Engagement Fund ;)

Sunday, 24 October 2010

Hukum Memakai Cincin

Perhiasan emas bagi seseorang wanita adalah umpama mahkota bagi seorang permaisuri yang menjadi kesempurnaan dalam melengkapi etika berpakaian.

Pemakaian dan kecintaan barangan berasaskan emas seperti rantai dan gelang seakan sinonim dengan seseorang wanita, seolah-olah tidak sempurna berpakaian seseorang wanita sekiranya tanpa disulami dengan perhiasan di tangan berupa gelang, cincin dan rantai leher dan sebagainya.

Dalam Islam, pemakaian barangan berasaskan emas dan sutera adalah dibenarkan bagi kaum wanita, tetapi diharamkan bagi orang lelaki. Terdapat banyak dalil yang menjelaskan tentang keharusan wanita menggunakan emas dan sutera sebagai perhiasan mereka.

Saidina Ali bin Abu Talib r.a. berkata:

    “Rasulullah s.a.w. mengambil sutera, ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata: Kedua ini haram buat orang laki-laki dari umatku.”

    ( Hadith Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)

Berdasarkan kepada ayat al-Quran Surah an-Nuur ayat 31, Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh kerana itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.

Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a. berkata dalam mentafsirkan apa yang terzahir itu adalah celak dan cincin.

Pemakaian cincin bagi seseorang wanita yang diperbuat daripada besi adalah tidak bertentangan sama sekali dengan hukum agama.

Ini kerana perbahasan kitab-kitab turath (klasik) terfokus kepada perbahasan pemakaian emas dan sutera bagi kaum Adam.

Begitu juga pemakaian cincin yang diperbuat daripada perak, bagi orang laki-laki adalah jelas dihalalkan oleh Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadith riwayat Imam al-Bukhari,

    “Bahawa Rasulullah SAW sendiri memakai cincin perak, yang kemudian cincin itu berpindah ke tangan Saydina Abu Bakar, kemudian berpindah ke tangan Saydina ‘Umar r.a. dan terakhir berpindah ke tangan Saydina ‘Uthman r.a.”

Tentang logam-logam yang lain seperti besi dan sebagainya, tidak terdapat ada satu dalil dan nas yang mengharamkannya, bahkan terdapat dalil yang sebaliknya, iaitu Rasulullah SAW. pernah meminta daripada seorang lelaki yang hendak berkahwin untuk memberikan cincin besi, dengan hadithnya:

    “Berilah (si perempuan itu) mas kahwin, walaupun dengan satu cincin yang diperbuat daripada besi.”

    (Hadith Riwayat Imam al- Bukhari)

Sekian والله أعلم
Disediakan oleh:
Ustaz Mohamad Shukry Sulaiman
Ahli Panel Majlis Ulama’ ISMA (MUIS)

* Dipetik daripada ruangan soal jawab di laman web rasmi Majlis Ulama’ ISMA (MUIS).

No comments: