Engagement Fund ;)

Friday, 29 July 2011

Seminar Kesedaran Pencegahan Kebakaran

Sebelum ilmu dan maklumat yang aku dapat daripada seminar ni basi dan reput macam Seminar CUDBAS dulu, baiklah aku cepat-cepat kongsi kat sini. Hehehe... Seminar ini telah berlangsung pada hari Isnin, 25 Julai yang lalu, sekali dengan perhimpunan bulanan. Aku lupa pulak nama penceramah tu. Kandungan seminar ini adalah serius tapi penceramah sampaikan secara santai dan diselitkan dengan lawak dan video pendek. Encik Penceramah kata; "Jangan serius sangat, nanti kamu semua tak ingat apa yang saya sampaikan." Manalah muka tak serius? Gambar-gambar yang ditunjukkan semuanya menyayat hati. Ada mangsa kebakaran yang terselamat tapi mengalami kecacatan yang dahsyat. Sampai sekarang masih terbayang-bayang lagi gambar-gambar tu.

Mula-mula, penceramah tanya pernah ke pergi kelas atau program macam ni? Sebagai bekas Kadet Bomba, aku tahulah juga cara nak padam kebakaran guna pemadam api sebab dulu memang ada kelas tentang cara nak padam api. Dah ingat-ingat lupa pun. Hehehe... Rasanya ada juga diselitkan tentang pencegahan kebakaran. Tapi kalau di sekolah-sekolah, umumnya kita hanya diajar cara memadam api jika berlaku kebakaran dan bagaimana nak ke tempat berkumpul jika berlaku kebakaran.

Perkara pertama, kami diajukan soalan menguji minda; "Apa nak buat kalau orang terbakar?" Terdapat 4 pilihan jawapan iaitu; selimut, pasir, air dan bergolek di lantai. Mesti korang terus perah otak nak ingat balik filem mana yang ada adegan orang terbakar kan? Tau dah... Nasihat penceramah; "Jangan tiru sebarang aksi dalam filem bila berdepan dengan kebakaran sebab semuanya tak betul. Kurangkanlah tengok filem tu ye." Kahkahkah... Ada yang jawab balut dengan selimut, ada yang jawab bergolek atas lantai dan ada yang jawab simbah dengan air. Sekalik, dia tunjuk gambar mangsa-mangsa kebakaran yang diselamatkan menggunakan 4 pilihan jawapan diatas. Kecederaan paling teruk adalah mangsa yang dipadamkan api dibadan menggunakan selimut. Cubalah Google sendiri ye. Aku rasa ada gambar-gambarnya. Tak gamak dah nak tengok lagi gambar macam tu. Sedih...

Alat Pemadam Api
Cara paling selamat adalah guna alat pemadam api serbuk kering pelbagai guna macam ni.

Sumber gambar dari sini. Ini yang terbarulah kiranya. Kalau tengok pada tong dia, boleh nampak simbol ABC dan simbol macam elektrik tu dan tongnya berwarna merah. Boleh lihat pada gambar untuk keterangan lanjut ye. Kalau gunakan ini untuk padam api pada badan manusia, insyaAllah kecederaan yang dialami tidak begitu kritikal.

Gambar diperoleh dari sini

AWAS! Jangan gunakan alat pemadam api jenis karbon dioksida pada manusia kerana ia boleh menjadikan kecederaan bertambah serius. Macam mana nak bezakan? Mudah saja. Alat pemadam api CO2 ni tong dia warna hitam. Alat pemadam api haruslah berkeadaan baik dan terjaga supaya tahan lama. Pastikan mana-mana bahagian tong tidak berkarat sebelum menggunakannya. Kalau agak-agak dah karat, boleh telefon pembekal dan suruh dia hantar tong baru ye. Penceramah tu tunjuk satu alat pemadam api yang dah tak nampak label sebab berkarat. Dia kata; "Kalau kamu nampak tong dia macam ni, tak perlu susah payah nak jadi hero. Boleh terus larikan diri." Kahkahkah... Betullah tu. Serbuknya dah masuk angin. Tak padam jugak api kalau digunakan pun. Berat tong normal adalah dalam 5kg kalau tak silap. Tapi sekarang ada yang mudah alih punya iaitu seberat 1kg. Ini adalah yang paling ringan setakat ni dan jangka hayat sesebuah tong ini boleh mencapai hingga 15 tahun.

Tips untuk membeli alat pemadam api;
1. Pastikan label tulisan dicetak atas tong, bukannya menggunakan label jenis tampal.
2. Pilih kepala yang jenis stainless steel kerana ia tahan karat.
3. Pastikan anda mengetahui jaminan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut. Biasanya, kalau ada jaminan, pihak syarikat akan servis alat pemadam api secara percuma dalam tempoh jaminan.

Sebelum gunakan pemadam api, lihat meter dibahagian kepala tong. Kalau jarum meter berada di bahagian hijau, maknanya ia masih boleh digunakan. Kalau dah merah, pergi tukar yang baru. Cara nak padam api pulak, sembur pada punca kebakaran, bukan ikut ketinggian api. Karang serbuk habis, api tak padam-padam.

