Engagement Fund ;)

Friday, 29 July 2011

Nasi Arab

Salam Jumaat semua. Sebelum masuk bulan Ramadhan minggu depan, aku nak letak dulu entri yang berkurun lama duduk dalam draf ni. Kejadian ini berlaku 2 minggu sudah. Malas nak menulis tentang ini sebab gambar nak kena sunting. Malas nak menghadap blog bila kat rumah sebab aku pulun nak menghabiskan drama-drama Korea yang tiba-tiba berlambak pulaknya. Sampai macam nak muntah pun ada mengadap Korea ni. Tapi aku tetap nak hadap jugak kan. Hahaha... Ramadhan nanti kena berhentilah daripada menonton sebab puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga, tapi juga menahan daripada melihat benda yang tak berapa elok. Insaf sikit weh! Banyakkan ibadah. Aku kalau dah mula tonton, bukannya boleh sekerat-sekerat. Kena tengok sampai habis. Hehehe... Kalau bab melalut, memang tak pernah gagal kan. Mari berbalik kepada tajuk.

Tujuan asal keluar rumah pada hari kejadian adalah mahu melawat Wak Mis di Kuala Selangor. Tapi bila telefon Abang Zahar waktu dalam perjalanan, Abang Zahar kata Wak Mis ada di rumah Kak Ina di Shah Alam. Kebetulan, beliau ada temujanji di klinik pada hari tersebut dan hanya akan berada di rumah selepas pukul 5. Jadi sementara menanti jam 5, Abah ajak ke Floria dulu. Maka ke sanalah kami menghabiskan masa yang ada. Tak sempat terjah semua pun. Pusing dekat-dekat je. Gambar di Floria aku malas nak sunting. Jadi tak adalah gambarnya. Lepas solat asar, baru bertolak ke Shah Alam semula. Tak adalah lama pun di sana sebab dah petang waktu sampai tu. Waktu beransur dari rumah Kak Ina, dah hampir maghrib. Maka solat dulu di Madrasah Hidayah Seksyen 10 tak silap. Lepas tu perut pun dah lapar. Abah kata nak singgah rumah Bibik Mini lepas solat, baru pergi makan. Alang-alang dah sampai Shah Alam, nak cuba makan Nasi Arab D'Arab pulak. Aku tau ada cawangan dia kat Seksyen 13 dan Seksyen 7, satu deret dengan rumah Kak Chik. Kalau ikutkan, Seksyen 13 lagi dekat dengan Seksyen 10. Tapi sebab tak berapa pasti kat kawasan mana Seksyen 13 tu, maka teruslah ke Seksyen 7 dan tak jadi ke rumah Bibik Mini.
Ini rupa kedai dia. Guna kamera N6085 je sebab bateri kamera dah kong....

Ini minuman yang dipesan...milo ais, lemonade (masam gilerr), kopi-dah-lupa-nama, teh Arab (teko kecil). Teh dia boleh minum 2 orang. Ada rasa pudina dan cengkih. Menyegarkan jugaklah bila minum teh ni lepas makan kambing.

Ini nasi yang dipesan. Sebab masing-masing tamak, maka pesan yang untuk sorang makan. Walaupun sorang makan, kuantitinya boleh dimakan oleh 2 orang. Makanan Arab kan kuantitinya banyak. Sampai senak perut menghabiskan nasi tu. Dari kiri atas, nasi+ayam panggang, nasi+kabsah kambing, nasi+kabsah ayam, nasi+hanith kambing. 
Ini nama dia tembosah. Puas hati walaupun harga sepinggan ni adalah RM 8 sebab isinya hanya daging semata-mata dan padat.
Ha, ini suku sakat nasi di atas. Ada sambal, salad, dan sup. Semua nasi yang dipesan akan didatangkan sekali dengan suku sakat ni. Nasi yang kami pesanlah. Nasi lain aku tak pasti.

Masa datang, memang tak ada pelanggan langsung. Mungkin sebab masih awal, betul-betul lepas waktu maghrib. Jadi cepatlah nasi kami sampai. Bila dah malam sikit, barulah ramai orang. Dulu aku ingat kedai ni memang tak laku sebab tiap kali lalu, memang tak ada pelanggan. Hehehe... Silap rupanya. Yang tapau pun ramai. Keseluruhannya;
Suasana dan persekitaran kedai - Bagus! (angkat ibu jari)
Servis - Bagus! (angkat ibu jari lagi)
Makanan - Persembahan menarik dan sedap! (angkat ibu jari kiri dan kanan)
Harga - Ok, kira normallah untuk makanan Arab (tak murah dan tak mahal)

Harga untuk kesemua menu diatas kurang lebih RM93. Tak sampai seratus pun. Seronoklah kan sebab bukan aku yang bayar. Kahkahkah... terima kasih kepada Abang Faiz yang telah menaja makan malam kami pada hari tersebut. Nanti kalau berkesempatan, aku buat ulasan tentang satu lagi restoran nasi arab yang menjadi bualan ramai di Cyberjaya. Kena pergi makan kat sana lagi baru boleh buat ulasan. Tak ada gambar, tak menariklah kan nak bercerita. Hehehe... Oh, D'Arab Cafe ni ada lagi beberapa cawangan di Shah Alam dan sekitar Kuala Lumpur. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh ke www.nasiarab.com Selain menu biasa, dia turut sediakan pakej jimat untuk yang mungkin nak belanja ahli keluarga berjumlah 10 orang makan nasi arab ni. Murah sikitlah harganya.

No comments: