allah

Kebelakangan ini, terlalu kerap soal jodoh menyapa pendengaran dan menjadi topik perbualan. Lumrah manusia, mahu menyayangi dan disayangi. Rasa sayang yang paling manis dan diberkati tentulah rasa sayang yang lahir dan mekar dari satu ikatan hubungan yang sah; perkahwinan. Rasanya belum terlalu lewat untuk aku mengucapkan tahniah kepada salah seorang sahabat i Rakan, Saudara Merico yang selamat bernikah 6 Februari lalu. Teringat dulu salah seorang makcik ku pernah berkata; "Cari la 'sesiapa' kalau dah tahun akhir ni. Dah keluar bekerja nanti susah nak jumpa yang sekufu." Lebih kurang begitulah dialognya. 'Sesiapa' merujuk kepada orang yang boleh dijadikan isteri/suami. Benarkah apa yang diperkatakan? Mungkin juga.



Mencari teman hidup bukanlah semudah mencari sepatu untuk dipakai setiap hari. Malah, mencari sepatu yang selesa dipakai juga memerlukan ketelitian dan masa. Apatah lagi mencari teman hidup yang akan menemani kita setiap hari hingga ke akhir hayat. Perlukan lebih ketelitian dan masa untuk menilai hati dan pekerti seseorang itu. Bukanlah aku katakan seseorang yang mahu dijadikan calon itu harus ada setiap sifat lelaki soleh/wanita solehah. Kalau ada yang menepati semua ciri-ciri itu, itu adalah satu bonus kerana tiada seorang pun yang sempurna di atas bumi Allah ini. Sekurang-kurangnya, jika memilih calon suami, biarlah dia seorang yang ada agama supaya dapat membimbing isterinya dalam segala aspek, menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidupnya, dan baik akhlaknya. Sifat penyayang dan sabar juga adalah antara ciri-ciri yang perlu diambil kira kerana sudah terlalu banyak kes perceraian yang dilaporkan di media massa dan sebab perceraian hanyalah kerana masalah kecil. Kenapa? Kerana tiada sifat sabar dan kurangnya rasa sayang. Bagaimana boleh berlaku? Rata-rata pasangan yang mendirikan rumahtangga adalah selepas bercinta bertahun-tahun; kononnya sudah kenal hati budi masing-masing. Sudah puas berpegang tangan, menyuap makanan, dan lain-lain perbuatan yang selayaknya dilakukan selepas diikat dengan lafaz pernikahan. Percayalah bahawa semua yang dilakukan semasa di alam percintaan bukanlah sifat sebenar pasangan anda. Hanya sifat yang indah saja yang dipamerkan tapi hakikat sebenar tersembunyi disebalik madu cinta palsu tadi.

Siapakah yang memiliki hati kita? Yang Maha Esa atau manusia biasa?

Buat wanita, janganlah mengimpikan suami sehebat Saidina Ali jika dirimu tidak semulia Fatimah Az-Zahra. Mahukan suami soleh? Jadikan diri solehah terlebih dulu. Memang, bukan senang mahu merubah diri menjadi baik. Tapi itu bukan sesuatu yang mustahil. Mulakan dengan langkah pertama dan perlahan-lahan melangkah agar kita akhirnya boleh berlari kerana jika terus mahu berlari, kita mungkin akan jatuh dan tercedera parah berbanding jika menapak satu-persatu. Muhasabah diri dahulu. Cukupkah solat kita? Tergesa-gesakah kita mengangkat wudhuk tatkala azan berkumandang bagi setiap waktu solat? Basahkah lidah kita dengan zikrullah? Khatamkah 100 ayat Al-Quran setiap hari? Sabarkah kita menempuh dugaan yang menimpa? Astaghfirullahalazim.... Aku juga masih belum boleh berlari. Masih perlu membina dan mengukuhkan diri. Masih jauh perjalanan mencapai gelaran solehah Fatimah Az-Zahra. Suka aku selitkan sepotong hadis yang bermaksud;

Rasulullah SAW bersabda, "Wanita yang paling baik iaitu yang pandai mengenderai unta. Wanita Quraisy yang terbaik iaitu yang besar kasih sayangnya kepada anak kecil dan pandai memelihara (harta) dan melayani suaminya serta pandai membelanjakan harta suaminya yang sedikit"
-Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, dan Muslim-

Nah, sudah jelas bukan apakah sifat-sifat yang perlu ada dalam diri kita untuk menuju solehah Fatimah Az-Zahra? Apa yang tercatat dalam hadis di atas hanyalah sebahagiannya saja. Banyak lagi ciri-ciri lain yang perlu dipupuk dan diterapkan dalam diri untuk mendapat pakej lengkapnya. Bukan niatku mahu membuat sesiapa terasa dengan beberapa baris ayat dalam entri kali ini. Namun itu hakikatnya. Tiada istilah couple dalam kamus seorang muslim. Semua itu hanyalah propaganda Barat yang mahu merosakkan akhlak seorang muslim. Iya, semua manusia pernah melakukan kesilapan. Tapi masih belum terlambat untuk bertaubat dan yang paling penting, jangan jadikan titik hitam yang hanya beberapa itu sebagai penghalang untuk berubah dan mengikut acuan hidup Islam. Allah juga telah bersabda dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud; “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Kepada seorang sahabatku yang sedang dalam dilema mahu memilih, buatlah istikharah. Berdoa memohon pada Allah agar ditunjukkan pilihan terbaik. Renungkan ayat di atas. Belas juga melihat mukanya yang sangat-sangat berubah selepas menamatkan perbualan dengan ibunya siang tadi. Pelbagai perasaan bercampur menjadi satu. Kerisauan jelas terpamer di wajahnya. Kita merancang. Allah juga merancang. Namun perancangan Allah lebih hebat daripada perancangan hambaNya. Wallahua'lam..

1 comment:

nadya said...

hadehh~
penin pk....