Asap
Sebenarnya, elemen yang paling berbahaya bila berlaku kebakaran adalah ASAP kerana asap kebakaran ini mengandungi racun dan butiran bunga api. Selalu kita ingat orang-orang yang terkorban dalam kebakaran tu adalah kerana api tapi fakta sebenar adalah 64% punca kematian dalam kebakaran adalah kerana menyedut asap, 21% mati kerana dipijak dan hanya 8% mati disebabkan api. Fakta yang baru diketahui dan aku kongsi dengan korang. Fakta lagi; asap tersebar setinggi 3 ke 5 meter dalam masa 1 hingga 3 saat dan bergerak dari tingkat ke tingkat dalam masa 3 hingga 5 saat.

Kerana itulah perlu dipasang Alat Pengesan Asap di setiap rumah kerana alat ini mungkin boleh menyelamatkan nyawa kita. Kalau nak beli alat pengesan asap ni, beli yang berfungsi menggunakan bateri. Kenapa? Bila berlaku kebakaran, bekalan elektrik akan terjejas dan menyebabkan sistem pengesan asap elektrik lumpuh dan tidak berguna. Perlu diingat alat pengesan asap ini amat sensitif dan akan berbunyi sebaik saja mengesan asap. Maka, kalau nak pasang, toksahlah pasang kat dapur ye. Kang goreng belacan sikit dah riuh satu rumah. Nyaring ok bunyi alat pengesan ni! Kiranya kalau berlaku kebakaran waktu malam, insyaAllah kita akan terbangun sebab bunyi nyaring alat ni. Bateri dia boleh tahan selama 2 tahun dan kalau bateri dia dah nak kong, dia akan bagi amaran.

Selamatkan Diri
Kami juga didedahkan dengan cara-cara nak selamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran di bangunan bertingkat. Kalau-kalaulah kebakaran berlaku di bangunan bertingkat macam hotel atau apartment, cuba cari punca dulu. Pertama, mesti korang turun bawah kan nak selamatkan diri? Jangan sekali-kali gunakan lif. Lari ikut tangga. Bila dah sampai di depan pintu rintangan api, jangan terus bukak. Rasa tombol dengan belakang tangan dulu. Kalau panas, jangan buka. Lari balik naik atas sebab punca kebakaran adalah disebalik pintu. Dah lari naik atas, masuk balik dalam bilik dan sumbat segala lubang di pintu yang ada dengan kain basah. Kemudian, buka tingkap supaya dapat lebih oksigen. Jangan pecahkan tingkap tu sebab kalau asap dah sampai pada tingkat kita, boleh tutup balik tingkap tu. Dalam masa yang sama, dapatkan bantuan. Telefon bomba ye, jangan telefon sedara mara pulak. Mereka tak boleh nak tolong dalam situasi tu. Nombor telefon kecemasan adalah 999. Kalau guna telefon bimbit, boleh dail 112.  Tiba-tiba penceramah tu buat lawak lagi; "Hanya dail 112. Jangan letak * dan # sebab itu untuk periksa baki." Kahkahkah...

Perkara yang tidak patut dilakukan untuk menyelamatkan diri daripada api adalah menutup hidung dengan sapu tangan basah dan redah asap. Sia-sia sebab suhu asap tu sendiri boleh mencapai 100 darjah celcius. Fakta lagi; kulit manusia mula mencair pada suhu 180 darjah celcius manakala organ dalaman pula akan terjejas pada suhu 200 darjah celcius. Asap kebakaran itu sendiri boleh mencecah 180 darjah celcius! Ada satu video mengerikan yang dia tunjuk iaitu mangsa kebakaran yang selamatkan diri dari bangunan tinggi. Tak tinggi sangat, tingkat 5 macam tu kot. Waktu tu asap berkepul-kepul keluar ikut tingkap rumah tu. Semua dah terjun kecuali ada sorang budak ni. Dia teragak-agak nak terjun dan bertenggek la dia di tingkap tu. Cuma nampak kaki je. Bahagian badan lain semua diselubungi asap tebal. Bila diperhati betul-betul, boleh nampak kulit tu mencair dan menitik-nitik jatuh macam air menitik. Nauzubillah... Itu cuma asap tu, belum api lagi.

Akhir sekali dah habis bercerita, pap! Encik Penceramah susun 3 barang yang dia bawa.
Keterangan tentang topeng ini boleh dibaca di sini


Sumber gambar dari sini

Sumber gambar dari sini

Bila dia tulis harga, pengsan! 
Harga promosi;
Pemadam api + topeng = RM 369 + jaminan 4 tahun
Topeng = RM 269 + jaminan 4 tahun
Alat pengesan asap = RM 129 + jaminan 4 tahun

Harga biasa
Pemadam api saja = RM 305 + jaminan 1 tahun
Topeng = 199$ Singapore + jaminan 1 tahun
Alat pengesan asap = RM 199 + jaminan 1 tahun

Ini harga yang dia bagilah. Rasanya ada lagi syarikat lain yang tawar harga lagi murah. Sila Google untuk cari maklumat lanjut ye. Semua benda ni kecuali alat pengesan asap hanya boleh digunakan sekali sahaja. Kalau masih dalam tempoh jaminan, pihak pembekal boleh bagi ganti baru secara percuma. Bergantung kepada syarikat jugak. Okey, penat dah taip entri ni. Semoga bermanfaat.

No comments: